Sabtu, 26 Jun 2010

Antara Hukum Perkahwinan.

1. Wajib Berkahwin:

Wajib apabila seseorang itu sudah mempunyai kemampuan dan keperluan yang cukup untuk melangsungkan perkahwinan, dan bimbang terhdap dirinya itu daripada melakukan perkara-perkara maksiat, melakukan zina dan segala perkara yang tidak ada cara lain untuk mengelaknya, melainkan dengan pernikahan.


Kerana untuk menjaga dan mengelak daripada berlakunya perkara yang haram adalah wajib, maka tidaklah sempurna semua itu, melainkan dengan mesti berkahwin.

Maka barangsiapa yang bimbang terhadap dirinya dari melakukan perkara yang haram, akan tetapi dalam masa yang sama, tidak mempunyai kemampuan dan keperluan yang cukup untuk melaksanakan pernikahan. Iaitu (kemampuan dari segi nafkah, makan, tempat tinggal dan sebagainya).

Oleh itu, hendaklah bersabar dan berusaha dalam mengawal nafsu ini. Berusaha mengguna dan mencari dengan jalan yang halal, yang dibenarkan di dalam Islam. Bukannya dengan melakukan zina dan segala perkara yang dilarang Allah swt.

Firman Allah swt:



وَلْيَسْتَعْفِفْ الَّذِينَ لاَ يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّى يُغْنِيَهُمْ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ

Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya. (Surah An-Nuur 33)

Diantara cara untuk menahan syahwat dari terus bergejolak adalah dengan berpuasa. Sabda Nabi saw:

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج، فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج، ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء

Wahai sekalian pemuda, barangsiapa yang mampu untuk memikul beban keluarga hendaklah ia berkawin. Sesungguhnya perkawinan itu lebih dapat meredam gejolak mata dan nafsu seksual, tapi barangsiapa yang belum mampu hendaklah dia berpuasa kerana (puasa itu) benteng (penjagaan) baginya. (Hr al-Bukhari)

Jika seseorang itu sudah mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin, akan tetapi tidak berkahwin lagi, dan terus melakukan perkara-perkara yang dilarang di dalam Islam. Maka amatlah berdosa hukumnya atas individu tersebut.



2. Sunat Berkahwin:

Adapun bagi sesiapa sudah mempunyai kemampuan dan keperluan yang cukup untuk melangsungkan perkahwinan dan tidak dibimbangi lagi dirinya dari melakukan perkara-perkara maksiat. Maka disunatkan padanya berkahwin, kerana ianya lebih baik daripada tinggal seorang diri, bahkan ia merupakan sunnah para Nabi-nabi as.

Allah swt telah menjadikan manusia itu berpasang-pasangan. Firman Allah swt:

وَمِنْ كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasang-pasangan, agar mereka mengingati (kebesaran Allah). (Surah Adz-Dzaariyaat 49)


سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنْبِتُ الأَرْضُ وَمِنْ أَنفُسِهِمْ وَمِمَّا لاَ يَعْلَمُونَ

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. (Surah Yaa Siin 36)


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan. (Surah Al-Hujuraat 13)


يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيرًا وَنِسَاءً


Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (adam), dan yang menjadikan daripada (adam) itu pasangannya (isterinya - hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. (Surah An-Nisaa' 1)


Sabda Nabi saw:

تزوجوا الودود الولود، فإني مكاثر بكم الأنبياء يوم القيامة


Kahwinlah dengan wanita yang mencintaimu dan yang mampu beranak. Sesungguhnya aku akan membanggakan kamu sebagai umat yang terbanyak. (Sahih Abu Dawud)

Hadis ini menunjukkan bahawa disunatkan kepada kita untuk berkahwin.

* Diterjemah dari kitab Fiqh Sunnah karya Sayyid Sabiq dengan beberapa penambahan dan pengurangan. Masih berbaki lagi hukum makruh, haram dan harus yang tidak diterjemah disini. Dan ada dijelaskan dalam kitab beliau.


14 Rejab 1431 H bersamaan 26 Jun 2010 M
Jumaat, 10.58 am. Sana'a, Yaman.

Edit semula: 
28 Rejab 1434 H bersamaan 07 Jun 2013 M
Jumaat, 01.45 am. Terengganu, Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan