Memaparkan catatan dengan label Al-Quran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Al-Quran. Papar semua catatan

Selasa, 2 Julai 2013

Antara Kaedah Menghafal Al-Quran.

 

Kaedah Pertama (cepat). 

1. Baca hingga lancar (kira-kira sebanyak tiga kali) 
2. Tumpu pada tiga baris awal muka yang dihafal. Setelah betul-betul dapat tiga baris awal muka, baru teruskan pada tiga baris yang seterusnya. 
3. Setiap kali ingin menambah baris yang dihafal, pastikan tiga baris sebelumnya dihafal kembali. 
4. Setelah dapat menghafal satu muka penuh, pastikan kelancaran, sebutan huruf dan tajwid dibaca dengan sempurna. Kemudian baca dengan tiga kawan yang berbeza. 

Kaedah Kedua (sederhana). 

1. Baca hingga lancar (kira-kira sebanyak sepuluh kali)
2. Tumpu pada satu baris awal muka yang dihafal. Setelah betul-betul dapat satu baris awal muka, baru teruskan pada satu baris yang seterusnya. 
3. Setiap kali ingin menambah baris yang dihafal, pastikan satu baris sebelumnya dihafal kembali. 
4. Setelah dapat menghafal satu muka penuh, pastikan kelancaran, sebutan huruf dan tajwid dibaca dengan sempurna. Kemudian baca dengan tiga kawan yang berbeza. 

Kaedah Ketiga (lambat). 

1. Baca hingga lancar (kira-kira sebanyak emapt puluh hingga enam puluh kali) 
2. Tumpu pada satu baris awal muka yang dihafal. Setelah betul-betul dapat satu baris awal muka, baru teruskan pada satu baris yang seterusnya. 
3. Setiap kali ingin menambah baris yang dihafal, pastikan satu baris sebelumnya dihafal kembali. 
4. Setelah dapat menghafal satu muka penuh, pastikan kelancaran, sebutan huruf dan tajwid dibaca dengan sempurna. Kemudian baca dengan tiga kawan yang berbeza. 



 “Niat betul-betul kerana Allah, selalu berdoa dan berusaha dengan tekun, insha-Allah, kejayaan pasti dikurniakan Allah”


24 Sya’ban 1434 H bersamaan 03 Julai 2013 M
Rabu, 01.15 am. Perak, Malaysia.

Selasa, 27 November 2012

Anakku, baca dan fahamilah Al-Quran.


1. Wahai anakku, Bagaimana hal kamu jika kamu menerima surat dari orang yang kamu sayang. Tentulah engkau membacanya dengan penuh perasaan kamu. Tentulah engkau akan mengulang ulangi bacaan itu, dan tentulah engkau akan cuba memahami setiap kalimah yang ditulis. Betapa hal kamu bilamana engkau menerima risalah dari Tuhanmu, berapa kali kamu membacanya dan apakah kamu berusaha untuk memahaminya.

2. Wahai anakku, Quran adalah risalah dari Tuhanmu. Jangan engkau biarkannya tanpa dibaca. Engkau sepatutnya rasa bersalah bilamana engkau membiarkannya lebih dari tiga hari. Ia pelembut hatimu. Membacanya berulang kal alan melembutkan jiwamu dan menambah kasihmu kepadaNya. Bacalah dan renugilah setiap kalimahnya, kerana ia adalah sebaik baik pengajaran. Ikutilah arahannya kerana ia sebaik-baik pertunjuk. 

3. Wahai anakku, Aku sangat dukacita melihat banyaknya al-Quran yang langsung tidak diusik. Setiap kali engkau menghampirinya, ia meminta agar engkau mengambilnya. Andainya engkau rindu kepada Tuhanmu, bacalah kalimahNya. Dan andainya engkau ingin berbicara dengan Tuhanmu, hayatilah setiap kalimahNya. 

4. Wahai anakku, Janganlah engkau gopoh gapah sewaktu membacanya, kerana perbuatan itu menyebabkan engkau tidak merasai kemanisan setiap ayatnya. Renungilah hadis Rasulullah bilamana Baginda menyatakan setiap huruf diberi pahala oleh Allah. Maka setiap huruf mempunyai hak pada sebutannya dan hukumnya. Maka sempurnakan haknya nescaya engkau akan merasai kelazatan menyebut setiap kalimahnya. 

5. Wahai anakku, Jangan sesekali kamu terpedaya dengan bisikan syaitan yang membisikkan perasaan malasmu ntuk membaca al-Quran. Syaitan terkadang menanam perasaan tidak pandai membaca untuk menjauhkan kamu dari al-Quran. Sedangkan emgkau membaca dengan mengeja satu persatu diganjari pahala dua kali ganda oleh Allah. Langaran itu berusahalah mempelajarinya. Jangan kamu merasa malu mempelajari Quran, kerana tiada manusia dilahirkan dalam keadaan alim.


6. Wahai anakku, aku sangat bahagia mendengar bergemanya al-Quran dari suara anak-anakku. Kerana itu adalah hiburan yang amat indah yang akan mengundang rahmat Allah dalam rumah dan memberkati semua penghuninya. Janganlah engkau biarkan rumahmu bergema muzik, dan sunyi dari al-Quran. Kerana rumah yang tidak dibacakan al-Quran, dan sunyi dari zikrullah adalah kuburan. 

Senyumlah nescaya Allah sayang padamu...

- Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. 


14 Muharram 1434 H bersamaan 28 November 2012 M 
Rabu, 02.30 pm. Terengganu, Malaysia.

Ahad, 27 Mei 2012

Penawar untuk tenang, gembirakan Hati.

Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang Beriman. (Surah Al-Israa' 82)


1. Rasa gembira dan tenang dalam kehidupan. Itu yang kita selalu dambakan. Hakikatnya bukan harta yang banyak, pangkat yang tinggi, wajah yang cantik, dan apa-apa lagi kelebihan lain yang menghasilkan rasa gembira dan tenang dalam kehidupan. Benar, walaupun ia punya kesan, tapi tidak lama dan tidak sesekali sama. Bahkan ia mengundang rasa tidak selesa, sentiasa tidak puas dan cukup. Rasa kosong, seolah umpama merasa nikmat ketika makan dan lalu membuang air. Begitulah hakikat waktu ke waktu seterusnya.  

2. Demikian bila segalanya tidak dikaitkan dengan Allah swt. Tidak diserahkan kepada Tuhan yang menciptakan dan telah menganugerahkan berbagai nikmat kepada kita. Perasaan sedih, gembira, tenang, dan resah. Segalanya dari Allah swt. Allah swt menghendaki perasaan ini berputik dalam hati kita, maka berputiklah ia. Mengikut ketentuan dan hikmah dari Allah swt. Kita buat baik, hati rasa gembira, tanda redha Allah. Kita buat dosa, hati rasa gembira, tanda murka Allah. Kita buat baik, hati rasa sedih, itu ujian Allah. Kita buat dosa, hati rasa sedih, itu kasihnya Allah.

3. Kadang kita melihat mereka yang susah dan bersederhana hidupnya. Kadang seolah tak munasabah dengan kegembiraan dan ketenangan yang dikecapinya. Begitulah kita melihat mereka yang kaya dan serba mencukupi hidupnya. Kadang seolah tak munasabah dengan keperitan dan gangguan yang dilaluinya. Keadaan ini sudah memadai untuk direnungi. Bahagia dan derita itu dari Allah. 

4. Ia datang dari Allah, maka dari Allah kita perlu panjatkan. Semua perkara datangnya dari Allah. Nabi saw diuji dengan kesedihan. Allah swt mengembirakan. Beruntunglah mereka yang menyerahkan segala jiwanya kepada Allah. Yang meyakini semutlaknya ketetapan Allah. Demikian perintah Allah, kita jaga sebaiknya. Kita buat yang disuka dan usaha jauh yang dilarang.


5. Kitab Al-Quran, kitab Allah. Milik, dari Allah swt. Dengan sering membaca dan menghayatinya juga. Mampu meleraikan segala keresahan, kesakitan dan kebencian dari hati kita. Sebelum ini hati kita sering bila tertekan, gelisah, dan rasa serabut. Lalu kita berusaha mencari jalan untuk menyembuhkannya. Jalan itu kadang pasti dengan kelalaian dan menjurus kepada jalan dosa. Al-Quran adalah ubatnya. Mungkin agak sukar dan tiada juga kesan. Namun ia bilamana hati sentiasa sudah dibersihkan dengan taubat dan amal soleh, tiada kejahatan lain, dan dihambakan diri sepenuhnya pada Allah. InsyaAllah, rutin membiasakan bacaan dan menghayati Al-Quran wujud kesannya. Kita akan sentiasa dapati bilamana waktu hadirnya masaalah, tekanan, kita terus ingat untuk membacanya, terus ingat kerana aku belum membacanya. Ia hanya dengan sering baca dan hayatinya, inilah kitab Mukjizat. Firman Allah swt: 

(iaitu) orang-orang yang Beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (Ar-Ra'd 28) 

 Gementar kerananya (Al-Quran) kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingati Allah. (Az-Zumar 23) 

 Sesungguhnya orang-orang yang Beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, (merasa takut, gerun dan menjurusnya taat suruhan dan tinggal larangan Allah) dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), (kerana benarnya) dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal (bergantung, menyerahkan segalanya). (Al-Anfaal 2) – Tafsir ibn Kathir. 

6. Adapun segalanya hanyalah sementara, kita semua sedang dalam perjalanan. Perjalanan ini padat dengan berbagai ujian. Kelak di syurga, itulah nikmat yang ditunggu-tunggu. Itulah kemuncak kegembiraan, kebahagian dan ketenangan. Kejayaan yang sebenar-benarnya. Tiada lagi rasa perit, letih dan derita. Dunia ini tempat dan waktu beramal. Akhirat pula tempat dan waktu dibalas. Marilah kita terus bersabar. Janji Allah itu benar. Firman Allah swt: 

 Dan yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah walaupun dia tidak melihatnya. Maka berilah mereka khabar gembira dengan ampunan dan pahala yang mulia. (Yaasiin 11) 

 Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang Beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. (Al-Baqarah 25)

Sabda Nabi saw: Tidaklah seorang muslim tertimpa kesakitan kerana tusukan duri, atau yang lebih sakit darinya, kecuali Allah akan menghapus dosa-dosa dengannya, sebagaimana pohon menggugurkan daun-daunnya. (Hr Bukhari) 

“Sesungguhnya Allah bila mencintai sesuatu kaum, maka Dia akan memberikan cobaan kepada mereka”. (Hr at-Tirmidzi, hadis hasan gharib) 

7. Al-Quran, disebalik mampu menceriakan dan menyegarkan hidup. Bacaanya tidaklah sia-sia, besar ganjarannya. Sabda Nabi saw: 






Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada golongannya. (Hr Muslim) 

Sebaik-baik kamu ialah yang belajar Al-Quran dan mengajarnya. (Hr Bukhari) 

Sesiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali lipatnya. Tidaklah aku maksudkan Aliflammim satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf. (Hr at-Tirmidzi, hadis hasan sahih gharib) 

8. Demikian juga, dengan melazimi membacanya, dengan istiqomah sepanjang hari hidup kita. Ia dapat menguatkan hubungan kita dengan Allah swt. Kita berharap, mudahan agar selamat dan jauh dari golongan hamba-hambaNya yang lalai dan leka dengan kenikmatan dunia ini. 

9. Akhirnya. Marilah kita cari redha Allah, itu sumber kebahagian dan ketenangan. Bila Allah redha dan suka. Perintah Allah sentiasa dijaga dan dipelihara. Kebahagiaan dan ketenangan mudah diraih dan dicapai. “Ada orang kita nampak hidupnya sederhana dan susah, tapi tenang dan dilihat sentiasa merasa cukup dan selesa. Dan ada orang kita nampak hidupnya sederhana dan susah dalam keadaan sentiasa rasa tak cukup dan tak tenang dan bila kaya juga sering rasa tak cukup dan tak tenang, gembira. Inilah pentingnya keberkatan rezeki. Redha Allah. Berkat rezeki akan berkat hidup. Amatlah nikmat dan beruntung mereka yang merasai hal ini”. 

 "Nikmat yang cukup berharga dan besar. Iaitu Iman dan Islam. Yang menyerahkan dirinya, yang membenarkan hatinya. Beruntunglah dan beruntungnya mereka yang dapat dan mampu beroleh mengecapinya" 

 Akhiranya, sama-sama sentiasa mengingati pesan Nabi saw ini: “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan sebenar ialah kekayaan jiwa”. (Hr Bukhari dan Muslim) 

 Dan tidak lupa untuk melazimi Doa ini:

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ 

 Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada kesusahan, kesedihan, kelemahan, kemalasan, kedekut, pengecut, lilitan hutang dan dikuasai oleh orang lain (penindasan orang). (Hr Bukhari)


06 Rejab 1433 H bersamaan 27 Mei 2012 M 
Ahad, 08.40 pm. Sana’a, Yaman.

Jumaat, 27 Januari 2012

Al-Quran: Kita perlu sering baca, fahami & hayatinya.

Firman Allah swt: Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (Al-Baqarah 2) 

Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Al-Israa' 82)

Katakanlah: “Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa al-Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia, sekalipun sebagian mereka menjadi pembantu bagi sebagian yang lain”. (Al-Israa' 88) 

Dan sesungguhnya Kami telah mengulang-ulang kepada manusia dalam al-Quran ini tiap-tiap macam perumpamaan, tapi kebanyakan manusia tidak menyukai kecuali mengingkari (nya). (Al-Israa' 89) 

 Dan sesungguhnya dalam al-Quran ini Kami telah ulang-ulangi (peringatan-peringatan), agar mereka selalu ingat. (Al-Israa' 41)



1. Hari ini dunia makin dasyat tipudayanya. Masa kita dipendekkan dengan kelalaian dunia. Segala kemudahan sumber sepatutnya dimanfaatkan memahami agama dan merebut ganjaran akhirat, namun ia digunakan hanya tujuan dunia. Ramai juga sering mengungkap ungkapan bosan dalam hari hidup. Mereka yang jika memahami, malu untuk mengungkapnya. 

2. Kita telah lupa tujuan dihidupkan. Hati kita lalai dari mengingati Allah. Solat kita hanya sekadar fizikal. Kita tak ambil kisah akan perintah agama dalam rutin hidup kita. Yang kita rasa dan nampak molek dan ramai yang mengerjakannya, lalu kita beri’tikad ia tidaklah salah dan tidak ada kesan buruk pun sebenarnya. Akal yang diwaraskan Allah, tak dinilai pada kitab yakni acuan Allah. 

3. Kenapa demikian? Kerana asuhan dan didikan suasana kita hari ini. Kelemahan kita. Namun sedarkah kita? Pernahkah terlintas dan difikir sejenak difikiran kita? Yang kita dapat melihat dan mendengar sendiri peringatan-peringatan yang bersungguh oleh para agamawan menjelaskan segala kepentingan agama dan soal hal Akhirat? Kenapa dan darimana sumber yang dijelaskan mereka? Segala jawapan itu wujud dalam al-Quran. Sayangnya kita gagal untuk sering membaca dan membelek isi al-Quran ini. Ia sebahagian besar hanya hantaran kahwin, hiasan digantungkan dan sebagainya lagi. Harap andaian ini kosong semata, tapi hakikatnya tidaklah berlaku.



4. Saudara sekalian, marilah sama-sama. Kita perlu baca dan fahami tafsirannya. Kita perlu berusaha agar tak lupa untuk membaca dan menghayati al-Quran dalam sehari. Ia kitab, panduan, peringatan, pengajaran dan nasihat yang dikirim Allah melalui Nabi saw. Ia bukti, petunjuk, pembimbing, pemberi kekuatan, penawar dan kitab mukjizat hinggalah kiamat. Segala urusan sebelum dilahirkan lagi, sampai alam akhirat dan segalanya telah dicerita. Ia benar wujud dan telah berlaku keadaan sekeliling kita sekarang. 

5. Sekarang al-Quran, segala tafsirannya oleh ulama’, dan sebab-sebab diturunkan ayat sudah lengkap diterjemah dan disyarahkan. Buku dan sumber-sumber diinternet yang begitu banyak dan pencerahan dari ulama’ banyak dirakam. Sama-samalah kita manfaatkan serajinnya. 

6. Tahukah anda? Baca al-Quran satu helai (dua muka) hanya memerlukan masa empat minit sahaja, sama-samalah sempatkan dalam sehari. Fb, internet dan majalah lain sempat pula kita buka, baca dan hayatinya. Tambah pula dengan baca tafsirannya sedikit, masanya bukanlah membebankan pun sebenarnya. Sesuatu kebaikan bila dirasa amat beban, ia tanda hati kita ada penyakit, perlu dibersihkan dengan caranya. 

7. Jika kita melihat dan mengkaji kejadian ciptaan Tuhan, alam dunia, angkasa, darat dan segala kejadian dan peredarannya telah diceritakan al-Quran. Keimanan dan keyakinan makin segar tumbuh. Kebenaran makin dirasa. Firman Allah swt: 


Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur- ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (adapula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai sangat tua, sehingga dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah. (Al-Hajj 5)





“Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta yang paling Baik”. (Al-Mu'minuun 14) 

 Allah-lah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu beristirahat padanya; dan menjadikan siang terang benderang. (Ghaafir 61) 

 Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya. (Al-Anbiyaa' 33) 

Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (Al-An'aam 99) 

8. Al-Quran juga mampu menghiburkan dan menenangkan jiwa. Hati dan perasaan kita akan kembali ceria dan gembira bila al-Quran dibaca dan dihayatinya. 'Mungkin boleh buka artikel ini'. Firman Allah swt: 

Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (Ar-Ra'd 28) 

 Sabda Nabi saw: Perumpamaan orang yang mengingati Tuhannya dengan orang yang tidak mengingati Tuhannya bagaikan orang hidup dengan orang mati. (Hr Bukhari)



9. Memang bukan mudah mengajak, menggalakkan dan melaksanakan yang baik dan benar ini. Dalam masa yang sama keadaan yang banyak menganjurkan perkara yang berlawanan dengannya. Namun usaha kita perlu dan dakwah diperlukan. Kemenangan itu pasti dan pertolongan itu pasti, dan ia akan datang bersama oleh mereka yang berusaha menegakkannya. 

10. Bila kita tak ambil endah al-Quran. Tak membaca, menghayati dan mengamalkannya. Kita adalah hamba yang sombong dan lalai dengan Allah. Kita memerlukan peraturan dan panduan. Sudah tentu peraturan dan panduan itu dilihat, diikut dan ditanya pada pencipta sesuatu itu. Bila tak diikut, banyak kesan buruknya. Tak sekarang mungkin masa lain. Tak pada diri pada orang lain. 

11. Al-Quran bukti kebenaran kita. Kebenaran dari para Rasul dan Nabi-Nabi dahulu. Kajian saintis dan ahli sejarah benar sama dengan apa yang telah terkandung dan dicerita al-Quran. 'Video kisah firaun'. Yang telah terjadi dan bakal terjadi. Al-Quran telah menghimpunkan segalanya. 

12. Al-Quran bukan dari Nabi saw, tapi diwahyukan Allah kepada Nabi saw. Dipilih dari kalangan manusia juga menyampaikan risalah ini. Seperti zaman-zaman sebelum Nabi saw, telah wujud para Nabi yang diamanahkan dan disertakan kitab bersama mereka. Baca dan kaji sejarah, mereka bukanlah mengajak pada yang jahat. Dalam kitab-kitab, sebahagian besarnya sama apa yang diperintahkan. “Seorang pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik berkata: Jika seseorang yang beragama hindu, buddha, kristian, yahudi benar-benar mahu mengamalkan agama mereka, mereka sepatutunya rajin membaca dan mengkaji kitab-kitab agama mereka kerana di dalamnya terdapat ramalan tentang ciri-ciri jenis Nabi pada akhir zaman, yang mana ciri-ciri tersebut bertepatan dengan Nabi saw. Maka, jika mereka benar-benar percaya pada kitab agama mereka, kenapa mereka tidak mahu beriman kepada agama Nabi Muhammad saw. (Islam)” 

13. Ayat-ayat al-Quran. Tak mampu dibanding dengan kata-kata manusia. Syair, sajak, puisi dan cerita-cerita yang walau sekalimanapun menarik dan hebat. Al-Quran ia mukjizat dan bertepatan bila-bila masa dari dahulu lagi hinggalah kiamat. Ia tidak pernah dirasa jemu walau acap diulang. Mesejnya sentiasa segar. Bahasanya yang cukup kaya. Ia dipelihara didada. Segala permasalahan dan budaya hidup yang selamat diajar. Secara fitrah, apa yang kita nampak baik, betul dan bagus. Memang telah termaktub disuruh dalam al-Quran. Begitu juga apa yang dinampak buruk, jahat dan kotor. Memang telah termaktub dilarang dalam al-Quran. Firman Allah swt: 


Dan berbuat baikanlah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia. (Al-Baqarah 83) 

Dan janganlah mengumpat antara satu sama lain. (Al-Hujuraat 12)



14. Kesimpulannya, sama-sama usaha agar dan biar mampu untuk baca dan hayati kisah-kisah al-Quran dalam hari hidup kita. Kita pasti akan melihat apa yang berlaku dalam hidup kita, benar apa yang dinyatakan al-Quran. Segala kecelaruan dan keraguan dijelaskan. Kenapa dihidupkan, tujuan hidup dan hal selepas dimatikan. Kita akan tahu yang kita salah dan telah sesat atau kita betul dan telah dijalan yang benar. Demikian juga kita patut bimbang dari termasuk dikalangan hambanya yang leka dengan dunia. Sedang membaca al-Quran pahalanya besar. 

15. Peringatan untuk diri, keluarga dan semua. Mudahan dimanfaat bersama. (Contoh dalil-dalil yang dikemukakan hanyalah sabahagian kecil sahaja). Firman Allah swt: 


Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin. Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan? (Adz-Dzaariyaat 20,21) 

 “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul, dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. Dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Al-Israa' 9,10)” 


03 Rabiulawal 1433 H bersamaan 27 Januari 2012 
Jumaat, 10.40 pm. Terengganu, Malaysia. 

Edit Semula: 
27 Ramadhan 1433 H bersamaan 16 Ogos 2012 M 
Khamis, 08.30 am. Sana’a, Yaman.