
Mudah-mudahan puasa kita dan segala amal ibadat semuanya diterima oleh Allah swt dengan sempurna dengan mendapat fadhilat ramadhan dan diampuni segala dosa-dosa yang telah dilakukan.
Kita mengharapkan semoga hikmah puasa tersebut memberi kesan dan mendidik menjadi hamba yang bertaqwa seperti mana yang dinyatakan dalam Firman Allah swt :
يآ أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. (Al- Baqarah 183)
Diantara ciri-ciri orang yang bertaqwa itu ialah menjadikan Al-quran sebagai petunjuk dalam seluruh dasar dan cara hidup. Taqwa dengan maksud mentaati segala suruhan yang telah ditetapkan oleh Allah swt dan meninggalkan segala larangan-laranganNya. Dan beramal dengan apa yang telah ditetapkanNya, bukan mengambil hukum yang selain daripada Al-quran.
Firman Allah swt :
صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنْ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat". (Al- Baqarah 138)
Berkata ibnu Qayyim :
وأما التقوى فحقيقتها العمل بطاعة الله إيماناً واحتسابا ، أمراً ونهياً ، فيفعل ما أمر الله به إيماناً بالأمر وتصديقاً بوعده ، ويترك ما نهى الله عنه إيماناً بالنهى وخوفا من وعيده
Taqwa pada hakikatnya ialah mentaati perintah Allah swt dengan penuh keimanan, keikhlasan dan pengharapan akan segala suruhan dan laranganNya. Melakukan apa yang telah ditetapkan itu dengan penuh keimanan dan meyakini akan janji-janji Allah kepada hamba-hambanya, tanpa merasa ragu-ragu akan suruhanNya. Dan meninggalkan apa yang dilarang itu dengan penuh kepercayaan dan merasa bimbang akan balasan Allah swt.
Aidilfitri apabila diterjemahkan membawa maksud (kembali kepada fitrah) menunjukkan perayaan yang kita sambut ini memberi makna yang luas ertinya. Selepas kita membersihkan diri di bulan Ramadhan dengan pelbagai ibadat, membaca al-Quran, sedekah, qiamullail dan sebagainya. Maka apabila berakhirnya Ramadhan umat Islam akan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri, dengan maksud kembali kepada asal fitrah dijadikan manusia, sebagaimana bayi yang baru di lahirkan dalam keadaan fitrah, suci dari segala perkara-perkara maksiat.
Aidilfitri ini adalah suatu anugerah dari Allah swt kepada orang-orang yang beriman, selepas sebulan kita mengerjakan ibadah Puasa, dengan pelbagai ujian yang ditempuhi. Maka tibalah masa untuk kita meraikan hari kemengan ini. Justeru itu bagi mereka yang masih dalam keadaan berpaling dari ajaran Allah swt, tidak menghiraukan akan hukum Allah swt, seolah-olah tidak ada erti perayaan buat mereka.
Oleh itu, marilah kita menilai diri masing-masing, adakah selepas sebulan berpuasa menjadikan kita hamba yang betul-betul bertaqwa dan menambahkan lagi keimanan, kesedaran kita kepada Allah swt !! Atau kita masih melakukan maksiat, berjudi, meminum arak, memakan riba, membuka aurat dan melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah swt.
Jika kita masih berada dalam keadaan yang sama, menunjukkan puasa kita masih tidak mencapai tujuan dan hikmahnya. Masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki, yang penting istiqamah dalam setiap amalan kita, selalu memohon ampun pada Nya. Insya' Allah mudah-mudahan membawa kejayaan dunia akhirat.
Akhirnya, marilah sama-sama kita meraikan hari Kemengan ini dengan penuh kegembiraan, rasa syukur kepada Allah swt, atas nikmat yang telah dikurniakan, nikmat kesihatan, rezeki yang melimpah dan banyak lagi, jikalau kita menghitungnya tidak dapat di bandingkan. Firman Allah swt :
وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لاَ تُحْصُوهَا
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. (Ibrahim 34)
Disamping itu, tidak lupa untuk kita bermaaf-maafan diantara satu sama lain, bermula dari keluarga, saudara-mara, teman-teman dan sekalian kaum muslimin. Saling menziarahi, memberi hadiah dan sebagainya. Sabda Nabi saw :
تهادوا تحابوا
Saling memberi hadiahlah nescaya akan terbit kasih sayang. (HR Bukhari)
Jika terdapat perselisihan dan pertelingkahan, saling bermaafanlah, dan untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah. Firman Allah swt :
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Al-Hujuraat 10)
Pada hari ini juga hendaklah kita ingat betapa besarnya nikmat persaudaraan Islam yang dianjurkan di dalam Islam. Tanda iman seseorang itu ialah dia kasih kepada saudara seagamanya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri. Sabda Rasululullah saw :
لا يُؤْمِنُ أحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأخِيْهِ مَا يُحِبُّ لنَفْسِه
Tidak (sempurna) iman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih pada dirinya sendiri.
Selamat Hari Raya Aidilfitri ( kullu am waantum bikhair )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan