
Firman Allah swt : Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami. Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan. (Yunus 7,8)
Islam telah meletakkan garis panduan di dalam semua aspek, janganlah kenikmatan hiburan dunia ini menjadikan kita hamba yang lalai dan mendapat kecelakaan di akhirat sana.
Ramai di kalangan kita hari ini Nampak seolah-olah harta benda, pangkat, kedudukan, wanita, dan segala nikmat Dunia ini, dianggapi bahawa itulah sebenarnya kesenangan, kelazatan yang kekal. Padahal Allah swt dan Rasulnya telah menjelaskan bahawa nikmat Kehidupan Dunia ini hanya sebentar dan akan luput waktunya, kita akan dimatikan juga dan dibangkitkan kembali kelak untuk dibicara olehNya.
Bukankan telah dijelaskan bahawa kehidupan Akhirat itulah yang kekal sebenarnya, bukankah telah diceritakan tentang nikmatnya Kehidupan penghuni Syurga yang terdapat padanya segala keinginan yang dikehendaki nafsu, tak terbanding jika dihimpunkan segala nikmat yang dirasai Dunia ini, bidadari-bidadarinya dan bermacam-macam lagi. Begitu juga telah diceritakan peritnya Azab Neraka yang disediakan batang-batang besi untuk menyeksa, air nanah, air yang menggelegak dan berbagai-bagai lagi.
* Kehiduapan Akhirat adalah kehidupan yang kekal.
Bahkan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. (Al-A'laa 16,17)
Islam tidak melarang untuk berhibur, mencari harta, kesenangan dan segala nikmat dunia. Bahkan sememangnya fitrah manusia perlukan hiburan, akan tetapi biarlah ia bertepatan dengan syariat ketetapan Allah swt, menjaga batas-batasnya. Menunaikan segala Haknya dan menjauhi larangannya.
* Dunia itu hanya hiasan semata-mata.
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (A-li 'Imraan 14)
Janganlah kita menjadi Hamba yang sombong, tidak bersyukur dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya. Janganlah kita menjadikan dunia ini sebagai matlamat hidup kita. Seterusnya ia memalingkan kita daripada tujuan sebenar dijadikan. Firman Allah swt :
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz-Dzaariyaat 56)
Keadaan ini sudah cukup membezakan kita dengan golongan barat yang menjadikan kehidupan dunia adalah matlamat utama mereka. Mudah-mudahan kita semua dijauhkan dari kesesatan dan jalan-jalan yang tidak diredhaiNya.
Akhirnya kita memohon kepada Allah swt supaya kita sentiasa berada di dalam rahmatnya. Terhindar dari segala tipu daya syaitan dan istiqomah, sabar dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan dugaan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan