Memaparkan catatan dengan label Hari Raya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hari Raya. Papar semua catatan

Jumaat, 17 Julai 2015

Aidilfitri 1436 H.

Segala puji bagi Allah. Setinggi-tinggi syukur dan keseluruhannya marilah kita lafaz dan zahirkan pada Pemilik yang memberi segala nikmat ini, dengannya dihari ini kita dapat sama-sama meraikan hari kemenangan Aidilfitri. 

Ramadhan baru sahaja berlalu. 

Ramadhan baru sahaja berlalu, mari kita muhasabah seperti para salaf terdahulu berdoa mengharap apabila berakhir ramadhan agar amalan mereka diterima Allah, agar dosa mereka diampun Allah. Dan mereka sangat bimbang takut-takut amal mereka tidak diterima dan ramadhan tidak memberi kebaikan buat mereka. Justeru itu yang pertama perlu sentiasa disedari dan dimuhasabah oleh kita semua. 

Raya dan ucapan. 

Menjadi sunnah apabila dihari raya ini kita saling mengucapkan “تقبل الله منا ومنكم Taqabbalallahu minna waminkum” (Moga Allah menerima amal kami dan kamu). Justeru ia menunjukkan betapa Aidilfitri ini sangat bermakna dirai dengan kaitan hubungannya Ramadhan yang baru sahaja berlalu. Ia dirai dengan dituntut berdoa dan mengingati moga amal kita di ramadhan semalam mudahan sama-sama diterima Allah. Keseronokan aidilfitri itu terasa dengan kemanisan mengharap amal diterima. Itulah perkara utama dan seterusnya kegembiraan lain kita raikan dengan adat dan budaya yang dianjurkan dan diharuskan Agama. 

Bermaafan dan hari untuk gembira. 

Kita bermaafan, namun usah menunggu hari raya baru perlu bermaafan sedang saling memohon maaf dan memaafi sentiasa dituntut sepanjang masa. Dan juga menghubung silaturrahim, menziarahi kubur dan pulang berjumpa ibubapa. Hari ini hari untuk gembira, raikan kegembiraan ini dengan berpakaian baru bagi yang mampu, membesarkan Allah, bersyukur dengan menzahirkan nikmat yang diberi. Gembirakan diri kita dengan anugerah aidilfitri ini. 

Dosa pergaulan, pakaian, hiburan dan fitnah wanita. 

Dalam keseronokan jangan sampai terdedah aurat, bebas bersentuhan, bebas pergaulan dan semuanya yang jelas kita ketahui haram, dan hendaklah kita sedari dan muhasabah apa sebenar arti Raya kita jika kita masih tidak berusaha merubah dalam menterjemah syukur kita kepada Allah dengan Nikmat-Nya. 

Selfie dan tabarruj. 

Zaman yang berbeza sekarang bukan lagi dengan menghantar surat dan sms, namun dengan bergambar dan hanya klik post terus ke ruangan media yang sekejap meluas, bebas dan senang. Justeru pertimbangan nasihat Agama jangan sesekali kita abaikan. Wanita seboleh-bolehnya sifarkan kerana ingin menyelamatkan fitnah dirinya dan umat ini, hatta jika nak diletakkan juga cukup gambar yang sopan bersama keluarga tanpa sebarang sedikitpun unsur tabarruj dan mengundang fitnah dengan bermacam gaya dan aurat yang tidak sempurna ditutup, atau juga dengan mengedit mengkaburkan sedikit gambar tersebut. 

Syukur dengan nikmat. 

Syukur dengan apa yang ada untuk tetap bergembira dengan Aidilfitri ini, lihat yang susah dan sakit agar lebih rasa syukur dengan nikmat ini. Syukur dengan nikmat yang dihalal kembali untuk makan dan minum dengan tidak melampaui batas menjamu selera mengikut nafsu. 

Balik kampung dan memandu. 

Dalam kepulangan kita ke kampung, pastikan kediaman tempat tinggal kita selamat dan perjalanan kita selamat dengan membaca doa yang disarankan Nabi SAW apabila keluar rumah iaitu: بسم الله توكلت على الله لا حول ولا قوة إلا بالله" “Bismillahi tawakkaltu ‘alallah la haula wala quwwata illa billahil” (Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah). 

Dan pastikan pemanduan kita patuh pada etika disiplin jalan raya kerana ia juga berkait dengan hasil taqwa ramadhan kita. Jadilah pemandu yang berakhlak dan tidak menyusahkan dan menyakiti saudara kita yang lain dan bahkan menzalimi diri kita sendiri akhirnya nanti. 

Puasa 6 dan kesan ramadhan. 

Seterusnya jangan lupa untuk merebut kelebihan seterusnya di Syawal ini dengan berpuasa enam hari bagi meraih keistimewaan siapa yang berpuasa, maka ia seperti setahun. Dan juga menyuburkan kesan berterusan tarbiyyah ramadhan dan kehidupan kita ini agar berjaya hingga sampai akhir riwayat hidup ini, inshaAllah. 

Dan mudahan ramadhan terus meninggalkan kesan kepada kita dengan segala macam kebaikan yang terisi tempoh hari dan digalakkan sewaktu di ramadhan itu. InshaAllah, sama-sama kita berusaha dan berdoa. 


Akhirnya saya Ahamd Firdaus Bin Azis mengucapkan Selamat Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat. Moga Allah menerima amalan kita semua. Moga ditetapkan hati kita atas hidayah-Nya dan diberi taufiq oleh-Nya. Selamat bergembira. Selamat meraikan hari kemenangan. 


18/7/15, Ipoh.

Ahad, 27 Julai 2014

Tazkirah Eidul Fitri 1435 H.


 

1. Alhamdulillah, hari ini kita diberi kesempatan lagi oleh Allah swt menyambut hari kemenangan selepas sebulan di medan tarbiyyah ramadhan. Tiada lain kejayaan perayaan sambutan hari ini adalah fokus yang utamanya melihat hasil tahap ketaqwaan kita kepada Allah swt yang sebenarnya. Selepas sebulan kita menahan lapar dan dahaga, selepas sebulan kita melatih diri memperbanyakkan dan meningkatkan ibadah, selepas sebulan kita cuba meninggalkan perkara yang dilarang Allah. Mudahan semua didikan tersebut berterusan menjadikan kita menjadi hamba yang semakin bertaqwa dan benar-benar bertaqwa. 


2. Hari ini kita dapat bergembira dengan membesarkan Allah atas segala nikmat-Nya. Sihat tubuh badan, dikurniakan rezeki, berpakaian baru, bermacam hidangan kembali dinikmati disiang hari, bertemu keluarga, saudara mara dan rakan, dan segala kenikmatan dan kegembiraan dianugerahkan selepas sebulan berpuasa. Namun disamping itu, jangan sesekali kita melupai penderitaan mereka yang tidak seperti kita saat ini. Sedang dalam peperangan, ditindas, dizalimi, susah, sakit dan segala ujian yang berat sedang diberikan Allah kepada mereka. Justeru tanda kesedaran kita bersama disini, berdoa dan memberikan sumbangan untuk mereka. Jangan cemarkan keindahan nikmat Eidul Fitri ini dengan dosa-dosa seperti (pembaziran, bebas pergaulan, bebas bersalaman, mendedahkan aurat, bertabarruj bagi wanita, hiburan, konsert yang menyanggahi syariat, penuh dengan alunan muzik, filem yang melalaikan dan seumpamanya lagi). 

3. Kita diberi merasai semula apa yang telah diharamkan ketika ramadhan iaitu makan minum dan kita diuji agar terus istiqomah untuk menjaga mulut dan perbuatan dosa yang telah lama diharamkan. Kita juga diuji untuk meneruskan amalan-amalan yang sangat dituntut seperti membaca al-Quran, bersedekah, solat berjemaah dan sepertinya lagi. Hal ini perlu kita sama-sama sedarinya. 

4. Pemergian ramadhan ini juga sangat ditangisi dan diinsafi oleh generasi salaf iaitu orang yang terdahulu. Maka kita patut turut sama berfikir mengingati sebagaimana mereka. Iaitu kebimbangan kerisauan adakah Allah swt menerima amal-amal kita? Mereka sangat takut andai tidak diterima. Mereka lebih mengambil berat penerimaan amal daripada amal itu sendiri. Itulah antara kesedaran yang lahir dari mereka. Kerana sesungguhya Allah swt telah berfirman; “Sesungguhnya Allah hanya akan menerima amal dari orang-orang yang bertaqwa”. (Al-Maidah 27) 

5. Antara tujuan sebenar dan utama Eidul Fitri yang perlu kita ingati juga ialah; bukan sekadar baju baru yang akan dipakaikan, bukan sekadar makanan yang lazat dinikmati semata dan bukan juga sekadar ucapan bermusim maaf-maafan yang diluahkan. Namun wujudnya tekad menjadi hamba yang bertaqwa. Yang makin bertambah dan berkualiti ilmu agamanya dan ibadahnya. Makin santun dan lembut ucapannya. Makin menjaga aurat dan lisannya. Inilah sebenar-benar maksud dari perayaan hasil matlamat taqwa yang diinginkan. Dari penekaan tentang ketaqwaan kepada Allah, maka melahirkan kearah kesempurnaan disemua aspek. 

6. Boleh kita katakan Hari Raya Eidul Fitri yang kita sambut saban tahun demi tahun ini adalah melihat proses ketaqwaan kita selepas sebulan berpuasa, setelah proses membersihkan rohani dan jasmani kita. Maka jadikan ini detik perubahan niat dan azam tahun baru kita. Mula dengan muka buku yang baru untuk membuat perubahan yang lebih besar. 

7. Mari kita mengingati Eidul Fitri yang disambut ini adalah hari kemenangan disuruh Agama. Jangan aibkan dengan dosa. Berpuasa selama sebulan dan seolah berbuka kembali dengan dosa. 

8. Tidak lupa akhirnya untuk kembali dan tingkatkan semangat ukhuwah antara kita, saling bermaafan dan berteguran kembali tidak mengira dan mengkhususkan waktu sebanarnya. Kerana Agama menuntut kita agar sentiasa dalam persaudaraan. 

Ya Allah, ampunkanlah dosaku dengan berakhirnya ramadhan ini. Jangan Engkau golongkan daku dalam mereka yang tidak diampunkan dosa hingga telah berlalu ramadhan ini. Ampunkanlah dosaku ya Allah. 



Selamat menyambut Kemenangan Hari Raya Eidul Fitri semua dari saya Ahmad Firdaus Bin Azis. Kepada semua muslimin dan muslimat dan terutama sekali buat pengunjung yang sudi membaca perkongsian di blog ini. Moga Allah menerima amalan kita semua. Maaf yang zahir, tersembunyi dan tanpa disedari. 



01 Syawal 1435 H bersamaan 28 Julai 2014 M 
Isnin, 11.30 am. Marang, Terengganu.

Rabu, 7 Ogos 2013

Tazkirah Aidilfitri 1434 H.



1. Alhamdulillah, perasaan syukur terima kasih yang tak terkira kepada Allah atas nikmat-nikmat-Nya yang begitu banyak ini. Sihat, cukup rezeki, gembira, selamat, dan berbagai-bagai lagi tak ternilai nak digambarkan. Kesempatan waktu ini, ingin saya mengucapkan Selamat Menyambut Kegembiraan Hari Raya Aidilfitri 1434 Hijrah ini kepada semua muslimin dan muslimat sekalian, terutama sekali buat pengunjung yang sudi datang membaca perkongsian di blog ini.

2. Kegembiraan yang kita rasai hari ini, janganlah sesekali kita melupakan tentang nasib saudara seagama kita yang susah, sedih, sakit, dan ditimpa berbagai ujian dari Allah. Tanda benarnya rasa sensitif kita ini ialah kita berusaha mengelakkan diri dari melakukan dosa pembaziran, memberi sumbangan, jangan sampai kegembiraan kita menyebabkan terabai ketetapan Agama, benarkan Islam pada diri kita, dan paling penting sentiasa bersungguh saling mendoakan mereka.  

3. Hari ini hari raya. Suatu hari yang dianugerahkan dan dihadiahkan Allah buat kita semua untuk bergembira. Kegembiraan raya ini kerana meraikan kejayaan didikan Ramadhan. Marilah sama-sama kita membesarkan Allah atas kemenangan dan kejayaan ini. Ini nikmat yang besar dari Allah kepada kita semua.

4. Marilah juga tidak mengira masa untuk saling sentiasa merapatkan ukhuwah dan menghulurkan tangan kemaafan sesama kita semua. Saling mengdoakan.

5. Berhati-hati dalam meraikan kegembiraan ini. Saling bertolong sesama keluarga, jika tidak anak, siapa lagi yang patut untuk menolong dan mengurangkan beban ibubapa kita sendiri. Tidak kira lelaki atau perempuan.

6. Ramadhan telah pergi meninggalkan kita. Bertuah bagi yang dapat hasil tujuannya. Moga Allah ampuni dosa-dosa kita yang zahir dan batin. Moga kita semua dapat hasil taqwa yang diinginkan. Moga tahap taqwa kita ada peningkatan. Moga raya ini membawa perubahan atau detik perubahan yang baru kepada kita semua kearah menjadi hamba yang semakin mendekatkan diri kepada Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa memberi peluang kepada kita semua.


7. Dan akhir sekali, janganlah sampai kegembiraan ini menyebabkan kita lupa dan melupakan batas-batas Agama ketika berhari raya. Pergaulan, perhiasan, pakaian, dan seumpamanya lagi. Dari Allah kita datang dan kepada Allah pasti dikembali. Tiap ketetapan Allah, pasti untuk kebaikan hambanya. 


Selamat Hari Raya Aidilfitri

Maaf Zahir Batin


ْتَقَبَّلَ الله مِنَّا وَمِنْكُم


Moga Allah menerima amalan kita semua, Aamiin.

Mohon maaf atas kesilapan dan teguran diblog ini, harap dimaafkan dan perbetulkan mana yang silap.


01 Syawal 1434 H bersamaan 08 Ogos 2013 M 
Khamis, 01.40 am. Terengganu, Malaysia.

Khamis, 25 Oktober 2012

Korban kerana ia diperintah Allah.

1. Alhamdulillah, hari ini kita masih diberi kesempatan meraikan Hari Raya (Eidul Adha). Bila kita menyambut perayaan ini. Ia sudah pasti mengingatkan kita tentang kisah pengorbanan yang begitu berat yang telah disanggupkan oleh Nabi Allah Ibrahim as, anaknya Nabi Ismail dan isterinya Siti Hajar. Jika benar-benar dihayati kisah ini, sungguh terasa semangat keimanan yang baru dalam menghadapi ujian dunia dan dalam hal pergantungan dan keyakinan kepada Allah untuk mencari redha Allah. Mereka semua sangat-sangat patuh kepada ketetapan Allah.



2. Nabi Ibrahim as. Diperintahkan supaya meninggalkan anak dan isterinya yang tercinta berduaan di Mekah, tempat yang kering kontang dan panas terik. Dengan anak yang masih kecil menyusu dan tiada teman dan saudara mara disana. Tapi kerana itu adalah perintah dari Allah, hatta hingga diikut dan ditanya Siti Hajar sebanyak tiga kali: "Kamu hendak pergi kemana?". Namun tidak diendah oleh Nabi Ibrahim, lalu sampailah ditanya Siti Hajar: "Adakah ini adalah perintah dari Allah?". Demikian Nabi Ibrahim menjawab, ya. Sungguh, betapa hebatnya pengorbanan dan pergantungan ini. 

3. Siti Hajar. Bila Nabi Ibrahim hendak meninggalkannya, Siti Hajar tidak berkata apa-apa melainkan hingga hanya bertanya: "Adakah ini adalah perintah dari Allah?". Adakah Allah yang suruh tinggal kami dalam keadaan sebegini? Lalu bilamana dijawab ya oleh Nabi Ibrahim, Siti Hajar pun berkata: "Pergilah, jika begitu, Allah tidak akan persiakan kehidupan kami disini". Hanya berserah kepada Allah. Sejurus selepas itu, Hajar pulang kepada anaknya dengan menjamu sedikit bekalan makanan yang ditinggal Nabi Ibrahim, lalu bila telah terputus kehabisan bekalan, Hajar pergi mencarinya dengan naik ke bukit safar dan marwah berulang alik. Selapas tiada apa yang boleh membantu, Hajar berserah memohon kepada Allah atas segalanya. Demikian diriwayatkan datang Malaikat menghentakkan kaki ditelaga zam-zam dan menyebabkan terpancut banyak air keluar. Begitulah betapa hebatnya hasil dari pengorbanan, pergantungan dan keyakinan ini. Dan pengorbanan yang telah ditunjukkan Siti Hajar  

4. Nabi Ismail as. Setelah selepas pulang dari beberapa waktu yang lama, Nabi Ibrahim melihat anaknya sudahpun besar, dan Nabi Ibrahim berkata kepada anaknya: "Aku melihat dalam mimpi, aku menyembelih kamu". "Cuba bagi respon tentang hal ini". Lalu jawab Nabi Ismail, "Tunaikan apa yang diperintahkan kepadamu wahai ayahku, ayah akan dapati saya seorang yang sabar dalam menanggung penderitaan ini". (Nabi Ismail telah mengenali ayahnya adalah seorang Nabi). Terus Nabi Ibrahim berjalan ingin menunaikan hasyrat itu, dan syaitan mengganggu agar tidak melakukan hal tersebut. Bilamana telah sampai juga Nabi Ibrahim ke tempat untuk disembelih. Anaknya tertidur menunggu masanya dan tepat sampai waktunya. Allah swt menyatakan: "Ya Ibrahim, memang mimpi kamu itu benar, demikianlah kami balas orang yang berbuat baik, dan ini adalah bala yang cukup besar (kerana mana mungkin boleh nak disembelih anak sendiri)". Kemudian Allah menggantikan anaknya dengan seekor kambing, lalu disembelih kambing itu. Demikianlah betapa hebatnya pengorbanan, pergantungan dan keyakinan ini. Ada hikmah yang besar dari tiap pengorbanan. Melihat tahap kesanggupan dan keyakinan hambanya. 

5. Dari kisah ini, marilah kita sama-sama menilai tahap diri kita pula. Kita sebenarnya telah dan akan sanggup berkorban atau kita telah terkorban dengan kelekaan dunia. Kita bicara tentang apa dan siapapun yang telah berkorban, adalah untuk mejadikan diri kita yang turut sama sanggup berkorban. Mengorbankan segala kehendak hasutan syaitan dalam diri kita. Memanfaatkan masa muda, sihat, lapang, senang dan hidup ini untuk menyahut perintah Allah. Adakah kita telah sanggup korbankan hal dunia untuk solat berjemaah dimasjid, memelihara aurat, menjaga dari berbagai jenis hiburan memanjang dan melalaikan, mengorbankan harta, tenaga dan diri untuk Agama. Korban segala nikmat dosa kerana ia perintah Allah. Korban segala keletihan dan kesukaran kerana ia perintah Allah. Kita berusaha dan mohon kesabaran untuk dapat menikmati balasan syurga kelak.



6. Akhirnya, mudahan dari kisah diatas dapat terus menguatkan lagi keimanan kita semua dalam mengorbankan berbagai-bagai keinginan nafsu kearah maksiat kepada taat akan segala suruhan Allah dan Rasul kita. 


“Selamat menyambut Hari Raya (Eidul Adha) dari saya Ahmad Firdaus bin Azis. Buat seluruh muslimin dan muslimat dan khas kepada pengunjung Blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat. Marilah sama-sama terus berjuang dan berqorban dengan apa yang sebenarnya kita mampu untuk melakukannya. Tidak berputus asa dengan rahmat dan pertolongan Allah yang pasti akan hadir itu. AllahuAkbar, AllahuAkbar, AllahuAkbar” 


“Firman Allah swtBarangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. (Ath-Thalaaq 2,3) 

- Kisah diatas diedit dari Khutbah Jumaat oleh Dr Abdul Basit Abdul Rahman. 
- Kisah-kisah diatas adalah yang telah diceritakan oleh Al-Quran dan Hadis. 


09 Zulhijjah 1433 H bersamaan 25 Oktober 2012 M 
Khamis, 12.00 am. Sana’a, Yaman.

Sabtu, 18 Ogos 2012

Bergembira dan Bersyukur dengan Hari Raya.


1. Alhamdulillah, pujian takbir mengagungkan Allah terus kita panjatkan. Allahuakabar, nikmat yang amat besar kita semuda sedang rasai. Ramadhan telahpun pergi meninggalkan kita. Segala perjalanan mengikuti perintah Allah ini. Kita lihat betapa cukup indah, cantik dan moleknya aturan agama Islam dari Allah ini. “Firman Allah swt: Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (Ramadhan) dan hendaklah kamu (bertakbir) mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. (Al-Baqarah 185)” 

2. Hari ini kita disuruh bergembira. Ini perayaan kita sebagai seorang Muslim. Disamping itu juga, jangan sampai terabai ketetapan agama. Railah kegembiraan, jangan sampai terabai perintah Tuhan. 

3. Marilah buktikan kesyukuran kita kepada Allah. Alangkah besarnya nilai nikmat sihat dan rezeki dari Allah ini. Betapa ramai yang lain sedang sakit dan tiada kemampuan meraikan Aidilfitri ini seperti kita. Walau harta banyak, tapi sakit. Fikir saudara-saudara kita di negara lain yang masih serba kekurangan. 

4. Membuktikannya, ialah dengan kita terus berusaha menjaga perintah Allah. Jangan ingat bila raya, maka ia adalah hari bebas bergembira sewenangnya. Dosa seolah hendak diganti semula. Jauhlah dari niat keji ini. Ramai juga yang meremehkan hal dosa ini, ia rela dibiarkan kerana anggap ini hari bergembira. “Iaitu bebas bersentuhan, bersalaman dengan bukan mahram (ajnabi: yang halal dinikahi), pergaulan, berjalan kesana kemari antara mereka. Berpakaian dan berhias sebebasnya. Sibuk sampai abai solat dan dipenuhi sepanjangnya dengan hiburan yang melalaikan”. Demikian juga yang tidak saling untuk bermaafan, saling menziarahi, merapatkan ukhuwah dan hubungan sesama keluarga, saudara-mara dan semua yang lain. 

5. Besarnya Rahmat Allah. Walau ramadhan kita banyak kecacatan. Kita masih juga terus buat dosa, namun kita masih diberi tempoh hingga hari ini untuk meraikan Aidilfitri. Malanglah bagi siapa yang tiada rasa malu dan bersalah kepada Allah. Rasa tetap dengan egonya, terus berhasrat untuk dosa dan tidak mahu mendekatkan diri kepada Allah. Kita masih diberi nikmat kegembiraan ini dan peluang untuk bertaubat. 

6. Seterusnya, marilah kita bersegara untuk qadha puasa yang tinggal dan dituruti dengan berpuasa enam syawal sepertimana dinyatakan dalam hadis yang ganjarannya seperti puasa setahun. “Sabda Nabi saw: Barangsiapa berpuasa Ramadhan, kemudian diikuti dengan berpuasa enam hari pada bulan syawal, maka ia seperti berpuasa setahun. (Hr Muslim)”

7. Sentiasa berhati-hati dengan banyakkan mohon doa kepada Allah agar selamat perjalanan hari raya kita. 

8. Akhirnya, moga Aidilfitiri tahun ini akan menjadi detik permulaan bagi kita untuk berubah menjadi manusia yang bertaqwa. Hasil dari kem didikan ramadhan. Dan lebih dekat dalam mengenal Allah. Sama-sama terus berusaha. 

“Selamat Berhari Raya buat semua pengunjung Blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat. Maaf zahir batin. Kita semua dituntut agar sentiasa saling bermaafan dan mendoakan”



29 Ramadhan 1433 H bersamaan 18 Ogos 2012 M 
Sabtu, 10.30 am. Sana’a, Yaman.

Sabtu, 26 Jun 2010

Hari Raya Aidilfitri ( عيد الفطر )

Hari Raya Aidilfitri ( di dalam bahasa Arab : عيد الفطر 'Ayd al-Fitr "perayaan fitrah" ) disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam.

Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah swt atas nikmatnya yang tidak terhingga sehingga kita dapat menyelesaikan Ibadah Puasa dan seterusnya Menyambut Hari Raya Idul Fitri dengan penuh kenikmatan dan rasa syukur kepada Nya.

Mudah-mudahan puasa kita dan segala amal ibadat semuanya diterima oleh Allah swt dengan sempurna dengan mendapat fadhilat ramadhan dan diampuni segala dosa-dosa yang telah dilakukan.

Kita mengharapkan semoga hikmah puasa tersebut memberi kesan dan mendidik menjadi hamba yang bertaqwa seperti mana yang dinyatakan dalam Firman Allah swt :

يآ أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. (Al- Baqarah 183)

Diantara ciri-ciri orang yang bertaqwa itu ialah menjadikan Al-quran sebagai petunjuk dalam seluruh dasar dan cara hidup. Taqwa dengan maksud mentaati segala suruhan yang telah ditetapkan oleh Allah swt dan meninggalkan segala larangan-laranganNya. Dan beramal dengan apa yang telah ditetapkanNya, bukan mengambil hukum yang selain daripada Al-quran.

Firman Allah swt :

صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنْ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat". (Al- Baqarah 138)

Berkata ibnu Qayyim :

وأما التقوى فحقيقتها العمل بطاعة الله إيماناً واحتسابا ، أمراً ونهياً ، فيفعل ما أمر الله به إيماناً بالأمر وتصديقاً بوعده ، ويترك ما نهى الله عنه إيماناً بالنهى وخوفا من وعيده

Taqwa pada hakikatnya ialah mentaati perintah Allah swt dengan penuh keimanan, keikhlasan dan pengharapan akan segala suruhan dan laranganNya. Melakukan apa yang telah ditetapkan itu dengan penuh keimanan dan meyakini akan janji-janji Allah kepada hamba-hambanya, tanpa merasa ragu-ragu akan suruhanNya. Dan meninggalkan apa yang dilarang itu dengan penuh kepercayaan dan merasa bimbang akan balasan Allah swt.

Aidilfitri apabila diterjemahkan membawa maksud (kembali kepada fitrah) menunjukkan perayaan yang kita sambut ini memberi makna yang luas ertinya. Selepas kita membersihkan diri di bulan Ramadhan dengan pelbagai ibadat, membaca al-Quran, sedekah, qiamullail dan sebagainya. Maka apabila berakhirnya Ramadhan umat Islam akan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri, dengan maksud kembali kepada asal fitrah dijadikan manusia, sebagaimana bayi yang baru di lahirkan dalam keadaan fitrah, suci dari segala perkara-perkara maksiat.

Aidilfitri ini adalah suatu anugerah dari Allah swt kepada orang-orang yang beriman, selepas sebulan kita mengerjakan ibadah Puasa, dengan pelbagai ujian yang ditempuhi. Maka tibalah masa untuk kita meraikan hari kemengan ini. Justeru itu bagi mereka yang masih dalam keadaan berpaling dari ajaran Allah swt, tidak menghiraukan akan hukum Allah swt, seolah-olah tidak ada erti perayaan buat mereka.

Oleh itu, marilah kita menilai diri masing-masing, adakah selepas sebulan berpuasa menjadikan kita hamba yang betul-betul bertaqwa dan menambahkan lagi keimanan, kesedaran kita kepada Allah swt !! Atau kita masih melakukan maksiat, berjudi, meminum arak, memakan riba, membuka aurat dan melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah swt.

Jika kita masih berada dalam keadaan yang sama, menunjukkan puasa kita masih tidak mencapai tujuan dan hikmahnya. Masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki, yang penting istiqamah dalam setiap amalan kita, selalu memohon ampun pada Nya. Insya' Allah mudah-mudahan membawa kejayaan dunia akhirat.

Akhirnya, marilah sama-sama kita meraikan hari Kemengan ini dengan penuh kegembiraan, rasa syukur kepada Allah swt, atas nikmat yang telah dikurniakan, nikmat kesihatan, rezeki yang melimpah dan banyak lagi, jikalau kita menghitungnya tidak dapat di bandingkan. Firman Allah swt :

وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لاَ تُحْصُوهَا

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. (Ibrahim 34)

Disamping itu, tidak lupa untuk kita bermaaf-maafan diantara satu sama lain, bermula dari keluarga, saudara-mara, teman-teman dan sekalian kaum muslimin. Saling menziarahi, memberi hadiah dan sebagainya. Sabda Nabi saw :

تهادوا تحابوا

Saling memberi hadiahlah nescaya akan terbit kasih sayang. (HR Bukhari)

Jika terdapat perselisihan dan pertelingkahan, saling bermaafanlah, dan untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah. Firman Allah swt :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Al-Hujuraat 10)

Pada hari ini juga hendaklah kita ingat betapa besarnya nikmat persaudaraan Islam yang dianjurkan di dalam Islam. Tanda iman seseorang itu ialah dia kasih kepada saudara seagamanya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri. Sabda Rasululullah saw :

لا يُؤْمِنُ أحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأخِيْهِ مَا يُحِبُّ لنَفْسِه

Tidak (sempurna) iman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih pada dirinya sendiri.

Selamat Hari Raya Aidilfitri ( kullu am waantum bikhair )