Rabu, 11 Julai 2012

Berusaha meraih Dunia dan Akhirat.

1. Hari ini, kita telah mampu melihat, mendengar, berjalan dan melakukan pelbagai aktiviti. Bersyukur kepada Allah atas segala nikmat ini. Mata, telinga, tangan, kaki dan segala anggota ini tak dapat dibeli dan dinilai dengan nikmat lain. Ada yang sedang pekak mengharap untuk mendengar, yang buta mengharap utuk melihat, yang bisu mengharap untuk bercakap dan yang lumpuh mengharap untuk berjalan, sedang kita mampu segalanya. Kelebihan dan kekurangan, sebenar ujian untuk kita. Segala kejadian, untuk dijadikan peringatan kepada semua. Keadilan dalam ketentuan Allah.

2. Hidup ini, yang paling bernilai ialah akal fikiran yang dikurniakan. Jika tiada akal, samalah kita seperti binatang. Tiada guna nilai cantik, kaya, pangkat, bijak dan sihat. Apabila dikurniakan akal, maka disitu menunjukkan wujudnya tujuan hidup kita ini. Perkara sekeliling kita menyuruh akal agar berfikir.




Firman Allah swt: Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin. Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan? (Adz-Dzaariyaat 20,21) 

3. Dunia ini sebuah tempat ditinggalkan kita didalamnya. Ia tidak kekal sebagaimana kita juga tidaklah kekal. Dari alam rahim, dilahirkan dan dimatikan. Kita manusia, makhluk pilihan Allah diamanahkan untuk mentadbir dunia ini. Diutus para Rasul dan Nabi berserta kitab panduan dari Allah swt.



Firman Allah swt: Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia menjadikan, memberikan untuk kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur. (An-Nahl 78) 

Maksud ayat: (1) Dijadikan pendengaran untuk mendengar perintah dan larangan. Penglihatan untuk melihat kesan kejadiannya. Hati untuk sampai (berfikir) dengannya kearah mengenalinya. (2) Agar kamu bersyukur: Pertama, kamu mensyukuri dengan nikmat Allah. Kedua, iaitu kamu melihat, mengetahui kesan kejadian, ciptaan kamu. Kerana hasil daripada melihatnya ia menjadikan kamu bersyukur. (Sumber: diterjemah dari laman web ‘islamweb.net’. Rujukan mereka: Tafsir Qurtubi) 

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah 30) 

Maksud ayat: (1) Pertanyaan malaikat ini setelah diberitahu Allah akan hal zuriat Adam as. melakukan kerosakan. (2) Khalifah itu maksudnya memulihkan dan meninggalkan kerosakan. Dan ia menunjukan terbahagi antara manusia itu yang dalam kejahatan dan yang menolak kejahatan. (3) Sesungguhnya malaikat telah melihat dan mengetahui tentang jin yang melakukan kerosakan. Bumi ini sudah didiami jin sebelum diciptakan Adam, maka mereka melakukan kerosakan. (4) Pertanyaan malaikat itu bukan bermaksud untuk membankang kehendak Allah. Tapi untuk mengetahui hikmahnya. Apa tujuan dicipta yang membuat kerosakan, sedang kami selalu bertasbih memuji-Mu. Lalu Allah Berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." Akan Aku jadikan pada mereka para nabi, diutuskan rasul, dan dari kalangan mereka ada hamba-hamba yang soleh, benar, zuhud, patuh, para ulama, wali-wali, cinta dan kasih Tuhan-Nya, mendekatkan diri kepada Tuhan-Nya, yang mengikuti Rasul. (Sumber: diterjemah dari soal jawab laman web ‘islamweb.net’. Rujukan mereka: Tafsir ibn kathir dan Qurtubi) 


4. Hingga hari ini, dan waktu-waktu seterusnya. Kita mesti berpegang teguh dan berusaha mempraktikkan kandungan Al-Quran dan Sunnah Nabi kita, Muhammad saw. Beramal dengan ketetapan Islam, menjamin, memelihara dan memulihkan semua keadaan, tidak pada diri, pada masyarakat. Begitu jua mengabaikan, ia merosakkan dan mencelarukan semua keadaan. Tidak pada diri, pada yang lain. Hukum Islam menitikberatkan segalanya.


Firman Allah swt: Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar. (Al-Ahzab 70,71) 

5. Hidup ini ujian dan amanah. Segala nikmat dunia, amanah untuk menggunakannya dengan sentiasa sama mempedulikan hal akhirat. Amanah dalam berusaha meraih kejayaan dunia dengan cara yang dapat menghasilkan kejayaan akhirat juga.

6. Manusia yang berjaya, yang hebat, cerdik, dan cergas pemikirannya. Kuat ingatannya. Bukanlah mereka bijak secara semulajadi. Ia amat munasabah dengan usaha dan keadaanya. Tiadalah sesuatu kejayaan yang sewenangnya.






“Kita baca tentang sahabat Nabi saw. Abdullah ibn Abbas ra, antara faktor tinggi tahap ilmunya ialah: Nabi saw sendiri pernah mendoakannya, dibesarkan dirumah Nabi, sentiasa dengan Nabi semenjak kecil lagi, sentiasa dengan tokoh-tokoh sahabat yang besar selepas wafat Nabi dan berbagai lagi. Para Imam mazhab, Imam Syafie: Minat dan pakarnya bahasa arab dan syair, mula menghafal al-Quran semenjak tujuh tahun, berguru dengan Imam Malik, tidak taksub, menghafal kitab Al-Muwaththa’ tika 12 tahun, diusia yang muda sudah diberi amanah memberi pandangan, menyelesaikan masaalah. Tokoh semasa sekarang, Dr Yusuf al-Qardawi dan ramai lagi yang lain” 

7. Seringkali didengari sembang teman-teman. “dia tu orang yang hebat, bijak, cerdik, cepat dan kuat ingatan dan kefahamannya. Tak ada masalah jika tak dibaca pun, baca lambat pun, banyak bermain pun”. Hakikatnya ungkapan ini tiada sedikitpun benarnya. Cubalah kita lihat bagaimana faktor yang menjadikannya pintar dan kuat ingatannya itu. Bagaimana untuk menjuruskan diri kepada faktor itu. Bagaimana rutin hidupnya. Bagaimana akhlak dan hubungannya dengan Allah. Segala akiviti harian kehidupan seseorang, munasabah dengan apa yang akan terhasil dan terjadi pada diri seseorang itu. Antara masaalah besar juga, kerana rasa malu, rasa diri terlalu lemah, rasa bangga, ego, tak patut untuk bertanya, siapa aku dan dia. Benci kerana ada sesuatu yang tak selari dengannya dan seumpamanya lagi. Semua sifat ini perlu kita usaha menghindarinya.

8. Sama sahaja sebenarnya, jika kita turut mempraktikkannya, maka kita juga akan berjaya dan dapat memiliki dan meraih perbezaan itu. Tidaklah mudah jalan yang dilalui mereka. Bukan biasa kehidupan mereka. Segalanya munasabah dengan cara usaha kita. Ingin tahu sejelasnya lagi, bicaralah dengan rapat mereka yang berjaya itu. Dampingilah sentiasa dengan mereka, mungkin kita tak nampak dan tahu disebalik perangai sambil lewanya tika peperiksaan. Mungkin kita tak tahu ada rahsia dan masa-masa atau kaedah tertentu yang sebenar dimanfaatkannya.

9. Kita semua akan hebat, bila kita benar-benar memanfaatkan sebaiknya akal ini. Kita lihat tokoh-tokoh barat yang bukan Islam. Yang hebat pemikirannya, mencipta ini dan itu. Sepenuhnya mereka meletihkan fikiran mereka. Dalam subjek pelajaran di tempat saya belajar. Ada subjek membicarakan tentang “fikr Islam”, iaitu Pemikiran Islam. Kelebihan, tujuan, matlamat, syarat, kesan dan garis panduan bagi seseorang muslim dalam berfikir. Bagaimana seorang muslim berfikir. Dalam Al-Quran banyak disebut kepada kita agar berfikir, memerhati, dan melakukan tindakan. Islam itu luas. Islam itu segalanya. Janganlah ada yang menjumudkan Islam. Tidak hanya pakar dalam tarbiyyah Agama, tidak semestinya juga dinampak zahir dengan sentiasa zuhud dan serba kurang. Tapi pakar dalam bidang-bidang lain. Memanfaatkan segala kemajuan dan anugerah dunia. Kadang sebab nilai fikiran kita, Islam nampak mundur. Kita disuruh berfikir dalam memartabatkan Islam. Setiap kemajuan adalah berasal dari Islam.






“Mereka-mereka yang terdahulu sebelum kita, telahpun berjuang dalam menegakkan Islam ini. Para ulama’, agamawan dan ramai tokoh-tokoh dengan kepakaran masing-masing. Tidak dinafikan ada kecacatan dan kesilapan, namun itu tak perlu sangat untuk dipersoalkan. Mereka telah berusaha dalam memartabatkan Islam ini dengan bermacam cara. Lahir berbagai aliran, salafi, ikhwan, tabligh, sufi dan lain lagi. Mereka telah mengerahkan fikiran dan segala keupayaan mereka untuk Islam. Mereka telah memberi khidmat yang tinggi untuk Islam. Mereka telah terkorban kerana Islam. Agama Islam ini pasti menang. Ini janji Allah. Tapi, ia wajib dilalui dengan ujian yang berat. Inilah tahap ujian dunia yang dasyat. Kita baca sejarah para Rasul, Nabi Allah, sahabat dan ulama’-ulama’ terdahulu. Kita semua punyai tujuan yang sama, ada yang hebat dengan kekuatan hujjah dalil yang jelas. Ada yang dengan kajian, sains, mukjizat. Ada yang dengan falsafah, teori, dan berbagai-bagai bentuk lagi. Ia mengikut keadaan, suasana, tempat yang didiami dan dialami. Melihat kepada pengaruh, serangan dan ancaman yang berlaku, yang hadir. Kita hari ini, terus memberi dengan tahap kemampuan kita ada. Tidak sampai keluar dari landasan Agama dan tidak jua mengabaikan hak-hak kehidupan dunia. Dan tidak sesekali redha Agama diperendahkan” 

10. Namun kita perlu ingat, segala kemampuan dan kekuatan ini dari Allah. Kita tak dapat melawan kehendak dan kuasa Allah. Tiada seorang yang mampu berfikir untuk menghalang dari turunnya hujan. Dari berlakunya ribut dan lain lagi. Ada manusia, dia sentiasa fikir untuk menyesatkan orang. Untuk mensyirikkan Allah. Mengajak orang kepada maksiat. Meragukan untuk taat. Menjadikan manusia leka dan lalai dari mengingati Allah. Melawan dari tertegaknya Islam. Segalanya ini, sudah jelas mengkufuri nikmat Allah. Akal dan keupayaan yang dikurniakan, sering hanya dianggapkan bahawa ini sudah kurniaan dan kelebihan yang telah Allah kurniakan kepada kita, jadi manfaatkanlah sebaiknya. Mereka melihat dan mengukur dengan nafsu sepenuhnya. Janganlah pandukan nafsu dan biarkan nafsu mendahului kita. Kita ada akal yang dikurniakan Allah. Kita ada tugas dan tujuan diciptakan Allah. Berbeza dengan binatang. Marilah kita renungi Firman Allah swt ini:


Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A'raaf 179) 


Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya. (An-Naazi´aat 40,41) 

“Nafsu dari terjebak dengan maksiat, syahwat. Dan nafsu yang menghalang, melekakan dari taat, beribadat kepada Allah”(islamweb.net)

Dan sesungguhnya Kami telah meneguhkan kedudukan mereka dalam hal-hal yang Kami belum pernah meneguhkan kedudukanmu dalam hal itu dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati; tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit juapun bagi mereka, kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka telah diliputi oleh siksa yang dahulu selalu mereka memperolok-olokkannya. (Al-Ahqaaf 26) 

11. Demikian, tidaklah diungkap aku ini lemah, lembap dan memang tak terdaya. Kita sebenarnya tidak berusaha dan tidak lihat cara yang betul dalam berusaha itu. Kita sudah merasa tak mampu, sedang kita belum pun berusaha. Jangan juga sesekali memberi alasan sibuk dengan tugas yang telah dimanahkan kepada kita. Tugas persatuan dan sebagainya lagi. 

12. Masaalah menipu dan meniru untuk kejayaan, kesan pada diri dan bila untuk menterjemahkannya kepada masyarakat. Dalam tika berkerja. Ia diremehkan, main-main, tidak amanah dan banyak kecacatan terhasil. Malang dan bimbang sangat-sangat ia juga dari jurusan Agama. Seseorang yang meniru, sudah tentu yang hanya nampak untuk lulus peperiksaan dan mendapat sijil. Tidak memahami apa tujuan dan manfaat ilmu itu. Sebaliknya yang tidak meniru, ia pun nampak juga soal lulus dan sijil. Tapi itu bukan matlamatnya. Ia sekadar merupakan syarat. Begitulah nanti bila ingin disampaikan, ia seolah terpaksa untuk menyampaikan. Sedang hakikat dirinya tidak mengingini. Dia bukan begitu. 


Yang mempunyai tinggi natijahnya. Sudah pasti difikir tahap pembelajarannya amat rajin. Tapi yang mempunyai tinggi kebenarannya. Kebiasaan jarang dilihat sijilnya. Yang mendapat rendah markahnya. Sudah pasti difikir lemah tahap pembelajarannya. Dan yang rendah usahanya. Lalu dinilai dari sijilnya. Itu semua hanya pandangan dan nilaian orang, namun diri kita yang tetap membuktikan segalanya. Pun begitu, sudah tentu yang hebat, usahanya kuat, pencapaiannya terbaik dan penyampaiannya menarik. Melainkan wujud sebab-sebab lain.


“Kita berusaha, berdoa dan bertawakkal pada Allah. Tidaklah berusaha dan menipu. Malanglah tiada usaha dan meniru. Malang lagi membanggainya pula. Hidup ini Amanah dan Hadiah. Berusaha dalam meraih kejayaan, kegembiraan dunia dan akhirat” 

Firman Allah swt: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah 216)

13. Apapun jurusan yang kita ambil, kita berusaha sebaiknya. Untuk kejayaan dunia. Untuk kejayaan Agama. Tidak sesekali leka hal Agama, kerana kelak kita pasti akan pulang kepada Allah jua. Kejayaan hakiki ialah bila selamat dari azab Allah kelak. Kita akan gemilangkan Islam, seperti mana zaman kegemilangan Islam dahulu, yang serba kaya dengan berbagai tamadun ilmu. Dengan ketinggian dan kesyumulan Islam ini. Firman Allah swt:





Barang siapa yang dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sungguh Allah telah memberikan rahmat kepadanya. Dan itulah keberuntungan, kejayaan yang nyata. (Al-An'aam 16)

14. Mudahan artikel ini berguna. Ia terhasil bilamana melihat sebahagian rakan sejurusan di Yaman, Sana’a yang asyik masih meniru ketika exam. Dan hanya sering ungkap perkataan diatas, sedang tiada usaha, tidak bersungguh dan banyak berhibur. Malang lagi menipu. Harap segala perkongsian dan nasihat ini dapat sama-sama kita bermuhasabah. Saya amatlah jauh untuk digambarkan yang hebat bila anda membaca artikel ini. Ini hanya untuk memanfaatkan akal dalam mempersoalkan hal ini, untuk sedarkan dan motivasikan diri dan mengajak semua agar sentiasa berusaha menjadi manusia cemerlang di dunia hingga akhirat.

15. Andai memang jikalau saya tak berkemampuan untuk membenarkan seruan artikel ini. Mudahan ia juga bermanfaat dan paling kurang kita telah fahami dan terus juga berusaha dan tekankan dan tingkatkan sudut yang telah kita capai sekarang. Dalam apa-apapun usaha kita.

16. Mesejnya, agar tidak ungkapkan yang dia ni seorang yang cerdik, dan aku ini seorang yang lemah sedikit. Kita meletakkan perbezaan yang tidak betul. Dia sebenarnya rajin, kita pula malas. Tidaklah diungkapkan, alangkah sedapnya jika aku juga dikurniakan akal sepertinya. Ketahuilah, semuanya tidaklah berlaku secara spontan.

17. Memanglah dan benarlah, setiap orang ada kelebihan dan kekurangan. Anugerah dan keupayaan dari Allah, tidak sesekali dinafikan. Namun tidaklah untuk sesekali kita terus menerima semutlaknya dan menidakkannya. Dalam keadaan kita tidak berusaha sedikitpun.

18. Kita telah berusaha dengan bersungguh-sungguh. Tidak tercapai juga. Rasa amat terlalu sukar. Kita berserah kepada Allah. Mungkin ada sebab-sebab dan hikmahnya. Kita bebas memilih pada apa yang kita tahu, dan kita juga telah ditetapkan takdirnya pada apa yang kita tidak tahu.



Dan Dialah Allah (yang disembah), baik di langit maupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan mengetahui (pula) apa yang kamu usahakan. (Al-An'aam 3) 



Kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (An-Nisaa' 19) 


19. Ya, tiada yang sempurna. Setiap kelebihan dan kekurangan seseorang. Marilahlah kita manfaatkan dan benarkan yang lebih dan baiknya itu, berusaha meraihnya. Dan yang kurang dan silapnya itu, kita jadikan pengajaran, untuk muhasabah dan majukan diri kita, agar tak terjadi pada diri kita. Hakikatnya, semua nak yang paling baik. Janganlah hanya ingin menidakkan dan memburukkan. Mengambil peluang untuk merendahkan, memperlekehkan dan menjatuhkan orang. 

20. Paling penting. Hak-hak Agama, hubungan dengan Allah, tidak diabaikan. Tidak menghalalkan yang haram. Dan mengharamkan yang halal. Tidak sampai kepada dosa. Tidak mencelarukan dan mengaibkan Islam. Tidak melemahkan tahap Iman dan Islam kita. Dan akhirnya, kesan dan manfaat ilmu itu. Jika keputusan tinggi, tidak menipu, rajin mengulangkaji, tahu ini dan itu, dipuji dan disanjung. Tapi tiada kesan dan manfaat untuk diri dan masyarakat. Sedikit kesan dan manfaat untuk diri dan masyarakat. Kita perlu menghindarinya. Masyarakat diluar sedang parah kebingungan tentang Islam. Ilmu ini amanah. Dan dimohon agar terselamat dari yang turut mengabaikan Agama. Akhlak bukti segalanya.


“Tiada ulama, sebelumnya rajin menuntut ilmu” 

“Tiada yang lahir, dalam keadaan sudah alim” 
“Apa-apa yang difikir, dengan sentiasa mengintai redha Allah”


اللَّهُمَّ انْفَعْنِي بِمَا عَلَّمْتَنِي، وَعَلِّمْنِي مَا يَنْفَعُنِي، وَزِدْنِي عِلْماً 

Ya Allah, berikanlah manfaat kepadaku dengan ilmu yang telah Engkau ajarkan kepadaku, dan ajarilah aku ilmu yang bermanfaat untukku serta berikanlah, tambahkanlah aku ilmu. (Hr at-Tirmidzi, Hadis hasan gharib dan ibnu Majah. al-Albani, sahih) 



Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah 32) 



20 Sya’ban 1433 H bersamaan 10 Julai 2012 M
Selasa, 10.30 pm. Sana’a, Yaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan