Selasa, 24 Julai 2012

Puasa, untuk 2 Kegembiraan.

Sabda Nabi r : Allah telah berkata: Semua amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya. Puasa adalah pendinding, dan apabila hari berpuasa seseorang di kalangan kamu, maka janganlah dia bercakap kotor dan janganlah dia menjerit-jerit. Jika seseorang memakinya atau menyerangnya maka hendaklah dia berkata, "aku adalah seorang yang berpuasa". Demi Tuhan Yang nyawa Muhammad di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi. Untuk orang yang berpuasa 2 kegembiraan yang dia bergembira dengannya: Apabila dia berbuka dia bergembira, dan apabila dia bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya. (Hr Bukhari) 

Sabda Nabi r : Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu amalan kebaikan akan digandakan sebanyak sepuluh hingga 700 kali ganda. Allah berkata: kecuali puasa, puasa itu untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan menentukan pahalanya. Ia (yakni orang yang berpuasa itu) meninggalkan syahwatnya dan makanannya dengan sebab-Ku. Bagi orang yang berpuasa 2 kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. (Hr Muslim) 


1. Nabi  r  sebut bagi orang puasa ada dua kegembiraan, tika berbuka dan tika dapat bertemu dengan Tuhannya kelak. Kita semua tak hanya ingin gembira waktu tika berbuka kerana sudah hilang rasa lapar dan dahaga. Tapi kita nak kegembiraan dapat bertemu Allah kelak. Ia hanya hasil dari puasa yang penuh dengan keimanan dan keikhlasan, menjaga segala syarat, kehendak dan mengharap tujuannya. Inilah hal penting, untuk kita meraih kegembiraan yang hakiki disana.


Kuih-muih di Sana'a, Yaman.


2. Bukan sekadar rasa nikmat selepas bertahan lapar, iaitu tidak sekadar letih jasmani. Tapi yang kita inginkan juga rohani. Hubungan dan ikatan kita dengan Allah swt. Amalan kita. Ibadat yang benar-benar bertunjangkan keihlasan dan kehambaan dalam menjalaninya. 


Sabda Nabi  r  : “Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti”. (Hr Muslim)

Sabda Nabi  r  : Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadhan kerana imannya (kepada Allah) dan mengharapkan pahala dari-Nya, akan diampunkan untuknya segala dosanya yang lalu. (Hr Muslim) 


3. Marilah kita berusaha meraih keduanya, tidak hanya satu kegembiraan yang dapat. Kita menjaga dan melatih mulut, pandangan dan segala yang lain agar turutkan perintah Allah. Mohon jauh dari puasa yang sia-sia. Jika hanya kegembiraan yang pertama kita raih. Rugi- dan sia-sialah kita, hanya perut yang lapar, tapi nafsu masih sentiasa kenyang. "Dedah aurat, pergaulan bebas, asyik dengan hiburan, web lucah, mengumpat, menghina, dedah aib, kata kotor, dan bermacam-macam lagi dosa lain. Andai solat yang ditinggalkan, maka tiada guna seluruh puasanya".


“kita dapat rasa semula nikmat dunia yang kita tahan, dan kita mengingini nikmat akhirat yang berpanjangan”




4. Marilah kita renungi sabda Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad saw: 


Sabda Nabi  r  : Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan melakukannya, maka tiada pada Allah sebarang hajat terhadap dia meninggalkan makannya dan minumnya. (Hr Bukhari) 

Sabda Nabi  r  : Betapa banyak orang yang berpuasa namun dia tidak mendapatkan dari puasanya tersebut kecuali rasa lapar dan dahaga. (Musnad Imam Ahmad, Sahih ibn Khuzaimah, at-Thabrani dalam al-Kabir dan sanadnya tidak mengapa. Al-Albani - sahih dalam Sahih al-Jaami’)

Sabda Nabi  r  : Puasa bukanlah hanya menahan makan dan minum saja. Akan tetapi, puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan sia-sia, tiada faedah dan keji, lucah. Apabila ada seseorang yang mencelamu atau berbuat kacau padamu, katakanlah padanya, “Aku sedang puasa, aku sedang puasa”. (Ibn Khuzaimah, ibn hibban dalam sahihnya, dan al-Haakim. Al-Albani - sahih dalam Sahih al-Jaami’) 




04 Ramadhan 1433 H bersamaan 24 Julai 2012 M 
Selasa, 12.30 pm. Sana’a, Yaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan