Memaparkan catatan dengan label Guru / Sekolah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Guru / Sekolah. Papar semua catatan

Sabtu, 6 Januari 2018

Warden/Guru Asrama

Besar pengorbanan seorang guru itu bukanlah sahaja bermaksud dalam memberikan ilmu pengetahuan didalam kelas, namun lebih dari itu bagi seorang guru asrama, iaitu Warden yang menjaga pelajar-pelajar di sekolah yang berasrama penuh. Pengorbanan mereka juga turut besar yang perlu kita sentiasa ucapkan terima kasih dan memberikan penghargaan. Kerana apa? Kerana mereka mengambil cakna akan anak-anak tentang banyak perkara, “Bangun awal untuk kejutkan pelajar, ajar kemaskan katil, cara berpakaian, cara basuh baju, cara kemaskan almari, cara makan, cara bersukan, pandai bergaul, jaga kebersihan, bahkan rawat bila sakit, pujuk bila tengah sedih, serta macam-macam lagi, warden menjadi tempat pengaduan semua perkara, dialah ayah, ibu, doktor, cikgu”, pendek kata semuanya diajar agar pelajar tersebut pandai “Menguruskan diri dalam kehidupan ini, merasa seronok di sekolah, suka belajar, berada dalam keadaan selamat, sihat, dan mengikuti disiplin sekolah”. 

Saya teringat ketika waktu bertugas sebagai Warden di Ma'ahad Tahfiz ADDIN Tambun dulu, macam-macam hadiah dari Ibubapa sering dapat, hinggalah sekarang masih diguna pemberian tersebut. Alhamdulillah, semuanya amat dihargai. Hinggalah apabila telah berhenti bekerja disana, bukan pelajar sahaja yang saya masih ingati, namun Ibubapa pelajar juga yang semuanya sangat baik masih dalam ingatan. 

Sekadar perkongsian, kerana rasa nikmat apabila melihat yang baik, dan agar kita saling berbuat baik, membalas kebaikan, dan nanti hidup kita dipenuhi kebaikan, “Sekolah, anak, guru, dan ibubapa semuanya mendapat kebaikan”.

Terima kasih.

Khamis, 27 April 2017

Kes Adik Thaqif.

Saya tidak percaya sebab kerana batang paip, namun itu sudah taqdir dan ada hikmahnya untuk difikirkan dan untuk menjadi sebab hingga berlaku kematian.

Saya tidaklah ingin meletakkan kesalahan dan kelemahan kepada sekolah, pengajian Agama dan tahfiz serta guru sepenuhnya, namun ada beberapa perkara yang ingin dikongsikan.

Dahulu saya juga dari kecil sampai besar berada dalam sekolah agama swasta hingga juga pernah bekerja di bidang yang sama. Diwaktu belajar dahulu saya amat memandang serong dengan sekolah yang dibawah kerajaan dan marah kenapa perlu mengikuti sekolah kerajaan yang biasa didengari ketika itu sistemnya teruk lagi-lagi penekanan tentang Agama.

Hinggalah apabila saya bekerja selama beberapa tahun di bidang tahfiz barulah saya faham. Baru saya faham apa yang saya fahami dahulu ada sedikit kesilapan, dan sepatutnya elok juga berdaftar dan bagus jika pemantauan dari kerajaan dijalankan dan diperketatkan. Namun tidak dinafikan sudah pasti ada pro kontranya tersendiri apabila berdaftar sepenuhnya dengan kerajaan. Yang ingin ditekankan disini ialah apabila terjadinya kes-kes sebegini.

Ia kerana banyak rahsia, hal disembunyi, ketirisan dan ketidakjujuran. Banyak perkara yang tidak betul, salah, zalim dan kegagalan dalam pengurusan serta peraturan, kadang faktornya juga kerana silap dalam memahami cara yang betul dalam beragama.

Contoh bila bercakap tentang kelemahan yang ada. Mungkin disekolah lain terikat dengan peraturan atau penipuan dunia yang menjadikan siapa diatas dan dibawah. Namun disini pula penipuannya adalah dengan nama Agama, masalahnya ditutup, tidak diakui kesalahan, dan lebih kecewa diungkapkan, “Biasalah, sekolah Agama.” Sedangkan itu kesilapan tindakan dan pemikiran ustaz tadi, maka sampai bilalah ia tidak akan dapat diubah.

Jika dipihak yang berkerja dengan kerajaan banyak skema wajib dipatuhi, namun di beberapa buah sekolah Agama lebih kepada ihsan dan bermudah-mudah. 

Nasiblah jika yang benar jujur dan bertaqwa maka selamatlah, tapi jika sebaliknya maka habis rosaklah. Lalu memberi kesan ke semua sudut pengurusan. Maklumlah sekolah sendiri, tidak berkait dengan sesiapa dan sesama bergelar ustaz.

Sudah sampai masanya mungkin bagi pihak kerajaan dan jabatan Agama untuk lebih rajin memantau di setiap sudut berkenaan keseluruhan pembentukan perjalanan sekolah Agama dan tahfiz ini. Namun yang bimbang juga dipihak jabatan Agama juga bermudah-mudah kerana sesama ustaz dan label agama.

Sudah sampai masanya NGO-NGO, ibubapa dan masyarakat untuk sibuk mengambil tahu sedalamnya tentang pusat pengajian-pengajian Agama ini. 

Jangan biarkan ia seolah ada jurang dan tabir dalam hubungan dengan sekolah. Jangan malu, takut dan merasa salah untuk dipersoalkan.

Saya teringat ketika pernah ditemuramah oleh Rtm dengan spontan berhubung apa kebaikan sekolah yang berdaftar atau tidak. Maka saya menjawab, “Ada pro kontranya. Mungkin dipihak sekolah tidak mahu banyak urusan dan halangan dengan kerajaan, tapi sebenar baik juga didaftar agar dapat dipantau dan dikawal akan sebarang masalah dan sebelum terjadi masalah”.

Kita tidak mahu akhirnya senyap kerana itu Ustaz dan Sekolah Agama.

Faktor kamasukan keluar masuk guru yang kerap disekolah Agama dan tahfiz perlu diperhati sebaiknya. Kadang hal ini didiamkan.

Kesan pengurusan yang lemah antara punca membawa kearah kes-kes sebegini. Kadang warden stress lalu menjadi mangsanya pelajar.

Pandangan Saya,

Jabatan Agama mestilah mengambil tahu dengan sebaiknya sekolah-sekolah yang telah berdaftar.

Jabatan Agama boleh berbincang dengan sekolah-sekolah swasta yang telah berdaftar. Apa syarat yang wajib atau yang tidak berkait boleh dilaksanakan.

Sekolah Swasta Agama yang sekarang semakin cepat tumbuh mestilah dipantau oleh kerajaan walau masih tidak berdaftar. Dan pengasas sekolah tersebut mestilah jujur atau NGO-NGO, badan-badan, parti-parti dalam organisasi yang berkait menubuhkan sekolah itu hendaklah adil dan mengikut disiplin dan skema yang sebaiknya.

Masyarakat kena selidik dengan cermat, kena faham tujuan dihantar anak dan kena berani bersuara. Kena faham tentang hakikat proses tarbiyah anak ini. Tidak semesti dihantar ke sekolah agama contohnya.

Akhirnya,

Cukup disini sedikit perkongsian, moga ada pengajaran bersama. Semoga Adik Thaqif tenang dialam kubur sana, dan Allah memberikan pahala yang besar buat keluarganya diatas ujian ini.

Beringat sebelum terjadi yang bukan-bukan.
Wallahu'alam.

Sabtu, 3 Oktober 2015

Kempen 3S.

 

Pernahkah dengar kempen 3S (Senyum, Sapa, Salam)? 

Dalam Hadis Nabi Shallallahu‘alaihi Wasallam telah lama mengingatkan dan menjelaskan kepada kita; 

• Menebarkan Salam | “Tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan sesuatu yang jika dilakukan akan membuat kalian saling mencintai? Sebarkan salam diantara kalian”. (HR Muslim no54) 

 Bersalaman Ketika Bertemu | “Jika seorang mukmin bertemu dengan mukmin yang lain, ia memberi salam padanya, lalu meraih tangannya untuk bersalaman, maka berguguranlah dosa-dosanya sebagaimana gugurnya daun dari pohon”. (HR Ath-Thabrani dalam Al-Ausath, dishahihkan Al-Albani dalam Silsilah Ash-Shahihah 2/59) 

 Memperbanyak Senyum | “Senyummu terhadap wajah saudaramu adalah sedekah”. (HR Tirmidzi, ia berkata: “Hasan gharib”. Dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahih At-Targhib) 

Indah dan Lengkapnya Islam. 

3/10/15, Ipoh.