Memaparkan catatan dengan label Adat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Adat. Papar semua catatan

Khamis, 3 Januari 2019

Adat gelaran ustaz.


Tentang adat panggilan ustaz dan perbezaan ustaz yang masyarakat kena faham, semua ini perlu kita ketahui supaya tidak silap dalam membuat penilaian dan bertanya kepada yang selayaknya. (bukan untuk merendahkan).

*Ada yang dipanggil ustaz disudut boleh mengajar iqra, membaca al quran. Ada yang dipanggil ustaz disudut boleh jadi imam, bilal, tukang mandi mayat, mutawwif. Ada yang dipanggil ustaz disudut pekerjaan sebagai guru kafa, guru jawi, guru khat, taranum.

*Ada yang sebab banyak hafal ayat quran, hadis, pernah hafiz quran. Ada yang sebab rajin baca buku agama. Ada yang sebab penulis buku nasihat tentang agama. Ada yang sebab selalu tulis, kongsi nasihat agama. Ada yang sebab pernah belajar sekolah agama. Ada yang sebab perwatakan jubah, serban, rida', kopiah, tasbih, berjanggut, berjambang. Ada yang sebab boleh baca tahlil, yasin, talqin, berqasidah, jadi tok kadi.

*Ada yang sebab kerja jual buku agama, mengaji bahasa/sastera arab, jadi artis nasyid islami. Ada yang sebab bekerja sebagai warden, kerani sekolah agama/tahfiz, pernah duduk negara arab.

DAN, ada yang dipanggil ustaz memang kerana kepakarannya menyeluruh tentang agama. Ada pula yang lebih kepada bidang masing² seperti quran, fiqh, hadis, tasauf, kewangan islam, faraid, dan sebagainya lagi dan dalam masa yang sama bab lain hanya perkara asas sahaja diketahui. Ada juga yang pakar kesemuanya namun dilihat kedepan pada sudut lain. Ada yang tidak menunjukkan perwatakannya namun alim dan faqih.

Dan pelbagai lagilah senarai yang tidak dimasukkan diatas. Semuanya perlu kita tahu agar dapat dibezakan tingkatan panggilan ustaz dan tidak disalah fahami dan bersangka buruk apabila terjadi sesuatu isu, dan kita dapat fahami apabila disebut panggilan 'USTAZ' itu, ia merangkumi maksud yang pelbagai seperti diterangkan diatas. Juga ustazah.

Dan penting untuk masyarakat faham bila mana seseorang itu dipanggil ustaz. Bukanlah bermaksud dia dapat mengetahui seluruh hal Agama, memahaminya dengan baik serta tiada halangan untuk mengamalkannya. Bahkan menganggap seolah-olah maksum. Sedangkan mereka juga sama seperti kita semua di bidang yang lain. Cuma yang terbaik dan dituntut hatta kepada diri kita sendiri dan kepada semua orang adalah menjadi golongan yang mempelajari ilmu agama serta mengamalkan dan menyampaikannya. والله اعلم.

Jumaat, 25 Ogos 2017

Didik Pendengar Dengan Akhlak Yang Baik.

1) Jangan didik pendengar dengan kuliah yang asyik mengata dan membilang kesalahan orang lain, (hanya kerap ditujukan kepada orang lain). Lalu jiwa pendengar mula merasa sombong, merasa diri paling baik dan betul, merendahkan orang lain, melabel, mengata, dan memblok orang lain, membina kelompok sendiri dan bermacam lagi terbentuk akhlak yang tidak baik.

2) Ini bersalahan dengan maksud dakwah dan tujuan ilmu-ilmu tersebut. Ruang kuliah sepatutnya tempat untuk memuhasabah diri pengkuliah dan jemaah yang hadir agar sama-sama mendapat ilmu serta manfaat untuk diubah pada diri sendiri.

3) Lebih malang lagi apabila pendengar hanya ingin menunggu-nunggu waktu penceramah mula bercakap mengenai hal orang lain sahaja, namun apabila tiada dan berkaitan diri sendiri, maka pendengar rasa kebosanan dan tidak minat akan penceramah tersebut.