2. Kerana hidup kita bukan setakat dunia sahaja, tapi ada hasil di akhirat kelak. Allah swt memberi tawaran pahala yang begitu banyak dibulan ini. Segala ketetapan ini, disamping dilihat suatu kepatuhan semutlaknya kepada Allah, ia juga untuk mendidik diri kita. “mengawal nafsu, berjimat, erti syukur, menjamu orang, sedekah, segala sifat-sifat keji terkawal kerana puasa”. Segalanya punya manfaat, demikianlah syurga yang indah dari akhlak-akhlak yang indah.
3. Berbagai jenis 'penyakit dosa' setiap tahun kita hidup, disediakan pencucinya dibulan puasa ini. “Bulan keampunan, Bulan ganjaran, Bulan al-Quran, Bulan ibadah”. Ibadat puasa, sahur, tarawih, witir, tadarus al-Quran, sedekah, zakat dan qiamullail. Menyembuhkan segala penyakit. Mengubah dan membentuk semula kita, agar menjadi manusia yang bertaqwa. Kerana itu perayaan disambut selepas puasa disebut ‘iidul fitri’, yakni kembali kepada fitrah. Suci bersih seperti baru dilahirkan. Kita mengharap, agar kesannya kuat melekat hingga ke Ramadhan seterusnya pula.
“kita disuruh memenjarakan nafsu sepanjang hari dan selama sebulan. Dan disuruh agar tetap taat segala perintah yang telah ditetapkan”
4. Demikian, datanglah kita kepada Allah diramadhan ini dengan penuh kehambaan. Puasalah kita dengan penuh pengharapan. Allah swt nak bagi pahala, tapi kenapa kita tetap masih lawan dan abai perintah Allah, masih biar rasa ego untuk pulang mengagungkan Allah. Dari sudut jauh hatinya mengakui hal kebenaran suruhan Agama, namun seolah ada yang menghalang untuk mencelikkan matanya. “Merasa usia muda, tubuh sihat, sering ingin untuk menangguh, melihat keadaan rakan yang lain, dan bermacam lagi”. Allah swt nak beri hadiah, tapi kita menolak dan tak mengambil endahnya, bahkan membalas hadiah tersebut dengan hal yang dibenci. Difikir semula, inilah yang dikatakan menzalimi diri sendiri, iaitu orang yang merugikan dirinya sendiri. Jika terjadi pada diri kita, kita juga merasai akan patutnya gelaran yang dinyatakan ini.
“Kita rasa malas dan berat untuk buat ibadat, buat yang benar dan baik. Walau sudah nampak jelas. Sebab maksiat-maksiat yang terselit. Dosa-dosa yang terbiar. Kejahatan-kejahatan yang sudah menjadi rutin. Yang masih tergantung dan bertangguh. Rasa bangga dengan dosa. Tak tahu dan faham hikmah dan tujuannya” “Lemah iman dan jahil”
“Hati-hati yang banyak dosa, dibiarkan dosa, dengan kelalaian dunia, kosong dengan amalan. Maka akan terjangkitlah sifat-sifat dengki, mengumpat, hina, dedah aib, riya’, ujub, ego, sering marah, bergaduh, sangka buruk, kata kotor, hal-hal baik diperendah, inginkan lagi dosa, tak puas dengan dosa, dan sebagainya lagi. Manakala bila hati sentiasa bersih, sifat-sifat ini sukar untuk dijangkiti dan berjangkit”
Sabda Nabi saw: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan melakukannya, maka tiada pada Allah sebarang hajat terhadap dia meninggalkan makannya dan minumnya. (Hr Bukhari)
5. Mungkin ada sembang-sembang, “Tak payah puasalah, buat maksiat juga. Sama sahaja, tak dapat juga pahala. Hanya lapar, dahaga sahaja boleh. Macam tak puasa juga”. Saya katakan: “Bila tidak puasa, maka itu adalah dosa besar yang jauh lagi nak disamakan dengan puasa tapi buat maksiat. Kerana ia sudah meninggalkan sepenuhnya. Adapun yang masih buat maksiat, mungkin ia juga tak mengingininya, iman lemah, terlanjur, telah dan sedang berusaha atau ada yang membiarkan untuk terus buat dosa lain”. Maka pahala dari puasa kurang, luput ganjarannya dan tipis untuk dapat jaminan pengampunan dari Allah dan kesan, hikmah ibadat puasa tersebut. Hadis ini juga adalah memberi peringatan kepada kita, bagaimana untuk meraih kesempurnaan puasa. Mendidik dan memberitahu kita. Ibadah puasa, ingin mendidik roh dan jasad kita.
“Kebenaran akan melawan dan menghalang kejahatan, manakala kejahatan demi kejahatan, akan menjurus untuk terus jahat”
6. Kenapa perlu dibiarkan dosa sentiasa menyelangi puasa. Buat wanita yang masih dedah aurat, ketat, jarang, dan sebagainya lagi. Sedarlah!. Macam mana kita nak meraih ganjaran dan keampunan dari Allah!. Orang yang terus buat dosa tika puasa, dia merasa sendiri ruginya puasanya. Lapar dan dahaganya hanyalah sia-sia. Seperti juga orang yang solat untuk menunjuk-nunjuk, dia juga tahu yang tiada guna solatnya. Hal-hal sebegini mungkin masih sering diremehkan sebahagian orang, kerana yang asyik bermain dalam kepalanya adalah, “tunggulah waktu lain, nanti bertaubat semula, ganti semula, buatlah betul-betul, takkan Allah tak terima langsung amal kita”.
7. Jauhilah kita dari perangai meremehkan larangan Allah. Jika bulan puasa tak dapat juga mendisiplinkan kita, maka lebih sukar dibulan yang lain, kerana nafsu makan dan syahwat sudah bebas. Jika ramadhan tak dapat juga menyembuhkan kita, maka dibulan lain sukar untuk mengubatnya, kerana tiada jaminan ganjaran dan keampunan yang besar seperti ramadhan.
8. Apa salahnya kita jadikan hukum hakam agama ini, suatu yang amat-amat sensitif. Kita perlu benar-benar mengambil berat hal dosa pahala, halal haram dan sunat makruh. Walau kecil dan ringan, sedikit dan tersilap. Kerana dari pandangan inilah permulaan segalanya. Lalu sudah merasa bimbang perkara makruh, tak lagi dosa kecil, dan apatah lagi dosa besar. Demikian agar terselamat dari jauh kehanyutan dan kesesatan dari jalan Allah. Dari sukar untuk berubah dan sebab berputus asa dengan rahmat Allah.
Tidaklah bertambah keelokan seseorang yang beriman kecuali bertambah rasa takutnya kepada Allah sehingga dia berkata: "Aku tidak akan selamat dari azab Allah". Sementara orang yang fasik akan berkata: "Orang sepertiku ini ramai, aku akan diampunkan, tidak ada apa-apa yang buruk akan berlaku ke atasku, rahmat Allah itu luas". (Petikan status fb kenalan)
Sabda Nabi saw: Apabila awal Ramadhan tiba, maka syaitan-syaitan dan jin dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satu pintu pun yang dibuka. Dan pintu-pintu syurga dibuka, dan tidak satu pintu pun yang ditutup. Lalu ada seruan (pada bulan ramadhan); Wahai orang yang menginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang ingin kejahatan, tahanlah dirimu (berhentilah). Pada setiap malam Allah swt memiliki orang-orang yang dibebaskan dari neraka. (Hr at-Tirmidzi, ibn Majah. Disahihkan oleh al-Albani)
9. Akhirnya, marilah kita perhatikan lafaz sabda Nabi saw ini. “Neraka ditutup dan Syurga dibuka” dan “Wahai orang yang menginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang ingin kejahatan, tahanlah dirimu”. Ini bulan keampunan dan bulan untuk mentarbiah kita. Pilihan kita, samaada ingin dididik oleh Allah atau biar dengan arus nafsu. Demikian dengan pengawasan kita akan perbuatan jahat dibulan ini, dapat membendung segala kejahatan- kejahatan selepas ramadhan nanti. Bulan ini, doa lebih diperkenankan. Dan tiap amalan-amalan yang dikerjakan, pasti ada kesannya.
Jika amal di bulan ini lebih pahalanya, maka maksiat di bulan ini, makin berat dosanya.
Sabda Nabi saw: Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang Akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepada-Ku, akan Aku berikannya. Sesiapa yang memohon keampunan kepada-Ku, akan Aku ampunkannya” (Hr Bukhari)
10. Kesempatan Ramadhan tahun ini. Dikesempatan waktu sebelum sahur dan dengan kelebihan bulan Ramadhan ini, marilah sama-sama kita bersungguh-sunguh menadah pahala dengan amal, panjatkan doa dan memohon ampun kepada Allah. Ini ialah bulan keampunan, bulan ganjaran, bulan diperkenankan...!
* Doakan saudara-saudara kita yang sedang diuji, Syria, Rohingnya dan seluruh tempat lain.
08 Ramadhan 1433 H bersamaan 28 Julai 2012 M
Sabtu, 02.50 pm. Sana’a, Yaman.