Memaparkan catatan dengan label Solat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Solat. Papar semua catatan

Jumaat, 14 Disember 2012

Jangan berlari untuk sempat dengan Imam.


Sungguh begitu telitinya Agama Islam, satu-persatu telah dijelaskan dengan lengkap. Dulu aku selalu juga gaduh berlari dan berkejaran agar sempat bersama dengan iman, supaya lepas rakaat-rakaat dari diganti. Namun sebenarnya perbuatan itu adalah ditegah Nabi saw. Demikianlah jelas dari hadis Nabi saw ini.

 إِنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ, قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, يَقُولُ: إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلاةُ فَلا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ، وَائْتُوهَا تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا   

Abu Hurairah ra berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Apabila solat telah didirikan, janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan tergesa-gesa. Datanglah kepadanya dengan berjalan. Hendaklah kamu berjalan dengan tenang. Apa-apa (gerakan solat) yang kamu dapat, lakukanlah ia. Apa yang tertinggal sempurnakanlah ia. (Hr al-Bukhari) 

Sesungguhnya Nabi saw sudah menjelaskan dengan terperinci apa yang berkait dengan ibadat-ibadat ini. Tak perlulah kita sibuk dan rajin menambah-nambahnya. Tak perlu diandai-andaikannya. Segalanya sudah memadai yang Nabi saw amal, ajar dan tunjuk kepada kita semua. 


01 Safar 1434 H bersamaan 15 Disember 2012 M 
Sabtu, 12.30 am. Terengganu, Malaysia.

Selasa, 27 November 2012

Anakku, jagalah Solatmu.


1Wahai anakku, Janganlah engkau gopoh gapah semasa mendirikan solat, kerana dihadapanmu adalah Tuhanmu, bukan kawanmu. Engkau sedang berbicara dengan Allah Yang Maha Agung, tentulah tidak layak engkau bersikap demikian. 

2. Wahai anakku, Jangan engkau hanya fikir untuk selesai solahmu, tanpa engkau memikirkan Tuhanmu menerima atau menolak solah itu. Jangan sesekali engkau hanya mengira soal sah dan batal, tanpa engkau mengira soal ianya diterima atau ditolak. 

3. Wahai anakku, Kalau engkau kasih dan cinta kepada Tuhanmu, tentulah engkau akan lama bersamanya dalam solah, doa, munajat dan zikirmu. Kalau engkau merasai tiada manusia sanggup gopoh gapah dihadapan seorang raja, kerana menghormatinya atau memuliakannya; betapa pula engkau bilamana berhadapan dengan Tuhanmu. 

4. Wahai anakku, Ketahuilah bahawa solah adalah amalan pertama dihitung di akhirat. Apakah perasaanmu kalau engkau melihat solahmu yang tidak memelihara tertib dan adabnya, tentulah engkau akan merasa malu dan aib dihadapanNya. Engkau sendiri pun akan mencemuh amalan sambil lewamu. Kerana itu bezakanlah ketika mana kamu berdiri dihadapan manusia dengan saat kamu berdiri dihadapan Tuhanmu. 

5. Wahai anakku, Lakukanlah dengan sebaiknya, kerana solah mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ia adalah perisai. Ia adalah tunjang kekuatan. Lakukan dengan tenang, nescaya kamu akan merasai kemanisan ibadahmu. 

6. Wahai anakku, Saat paling hampir manusia dengan Tuhannya ialah waktu sujud. Maka ambil kesempatan untuk memohon apa yang kamu inginkan. Lamakan sedikit saat sujudmu, engkau akan merasai kemanisannya. 

7. Wahai anankku, Disaat engkau sujud iblis menangis dan akan lari darimu. iblis engan sujud menyebabkan ia jadi kafir dan durhaka kepada Tuhannya. Kerana itu wahai anakku. Sempurnakan sujudmu dan sedari bahawa kamu sedang sujud kepada Allah yang Maha Agong. Pohonlah keampunan dan kasihsayang Allah di saat itu, nescaya Allah akan memeliharamu diwaktu tiada manusia mampu memeliharamu. Kamu tidak akan berdukacita, di saat mana manusia yang durhaka berdukacita. Semoga Allah menerima amalan kita, kerana ia tanda ketaatan kita kepadaNya. 

Ya Allah, terimalah amalan yang sedikit ini, dan terimalah amalan yang tidak sempurna ini, dan ampuni kami atas kecuaian kami selama ini. Amin. 

Senyum selalu...

- Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.


14 Muharram 1434 H bersamaan 28 November 2012 M 
Rabu, 02.30 pm. Terengganu, Malaysia.

Selasa, 30 Oktober 2012

Solat dilalai, makna kita Lalai.

1. Nak tahu bagaimana hubungan kita dengan Allah. Seorang hamba Allah yang jaga atau tidak perintah Allah. Sedang lalai atau tidak. Lihat bagaimana dengan solat kita (jaga awal waktu, berjemaah dimasjid, tidak yang suka tangguh, lewatkan, abai dan sudah biasa ganti, remehkannnya). Solat, hubungan penting yang khusus tiap dari hamba dengan Tuhannya. Hubungan makhluk dengan Penciptanya. Yang telah Menghidupkan kita. Betapa beratnya hukuman manusia yang abai solat. Sombongnya manusia yang tidak solat. Kerana menunjukkan dirinya tiada ikatan dengan Penciptanya sendiri. 

2. Namun andai masih terus-menerus juga buat maksiat, walau solat dijaga. Tanda solat belum difahami dari perlaksanaannya. Tidak ditunai seikhlasnya. Perubahan-perubahan diluar akan ada kaitannya dengan solat. Tidakkah kita merasa kita hamba yang munafik dengan makhluk dan dihadapan Allah. Kita sebernarnya telah tertipu dengan permainan nafsu diri kita sendiri. Kita merasa sendiri segalanya. Rahmat, redha dan murka dari Allah. Namun Allah masih sentiasa memberi peluang kepada kita untuk berubah. Marilah sama-sama berusaha cari redha Allah. 


Firman Allah swt: Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka (mereka tertipu dengan diri sendiri). Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. (An-Nisaa' 142)



3. Marilah kita segera terus berusaha jauhi dosa dan jaga secermatnya solat kita. Melawan segala kemungkaran dengan amal-amal soleh, insyaAllah kebaikan yang banyak bila selalu dikerjakan dan disungguhkan akan lahir keikhlasan dan dari ikhlas itu akan dapat mampu menenggelamkan kemungkaran dan membendung penyakit munafik. Apapun hal, mulakanlah dengan menekankan dari solat seseorang itu. Biarkanlah solatnya terus juga dilaksana. Jagalah Solat, jangan putuskan hubungan kita dengan Tuhan kita. 


Firman Allah swt: Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka) adalah saudara-saudaramu seagama. (At-Taubah 11)

Sabda Nabi saw: Kepala segala perkara adalah Islam dan tiangnya adalah Solat. (Sunan at-Tirmidzi no. 2559. Imam at-Tirmidzi berkata: Hadis Hasan Sahih) 

 Ada kata Hikmah: “Apabila kamu merasa hidup kamu tidak baik, maka ketahuilah sesungguhnya kerana solat kamu masih belum baik”. 

4. Bila kita telah cuaikan solat, maka hal buruk lain tak dapat nak disembuhkan. Penyakit dosa lain akan masuk. Pintu-pintu kebaikan akan tertutup dan terhalang. Semua akan jadi celaru. Kerana kita telah memutuskan hubungan awal dan asas segalanya. Betulkan solat, maka akan dapat dan mudah bentuk yang lainnya. Jiwa manusia tak dapat nak dibersihkan dan diperbaiki tanpa solat. 


“Jangan kita tertipu dengan permainan syaitan. Andai segala nikmat anugerah dunia yang dirasakan digambarkan sebagai tanda redha Allah, maka sudah tentu Iblis juga adalah mahkluk yang diredhai Allah. Marilah kita tidak ukurnya dengan selera dan keinginan nafsu kita. Marilah kita jaga dengan fahami dan hayati solat kita”

 “Jiwa manusia tak dapat nak dibersihkan tanpa solat, bila solat masih dicuaikan. Tiada kefahaman dan penghayatan sebaiknya pada solat”



5. Solat bilamana telah difahami jelas dan telah dilaksana dari segi rukun, tujuan dan hikmahnya. Memahami maksud-maksud bacaannya. Memang benar ia akan melahirkan ketenangan dan keceriaan dari masalah-masalah. Demikian Nabi saw apabila ada perkara yang merungsingkan, Nabi saw bersabda kepada Bilal: “Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat”. (Hr Ahmad). “Bangun ya Bilal, rehatkan kami dengan solat”. (Sahih, Sahih Abu Daud 4172). (Bilal adalah seorang yang selalu mengazankan bila Nabi saw solat dizaman Nabi masih hidup). 

6. Maksud rehat disini adalah rehat hati dan rohani itu. Demikian manusia bila sakit dan resah dari hatinya, maka kesan kepada jasadnya. Mungkin boleh baca artikel ini. Nabi saw dimasa dalam peperangan juga, amat menitikberatkan solat. Dalam ayat yang lain juga disebut: “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu”. (Al-Baqarah 45). Dan dalam tiap kali bacaan Al-Fatihah kita akan menyebut: “Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan”. (Al-Faatihah 5). Semuanya ada kaitan. 


“Dulu aku memang juga rasa pelik dan tak faham dengan hadis ini. Bagaimana dengan dari rasa malasnya, boleh jadi hal yang merehatkan. Namun bila telah difahami dan cuba dilaksana dengan apa yang dituntut sebenarnya, barulah hadir rasa nikmat ketenangan itu. Allahuakbar”

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ 

Wahai Tuhanku! jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Ibrahim 40) 


14 Zulhijjah 1433 H bersamaan 30 Oktober 2012 M 
Selasa, 09.00 pm. Sana’a, Yaman.

Isnin, 26 Julai 2010

Pentingnya Solat.

Firman Allah swt: Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga firdaus; mereka kekal di dalamnya. (Al-Mu'minun 9,10,11) 

1. Solat itu tiang Agama. Penghulu segala amal yang lain. Syarat sah untuk diterima yang lain. Yang pertama akan dihisab. Tidak ada alasan bagi sesiapapun untuk meninggalkannya. Jika sakit tak mampu menunaikan dengan berdiri, boleh ditunaikan dengan duduk. Tak dapat duduk boleh secara berbaring. Tak dapat juga dengan berbaring boleh dengan isyarat. Tak ada air boleh tayammum. Terlupa habis waktu, wajib ganti. Jika musafir, boleh dijama’ (dihimpunkan). Pendek kata ibadah solat mestilah ditunaikan dalam keadaan apapun juga dan dimanapun kita berada.


2. Sesungguhnya perbuatan meninggalkan solat ini merupakan kes jenayah yang paling berat, kerana ia tonggak segala urusan agama ini. Kerana ia hubungan dari seorang hamba dengan Tuan Penciptanya. Baik buruknya perlakuan seseorang itu sangat dipengaruhi oleh solatnya. Jika ibadah solatnya baik, dilakukan dengan penuh kesempurnaan yang merangkumi aspek rukun, syarat, kefahaman dan lalu penuh khusyuk ia akan dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji. Hal ini menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam tiap individu. Firman Allah swt: 

Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya). (Al-'Ankabuut 45) 

 Sabda Nabi saw: Tonggak urusan (agama) adalah Islam, dan tiang utamanya adalah solat. (Sunan at-Tirmidzi no. 2559. Imam at-Tirmidzi berkata: Hadis Hasan Sahih) 

3. Solat adalah ibadat yang sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw lagi. Dalam Al-Quran diceritakan yang Nabi Ibrahim as berdoa kepada Allah untuk dirinya dan zuriatnya agar mendirikan solat sebagaimana Firman Allah swt: 

Wahai Tuhanku! jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Ibrahim 40) 

Begitu juga Nabi Ismail as: 

Dan ia menyuruh ahlinya untuk bersolat dan menunaikan zakat. (Maryam 55)  

Firman Allah swt sewaktu berkata-kata dengan Nabi Musa as: 

Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Aku. Maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat-Ku. (Thaahaa 14) 

Allah swt berpesan kepada Nabi Isa as: 

Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup. (Maryam 31)


4. Demikianlah perintah solat merupakan suatu perkara yang telah diwajibkan telah berkurun lamanya. Merupakan syiar seorang hamba yang patuh dan tanggungjawab penting yang telah diwajibkan juga kepada seorang Rasul pilihan Allah. Hinggalah kepada kita sampai hari ini. 

Sabda Nabi saw: Ajarkanlah anak kamu supaya menunaikan solat apabila sudah sampai umurnya tujuh tahun, dan pukullah jika sudah memasuki 10 tahun. (Hr Abu Daud dan at-Tirmidzi. Imam at-Tirmidzi berkata: Hadis Hasan). Disuruh dalam hadis ini ialah kepada walinya. 

Daripada Imran bin al-Hushain ra, katanya: Aku ada penyakit bawasir, maka aku bertanya Nabi saw tentang bagaimana dengan solat. Lalu Nabi saw bersabda: Solatlah berdiri, jika tak mampu dalam keadaan duduk, jika tak mampu dalam keadaan berbaring. (Hr Bukhari) 

 Yang pertama dihisab dari hamba dihari kiamat dari amalnya ialah solat. Jika baik, maka dia telah berjaya, lulus. Dan jika rosak, maka dia telah gagal, rugi. Jika ada sesuatu yang kurang dari solatnya, lihatlah adakah ada padanya amal sunat, maka disempurnakan apa yang kurang dari solat tadi. (Hr at-Tirmidzi, Hasan)

(Pembatas) di antara seorang muslim dan syirik dan kafir adalah meninggalkan solat. (Hr Muslim) 

5. Sama-sama kita melaksanakannya dengan penuh kesempurnaan, ingatkan diri, keluarga, sanak saudara, teman-teman akan betapa pentingnya solat. Sentiasa berdoa memohon hidayah dan rahmat-Nya. Sama-sama kita pelihara sebaiknya solat kita, hanya 5 kali sehari. Masukkan dan jadikan dalam rutin kerja yang memang wajib bagi diri kita. Ada waktu yang khusus untuk solat dengan sempurna. Usaha jangan biar jadi hal yang membebankan. Firman Allah swt: Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka. (At-Tahrim 6). Inilah kejayaan yang kita inginkan, dunia dan akhirat yang berkekalan kelak. 

Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. (Taha 132) 

6. Dalam keadaan macam mana sekalipun, peliharalah sungguh-sungguh hal solat ini. Saat terlalu lemah dan malas sangatpun, tak mampu yang lain, jangan dibiar terabai solat kita. Jika solat sudah awal lagi tak ditunai, memang tiada guna hidup kita. Kita rasa malas dan berat kerana belum memahaminya dan dosa yang banyak masih diselangi dan dibiasai. Kita tak ingin bersedia untuk menjadi hamba yang taat. Berada dalam rahmat dan redha Allah. Janganlah diremehkan dan masih dianggap biasa dalam sering menangguh dan tidak bersedia itu. 



“Marilah sama-sama awasi selalu bagaimanana dengan solat kita. Ini pengikat hubungan kita dengan Allah, yang menhidupkan kita” 



- Antara rujukan tambahan: Rukun Islam, Jabatan Kajian Ilmiah Universiti Islam Madinah. Diterjemah oleh Dr Abdul Basit Abdul Rahman. 


14 Sya'ban 1431 H bersamaan 26 Julai 2010 M 
Isnin, 11.35 am. Sana’a, Yaman. 

Edit semula: 
15 Zulhijjah 1433 H bersamaan 31 Oktober 2012 M 
Rabu, 09.00 am. Sana’a, Yaman.

Sabtu, 26 Jun 2010

Diantara larangan Ketika Solat

Sabda Nabi saw :

وقال النبي صلى الله عليه وسلم : نهى عن ثلاث - عن نقرة كنقرة الديك ، وإقعاء كإقعاء الكلب ، والتفات كالتفات الثعلب

Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam melarang 3 perkara dalam Solat. Yaitu solat dengan cepat seperti ayam yang mematuk, duduk diatas tumit seperti duduknya anjing, dan menolah-noleh seperti musang. (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Ya’la - Shahih Targhib - (556)

Sabda Nabi saw :

وقال النبي صلى الله عليه وسلم : صل صلاة مودع كأنك تراه ، فإن كنت لا تراه فإنه يراك

Solatlah seperti halnya solat orang yang akan meninggal, yaitu seakan-akan engkau melihat Allah. Jika engkau tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihatmu.” (Hadis Riwayat Thabrani, Ibnu Majah & Ahmad)

Memakai pakaian yang Bergambar

Sabda Nabi saw :

وقد صلى الله عليه وسلم في خميصة لها أعلام ، فنظر إلى أعلامها نظرة ، فلما انصرف قال : ( إذهبوا بخميصتي هذه إلى أبي جهم وائتوني بأنبجانية أبي جهم ، فإنها ألهتني آنفا عن صلاتي ( وفي رواية : فإني نظرت إلى علمها فى الصلاة فكاد يفتنني

Beliau telah solat dengan baju yang terbuat dari wol yang bergambar, lalu Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam melihat sepintas gambar-gambar itu. Sesudah solat Beliau Shallallahu Alaihi wa Sallam bersabda ”Bawalah bajuku ini kepada Abu Jahm dan bawalah kepadaku kain yang tebal (tiada gambar) . Karena bajuku ini telah mengalihkan perhatian sholatku tadi. (dalam riwayat lain dikatakan: "Sesungguhnnya aku telah melihat gambarnya saat sholat dan hampir saja aku tergoda).” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Malik)

كان لعائشة ثوب فيه تصاوير ممدود إلى سهوة ، فكان النبي صلى الله عليه وسلم يصلي إليه فقال : ( أخريه عني ، فإنه لا تزال تصاويره تعرض لي في صلاتي

Aisyah mempunyai kain bergambar untuk tirai, Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam solat menghadapnya. Lalu Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam bersabda ”Jauhkanlah kain itu, sesungguhnya gambarnya mengganggu solatku.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Tidak Thuma'ninah dalam Solat

Di antara kejahatan pencurian terbesar adalah pencurian dalam shalat. Rasulullah saw bersabda :

أسوأ الناس سرقة الذي يسرق من صلاته , قالوا : يا رسول الله , وكيف يسرق من صلاته ؟ , قال : لا يتم ركوعها ولا يسجدوها

Sejahat-jahat pencuri adalah orang yang mencuri dari shalatnya, "Mereka bertanya : " Bagaimana ia mencuri dari shalatnya? " Beliau menjawab : (Ia) tidak menyempurnakan ruku' dan sujudnya (HR Ahmad).

Thuma'ninah adalah diam beberapa saat setelah tenangnya anggota-anggota badan, para ulama' memberi batasan minima dengan lama waktu yang diperlukan ketika membaca tasbih.

Meninggalkan thuma'ninah, tidak meluruskan dan mendiamkan punggung sesaat ketika ruku' dan sujud, tidak tegak ketika bangkit dari ruku' serta ketika duduk antara dua sujud, semuanya merupakan kebiasaan yang sering dilakukan oleh sebahagian besar kaum muslimin. Bahkan hampir boleh dikatakan, tak ada satu masjid pun kecuali di dalamnya terdapat orang-orang yang tidak thuma'ninah dalam shalatnya.

Thuma'ninah adalah rukun shalat, tanpa melakukannya shalat menjadi tidak sah. Ini adalah persoalan yang perlu diambil berat. Rasulullah saw bersabda :

لا تجزي صلاة الرجل حتى يقيم ظهره فى الركوع والسجود

Tidak sah shalat seseorang, sehingga ia menegakkan (meluruskan) punggungnya ketika ruku' dan sujud (HR Abu daud)

Tak diragukan lagi, ini suatu kemungkaran. Pelakunya harus dicegah dan diperingatkan akan ancamanya.

Abu Abdillah Al-Asy'ari berkata : "(Suatu ketika) Rasulullah saw shalat bersama para sahabatnya, kemudian beliau duduk bersama sekelompok dari mereka. Tiba-tiba seorang laki-laki masuk dan berdiri menunaikan shalat. Orang itu ruku' lalu sujud dengan cara mematuk, maka Rasulullah saw bersabda :

أترون هذا ؟ من مات على هذا مات على غير ملة محمد, ينقر صلاته كما ينقر الغراب الدم, إنما مثل الذي يركع وينقر في سجوده كالجائع لا يأكل إلا التمرة والتمرتين فماذا يغنيان عنه

Apakah kalian menyaksikan orang ini ? Barangsiapa meniggal dalam keadaan seperti ini (shalatnya) maka dia meninggal dalam keadaan di luar agama Muhammad. Ia mematuk dalam shalatnya sebagaimana burung gagak mematuk darah. Sesungguhnya perumpamaan orang yang shalat dan mematuk dalam sujudnya bagaikan orang lapar yang tidak makan kecuali sebutuir atau dua butir kurma, bagaimana ia dapat merasa cukup (kenyang) dengannya ? (HR Ibnu khuzaimah)

Sujud dengan cara mematuk maksudnya, sujud dengan cara tidak merapatkan hidung dengan lantai. Dengan kata lain, sujud itu tidak sempurna. Sujud yang sempurna adalah sebagaimana disebutkan dalam hadith Ibnu Abbas, bahawasanya ia mendengar Nabi saw bersabda :"jika seorang hamba sujud, maka ia sujud dengan tujuh anggota badannya muka, dua telapak tangan,dua lutut dan dua telapak kaki (HR jamaah)

Orang yang meninggalkan thuma'ninah dalam shalat, sedang ia mengetahui hukumnya, maka wajib baginya mengulangi shalatnya seketika dan bertaubat atas shalat-shalat yang dia lakukan tanpa thuma'ninah pada masa-masa lalu.

Solat di dalam Islam

Solat adalah suatu ibadah yang terkandung di dalamnya perbuatan, percakapan yang telah dikhususukan, dimulai dengan Takbir dan diakhiri dengan Salam.

Kedudukannya Dalam Islam.

Solat itu adalah tiang agama dan tempat berlindung segala keyakinan. Ia juga Penghulu dari segala amal kebaktian dan ketaatan. kedudukannya tidak terbanding dengan ibadat-ibadat yang lain. Oleh itu kita wajib mendirikannya, kerana ia adalah tiang agama kita. Seperti mana Sabda Nabi saw :

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلامُ ، وَعَمُوْدُهُ الصَّلاةُ ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ فِى سَبِيْلِ اللهِ

Tonggak urusan (agama) adalah Islam, dan tiang utamanya adalah sembahyang, sedangkan puncaknya adalah jihad pada jalan Allah.

Ia merupakan amalan yang pertama diwajibkan di dalam ibadah, Ibadah solat diterima langsung daripada Allah swt. Ini menunjukkan keistimewaan solat. Berbeza dengan ibadah-ibadah yang lainnya diterima melalui wahyu yang diturunkan Allah swt.

Amalan yang pertama akan dihisab dihadapan Allah swt adalah solat. Sabda Nabi saw :

أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ عَلَيهِ العَبْد يومَ القِيَامَةِ الصَلاة فإن صلحت صلح سائر عمله ، وإن فسدت فسد سائر عمله

Yang pertama-tama dipertanyakan (diperhitungkan) terhadap seorang hamba pada hari kiamat dari amal perbuatannya adalah tentang shalatnya. Apabila shalatnya baik maka beruntunglah dan apabila shalatnya buruk maka kecewa dan rugilah. (HR. An-Nasaa'i dan Tirmidzi)

Yang asal difardhukan solat adalah sebanyak 50 kali, namun Nabi saw mendapat keringanan dari 50 menjadi 5 kali sehari semalam, sebuah kewajiban yang harus dikerjakan umatnya sampai kelak akhir zaman.

Diceritakan di dalam hadis :

Nabi Muhammad saw. bersabda, 'Allah swt mewajibkan atas umatku lima puluh shalat (dalam sehari semalam). Aku lalu kembali dengan membawa kewajiban itu hingga kulewati Musa, kemudian ia (Musa) berkata kepadaku, 'Apa yang diwajibkan Allah atas umatmu?' Aku menjawab, 'Dia mewajibkan lima puluh kali shalat (dalam sehari semalam).' Musa berkata, 'Kembalilah kepada Tuhanmu karena umatmu tidak kuat atas yang demikian itu.' Allah lalu memberi keringanan kepadaku (dalam satu riwayat: Maka aku kembali dan mengajukan usulan kepada Tuhanku), lalu Tuhan mengurangkan separuhnya. ' Lalu Aku kembali kepada Musa dan aku katakan, 'Tuhan telah mengurangkan separuhnya.' Musa berkata, 'Kembalilah kepada Tuhanmu karena sesungguhnya umatmu tidak kuat atas yang demikian itu. 'Aku kembali kepada Tuhanku lagi, lalu Dia mengurangkan separuhnya lagi. Lalu Aku kembali kepada Musa, kemudian ia berkata, 'Kembalilah kepada Tuhanmu karena umatmu tidak kuat atas yang demikian itu.' Aku kembali kepada Tuhan, kemudian Dia berfirman, 'Shalat itu lima (waktu) dan lima itu (nilainya) sama dengan lima puluh (kali), tidak ada firman yang diganti di hadapan Ku.' Aku lalu kembali kepada Musa, lalu ia berkata, 'Kembalilah kepada Tuhanmu.' Aku jawab, '(Sungguh) aku malu kepada Tuhanku.' Jibril lalu pergi bersamaku sampai ke Sidratul Muntaha dan Sidratul Muntaha itu tertutup oleh warna-warna yang aku tidak mengetahui apakah itu sebenarnya? Aku lalu dimasukkan ke surga. Tiba-tiba di sana ada kail dari mutiara dan debunya adalah kasturi.'"

Solat juga merupakan cahaya bagi sesiapa yang menunaikannya, boleh dilihat dari air muka golongan yang tidak pernah melakukan solat dengan golongan orang-orang yang memelihara solatnya.

Nabi saw bersabda :

الصَّلاةُ نُوْرٌ

Sembahyang itu adalah cahaya.

Pentingnya Solat.

Solat itu adalah tiang Agama, barangsiapa mendirikannya maka dia telah menegakkan Agamanya. Maka barangsiapa yang meninggalkannya, maka dia telah merobohkan Agamanya.

Kita melihat juga disaat-saat akhir kewafatan Rasulullah saw, beliau mengingatkan umatnnya supaya memelihara solat, menggambarkan betapa pentingnya solat itu.

Namun kita melihat diakhir-akhir ini, kebanyakan manusia sudah tidak mengambil berat tentang solat, inilah bala' yang melanda umat akhir zaman. Hanyut dengan permainan, terkejar-kejar akan dunia hingga sanggup merobohkan tiang agamanya sendiri.

Sabda Nabi saw : Akan dirungkai islam itu satu persatu, yang pertamanya berkaitan hukum Islam dan yang terakhirnya adalah solat.

Tidak ada alasan bagi sesiapapun untuk meninggalkan solat. Jika kita sakit tak mampu menunaikan dengan berdiri, boleh ditunaikan dengan duduk. Tak sanggup duduk boleh secara berbaring. Tak boleh dengan berbaring boleh dengan isyarat. Tak ada air boleh tayammum, pendek kata ibadah solat mestilah ditunaikan dalam keadaan apapun juga dan dimanapun kita berada.

Kecuali jika timbul sesuatu halangan yang memang telah ditakdirkan Allah seperti tidak siuman (gila), pengsan, tak sedar diri ataupun lainnya.

Sebelum menunaikan solat kita mesti terlebih dahulu membersihkan diri kita daripada najis dan mengambil air sembahyang. Tempat kita bersujud perlu juga bersih. Ketika mendirikan solat kita hanya menumpukan seluruh perhatian kita hanya kepada Allah swt.

Semua yang kita lakukan sebelum dan ketika solat semua itu akan mendidik kita menjadi orang yang bersih, berdisiplin, dan insya Allah akan menyehatkan rohani dan jasmani kita dengan gerakan-gerakan yang dilakukan ketika solat. Insya Allah jika kita rajin menunaikan ibadah solat denga teratur dan rapi akan membentuk peribadi yang sehat rohani dan jasmani.

Islam sangat mengambil berat tentang solat, walau keadaan sekali manapun. Firman Allah swt :

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ ، فَإِنْ خِفْتُمْ فَرِجَالاً أَوْ رُكْبَانًا فَإِذَا أَمِنتُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَمَا عَلَّمَكُمْ مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ

Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Al- Baqarah 238,239)

Firman Allah swt :

Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (An-Nisaa' 101,102,103)

Oleh itu marilah sama-sama kita memelihara dan menyeru pada diri, keluarga serta masyarakat kita supaya mengambil berat akan betapa pentingnya solat. Sentiasa berdoa meminta hidayah dan rahmat-Nya.

Firman Allah swt :

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Ibrahim 40)

Diantara dalil-dalil berkaitan dengan solat.

Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (An-Nisaa' 103)

Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); (Al-'Ankabuut 45)

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang. (Al- Baqarah 45)

Sesungguhnya berjayalah orang yang - setelah menerima peringatan itu - berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh),

Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk). (Al-A'laa 14,15)

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat. (Al- Baqarah 43)

Dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. (Taha 14)

Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (Al-Kauthar 2)

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al An'aam 162)

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (Al-Mu'minun 1,2)

Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (Al-Mu'minun 9,10,11)