
Sabda Nabi saw : Sesungguhnya Allah swt merentangkan tanganNya pada malam hari memberi kesempatan taubat bagi pelaku kesalahan pada siang hari dan merentangkan tanganNya pada siang hari memberi kesempatan taubat bagi pelaku kesalahan pada malam hari, sampai kelak matahari terbit dari Barat (hari kiamat). (Hr Muslim)
Firman Allah swt : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. (Al-Hasyr 18)
Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt atas segala nikmat yang telah dikurniakan. Hari ini kita masih lagi dapat merasa saki baki hidup yang pada bila-bila masa sahaja akan berakhir tempohnya, semuanya telah tercatit disisi Allah swt.
Kematian akan datang menghampiri tanpa kita sedari. Justeru itu, janganlah dengan kenikmatan dunia yang sementara ini melalaikan kita tentang pastinya alam akhirat dan menjadikan hamba yang mendapat kecelakaan disana. Firman Allah swt :
Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia). (Yunus 45)
Keseksaan dan kecelakaan yang amat dasyat telah dijanjikan bagi mereka yang berpaling dari perintahNya, yang menjadikan dunia tujuan hidup semata-mata. Menghalalkan apa yang diharamkan dan tidak mengendahkan amaran Rasulullah saw.
Tidak ada jalan yang lain, melainkan kembali kepada Ajaran Islam yang sebenar. Pelajarilah ilmu Agama. Menjadi kewajipan atas setiap individu yang bergelar muslim mengetahuinya, mana Halal dan Haram, mana Perintah dan Larangan. Islam telah meletakkan cara hidup yang sempurna dalam setiap aspek. Firman Allah swt :
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat". (Al- Baqarah 138)
Setiap perkara yang ditegah itu ada kebaikannya. Diharamkan zina dihalalkan pernikahan, diharamkan riba dihalalkan jual beli, diharamkan arak kerana merosakkan akal. Dan Begitulah setiap perkara yang sudah ditetapkan ada hikmahnya. Dia yang menciptakan kita, maka Dialah yang berhak mengatur segala kehidupan ini.
Janganlah kita berputus asa dengan Rahmat Allah swt di atas kertelanjuran. Mintalah ampun padaNya atas kesilapan yang lalu, pintu taubat masih terbuka. Firman Allah swt :
Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Az-Zumar 53)
Sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah, istighfar itu dapat membersihkan diri dari dosa di samping memperbaharui taubat dan iman. Istighfar juga dapat memberi kerehatan dan keheningan kepada jiwa. Firman Allah swt :
Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (An-Nisaa' 110)
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (A-li 'Imraan 135)
Renungilah Sabda Nabi saw yang bermaksud :
Peliharalah titah perintah Allah nescaya ia akan memelihara engkau (sepanjang masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati ia selalu dihadapanmu. Apabila kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila engkau memohon hendaklah engkau memohon pertolongan dari Allah. Ketahuilah, seandainya umat manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat untukmu, mereka tidak dapat memberinya melainkan mengikut apa yang telah Allah tetapkan untukmu, dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan engkau dengan sesuatu keburukan tidaklah mereka dapat melakukannya melainkan dengan sesuatu yang Allah telah tentukan keatas dirimu, keran telah terangkat pena dan telah kering kertas (telah ditentukan semuanya). (Hr Tarmizi)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan