Memaparkan catatan dengan label Pengalaman / Sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengalaman / Sejarah. Papar semua catatan

Jumaat, 18 Mei 2018

Pengalaman Hidup Yang Berharga.

Ada 2 pengalaman hidup yang sangat besar pengajarannya.

1. Pernah bersama dengan seorang kawan yang sangat bertolak ansur dalam hidupnya, apapun tindakannya tidak pernah menyakitkan hati seseorang, hingga kadang dilihat dirinya macam tiada perasaan, hinggalah Allah panggilnya kembali diusia yang masih muda.

2. Pernah bersama dengan seorang kawan yang selalu suka menyusahkan dengan bermacam permintaan diminta setiap hari, hinggalah Allah menjemputnya kembali secara mengejut.

Demikian 2 peristiwa ini sangat besar mesejnya yang ingin disampaikan Tuhan. Astaghfirullah.

Rabu, 14 Jun 2017

Tarawih di Sana'a.

Ini antara kenangan Solat Tarawih di salah sebuah Masjid di Sana'a dahulu sekitar tahun 2008.

“Teringat tarawih di Sana'a dulu, satu rakaat hampir setengah jam Imam baca, jadi Masjid tu buat 4 rakaat sahaja, pastu rehat dan sambung balik qiam tarawih 4 rakaat lagi pukul 3 pagi beserta witir. Selalu terfikir nak cabut lari, hehe, tapi waktu solat tu saya perasan disebelah kiri saya ada budak masih remaja yang bersama solat, bila tengok disebelah kanan pula ada pakcik yang dah berusia juga solat bersama, dan ada pakcik yang duduk atas kerusi roda tetap solat. Jadi cancel balik nak cabut lari, sebab rasa malu dan ianya sangat memberi motivasi. Alhamdulillah. Kenangan tarawih zaman belajar dulu.”

Semoga ada manfaat, terima kasih.

Jumaat, 30 Disember 2016

Nikmat Anak.


Alhamdulillah cukup setahun anakandaku semalam Ahmad Fauzan ketika adiknya Nur Haura' baru berusia 25 hari. Cukup Ayah mendoakan kebaikan buatmu setiap masa dan mencurahkan kasih sayang semampu mungkin sehingga waktu ini. Semoga membesar dalam keadaan sihat serta menjadi hamba/khalifah Allah yang berjaya dan mampu menjadi pemimpin serta ikutan dalam ketaatan kepada Agama.

Hingga hari ini sebenarnya masih belum percaya telah dikurniakan anak dan bergelar sebagai ayah. Begitu juga sebagai suami. Dengan keadaan persediaan ilmu, kewangan dan soal tanggungjawab, pengalaman dan pengurusan diri masih lemah. Demikian kesimpulan ringkasnya hidup ini selepas melalui tempoh-tempoh ini jawapannya adalah perlu berani hadapi dan tempuhinya. Perlu berani menerjah dan melanggar tembok-tembok kurang keyakinan dan kebimbangan dalam bermacam perkara, disamping sentiasa berusaha kadar yang termampu, berdoa dan berserah kepada Allah, dan yang penting niat serta tujuan kerana Allah.

Sekaligus menunaikan tanggungjawab yang besar dalam Agama, dan terutama memelihara diri dari maksiat.

Mengenang kembali saat dikurniakan anak sehingga proses demi proses penjagaannya, ia bukanlah hanya keseronokan dan kegembiraan paling besar seolahnya, namun disebaliknya mesti ada ilmu yang membawa kepada dorongan agar kuat untuk berkorban dalam memastikan amanah kurniaan anak ini dijaga sebaiknya. Iaitu cabaran hidup berkeluarga, mencari sumber rezeki, dan menitikberatkan didikan Agama.

Ia hadir sebagai ujian dan juga nikmat. Kadang menjadi tekanan, kadang menjadi penyejuk hati. Apa yang kita harapkan semua, semoga menjadi penyejuk hati ibubapa dan menjadi sumber pahala ibubapa ketika tiada kelak. Namun semuanya itu perlu kembali kepada peringatan serta nasihat Allah dan Rasul agar benar kurniaan anak ini bukan sekadar menjadi pelengkap kebahagian hidup didunia, tapi juga sebagai penyumbang manfaat manusia lain didunia ini dan yang lebih besar buat ibubapa selepas mati kelak.

Cara orang beriman mendidik anak mestilah berbeza dengan cara mereka yang lalai.

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
Ya Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak dari kalangan orang-orang yang soleh
(Ash Shaffat: 100)

رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ
Ya Tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan 
(Al Imran: 38)

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa
 (Al Furqan: 74)


30 Disember 2016.
Jumaat, 04.00 pm. Ipoh, Perak.

Rabu, 9 November 2016

Kenapa Dikatakan Zalim?

Alhamdulillah. Ingin saya kongsikan sedikit pengalaman berhadapan dengan Ujian Kezaliman.

Kenapa Dikatakan Zalimnya Seseorang Itu?

1. Apabila dengan kuasanya menjadikan seseorang itu dapat pertahankan tindakannya, dapat menutup kesilapannya, dapat menyalahkan orang lain kerana kelemahannya, dapat berbuat tidak tahu dan mendiamkan kesalahannya, dapat menyuarakan lebih haknya, dapat menipu dengan kepercayaan orang padanya, dapat memperdaya kerana jawatan ketuanya.

Begitulah manusia zalim mempunyai kuasa segalanya.

2. Dengan kuasanya tiada tindakan keatasnya, tiada tekanan kepadanya, tiada paksaan buat dirinya, bebas dengan kehendaknya, semua boleh diubah dan dirancangnya, hukuman dapat terlepas dan diringankan kepadanya, teguran satu kesalahan terhadap dirinya, tiada perlu melarikan diri darinya, tidak perlu risau hidupnya.

Begitulah manusia zalim merasa selamat akan semuanya.  

3. Hanya pemimpin yang yakin serta takutkan Allah akan benar-benar risau dan segera insaf kerana dia tahu Tuhannya Maha Tahu.

4. Yang menjadi pemimpin buatlah betul-betul, diperingkat kecil atau besar, hatta dalam rumahtangga. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Itulah jurang perbezaan yang dikatakan kenapa manusia itu adalah zalim!

5. Sedang yang dizalimi itu terus diuji, “lari, dihina, dikhianati, dizalimi, buntu, hilang arah, terumbang ambing, sakit, susah, porak peranda hidup serta dicengkam berbagai masalah kehidupan”.

6. Manusia zalim terus dengan kezalimannya bongkak, angkuh, merasa bangga, berseronok dan bahkan masih menekan lagi insan lain tanpa rasa perlu memuhasabah diri.

7. Wahai manusia zalim yang waras fikiran, bukankah ini satu kejahatan ketidakadilan yang jelas dan terang?

Ya Allah, bagaimana untuk aku tidak berdiam diri serta meminta tidak dibalas buruk buat manusia sebegini?

8. Benarlah hanya amaran Allah SWT kelak yang hanya mampu dapat menyedarkan:

وسيعلم الذين ظلموا أي منقلب ينقلبون.
“Kelak mereka tahulah bagaimana keadaan mereka.”

* Peringatan dan teguran kepada manusia yang berbuat ZALIM!

Ampunkan dosaku ya Allah.

09 November 2016.
Rabu, 11.00 pm. Ipoh, Perak.

Ahad, 9 November 2014

Makluman 1

Assalamualaikum buat semua pengunjung yang sudi datang membaca perkongsian di blog ini. Untuk makluman tuan/puan semua, masa saya sangat masih belum teratur untuk berkongsi secara kerap bagi pengisian diblog ini. Sebenarnya sangat banyak peringatan dan muhasabah hidup ingin saya kongsikan disini dari pengalaman dan pengajaran yang dilalui, kadang rasa tak terhitung banyak perkara nak juga ingin cuba dikongsikan melalui tulisan, percakapan, dan perbuatan. Yang saya fikir bukan artikel yang umum juga ingin disampaikan, dan topik-topik yang panas, namun salah seorang yang merasa ada inspirasi dan kena dengan keadaan dirinya dari apa yang dikongsi disini sudah cukup bagi saya, kerana setiap kita sudah tentu berbeza ujian dan dugaan hidup ini dari Allah. Dan berkaitan ujian-ujian dan cabaran yang pasti kita semua tidak lepas darinya. Apa yang akan terjadi, apa yang telah terjadi, kenapa terjadi, semuanya bermula dengan ujian-ujian dan justeru itu maka kita dituntut saling memberi nasihat dan peringatan untuk kebaikan dan ketaatan kepada perintah Allah akan segala masalah yang timbul.




Sesungguhnya hidup kita ini jika sentiasa dicari masa dalam setiap detik dan hari untuk benar-benar bermuhasabah, maka sangat banyak petunjuk dan pengajaran yang kita boleh ambil dan sedar akan segala masalah dan kesulitan yang terjadi. Buang segala ego nafsu yang selalu degil untuk mengalah dahulu.

Jadi banyak perkara yang ingin disampaikan, saya sekadar sempat menjadikannya sebagai status di fb dan page fb saya dengan info dan point-point penting. Jesteru kepada tuan/puan yang ingin mengajukan soalan atau bersembang bertanya apa-apa dan boleh diajukan melalui personal mesej akaun fb saya disini: https://www.facebook.com/AhmadFirdausAzis. Kemungkinan status-status di fb itu sangat pendek, ringkas, shortcut dan memang perlu kepada penjelasan lagi sebenarnya. Dan sebenarnya status-status itu adalah tajuk kepada artikel yang ingin cuba diulaskan, namun semuanya masih tidak kesampaian hajatnya kerana masalah kesibukan yang tak dapat dielakkan buat masa sekarang.

Saya mohon doakan saya diberi masa yang lapang dan kemudahan dalam saling memberi perkongsian pengajaran dan muhasabah dalam ujian kehidupan yang pasti dilalui ini hingga kejayaan menjadi hamba yang taat dalam redha Allah hingga dikurniakan hasil Syurga yang indah kelak. Dan terus dikurniakan semangat untuk cuba berusaha dengan istiqamah dalam menulis ini. Sekian, terima kasih semua.


17 Muharram 1435 H bersamaan 10 November 2014 M 
Isnin, 2.00 am. Ipoh, Perak.

Rabu, 26 Februari 2014

Sudah lama tidak Menulis.

 

Alhamdulillah3x, segala lafaz pujian kepada Allah kita ulang-ulangkan bagi menggambarkan rasa syukur kita dengan segala bentuk pemberian Allah yang sentiasa tidak terhitung ini. 

Sudah sangat lama sudah tidak menulis rasanya. Masa terus berlalu pantas, moga ia terus sama-sama kita gunakan mencari bekalan kebaikan diakhirat sana. Tiada apa penting ingin dicoretkan disini, cuma ingin mengimbau kembali saat niat bermulanya penulisan diblog ini dengan beberapa perkongsian. 

Alhamdulillah, secara kesimpulan asas yang utamanya. Tujuan setiap saya menulis artikel diblog ini ialah sebagai teguran, peringatan, kesedaran dan motivasi untuk diri saya sendiri. Tiap saat perkara yang terjadi, saya ulaskan seolah bercakap dengan diri sendiri tentang kesilapan-kesilapan yang telah terjadi. Dengan mengaitkan panduan dari Al-Quran dan Hadis. Apa yang Allah swt dan Rasul-Nya perintahkan. Alhamdulillah, setakat ini perkongsian-perkongsian ini turut ramai mengambil manfaat dan mengongsikannya. 

Dengan azam permulaan artikel-artikel yang dituliskan disini ialah apabila saya rasa saya sangat susah dan payah untuk membiasakan diri pergi bercakap dihadapan orang ramai. Perkara yang sangat berat dan paling besar rintangan dalam hidup saya untuk memberanikan diri. Demikian blog ini dibuat dan diisi dengan tazkirah-tazkirah yang saya ibarat digantikan dengan cara penulisan. Setiap kali menulis, saya ibaratkan orang dan masyarakat yang saya ingin sampaikan tazkirah ini berada dihadapan saya. 

Saya bukanlah orang yang banyak bergaul dan dikenali ramai, disaat saya mula menulis dan terus menulis diblog ini. Apa yang saya harap-harapkan biarlah walau seorang sudah cukup bagi saya untuk merasa hasil kejayaan tiap tulisan yang dicoretkan ini. Hanya dengan ini saya mampu buat. Biarlah walau seorang membuka dan mebacanya, mudahan dengan dari seorang ini, dia yang menjadikan beribu-ribu lagi orang lain membaca darinya. Nabi sebut dalam hadis yang sahih tentang besar pahala orang tengah yang menyampaikan kebaikan, Nabi sebut lagi dalam hadis yang lain tiap orang yang mengikut, kita akan turut dapat pahalanya. 

Apa yang terjadi pada diri, saya akan coretkan untuk semua agar dapat mengambil pengajaran dan terutama buat diri sendiri. Apa yang mengembirakan bilamana ada kenalan-kenalan yang menghantar mesej mengucapkan terima kasih atas artikel dan sebagainya lagi. Kehidupan ini sebenarnya sudah cukup ada seseorang yang memberi kata semangat dan pujian. 

Hari ini masa saya tidak seperti dulu lagi, dulu saya menyibukkan diri untuk menulis walau tak pandai menulis. Hari ini andai ada dijual masa, ingin rasa untuk membelinya. Keadaan perubahan yang tak dijangka dan pernah terlintas, namun ia pernah dilafazkan dengan kekerapan doa dan niat dalam hati. Alhamdulillah, syukur pada Allah atas segala-galanya ini. Banyak perkongsian-perkogsian pendek boleh dibaca di fb saya. Terima kasih kerana sudi membaca dan menyebarkannya lagi. Dialukan bertanya apa-apa dan menegur segala kesilapan didalam blog ini. 


25 Rabiulakhir 1435 H bersamaan 26 Februari 2014 M 
Rabu, 11.30 pm. Ipoh, Perak.

Isnin, 30 Disember 2013

Dari Kursus Teknik Guru.

Sedikit perkongsian dari Kursus Guru Dan Warden tempoh hari di Pulau Pangkor. Antara pandangan umum yang ingin dikongsikan.

1. Tiap berbagai panduan dan teknik sekarang yang diperkenalkan dan dijelaskan, ianya tidaklah sebenarnya pergantungan kepada teknik tersebut. Namun ia lebih berbalik semula pada asas ilmu akhlak mendidik diri dengan peribadi yang sabar, rendah diri, istiqomah dan perbuatan dan pertuturan yang baik. Yang sebenarnya kebanyakan teknik itu telah pernah disedari dan terlintas dalam hati kita, cuma perasaan untuk terus cuba bersabar, menerima yang benar dan menundukkan ego itu payah. Dan segala akhlak lain lagi yang punyai hubungann keimanan kepada Allah swt dalam melakukan tindakan. 

2. Niat yang baik dan keikhlasan kita, dan menjadikan semua itu sudah tanggungjawab Agama dalam mengajak kepada yang baik dan mencegah yang mungkar. 

3. Jika kita merajinkan diri untuk membaca dan mempelajari dari kisah Al-Quran dan Hadis. Kita akan dapati segalanya telah lama disuruh dan ditunjuk ajar oleh Al-Quran dan Hadis. 

4. Sistem pengurusan, disiplin, kekemasan dan kebersihan yang sangat terjaga adalah merupakan tuntutan Agama yang penting dan besar. Yang tidak boleh diremehkan. 

5. Semua teknik itu benar dan perlu dipraktikkan. Antara blog perkongsian teknik yang dimaksudkan ialah: www.parentinggayarasulullah.blogspot.com.

Terima kasih sudi membaca dan komen dialukan.


27 Safar 1435 H bersamaan 31 Disember 2013 M

Selasa, 12.15 am. Marang, Terengganu.

Sabtu, 27 Julai 2013

Malu untuk menyampaikan Ucapan.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana masih memberi kesihatan yang baik dan rezeki yang cukup. Nikmat ini adalah sangat penting untuk sentiasa disyukuri kerana ia akan ditanya kembali apa yang telah kita lakukan dengan nikmat tersebut semasa hidup ini. Hari ini ingin saya berkongsi sedikit pengalaman berkaitan membuang sifat terlalu malu dalam hidup, hingga sampai tahap merasa terlalu rendah diri dan merasa seolah pasti tidak boleh atas keinginan yang dihasyratkan itu. “Merasa malu setelah usaha lebih baik dari malu dan melepaskan diri dari terus cuba berusaha”. 

1. Tiap manusia Allah jadikan berbagai kelebihan dan kekurangan. Tiada manusia yang semua kelebihan dapat diraihnya. Pastinya terdapat beberapa perkara yang tidak mampu dilaksanakan juga. Namun seorang mukmin disuruh sentiasa berusaha kearah yang baik dan terbaik dalam hidupnya. Berupaya dan hebat dalam pelbagai-bagai bidang untuk membawa dan menaikkan imej Islam ini. Tidaklah berada dalam keadaan lemah dan sentiasa hanya mengharap bantuan dari orang lain. Dalam Al-Quran dan Hadis sudah pasti menekankannya. Kita juga mengetahui sejarah kegemilangan, ketamadunan dan kecanggihan ilmu dahulu milik dan berasal dari orang-orang Islam.


  

2. Pengalaman hidup saya semenjak kecil dikenali dengan seorang terlalu sangat pemalu. Lalu ke taska, sekolah rendah, menengah dan hinggalah ke universiti. Perasaan malu yang selalu menjadi keruagian besar dalam hidup. Kadang selalu terlintas dalam fikiran, ‘andai perasaan malu ini dapat dibuang, pasti segala perkara aku akan buat dan tunjuk’. Ketika sekolah menengah aku sering memikirkan bagaimana aku mungkin dapat memberanikan diri kelak, aku merasa hal itu seolah ajaib dan sangat mustahil untuk berlaku. Kadang aku selalu berdoa, dan mengharap keajaiban dalam hidup ini dari Allah. Begitulah hari terus berlalu dengan aku sentiasa cuba meloloskan diri dari awal-awal lagi bila berhadapan dengan arahan supaya menyampaikan ucapan apa-apa majlis dihadapan. Perkara yang sangat melegakan hidup aku adalah apabila selamat dari pergi berucap memegang microfon. Segala macam kutukan, kritikan dan pandangan pelik selalu menjadi ujian besar buat diri. Dari kawan dan keluarga sendiri. Malang lagi tiada seorangpun yang pernah memberi kata semangat dari pengalaman untuk memberanikan diri. Kadang lagi aku fikir untuk mencari kerja yang kurang bergaul dengan orang, aku juga sangat kurang bergaul. Kadan lagi fikir kenapa Allah jadikan aku demikian, adakah aku memang dijadikan sebegini. Mungkin ini ada hikmah dari Allah. Banyak peluang sentiasa dilepaskan. 

3. Hinggalah kesaat ini, Alhamdulillah akhirnya dapat juga untuk paksa memberanikan diri bercakap dihadapan orang ramai. Walau terlalu banyak kesilapan, tapi aku merasa gembira kerana dapat usaha pergi bercakap. Apa yang memberi semangat untuk berubah ini ialah: (1) Aku memikirkan yang Allah tak beban apa yang aku tak mampu. Demkian bebanan dan amanah yang diberikan itu sebenarnya aku mampu untuk buat. Dan (2) Apabila kita merasa malu setelah usaha itu lebih baik dari rasa malu dan gembira melepaskan diri dari terus cuba berusaha. Kerana kita tahu mana silap kita dan dapat berusaha merubah mana yang silap, sementara terus melepaskan diri, kita sentiasa dalam keaadaan silap dan tidak berusaha merubah yang silap itu. Bila kita sering ungkapkan, ‘biarlah, nantilah aku cuba beranikan diri, itu lebih kesan buruknya dari orang yang terus cuba usaha beranikan diri walau banyak silap’.

 

4. Ada orang malu kerana tidak tahu, ada orang malu kerana merasa muda, dan ada orang malu kerana takut salah. Biarlah kita malu kerana tidak tahu dan tidak malu kerana perkara sebenar. Dan jauhilah sampai terlampau malu dan tiada lagi sifat malu dengan bebas membuat apa yang diingini, hingga juga sampai nampak keegoan dan kejahilan diri. Sekarang saya sedang berusaha tidak malu untuk perkara baik, saling doakan walau tidak mengenali. Mungkin perkongsian ini bermanfaat buat yang seperti saya.

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَال 

 Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari keluh kesah dan kesedihan, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat bakhil dan penakut, dari lilitan hutang dan penindasan. (Hr al-Bukhari)


18 Ramadhan 1434 H bersamaan 27 Julai 2013 M 
Sabtu, 11.45 pm. Perak, Malaysia.

Rabu, 6 Februari 2013

Sedikit berkaitan Page Peringatan.

1. Assalaamualaikum semua. Alhamdulillah atas nikmat Allah yang berterusan dan tak ternilai ini. Hanya beza kita mahu menyusukurinya atau tidak, yakni dengan usaha tunduk dan patuh pada suruhan-Nya atau masih terus ego dan biarkan kelalaian dunia yang pasti akan binasa juga.



2. Untuk makluman yang sudi like Page ini. Segala bahan yang dikongsikan di page ini adalah dari sedikit perkongsian jurusan ilmu yang dipelajari dan diketahui. Secara umumnya untuk dakwah. Dan pendapat, pandangan, cadangan, teguran, luahan dan peringatan dalam hari-hari hidup, yang dirasa perlu untuk dikongsikan sebagai untuk menjadi peringatan dan sama-sama bermuhasabah. Dan juga perkongsian-perkongsian umum seperti mana yang telah dialbumkan mengikut bahagiannya di dalam page ini. Terima kasih semua kerana sudi mengunjung dan mengikutinya. Sebarang komen dan apa-apa pertanyaan sangatlah dialukan. Mohon maaf atas perbezaan. Selanjutnya dan selengkapnya lagi boleh baca artikel-artikel diblog saya ini. Peringatan-peringatan ringkas dari di page itu adalah dari sedutan-sedutan pendek artikel yang penuh dari blog ini. Dan kata-kata di page sentiasa akan dihimpunkan dan boleh dibaca melalui blog ini.



3. Alhamdulillah. Tiada apa yang diharapkan, melainkan hanya ingin saling memberi peringatan, kerana itu dituntut agama dan adalah sifat selaku seorang mukmin. Perlu untuk kita saling sama-sama mengajak pada kebaikan dan sama-sama mencegah kemungkaran. 

4. Mudahan ada manfaat. Yang bermanfaat, dialukan untuk copy, tag dan sebarkannya lagi. Yang silap, harap tegurnya. Sama-sama kita bantu dan berlumba dalam kebaikan dan sama-sama saling kita cegah dan berusaha jauhi untuk kemungkaran. Jazakumullahu khairan kathira. Jika tak keberatan, mohon diletak sumbernya. Untuk mudah respon dan apa-apa pertanggungjawaban dan hal lain lagi.



5. Peringatan-peringatan disini untuk diri saya sendiri. Dan sebagai motivasi dan menjadi peringatan buat diri sendiri. Sangat berharap mudahan, ada kesan dan kesedaran juga buat anda semua. 

6. Bukanlah setiap apa yang saya tulis atau saya petik daripada kata-kata orang lain itu menggambarkan tentang realiti kehidupan dan sikap saya. Sebenarnya yang demikian itu adalah ayat-ayat yang untuk menyedarkan saya juga. Yang perlu untuk kita sama-sama peringatkan dan muhasabah. Kerana juga ayat itu mengkagumkan saya, dan yang kadang-kadang ayat-ayat itu diperlukan oleh orang-orang selain saya. 


26 Rabiulawal 1434 H bersamaan 07 Februari 2013 M 
Khamis, 01.25 pm. Perak, Malaysia.

Rabu, 11 April 2012

Cuti, sedikit perkongsian.

1. Hari ini, waktu hidup kita masih lagi berjalan. Banyak cerita, perkara, kenangan dan pengalaman hidup yang lepas, dan yang baru sahaja lepas masih diingati dalam fikiran kita. Sejarah baik atau buruk masih diingati. Samaada ia dari diri kita atau dari orang lain. Tika detik ini masih berputar. Kita sentiasa ada banyak perancangan yang ingin dilakukan. Ada yang sudah insaf, bertaubat. Menyedari hakikat dunia ini. Mengingati ajal yang pasti, dunia yang hanya tempat berhenti. Dan ada yang masih lena, terpedaya dengan permainan dunia.


2. Ruang hidup yang masih diberi, marilah sama-sama sentiasa semak segala akaun hidup kita. Menilai segala apa yang dirancangkan. Ingat silap kita pada Allah, ingat janji-janji kita dengan Allah, ingat hutang kita dengan Allah, ingat nikmat, rezeki kurniaan Allah. Jangan lagi diasyikkan dendam pada manusia, silap dari manusia dan menyebar aib manusia. Marilah taburkan kebaikan dan tidak membilangnya. Dan ingat, bilanglah kejahatan agar bertaubat, insafinya. Kita mengharap segala amal diterima Tuhan dan diampunkan segala kesalahan. Firman Allah swt:


“Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui apa yang akan didapatinya esok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali. (Luqman 34)”

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Hasyr 18)”




3. Setiap orang, ada perkara yang ingin dikongsikan dan diluahkan. Inilah hakikat hidup, akan saling ingin memerlukan, mengharapkan. Namun perhatilah tempat dan apa yang ingin dikongsi dan diluahkan itu. Islam telah mengariskan, menjelaskan segalanya. Tulisan ini, sekadar bercerita sedikit pengalaman dan keadaan yang berlaku dalam jangka masa setahun baru-baru ini. Tiada apa yang diinginkan, hanya mengharapkan supaya wujud kesedaran bersama ketika menjalani hidup ini dalam menunaikan hak, suruhan Allah swt.


4. Di Sana’a Yaman, tempat inilah yang telah memberi kesan pada diri penulis. Kita semua dapat mampu merasai sendiri perubahan pada diri, perangai kita, disebalik kita sentiasa mengharapnya dengan kerap berdoa pada Allah. Suasana disini telah merubah segalanya. Ia meruntuhkan sifat berlumba ego, sombong dengan dunia. Ruang-ruang dosa, maksiat sukar didapati, pakaian wanitanya terjaga, keluasan feqah itu terbina, kepentingan akhirat dan hakikat kehidupan dunia yang sering diperingatkan. Masaalah sosial masih terkawal. Terasa tenang, gembira melihat majoriti masyarakatnya faham dan beramal dengan Islam. Keberanian berkata tentang Islam. Kebaikan menenggelamkan kejahatan. Alunan zikir dan al-quran adalah rutin yang biasa terselit kedengaran. Solat jamaahnya dikejari. Inilah sebahagian kebaikan yang sempat dirasai. Ia wujud disebalik kemunduran, kemiskinan Negara ini.


5. Hinggalah berlaku pergolakan yang memaksa pulang. Malaysia, tak dinafikan lagi Negara yang maju, terlalu jauh dengan Yaman. Pelbagai kemudahan disediakan. Namun kemajuan ini banyak telah membutakan masyarakat hal Agama. Mengekang untuk ketelusan Agama. Andaikata semua pemimpin-pemimpin Negara, yang berkuasa mendengar nasihat, teguran-teguran Ulama’, memahami dan beramal dengan Islam yang dibangga, nescaya Negara ini amatlah hebat, kuat. Diibaratkan digabung Yaman dan Malaysia.


6. Suatu masa ketika kelas agama di kampung, “sedang mengajar tentang kepentingan solat, ancaman meninggalkan solat, lalu bergegas bangun beberapa orang murid berumur 10-12 tahun dengan lajunya, katanya lupa untuk solat zuhur, pergilah mereka dengan segera menunaikan solat, sambil tersuka yang lain”.


Pengajaran: 1. Manusia ini pelupa, lalai. Allah swt telah mengingatkan. Diturunkan al-Quran, diutuskan Rasul. Para sahabat dan ulama’-ulama. Kita semu perlu saling mengingatkan, kadang sebenarnya semua telah tahu jelas segalanya, namun malangnya malu, sukar untuk menegur, memperingatkan. Apatah lagi jika dalam keluarga, saudara-mara, teman rapat, amatlah dirasa malu lagi untuk tegur, mengingatkan. Kita perlu saling beranikan hal ini, dengan cara-cara yang tidak menimbul masaalah lain. 2. Perlunya kerap memberi peringatan, tegas dalam soal Agama. Cerita tentang azab dan nikmat. Agama untuk kejayaan hidup, dunia dan akhirat. 3. Lemahnya tanggungjawab ibubapa dalam mendidik anak-anak hal agama, mengingatkan pentingnya solat. Kita lebih kepada lulus exam, pandangan dunia. Kadang biasa ketika di kampung, keluar anak-anak untuk bermain, kita pula yang mengingatkannya. Marilah semua menitikberatkannya. Solat itu asas kejayaan Hidup.


7. Pengaruh tv, internet, suasana hidup kita dan pelbagai hiburan lain. Ingatlah dan ketahuilah, tiada guna jika anak-anak dihantar diajar walau sedalamnya tentang Agama, namun suasana dirumah kita masih dibiarkan dengan hiburan-hiburan harian tv, cerita, internet dan keadaan rutin hidup kita, dalam keluarga kita dengan unsur kelalaian. Tak ada guna jika sekadar hantar anak belajar mengaji, belajar solat, belajar agama di kelas-kelas, namun tiada penekanan, suasana itu dirumah. Kita perlu mensuasanakannya. Jangan kata dan rasa tak menjadi masaalah dengan drama-drama sosial dan berbagai lagi itu, jangan kata dan rasa perlu dibiarkan mereka bebas berinternet. Perkara ini padahal amatlah besar, berat kesannya, ia punya kesan yang hebat sebenarnya. Percayalah, ketahuilah! apatah lagi jika urusan agamanya lemah. Hadkanlah, marilah kita mengawasi segalanya. Berhiburlah dengan hiburan yang dibenar Islam. Kita mampu merubahnya sebenarnya. Manusia memang perlukan hiburan, banyak hiburan yang dibenar Islam, selagi ia tak dilarang Islam, biarkanlah. Usahalah untuk tidak kepada dosa. Contoh mudah, “andai jika main game, bola, basikal, memancing yang diminatinya, atau apa-apa lagi, maka galakkanlah dan biarkanlah seluasnya, selagi mana tak lalai, tak bawa pada dosa”. Jangan juga kita asyik melarang dan kita menutup pintu-pintu lain atau kita biar pintu dosa yang dibuka. Yang menghasil kepada dosa dilaluinya. Marilah semua mengambil berat, demi kebaikan, kejayaan dunia dan akhirat. Sabda Nabi saw:


“Tidaklah dilahirkan bayi itu, melainkan dalam keadaan fitrah, suci (Islam), maka ibubapanya yang membentuk Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Hr Muslim)”


8. Anak pasti terpengaruh dengan perangai ibubapa, rakyat pasti terjajah dengan cara pemerintah. Ramai menghantar anak ke pusat pengajian Agama, ia amatlah dipuji, mengharap penyumbang pahala untuk kita. Jadi pendakwah Agama. Mudahan meneyedarkan kita juga. Jika demikian, memang itu dipuji. Kita semua mengingininya. Namun dalam masa yang sama ibubapa haruslah membenarkan diri dahulu untuk terus belajar dan mengamalkannya. Berusaha membenarkan dalam keluarga, bersifat terbuka. Jika tidak, anak akan terkekang dengan suasana ibubapa, keluarganya sendiri yang bersalahan dengan apa yang dipelajari. Mereka segan, hilang tujuan. Hilanglah keyakinan, kebenaran dan kefahaman ilmu yang dipelajari itu.


9. Kita didik sesopannya anak-anak kita, namun bila mereka keluar, keadaan telah merubahnya. Peranan yang besar dari pihak berkuasa, dari pemerintah. Pinggirlah golongan yang jelas memberi sumbangan terhasilnya berbagai maksiat dalam Negara kita, dengan penipuan, rasuah. Imej, ucapannya, dapat dinilai jelas sebenarnya. Janganlah terhijab dengan habuan dunia. Marilah semua tundukan ego, untuk membenarkan Islam terlaksana.


“Kata Abdullah bin Mubarak dan yang lain dari kalangan salaf: Dua golongan dari manusia, bila mereka baik, nescaya baiklah manusia. Dan bila mereka rosak, nescaya rosaklah manusia. Iaitu para Pemerintah dan para Ulama’. (I’laamul Mauqi’iin, ibn Qayyim. Jilid 1/10)”




10. Faktor suasana amat penting. Cerita seorang pakcik akan hal saudaranya yang mengeluh kerana anaknya yang agak sukar belajar al-Quran, puas disuruh, dipujuk katanya. Bagi saya, perlu melihat suasana persekitarannya, perangai ibubapa dan rutin dalam rumah, keluarganya. Saya amat meyakini jika bacaan al-Quran, zikir yang sentiasa hidup. Kesedaran, kepentingan agama yang sentiasa diselitkan, pasti mampu mengatasi keluhan itu. Jika sebaliknya, maka munasabah dengan keadaan itu.


11. Ramai berkata, “masa muda enjoy lah sepuasnya, nanti tua barulah taubat, berubah”. Cerita dari seorang pakcik dikampung. Sembang dengannya kebetulan di kenduri kahwin. Dalam banyak yang dicerita, ada satu kisah yang dirasa sedih, tersentuh. Sembangnya, “pernah pakcik pergi ke sebuah institut, di sana ada kelas mengajar Al-Quran khas buat golongan tua, umur mereka sebaya dengan pakcik, 50 hingga 70. Pakcik lihat mereka belajar membaca Al-Quran dalam keadaan merangkak-rangkak sebutannya, dengan keadaan mengalir airmata, ceritanya dengan sedih”. Marilah mengambil pengajaran, fikirlah bagaimana hal zuriat, keturunan mereka. Macam mana jika kita tak sempat, dan malang lagi yang masih menangguh-nangguh.


12. Pelajar jurusan Agama, ramai juga yang dilihat mungkin masih tidak faham akan tujuan dipelajari ilmu ini. Ilmu ini amanah, tanggungjawab. Gelaran ustaz, ustazah bukanlah suka-suka. Janganlah lebih diperhatikan imbuhan yang kita dapat dalam berdakwah, lebihlah perhatikan akan tanggungjawab, amanah dalam menyampaikan dakwah itu. Jangan dirasakan ia sekadar sumber mencari kerja. Sebaliknya ia perlu dirasakan dan mengingatinya suatu tanggungjawab, amanah dari Allah. Jangan jika ada peluang mengajar, barulah akan menyampaikannya. Jika tiada, tidak akan disampaikannya.


Kita perlu selidik, kaji bahan yang disampaikan, menghindari cerita, hadis palsu kerana untuk mengaut untung dalam berdakwah. Kita tidak mampu untuk berkata yang benar, janganlah pula kata yang salah, sesat, mengelirukan. Dan juga yang kita sendiri tidak tahu sumber kesahihannya. Marilah saling titiberatkan. Berdakwah pula, bukan saingan sejurusan untuk kita perhati, cari, tapi kejahilan, kehanyutan masyarakat yang bertimbun ramainya itu yang perlu kita fikirkan, perhatikan dan sampaikan. Marilah kita hayati, renungi pesan Nabi saw ini:


“Sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya dalam Neraka. (Hr Bukhari)”


“Sesiapa yang mempelajari satu-satu ilmu yang boleh membawa kepada Allah, namun dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan keuntungan duniawi, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada Hari Kiamat. (Abu dawud, ibn Majah, ibn Hibban dalam sahihnya)”

“Sesiapa yang mempelajari ilmu untuk menyombongi sesama orang yang berilmu atau untuk mendustai orang-orang bodoh atau untuk menarik perhatian orang lain kepadanya, Allah akan mencampakkannya ke Neraka. (at-Tirmidzi, hassan)”


“Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka Nerakalah tempatnya. (ibn Hibban dalam sahihnya)”


Demikian, ingin saya mensarankan agar/untuk sama kita baca dan hadam sebaiknya dua Kitab ini: (Thaqoofatud Dhaa’iah - Yusuf al-Qardawi dan Usul Dakwah – Abdul Karim Zaidan, mula dari m/s 293)




13. Islam agama yang selamat, sempurna. Dilarang kerana kesan buruk, disuruh untuk semua jadi baik, selamat, sempurna. Perkahwinan, marilah mengikuti sunnah. Kenapa kita sangat memberatkan perlaksanaan pernikahan? Kenapa kita menampakkan pernikahan itu memerlukan peruntukan yang besar? Maharnya yang tinggi, persiapan, jamuan dan segala upacaranya. Janganlah sibuk menandingi pandangan dunia. Jauhilah pembaziran. Malang lagi upacara persandingan yang menjadi adat. Marilah ubah, tinggalkan adat yang merosak, membebankan. Biasakan majlis, duit tak perlu ambil. Banyak zina, bila ruang perkahwinan, ruang halal dilihat terlalu susah. Disebalik godaan nafsu yang sentiasa bergelegak. Apa salahnya kita berpakat bantu anak kita, agar terhindar dari masaalah sosial, lalu berzina, buang anak. Marilah memahaminya, mengikuti syariat. Semua akan selamat, hidup dapat rahmat.


14. Kembalilah pada Agama, titikberatkan dan pentingkanlah aspek Agama. Cerita seorang makcik dengan marah, kesalnya dan hingga menimbulkan persoalan untuk “cerai” bilamana baru diketahui menantunya jarang solat, selepas mengandung baru disedari. Marilah semua, mengambil pengajaran. Kita lihat, pandang, fikir dan rancang untuk akhirat. Dunia ini memang tempat hiburan, penuh permainan, kita perlu berhati-hati. Allah dan Rasul rujukan segalanya, ada panduannya. Agama asas, penawar segalanya, mungkin ia susah, sakit sedikit, namun memadai balasan Syurga Allah yang dikhabarkan. Sabda Nabi saw:


“Sesungguhnya yang besar berkat pernikahan, mudah perbelanjaannya. (Ahmad, al-Baihaqi dalam Sya’bul Iman)”


“Jika ada orang yang datang kepadamu lelaki yang telah engkau senangi Agama dan Akhlaknya maka nikahkanlah dia. (at-Tirmidzi, Hassan)


15. Segala yang dikongsikan ini hanyalah bertujuan agar dapat dimaklumi keadaan yang berlaku dan dirasa perlu untuk kita sama-sama mengambil perhatian, pengajaran. Saling memberi peringatan, dan sentiasa memperbetulkan diri.


16. Muhasabah Akhir, “marilah kita ingat waktu kita sakit, tak selera makan, minum, tak dapat tidur, berjalan. Masa itu kita macam seolah baru sedar, fikiran kita lain, banyak kata dilafaz, dijanji dengan Allah, dengan manusia. Kita merayu. Jika aku sihat, pulih, aku akan buat ini dan itu. Alhamdulillah, waktu berlalu. Allah telah menyihatkan kita. Kita kembali sedia kala. Dapat kembali keadaan biasa.


Waktu hidup terus pantas berlalu. Kelak nanti kita mati, kita akan baru sedar lagi semula. Banyak fikir, kata, janji dilafaz, dirayu. Kita baru ketahui, nampak hakikat dunia. Namun kali ini, tiada guna lagi. Kita tak akan kembali sedia kala lagi. Hasil amal didunia hari itu yang dapat, mampu merubah nasib kita. Demikian, sahabatku semua… marilah kita manfaat baki hidup ini. Mati, bukti segala-galanya. Sesiapapun kita. Kaya, hebat, cantik mana kita, kita tetap mati. Kita akan mati juga. Mati, ia membuktikan kewajipan perlunya ketaatan/kembali pada Allah, perlunya mengikuti, mentaati ajaran Allah (Islam). Membuktikan kebenaran, kekuasaan Allah.


Dunia memang tempat diuji, kerana kita akan pasti mati. Tiap rasa susah, perit, sakit, rasa tak tahan, tak mampu, tak sanggup dalam tika kita diuji, tiada lain, pertolongan dari Allah kita perlu pohonkan. Jangan sesekali berputus asa, taubat, doa selalu dipanjatkan. Kita ini hamba Allah, dari Allah. Allah mengetahui segalanya. Allah tidak pernah menzalimi, menyusahkan kita, kita yang menzalimi, menyusahkan diri kita sendiri. Islam, cara hidup segalanya. Ia lengkap. Marilah meyakini segala janji-janji Allah.




Pulang ketika pergolakan di Yaman, 21.3.2011-21.3.2012.19 Jamadilawal 1433 H bersamaan 11 April 2012 M
Rabu, 01.10 pm. Sana’a, Yaman.

Jumaat, 2 Mac 2012

Qadhi Muhammad bin Ismail al-Imrani.



(Lawatan dari pelajar tahun 3 "UST Yaman", ke Masjid tempat pengajiannya. Gambar ini dirakam pada tahun 2010)


Nama penuh beliau ialah Abu Muhammad, Muhammad bin Ismail bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Husein bin Soleh bin Syai‘ al-‘Imraniy. Dilahirkan di Sana'a pada bulan Rabiul Awwal 1340 hijrah.


Qadhi Muhammad bin Ismail terkenal dengan panggilan al-‘imraniy walaupun beliau dilahirkan dan dibesarkan di kota Sana'a. Ini kerana keluarga beliau berasal dari daerah ‘imran, pinggir Sana'a. Moyangnya, Qadhi Ali bin Husein telah berhijrah dari daerah ‘Imran menuju ke kota Sana'a di zaman pemerintahan Imam al-Masur al-Husain (1139H-1162H) pada kurun ke 12 hijrah. Dari saat itulah keluarga al-‘Imraniy berkecimpung dengan dunia keilmuan sehinggakan kaum keluarganya terkenal dengan keluarga ulama. Datuk beliau, Qadhi Muhammad bin Ali al-‘Imraniy merupakan anak murid kepada ulama Yaman yang terkenal iaitu Muhammad bin Ali al-Syaukani rahimahullah.


Keterampilan serta kepintaran datuknya mendapat perhatian dari Imam Syaukani sehingga Syeikh al-Islam ini merakamkan keperibadian Muhammad bin Ali al‘Imraniy dalam kitab beliau iaitu Badr al-Thali'. Begitulah salur galur keturunan al-‘Imrani dalam bidang keilmuan sehingga melahirkan seorang lagi ulama yang disegani di Yaman ini iaitu Qadhi Muhammad bin Ismail al‘Imraniy.


Kembara Ilmu


Peringkat Pertama :
Qadhi Muhammad bin Ismail telah bercerita kepada anak muridnya tentang pengalaman pertama dalam menuntut ilmu. Hatinya mula terdetik untuk mencari ilmu apabila ada seorang tua berkata kepada beliau; "kamu ini anak Qadhi Ismail bin Qadhi Muhammad..." yang bermaksud bahawa bapa kamu adalah ulama besar Yaman dan begitu juga dengan datuk kamu. Sejak dari itulah Qadhi al-‘Imraniy telah bergegas ke sekolah rendah al-Fulaihi ketika berumur tujuh tahun. Di situ beliau belajar pelbagai ilmu seperti al-Quran, tajwid, nahu saraf, akhlak, matematik, geografi, ilmu kesihatan dan lain-lain lagi sehinggalah beliau berhasil memperoleh sijil dari sekolah tersebut. Kemudian beliau berpindah ke sekolah al-Islah dan memperoleh keputusan yang cemerlang.


Peringkat kedua :
Pada peringkat inilah kembara ilmunya yang sebenar. Semasa berumur 10 tahun beliau telah berpindah ke Jami‘ Kabir (masjid besar Kota Sana‘a Lama) dan masjid Fulaihi dan belajar al-Quran dengan qari Muhammad bin Ishak, al-Faqih Yahya al-Kibsiy, al-Faqih Husain al-Akwa‘ dan Syed Muhammad bin Hamid al-Dabb.


Kemudian beliau telah menghafal beberapa matan seperti matan al-Azhar (Fiqh Hadawiy), matan al-Kamil (usul Fiqh), matan al-Kafiah (Nahu), matan al-Fiah (Nahu) dan Qawaid al-‘Irab (nahu). Kemudian Qadhi al-‘Imraniy telah melanjutkan pengajiannya dengan beberapa ulama besar Yaman pada ketika itu. Berikut adalah nama guru-guru beliau serta kitab pengajian beliau dengan ulama tersebut :


1. Qadhi Abdullah bin Abdul Karim al-Jarafiy (1387H). Muwatta‘Malik, al-I‘tibar fi Nasikh wa Mansukh, Sunan Nasa’i dan sebahagian besar kitab Subulussalam dan Nailu al-Awtar.
2. Qadhi Abdullah bin Abdul Rahman Hamid (1319H). Beliau telah mengajar Qadhi al-‘Imraniy kitab Syarh Ibn ‘aqil, Jawahir Maknun (balaghah), syarh al-Kamil (usul Fiqh) dan sebahagian dari syarah matan al-Azhar dan Qawaid al-I‘rab.
3. Sayyed Abdul Karim bin Ibrahim al-Amir (1330H). Beliau adalah pembimbing Qadhi al-‘Imraniy dalam menghafal beberapa matan ilmu di antaranya ialah matan al-Azhar, al-Kamil, al-Kafiyah, al-Alfiyah dan Mulhatu al-I‘rab. Kemudia Qadhi al-‘Imraniy telah belajar dengan beliau beberapa kitab syarah seperti Qatru al-Nada karangan Ibnu Hisyam, Ibnu ‘aqil, Kafil, Mughni Labib, Jawahir al-Maknun dan Syarah al-Tiftazaniy (saraf).
4. Qadhi Hassan bin Ali al-Maghribiy (1410H). Ilmu Faraid, syarah matan al-Azhar dan kitab Usul al-Ahkam karangan imam Ahmad bin Sulaiman.
5. Qadhi Ali bin Hassan bin Ali bin Husain al-Maghribiy (1948M). Telah mempelajari dari beliau syarah Qatru al-Nada serta Nakhbatu al-Fikr fi Mustalahi Ahli al-Athari karangan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘asqalaniy.
6. Qadhi Abdullah bin Muhammad al-Sarhiy (1318H). Tafsir al-Kasysyaf karangan Syeikh al-Zamakhsyariy.
7. Qadhi Abdul Wahhab al-Syamahiy (1375H). Syarah matan al-Azhar.
8. Sayyid Ahmad bin Ali al-Kahlaniy (1387H) Syarah al-Azhar, Ghayatu al-Sual, al-Kasysyaf dan Sunan Nasa’i.
9. Sayyid Abdul Khaliq bin Husain al-Amir (1370H). Syarah Raudhu al-Nadir, Sahih Muslim dan syarah al-Azhar.
10. Sayyid Muhammad bin Ali al-Sirajiy. Syarah al-Ghayah, karangan Husain bin al-Qasim dan syarah ‘umdatu al-Ahkam.
11. Al-‘Allamah Muhammad bin Soleh al-Bahluliy (1390H). Syarah Qatr karangan al-Fakihi, Syarah Jawahir Maknun, Syarah Tabari ‘ala al-Kafil fi al-Usul, Syarah al-Talkhis fi al-Ma‘ani wa al-Bayan, Syarah ‘umdatu al-Ahkam, dan permulaan tafsir al-Kashshaf.
12. Al-‘Allamah Ali bin Hilal al-Dubabi (1388H). Tafsir al-Kashshaf.
13. Qadhi Yahya bin Muhammad al-Iryaniy . Raudhatu al-Nadir, Sunan Abi Daud, al-Bahru al-Zakhkhar dan sebahagian dari kitab al-Kashshaf, al-Ghayah dan Zaadu al-Ma‘ad.
14. Al-‘Allamah Ahmad bin Muhammad Zubarah (1421H). Sebahagian dari kitab Syifa’ al-Amir al-Husain, Syarah al-Azhar dan sebahagian besar kitab Subulu al-Salam.


Anak Murid :


Anak murid Qadhi Muhammad bin Ismail al-‘Imraniy mempunyai ramai anak murid sehingga sukar dikenal pasti. Bilangannya mungkin mencecah ribuan orang sama ada pelajar dari Yaman mahu pun dari negara-negara lain seperti Indonesia, Malaysia, Somalia, Albania, Cina dan negara-negara Afrika. Adalah tidak keterlaluan sekiranya mengatakan bahawa lebih 50 jenis etnik dari kalangan pelajar-pelajar yang mendalami ilmu dengan beliau di Universiti Iman. Ramai dari kalangan hakim mahkamah syariah Yaman, pendakwah, pegawai kerajaan dan profesor-profesor di universiti Yaman adalah anak murid Qadhi al-‘Imraniy. Ini kerana Qadhi Muhammad adalah tenaga pengajar terpenting di beberapa institut pengajian tinggi di sekitar Sana'a seperti Institut Pengajian Tinggi Kehakiman, Universiti Iman dan Universiti Sana'a. Qadhi Muhammad al-‘Imraniy juga mengajar secara tetap di Masjid al-Zubairi, Sana'a. Namun begitu terdapat beberapa anak murid Qadhi yang menonjol. Di antaranya ialah :


1. Qadhi Yahya bin Lutfi al-Faisal rahimahullah. Pengasas dan ketua Maahad Ilmiah Yaman.
2. Qadhi Abdul Karim al-‘Arasyi. Pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan seperti Timbalan Presiden Republik Yaman, Ketua Speaker Parlimen Yaman dan yang terakhir ialah sebagai penasihat peribadi bagi Presiden Yaman Ali Abdullah Soleh.
3. Doktor Abdul Wahhab al-Dailami. Bekas menteri kehakiman Yaman dan mudir Universiti Iman.
4. Syeikh al-‘Allamah ‘Amir bin Hussain bin Abdullah bin Abdul Qadir hafizahullah. Anak murid syeikh dari Syiria.
5. Syeikh al-‘Allamah Fadil bin Abdullah bin Murad al-Muradiy al-Salafi al-Rimiy. Graduan pertama Universiti al-Iman.
6. Syeikh al-‘Allamah Ahmad bin Wazir al-Waqashi. Graduan pertama Universiti al-Iman.


(Ini antara kitab yang boleh dikatakan masih baru oleh beliau, dikeluarkan Tahun 2009, punyai 3 jilid. Kitab ini telah menghimpunkan sekitar soal jawab yang sering ditanya masyarakat)

Ketika pengajian, pertuturan beliau kurang fushah (bahasa baku), demikian sedikit sukar memahaminya, dan dengan umurnya yang sudah tua. Penekanan yang lebih amat diperlukan. Dengan sentiasa rajin menghadiri talaqi (kuliah) agar kita dapat menyelami syarahannya. 


Sumber: Pelajar Yaman, (dengan sedikit tambahan).
10 Rabiulthani 1433 H bersamaan 03 Mac 2012 M
Sabtu, 02.30 am.

Khamis, 31 Mac 2011

Hebatnya Ujian, Fitnah Kehidupan. Yaman = Malaysia.

Setelah baru seminggu berlalunya hari-hari hidup di Bumi Malaysia membuatkan terfikirnya akan keadaan yang amat jauh berbeza ketika mana Hidup di Bumi Sana’a Yaman. Dilihat dari zahir pada segi Akhlak, Pemakaian, Adat, Budaya dan suasana cara hidup di Malaysia memperlihatkan akan sebahagian besar masyarakat Islam Malaysia masih lagi lemah dalam Memahami Islam yang dianuti ini. Memperlihatkan kejahilan, kecelaruan masyarakat dalam memahami Islam makin bertambah dan Keruntuhan Akhlak yang cukup mengaibkan sudah menjadi perkara yang sudah terlalu biasa. Memperlihatkan berbagai kejahatan, kezaliman terjadi tanpa rasa lagi bimbang akan kedasyatan Azab Neraka kelak.


Dilihat suasana cara hidup telah dikawal, dipenuhi dengan berbagai macam agenda program Hiburan Dunia yang melalaikan dan melupakan masyarakat tentang benarnya hadirnya kematian itu dalam keadaan yang tidak disangkai. Melupakan untuk memanfaatkan masa Hidup Dunia yang sementara ini dengan perkara yang melayakkan untuk merasai Nikmat Syurga dan mampu menyelamatkan diri dari terkena sambaran Api Neraka kelak.




Segala penglihatan, pendengaran, perbuatan yang dikerjakan hari ini amat sukar untuk dielakkan dari terkait dengan perkara-perkara Dosa. Masaalah Aurat yang didedahkan mencambahkan lagi berbagai maksiat lain dan memberi kesan pada mata yang memandangnya. Masaalah pembikinan, penayangan filem, drama, cerita-cerita yang tidak disaksikan syarat-syarat yang dikehendaki Islam memberi gambaran yang memalukan pada Islam dan memberi kesan pada masyarakat dalam mengetahui, memahami cara Islam yang sebenar. Lagu-lagu yang didendangkan, lirik-liriknya yang melalaikan, suara-suara yang mengasyikkan dan melahirkan lagi fitnah. Dan bermacam-macam lagi aktiviti kerja Hiburan yang menyumbangkan kepada perkara Dosa.


Dalam tempoh hampir 4 Tahun belajar di Sana’a, Yaman telah mengajar banyak perkara yang sukar untuk dibiasakan dilihat diamali dibumi Malaysia. Tak ingin Saya menjelaskan selengkapnya. Ianya merangkumi segala aspek Kesyumulan Islam tersebut. Keluasan dan keterbukaan Feqah itu terlaksana. Suasana cara Hidupnya yang serba zuhud, bersederhana. Wanita-wanitanya amat terpelihara, amat sukar untuk dilihat mereka yang mendedahkan Auratnya. Pintu-pintu maksiat lain sukar dibuka, dijaja dan amat dikawal. Segala bentuk kemungkaran (Meninggalkan Solat, Pendedahan Aurat, Berkhalwat, Bercouple, Bebas Pergaulan, Pelacuran, Zina, Buang anak, Rogol, Bunuh, Judi, Arak, Rompak, Rasuah, Dadah, Pil ectasy, Mat rempit, Kelab-kelab Malam, Konsert-konsert dan berbagai kemungkaran lagi) jarang berlaku dan ianya amat sukar untuk ditemui terpampang dimana-mana Media. Keselamatan, kebebasan Hidup terjamin dari berbagai kejahatan Manusia. Suara golongan Ulama’ memberi kesan yang cukup hebat dan Pengaruhnya amatlah Besar.


Namun di Malaysia keadaanya begitu mengaibkan. Dilihat berbagai jenis perkara maksiat sudah menjadi perkara yang sudah amat biasa didengari, dibaca dimana-mana ruang Media. Disembang, diiklan. Bahkan diwar-warkan lagi program-program Maksiat tersebut. Benarlah apa yang telah biasa dikatakan ramai kenalan Saya ketika mana berada Yaman, (di Malaysia ramai pelajar dari Yaman yang melanjutkan pelajarannya dalam bidang Multimedia dan Engineering). Semuanya pernah berkata “Malaysia adalah Bumi Syurga”. Bila ditanya kenapa dikatakan demikian, lalu mereka menjawab: “Di Malaysia semuanya ada, terbuka, bebas melakukan apa sahaja, perkara-perkara maksiat dibuka, dijaja luas, berbagai nikmat Hiburan Dunia dapat dicubai, dirasai, kerana itu mereka mengatakan Syurga”.


Demikianlah dasyatnya Bala’ fitnah hidup di Akhir zaman ini. Kadang-kadang terfikir juga untuk pulang kembali ke Sana’a apabila melihat keruntuhan Akhlak yang cukup parah melanda muda-mudi hari ini, tak sanggup rasanya berada dalam keadaan sebegini. Cara pemakaiannya sekarang bukan lagi sekadar mendedahkan kepala, bahkan pemakaian skirt sudah dibiasai diguna dan berbagai lagi maksiat lain yang amat memalukan. Namun segala perkara tersebut perlu juga dilalui.


Nasihat untuk diri dan golongan muda-mudi sekalian. Ketahuilah Kesabaran, keperitan diri kita mengawal nafsu dari tergelincir kearah perkara Maksiat akan beroleh ganjaran yang cukup mengembirakan diAkhirat sana. Nikmat di Dunia ini tidak kekal, kelalaian diri dengan Nikmat Dunia yang hanya sebentar yang tidak disertai dengan taubat pada penghujungnya meneghasilkan natijah yang buruk (Neraka) di Akhirat sana. Kewaspadaan diri dengan Nikmat Hiburan Dunia yang sebentar ini menghasilkan natijah yang baik (Syurga) di Akhirat sana.


Saudaraku sekalian. Kenapa perlu wujud Perbezaan ini? Kenapa Suasana cara hidup Orang Islam di Malaysia amat terhakis sekali dari segi kefahaman dan pengamalannya tentang Islam?


Segalanya dapat kita lihat pada beberapa Faktor-faktor yang menyebabkan terhasilnya keadaan tersebut:


1. Kesilapan para Pemerintah, cara pentadbiranNya, cara Islam yang dizahirkannya melalui berbagai sudut. Perbezaan ini terwujud hasil dari cara Pentadbiran yang tidak dipandukan pada kehendak Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Cara Kesyumulan Islam itu dipilih-pilih untuk dilaksanakan. Hukum-Hukum yang sudah jelas dari Al-Quran ditinggalkan dan dilaksanakan Hukum berdasarkan kehendak Hawa Nafsu. Berbagai gejala Maksiat dibiarkan pintunya dijaja, dibuka seluas-luasnya. Berbagai Hiburan dihidupkan, ditayangkan. Tidak bersungguh membendunginya. Tidak dinafikan ada juga rancangan-rancangan, program-program kefahaman Islam dilaksanakan, namun dalam masa yang sama keterbukaan pintu-pintu Maksiat luas lagi dibukanya. Tiap cara hidup, pentadbirannya menjahilkan, merosakkan, mencelarukan lagi fahaman Masyarakat dalam memahami Islam dan jauh sekali untuk menarik masyarakat Bukan Islam memasuki Islam.


2. Kelemahan para Pendidik, Pendakwah. Kefahaman yang begitu sempit, Kefahaman yang lemah mengenai Islam yang diserunya. Kefanatikan yang ketertaluan. Terlalu banyak cela-mencela, kutuk- mengutuk, saling berbalah dalam menegakkan Hujjah masing-masing, hingga mencelarukan lagi pemikiran masyarakat. Mendiamkan diri dari berkata Benar, tidak menegur yang Mungkar, Mengampu, Ketaqlidan yang membabi-buta pada Guru-gurunya. Riak, Ujub, berbangga dengan Ilmunya. Sombong, angkuh, sukar menerima teguran. Perlaksanaan pada Diri masih kurang dengan berbagai Ilmu Islam yang ingin diserunya.


3. Kedegilan, kejahilan kecenderungan Ibu Bapa dan tiap individu masyarakat lainnya memilih, memberi sokongan pada Golongan yang jelas tidak ingin melaksanakan Islam. Golongan yang jelas menghalalkan Larangan Allah swt. Kelalaian diri dengan berbagai Hiburan yang ditayangkan Kerajaan. Kelemahan untuk melaksanakan Islam, mendidik dengan cara Hidup Islam pada diri, pada keluarga, sanak-saudara dan memperingati sesama Muslim lainnya. Kekosongan jiwa dengan amalan-amalan Sunat, amalan yang mampu menjadi benteng dari terhasut dengan permainan Dunia. Kecintaan pada Dunia yang menyebabkan lupa segala-segalanya.


Segala Ujian dan Cabaran tersebut perlu ditempuhinya juga. Untuk menempuhinya tiada lagi cara yang lain melainkan dengan menyaksikan tiap-tiap masa Hidup kita dengan Wasiat yang telah ditinggalkan Nabi saw. iaitu Al-Quran dan SunnahNya. Ingatlah apa-apa Hukum yang tidak disaksikan sama kehendakNya akan menambahkan lagi berbagai masaalah dan kerosakan hidup di Muka BumiNya.


Marilah sama-sama kita berusaha menanganinya dengan mendalami, memahami sejelasnya akan Agama Islam yang kita Anuti ini. Jika masih jahil, Pelajarinya, Fahaminya dan Laksanakannya. Jika sudah mengetahuinya, maka tiada alasan lagi harus terdetik di Hati dan terkeluar dari mulut kita dengan berbagai alasan yang hanya memberi kesengsaraan Hidup di hari Diperbangkitkan kelak nanti.


Sentiasa memelihara Hubungan dengan Allah swt, mempertingkatkan lagi tahap KeImanan dan keTaqwaan kita pada Allah swt. Kita laksanakan, yakinkan, tegakkan Islam pada Diri kita, insya’ Allah ia akan mudah tertegak pada keluarga, anak-anak, sanak-saudara, teman-teman serta tiap Manusia di Bumi ini.




26 Rabiulakhir 1432 H bersamaan 31 Mac 2011 M
Selasa, 07.06 pm. Terengganu, Malaysia.