ذَلِكَ الْكِتَابُ لا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
Firman Allah s.w.t: Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (Al-Baqarah 2)
1. Dakwah itu luas dan banyak pendekatannya. Berbeza suasana-suasana yang berkait ketika dakwah. Maka dalam Islam berbagai contoh telah ditunjuk Nabi s.a.w dalam berdakwah. Lihat hadis yang bercerita tentang soalan manakah amalan yang paling baik dalam Islam. Demikian Nabi s.a.w menjawab dengan berbeza-beza jawapannya mengikut keadaan pertanyaan orang tersebut. Ada jawapan Baginda solat, jihad, berbuat baik kepada ibubapa, berzikir, dan lain lagi.
2. Hingga hari ini. Dakwah ini pasti ada yang akan menyambungnya. Sebagaimana Al-Quran dan Hadis Nabi saw terus dipelihara pada zahirnya dan didada-dada para ulama’. Hinggalah berlakunya kiamat, dua sumber rujukan inilah bukti segala-galanya.
3. Semua manusia Allah s.w.t kurniakan akal. Suatu alat yang begitu canggih jika benar-benar dimanfaatkan. Dan ia juga menjadi suatu alat yang paling jahat jika dipandu apa yang diingini nafsu. Bila dikurniakan akal, sudah tentu akan ada rasa dalam diri manusia itu untuk mencari dan meyakini sesuatu itu berdasarkan nilaian akal yang hebat ini.
4. Al-Quran dan Hadis telah lama menceritakan tentang hal sebelum kita dilahirkan dan selepas dimatikan nanti. Dan segala bentuk perjalanan alam dan semua makhluk di dunia ini.
5. Keislaman, keimanan dan keihsanan kita ini adalah bersumberkan penjelasan Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Al-Quran dan Hadis yang menjadi tempat pergantungan sandaran keislaman dan keimanan kita. Dan segala rutin ketaatan dan keihsanan kita.
6. Demikianlah perlunya bagi kita terutamannya dizaman terakhir ini. Adalah mesti sentiasa mencari dan mendahulukan pesanan-pesanan dari Al-Quran dan Hadis. Kitab mukjizat yang berkekalan, bersesuaian dan sentiasa segar dan tepat mesejnya. Bahasanya yang tidak lapuk dan jemu diulang. Yang selalu tegas dan benar. Punyai roh kekuatannya tersendiri yang tiada tandingannya. Iaitu ‘kalamullah, Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w’. Kita mesti mengambil dan menjadikan pendekatan utama kita adalah ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Bukan bererti menafikan pendekatan-pendekatan lain, yang sememangnya bersumberkan ilham dari Allah dan kelebihan-kelebihan yang dikurniakan, dan apa lagi jalan-jalan lain yang mudah dan perlu untuk menarik orang. Huraian untuk memahamkan orang. Tetapi mestilah diutamakan, diakhirkan dan sentiasa diselitkan Firman Allah dan Sabda Nabi s.a.w.
7. Ungkapan syarahan dan tulisan manusia itu tidak dapat dinilaikan dengan Al-Quran dan Hadis. Zaman, waktu dan suasana semasa yang berbeza. Manusia itu tidak kekal. Kata-kata dan rakaman semangat itu mungkin sudah pudar dan tiada lagi auranya. Kadang ia tidak disuka orang, ia silap, tidak tepat, tidak bersesuaian, dipermain dan tidak diendahkan kerana sebab-sebab tertentu. Berbeza dengan Al-Quran dan Hadis.
8. Muslim yang beriman itu akan sentiasa merasa kuat bila ada kaitan sumber dengan kitab Al-Quran dan Hadis. Ia tidak berani melawan dan berusaha untuk tunaikannya bila telah difahami hakikat keimanan itu. Al-Quran dan Hadis itu adalah jaminan dari Allah dan Rasul utusan Allah sendiri. Soal pahala, dosa, halal, haram, perkara ghaib, syurga neraka, dan cara ibadat-ibadat telah dijelaskan dalam Al-Quran dan Hadis.
9. Oleh itu, inilah sebabnya perlu bagi kita seorang pendakwah, yang menyebarkan kebaikan dan yang mencari ilmu-ilmu agama, mengaitkan dua sumber ini. Menjadikan keutamaan dan kepentingan dari dua faktor ini. Supaya kuat dan selamat hingga saat dipanggil Allah s.w.t menemui-Nya. Apatah lagi dizaman yang penuh kebebasan dan keterbukaan ini. Fitnah kehidupan yang sangat dasyat. Inilah hujjah dan kekuatan agama Islam ini. Orang itu akan merasa kaitan dengan akidahnya keimanan kepada Allah dan Rasul.
10. Disaat semua orang mengutuk dan tidak memberi peluang kepada kita untuk berubah dari silap kita semalam. Al-Quran dan Hadis menjelaskan agar kita bangkit dan berusaha berubah. Dan dijanjikan ganjaran yang besar. Disaat semua orang menghina dan mentertawakan kita melakukan kerja yang disukai Allah (yang disukai Allah itu sebenarnya disukai manusia). Al-Quran dan Hadis mengajar kepada kita terus istiqomah, memohon doa dan agar tetap melakukan ketaatan dan kerja-kerja baik dan dakwah.
11. Jika kita perhati dizaman sekarang ini. Semua bahan sumber rujukan tafsir huraian Al-Quran dan kitab-kitab Hadis telah lengkap diterjemah dan mudah didapati. Sebenarnya kita bukan menjadi orang-orang yang mereka manhaj dan agama baru. Tapi adalah sebagai penolong menyampaikan hadis-hadis Nabi s.a.w. Demikianlah nyata dalam dalam Sabda Nabi s.a.w: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat.” (Hr al-Bukhari). Dan hadis “Sesiapa yang mengajak (menyeru) kepada kebenaran, maka untuknya pahala seperti pahala-pahala orang yang mengikutnya, tidak kurang daripada pahala-pahala mereka sedikitpun. Dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka ke atasnya dosa seperti dosa-dosa orang yang mengikutnya, tidak kurang daripada dosa-dosa mereka sedikitpun.” (Hr Muslim)
12. Kita mohon jauh dari yang ingin agar orang menyokong dan seolah menjadikan kita Nabi. Merasa berat untuk menyampaikan dan mendahulukan Al-Quran dan Hadis. Sebaliknya kata-kata dan pandangan kedua, ketiga dan yang hanya selera dengan perasaan kita. Jika ada dua pilihan, maka kita pilih untuk dahulukan pengajaran dari sumber Al-Quran dan Hadis. Dan seterusnya berkaitan cara olahan, tarikan dan pemahaman mengikut sesuatu keadaan tersebut. Mengajak kepada ketaatan itu bukannya mengajak dan mengajar agar orang menjadi taksub, melampau mengagungkan dan memuja kita dan sesorang itu.
13. Hebatnya Islam ini kerana sumber rujukan yang teguh dan kuat ini. Begitu susah dan beratnya tugas seorang pendakwah juga ialah kerana dengan tugas meneliti dan memahami sebaiknya sumber-sumber agama yang ingin disampaikan. Bukan sekadar membenarkan dari segala ucapan gurunya. Bukan sekadar ‘copy dan paste’. Namun memerlukan kesungguhan mencari bukti dan fakta-fakta berkaitan agama ini.
14. Apa-apapun, akhirnya semua kita mesti berusaha kembali kepada dalil Al-Quran dan As-Sunnah. Para salaf terawal. Bukan rela tidak mahu bercakap atas nas-nas dua rujukan tersebut kerana ada label-label tertentu. Dan kita melabel itu golongan tertentu. Namun ia adalah sudah suatu kemestian sebenarnya. Sudah menjadi hal yang sepatutnya disampaikan dari melalui ayat Al-Quran dan Hadis. Kitab mukjizat yang kekal hingga kiamat. Yang menjadi semangat dan motivasi hidup. Agar kita kuat dan orang awam lain kuat kerana mengingati pesan dari Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w sendiri. Bukan rekaan sesiapa, tapi dari Allah dan utusan Allah sendiri. Dapat bertahan dan bangkit istiqomah kerana seruan daripada Al-Quran dan Hadis. Agar terbina kekuatan dalam diri masing-masing dan nampak luas, indah, dan sempurnanya erti Islam itu. Berdakwah dan usaha mencari dalil Al-Quran dan Hadis. Kerana itu kekuatan pegangan dan bimbingan buat kita. Yang bertepatan dan berguna buat selamanya.
“Islam cukup sempurna. Tiada hal kehidupan yang dilepas pandang oleh Islam. Ada aturan dan panduannya dalam Islam. Yang dirasa tiada disebut dan kaitan dalam dan dengan Islam itu kerana dari kejahilan diri kita dan tidak sampai pengetahuannya kepada kita. Al-Quran dan As-Sunnah menjelaskan segala-galanya”
“Jadikanlah Al-Quran dan Hadis sebagai motivasi dan kekuatan hidup kita. Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis sebenarnya memberikan motivasi untuk diri kita. Ia telah, sedang, dan akan berkait segala-galanya. Menyentuh segalanya. Mesejnya sentiasa segar, tepat dan benar. Amalan-amalan yang mengaitkan akidah kita kepada Allah dan Rasul-Nya”
تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ مَا لَنْ تَضِلُّ بَعْدَهُ اِنْ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كَتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ رَسُوْلِهِ
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya, iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya. (Hr Muslim)
19 Rabiulawal 1434 H bersamaan 31 Januari 2013 M
Khamis, 11.35 pm. Perak, Malaysia.
Khamis, 11.35 pm. Perak, Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan