Ahad, 27 Jun 2010

Marhaban Ya Ramadhan


Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan(bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa. (Al- Baqarah 183,184,185,186,187)

Alhamdulillah bersyukur kita kepada allah swt kerana kerana masih dipanjangkan umur kita, untuk sama-sama kita melaksanakan ibadat puasa pada tahun ini. Di bulan Ramadhan ini banyak kelebihan keistimewaan yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang-orang beriman. Allah swt jadikan di Bulan Ramadhan ini, bukan sahaja bulan diwajibkan kita berpuasa di siang hari, bahkan di beri juga kelebihan-kelebihan yang lain dengan fadhilat Bulan Ramadhan itu sendiri dan ibadat-ibadat yang dibuat di dalam Bulan Ramadhan.

Di Bulan yang mulia ini kita semua telah dijemput menjadi tetamu Allah dengan dihidangkan kepada kita makanan jasmani di watu sahur dan berbuka dan dihidangkan juga kepada kita makanan rohani untuk menguatkan iman kita kepercayaan dan tingkah laku kita, diberi pahala yang sangat besar dan diampunkan segala dosa-dosa kita. Di dalam kitab banyak disebut tentang kelebihan yang ada di Bulan Ramadhan ini, yang tidak terhitung banyaknya.

Diantaranya disebut dalam suatu hadis Nabi saw yang berbunyi :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي الله عَنْهُ : أَنَّ النبي صَلى الله عليه وسلم قَالَ : اَلصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَان إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَتْ الكَبَائِر

Daripada Abu Hurairah r.a Nabi saw bersabda : Jarak antara shalat lima waktu, shalat jum’at dengan jum’at berikutnya dan puasa Ramadhan dengan Ramadhan berikutnya merupakan penebus dosa-¬dosa yang ada diantaranya, apabila tidak melakukan dosa besar. (HR Muslim)

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa kelebihan ibadat puasa ini dapat menghapuskan segala dosa kecil kita, diibaratkan yakni diantara waktu subuh dan zohor, dan waktu zohor dan asar dan begitulah seterusnya, di celah-celah waktu tersebut Tuhan hapuskan segala dosa kita dengan kita menunaikan solat lima waktu. Dan diantara jumaat hingga jumaat Tuhan hapuskan dosa kita dengan kita mengambil fadhilat solat jumaat. Dan seterusnya ramadhan hingga ramdhan dihapuskan segala dosa kita dengan kita menunaikan ibadah Puasa di Bulan Ramadhan melainkan dosa yang besar seperti berzina,mencuri,makan riba dan sebagainya perlulah kepada taubat kepada Allah swt.

Tetapi janganlah kita mengambil remeh terhadap dosa kecil walaupun kecil semakin banyak tetap akan menjadi besar, seperti bukit yang besar asalnya dari pasir-pasir yang halus. Dosa-dosa besar ialah dosa yang telah diberi amaran oleh Allah swt didalam Al-Quran dan Hadis Nabi saw.

Oleh itu Bulan Ramadhan ini adalah hadiah yang telah di berikan oleh Allah swt, yang mesti kita menerimanya. Diantaranya ialah ibadah Puasa itu sendiri, yang sangat besar pahalanya disisi Allah. Di sebut di dalam suatu hadis :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَقُوْلُ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قالَ اللهُ عَزَّوَجَلَّ كَلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِِِهِ

Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah saw bersabda :Allah Azza wa Jalla berfirman : Setiap amal anak adam diperuntuk baginya kecuali puasa, puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku akan memberinya pahala. (HR Muslim)

Inilah dia diantara kelebihan puasa yang diberi oleh Allah, berbeza dengan ibadat-ibadat yang lain digandakan hingga 700 kali ganda. Tapi puasa ini terserah kepada Tuhan berapa banyak ganjarannya.

Jika sekiranya kita berazam untuk melakukan amal ibadat, telah diberi kepada kita satu pahala dan jika sekiranya kita melakukan amal ibadat tersebut diberikan kepada kita 10 kali ganda hingga 700 ratus kali ganda. Dan barangsiapa berazam untuk melakukan perkara maksiat tidak dituliskan lagi bahkan jika kita melakukannya dituliskan satu dosa dan tidak digandakan seperti kita berbuat kebaikan kemudian diberi pula peluang untuk kita bertaubat sebelum nyawa kita diambil dan sebelum matahari terbit dari arah barat. Itulah kelebihan yang telah diberi oleh Allah kepada hamba-hambanya yang beriman.

Disebut dalam suatu hadis :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا اِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللهُ عَزَّوَجَلَّ إِلا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَاَنَا أجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ اَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ وَلَخُلُوْفُ فِيْهِ اَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيْحْ الْمِسْكِ

Daripada Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah saw bersabda : Setiap amal anak adam dilipatgandakan pahalanya. Satu macam kebaikan diberi pahala sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda. Allah Azza Wa jalla berfirman : selain puasa, kerana puasa itu untuk-Ku. Aku akan memberi pahala bagi orang yang berpuasa, kerana dia meninggalkan nafsu syahwat dan nafsu makannya kerana Ku. Dan bagi orang yang berpuasa ada dua macam kegembiraan: pertama ketika dia berbuka dan kedua ketika dia bertemu dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum disisi Allah daripada bau kasturi. (H.R Muslim)

Oleh itu janganlah kita mengsia-siakan nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita semua. Semoga kita sentiasa berada dalam rahmat Allah selalu dan terhindar dari segala perkara yang dilarang oleh Allah. Firman Allah swt :

“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Ibrahim 7)

Puasa Ramadhan juga dapat menebus dosa-dosa yang telah lama, tetapi dengan syarat puasanya betul-betul ikhlas kerana Allah ta’ala. Rasulullah saw bersabda :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إيْمَا نًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Barangsiapa berpuasa dibulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (HR Bukhari dan Muslim)

Disediakan pintu yang khusus di hari akhirat bagi orang yang berpuasa.

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِى اللهُ عَنهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ فِى الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لا يَدْخُلُ مَعَهُمْ اَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ : اَيْنَ الصَّائِمُوْنَ فَيَدْخُلُوْنَ مِنْهُ فَإِذَا دَخَلَ آخِرُهُمْ اُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُل مِنهُ اَحَدٌ

Dari Sahal bin Sa’ad r.a katanya, Rasulullah saw bersabda : Di dalam syurga ada sebuah pintu yang disebut Ar Rayyan. Orang-orang yang diperkenankan masuk ke syurga melalui pintu itu pada hari kiamat kelak hanyalah orang-orang puasa, sedangkan yang lain-lainnya tidak diperkenankan. Mereka akan dipanggil, “Hai orang yang berpuasa! Maka masuklah mereka melalui pintu itu. Setelah orang yang terakhir masuk, pintu itu segera ditutup sehingga yang lain tidapat melaluinya. (HR Muslim)

Disunatkan kepada kita untuk bersahur di bulan puasa.

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ النَّبِي صلى اللهُ عليه وسلم تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحورِ بَرَكَةً

Dari Anas r.a katanya, Nabi saw bersabda : Sahurlah kamu, kerana di dalam sahur itu terdapat berkat.(HR Bukhari)

Di sebut dalam suatu hadis yang lain bahawa Allah dan para malaikat berselawat keatas orang yang bersahur, yakni Tuhan menurunkan rahmat dan berkat ke atas mereka yang ber sahur dan para malaikat juga mendoakan ke atas mereka yang bersahur, oleh itu marilah kita mengambil fadhilat sahur ini walaupun dengan sekadar seteguk air.

Disunatkan kepada kita untuk menyegerakan berbuka apabila sudah masuk waktunya.

عَنْ سَهْلِ بنِ سَعْدٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسْولَ اللهِ صَلى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ

Dari Sahal bin Sa’ad r.a katanya, Rasulullah saw bersabda : Umatku masih dalam kebaikan selama mana ia menyegerakan berbuka.(HR Muslim)

Doa orang yang berpuasa adalah mustajab.

ثَلاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٍ دَعْوَةُ الصَّائِمِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُوْم

Ada tiga doa yang mustajab, yaitu doa orang yang sedang puasa, doa musafir dan doa orang yang dizalimi. (HR Baihaqi)

Menyibukkan diri dengan ilmu dan tilawah.

Disunatkan untuk memperbanyak mendalami ilmu serta membaca Al-Quran, shalawat pada Nabi dan zikir-zikir baik pada siang hari atau malam hari puasa, tergantung luangnya waktu untuk melakukannya. Disebut dalam suatu hadis :

كان جبريل يلقى النبي صلّى الله عليه وسلم في كل ليلة من رمضان، فيدارسه القرآن

Jibril as. mendatangi Rasulullah saw pada tiap malam bulan Ramadhan dan mengajarkannya Al-Qur’an.(HR Bukhari dan Muslim)

Beri‘tikaf.

Disunatkan untuk beri‘tikaf terutama pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Salah satunya untuk mendapatkan pahala lailatul qadar yang menurut Rasulullah saw ada pada malam-malam 10 terakhir bulan Ramadhan. Sabda Nabi saw :

عَنْ عَائِشَةَ رَضِى اللهٌ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صلى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ أَحْيَا اللَّيْلَ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ

Dari Aisyah r.a katanya, Apabila telah memasuki 10 malam terakhir bulan Ramadhan, Nabi saw menghidupkan malam, membangunkan keluarganya, beliau lebih tekun dan beliau meninggalkan isterinya (tidak berhubungan suami isteri).(HR Bukhari dan Muslim)

Selain itu perbanyakkanlah amalan-amalan sunat yang lain seperti sembahyang sunat hajat, sunat tahajud, sunat taubat, sunat tasbih dan lain-lain lagi, bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim dan melakukan amal-amal kebajikan serta berbuat baik terhadap ibu-bapa dan sebagainya.

Memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. disetiap bidang amal kebajikan yang kita laksanakan.

Demikian, inilah diantara amalan-amalan yang disunatkan kepada kita di bulan Ramadhan ini dan kelebihan yang telah diberi oleh Allah swt. Semoga panduan yang sederhana ini dapat mendorong kita untuk meraih keutamaan Ramadhan yang belum tentu di tahun depan kita masih diberi umur oleh Allah swt. Agar Ramadhan tahun ini dapat memberi hasil dan semangat kepada kita untuk terus beribadah kepada Allah ta’ala dan menjauhi dari segala perkara yang dilarang oleh Allah ta’ala. Ana mengharapkan semoga kita semua dapat mengambil peluang yang telah dihidangkan di bulan yang mulia ini dengan beribadah kepada Allah ta’ala dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan. Amin.

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! ( Az-Zalzalah 7,8)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan