Sabtu, 3 November 2012

Sama selalu Muhasabah dan marilah, kita Berubah.

صَحِّحْ أَخْطَائِي أَيْنَمَا وَجَدْتَهَا 

 Correct my mistakes wherever you find them 
 Betulkan kesilapan saya di mana saja anda menemuinya 

Firman Allah swt: Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila mereka dibayang-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan (disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan), mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya), nampak (jalan yang benar). (Al-A'raaf 201) 

1. Waktu memang begitu cepat berlalu sekarang, hanya beza samaada berlalunya ia dengan kebaikan atau keburukan. Samaada kita terkekang dengan hal halal atau haram. Samaada ditenggelam oleh kebaikan atau kelalaian. Masih merasa tidak puas dengan dosa atau merasa tidak puas dengan pahala. Masa yang masih berjalan, kita sentiasa diberi peluang oleh Allah berubah dari yang dilarang kepada yang diredhai, hinggalah sebelum nyawa sampai dihalqum. Melihat hakikat keadaan sekarang, segala hukum hakam dan penerangan Agama sudah telah banyak dan begitu jelas sekali telah dibahaskan, dengan kemudahan zaman kecanggihan teknologi sekarang. Dari hal yang ringan hinggalah yang rumit yang untuk difahami. Beza dakwah sekarang, dengan cara kebijaksanaan dalam pengolahan dan pemahaman terhadap suasana masyarakat. Kita mohon dalam golongan yang telah dinyatakan dalam Al-Quran: “(Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab (yang mempunyai Akal)”. (Az-Zumar 18)



2. Atas kita segalanya, untuk baca, dengar dan manfaatkannya. Atau masih selalu nak tangguhkannya dan abaikannya lagi. Atau sekadar ingin diketahui dan sedap bercakap, tapi tiada disedarkan pada diri untuk memanfaatkan ilmu itu. Hati, mata dan telinga kita sudah seolah tiada mampu untuk lahir kesedaran dan perbezaan mana yang benar dan salah. Kerana kelalaian dan lemahnya tahap kesedaran ilmu pada rutin hidup kita. Jika kita berpaling dan jauhkan diri dengan Agama, maka syaitan dan hal dosa yang menjadi sumber ketenangan dan hiburan sepanjang hidup kita. Begitulah jika kita berhijrah dan hindar diri dari larangan Agama, maka amal soleh dan hal yang halal yang menjadi sumber kemanisan dan kebahagiaan dalam hidup kita. Kadang difikir bila melihat bagaimana hidup seseorang itu amat bahagia tanpa hal dosa. Kenapa kita memilih jalan yang tujuannya akan menyesatkan kita. 

3. Islam ini Agama pertengahan, suka saya mengambil penjelasan dari maksud wasatiyyah (pertengahan) ini dari Tuan Guru haji Abdul Hadi Awang: “Ramai yang mengambil kesempatan meninggalkan syariat Allah dengan sengaja, berselindung di sebalik menafsirkan al-Wasatiyyah dengan hujjah, kononnya mengikut kehendak semasa, dengan cara tidak istiqamah mengikut perintah Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W dengan bergantung kepada terjemahan dari segi zahir bahasanya sahaja yang bermakna pertengahan di antara baik dan buruk, adil dan zalim, makruf dan munkar dalam keadaan mencampur adukkan kebaikan dan keburukan atau melaksanakan Islam secara terpilih, bukan keseluruhannya kerana mengikut langkah-langkah syaitan atau beramal dengan sebahagian dan meninggalkan sebahagian lagi, laksana kaum Yahudi yang dimurka Allah (al-maghdub alaihim), atau mengikut kemahuan sendiri laksana penganut ajaran sesat (al-dallin), tanpa usaha yang bersungguh-sungguh melaksanakan mesej umat terpilih dengan menegakkan makruf dan menentang kemungkaran atau tidak bercita-cita melaksanakan Islam sepenuhnya. 

Sederhana bukan beramal dengan Islam tanpa kesungguhan atau tidak melampau sehingga menyerah kalah, tanpa perhitungan sempadan nilai yang sebenar daripada hukum Allah dan matlamat kejadian manusia dan fitrahnya mengikut penciptanya sendiri iaitu Allah S.W.T, sehingga meninggalkan syariat Allah yang asasi, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, meninggalkan kewajipan beramal dengan syariat Allah serta tidak sempurna melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Munkar. Allah memberi amaran kapada kaum Bani Israil yang dimurka sehingga hari kiamat, supaya menjadi pengajaran kepada umat Islam”. Artikel lengkap dari Blog Tghh: Konsep al-wasatiyyah.



4. Memang masih ramai dikalangan kita, silap menyandarkan ungkapan ini. Maka nampak kelonggaran, kelemahan dan kecelaruan dalam identiti agama dan seruannya pula pada orang lain. Tidak kira apa jurusan kita. “Contoh dalam apa-apa hal rutin kita, kita sudah terbiasa dengan melakukan hal tersebut tanpa kita cuba lihat apa hukumnya atau kita buat tak tahu dan tak ingin mengaitkannya dengan Agama dengan sebab sudah terbiasa suka melakukannya. Sedang itu hal dosa dan hal yang sebenarnya telah memang kita tahupun. Tapi kita rasa berat dan rasa tak perlu terlalu menitikberatkan segalanya, sedang itu hal ditegah Agama. Wasatiyyah bukan jua maksud meremehkan dosa dan biar dalam dosa. Marilah kita menilai pada Al-Quran dan As-Sunnah, bukan kerana sudah selera dengan nafsu, fikir dan kaji kenapa ada yang berberbeza dengan aku. Kita memang sudah pasti akan banyak membuat silap dan terlanjur, namun itu kerana kelemahan dan kejahilan kita. Dan kita disuruh bertaubat, bangkit dan tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Bukan dengan mengiakan hal dosa dan hal pahala dan dianggap sebagai wasatiyyah dalam hidup, difikir agar tidak jumud dan berlebihan, melampau. Bahkan inilah bala yang besar pada diri kita”. 

5. Apapun hal, kita perlu usaha cari jalan bagaimana untuk menjadikan agar kita ini taat dan menjadi hamba yang patuh. Berada dalam jalan yang terselamat dari jerat dunia. Kita perlu fikir apa perkara yang menyebabkan kita dapat berubah seperti orang lain yang dapat berubah. Kita perlu usaha untuk berhijrah dan berkorban. Samaada dari dengan kawan, suasana, dan apapun jalan lain lagi yang mampu membentuk kita. 

6. Saya melihat, kita sebenarnya banyak abai perkara yang telah jelas kita sedari. Bukan yang tidak disedari, inilah maksud “kelalaian”. Kita mohon jauh dari sedang dalam kelalaian, yang telah lalai dengan dunia, tidak dapat jaga Agama, lupa hal kematian dan akhirat. Inilah yang banyak disebut dalam al-Quran dan hadis, diberi peringatan dan ancaman. Kita perlu usaha bangkit keluar dari kepompong kelalaian dunia itu. Antara penyedarnya, saling sama sentiasa memberi peringatan, pelihara secermatnya ketetapan Agama dan berusaha amal sunnah Nabi saw dalam menjalani apa jua kerja hidup. 

7. Ingin diluahkan: “Dulu aku memang jahil, tiada orang memberi kesedaran dan peringatan pada aku. Aku memang sentiasa akui dan kesal dengan setiap kali apapun hal yang dosa itu. Aku tak merasa seperti dengan keadaan sekarang yang sentiasa ada yang memberi peringatan macam aku saling bersungguh memberi peringatan. Peringatan-peringatan di blog dan page fb itu adalah apa yang aku mesejkan untuk aku dan aku merasa perlu kepada orang lain. Aku fikir memang masa itu benar-benar tak tahu, tiada peringatan yang tegas, kurang penerangan yang jelas dan disamping pula banyak hasutan kelalaian. Aku fikir jika ada yang telah memberi peringatan seperti aku memberi peringatan ini, aku merasa betapa amat berdosanya aku jika masih degil, aku merasa akan ku insafinya jua dengan segera. Sekarang aku telah tahu, faham, dan ingin aku memberi kesedaran dan peringatan kepada orang lain pula, kerana aku tahu orang itu dalam bahaya kelalaian dan kejahilan seperti mana keadaan yang telah aku lalui dan berada hari itu. Itu antara sebab aku terus memberi peringatan. Ku fikir, yang perlu ada dan sedarinya, jangan ego dan terus berusaha bangkit dari tiap apa yang telah terleka itu.  

Temanku, sedarlah dan fikirlah sejernihnya, jangan biar dunia masih membutakan kita. Yang benar dan salah itu telah terpampang nyata. Tiada siapa dapat halang untuk kita usaha merubah diri kita, hanya diri kita yang menjadi penghalangnya sebenarnya. Begitulah juga jika pilhan jalan dosa yang kita kehendaki. Kejahatan yang keji manapun dari kita, kita akui dan jadikan itu memang kejahilan dan kelalaian kita, dan kita ada perubahan setelah taubat. Begitu juga kita fikirkan keji manapun orang lain, hasil nampak perubahan itu adalah keinsafanya. Dan kita akan terus memberi peringatan dan kesedaran. Tiada siapa yang dapat halang perubahan kebaikan diri kita dan juga orang lain. Fikirlah yang aku sebenarnya memang telah tahu dan bukti-bukti benar salah telah sentiasa aku dengar dan lihat atau tidak sebenarnya?. Cukuplah kita jadikan tiap silap orang yang lepas itu sebagai peringatan buat diri kita, dan tiap kebaikan orang yang lepas mahupun sekarang, ada manfaat pada kita. Bukan untuk terus menghina, berdendam dan bersangka buruk. Jangan jadikan modal dosa kita kerana orang itu juga pernah berdosa. Allah hanya menilai kita. Jangan sampai kebaikan orang masih menyakitkan hati kita. Kebenaran kita adalah bersedia menerima apa jua masalah. Apapun hal, kita jauhi dari sangka kotor dan terus dengan memberi peringatan. Siapapun kita, kita akan terselamat bila kita telah berada diatas landasan yang sama, iaitu insaf, bertaubat, beriman dan melakukan amal yang diredhai Allah. Allah Maha Adil. Allah mengetahui hakikat segalanya. Kita nak mati dalam keadaan sudah insaf dan bukan mati dalam keadaan masih menipu diri kita sebenarnya. Insaf atau tidak, kita yang mengetahui diri kita. Hal-hal sekeliling itu adalah menjadi ujian dalam mengikhlaskan sepenuhnya atau tidak amal kita.”


Tiap perubahan, pasti akan menerima ujian. Samaada hinaan, ejekan orang atau pujukan, ajakan agar kita melakukan semula hal dosa itu. Masih hadir perasaan dengki, tak adil dan tak puas hati. Dari kita sendiri juga atau dari orang lain. Kebenaran kita adalah bersedia menerima apa jua masalah. Nak membentukkan semula mana yang telah rosak. Inilah ujian yang besar. Ia mungkin masih jelek dan masih ditertawa oleh manusia, masih rasa susah dan tak tahan. Tapi Allah redha dan menyayangi kita. Inilah yang amat penting dan didambakan. Untuk menghapus dosa, memberi  pahala dan melihat tahap pergantungan kita kepada Allah, marilah sama terus tingkatkan kesabaran, hasilnya sudah pasti manis kelak
8. Segala teguran dan peringatan ini dari rasa kerana sangat kasih dan sayang. Ia terasa dari dasar keimanan yang kita Imani bersama. Sama-sama saling selalu peringatkan, timbulkan dan zahirkan kesedaran dan memberi sokongan. Terima kasih teman. 

9. Janganlah sesekali kita kutuk dan hina peribadi orang, ia lagilah dilarang Nabi saw. Jangan jua mencari kelemahan orang kerana untuk mengutuknya. Adakah kita suka dan boleh terima orang mencari dan mengambil kelemahan kita untuk menjatuhkan kita. Ini bukan sifat orang-orang beriman. 

10. Aku masih terfikir, bagaimana kita boleh dan hendak terus menafikan kebaikan orang dan terus keras mempersalahkan dan sangka keji kepada orang. Sedang Allah sentiasa memberi peluang kepada hambanya, telah menerima taubat dan perubahan kita yang lepas dan yang walau masih terlalai. 

11. Kita kata nak berubah, bukan seperti selalu orang sangka dan kata. Maka, kita perlu tunjukkan perubahan itu. Dan kita ini, saksi untuk diri kita sendiri. Hinggalah kelak. “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya, menzalimi diriku sendiri kerana itu Ampunilah aku”. (Al-Qashash 16) 

12. Dalam hidup kita, segalanya dari bagaimana sangkaan kita, jika kita sentiasa dalam bersangka baik kepada sesiapa, maka kita akan dapati banyak keuntungan, dalam sentiasa tenang. Tapi jika hal buruk yang sentiasa ingin disangkakan, kita yang menanggung hasil buruknya dan menyusahkan diri. Sebenarnya banyak hikmah-hikmah kebaikan, terhalang dengan sebab keegoan kita. 

13. Nak tahu adakah kita telah dalam yang melampau dan yang memperlekeh Agama, marilah kita lihat contoh paling teragung dari Rasulullah saw, para sahabat, tabi’, tabiin dan para ulama salaf dahulu dan sekarang. Kehidupan orang-orang yang baik dan soleh. Bagaimana hal perjalanan kehidupan mereka. “Amat menjaga solat berjemaah dimasjid, jaga amalan sunat, bangun solat malam, rajin baca al-Quran, berjubah dan berjanggut, kurang berhibur, bersembang dan bergelak ketawa dan sepandangannya lagi. Bukanlah dalam yang terlalu kuat menjaga Agama. Bahkan itu sunnah agung yang begitu tinggi ganjarannya dan perlu dicontohinya. Cuma jika tidak diseimbangkan hal tuntutan dari Agama juga yang lain seperti soal hubungan sesama manusia, mencari rezeki, abai tuntutan besar yang lain, jaga kesihatan, bersih, kemas, sedikit hiburan dan sebagainya hal lain lagi yang melengkapkannnya lagi, maka disitulah silapnya sebenarnya. Nampak peliknya. Yang perlu adalah turut bersungguh dalam segalanya. Satu aspek kita telah berjaya dan kita akan terus diuji aspek lain. Semuanya dituntut Agama. Dan sebenarnya itu hanya asas yang perlu semua kita peliharanya. Begitulah juga jika yang amat profesional dilihat, bukanlah jua dalam yang meninggalkan Agama. Segalanya perlu dinilai mengikut acuan praktik Agama dari Nabi kita, iaitu terdapat dalam Sunnah Baginda, memahami konteks hadis dan suasananya. Tidaklah mengikut selera perasaan kita dan teman, majoriti ramai”. 

“Bila kita bercakap soal keseimbangan dunia dan akhirat, peribadi para Nabi-Nabi dahulu, Rasulullah saw dan sahabat-sahabat yang telah dijanjikan syurga yang menjadi nilaian kita. Jika tidak, kita bimbang terjerat dalam yang meremehkan Agama dan melampau dalam Agama. Apapun semua hal sebenarnya adalah berkait dan dituntut oleh Agama. Ini semua ujian. Zahir bukan hakikatnya, ungkapan kejayaan dan kebahagiaan itu dirasa mengikut apa tahap yang dikecapi sendiri oleh individu itu. Dunia ini medan ujian, dipertanggungjawabkan kita agar menikmati dan memanfaatkan dunia dengan tidak melupakan Allah, yang menjadikan dan akan mematikan kita, merasainya dengan selalu ingatkan suruhan Allah. Untuk selamat dan berjaya dunia dan akhirat. Dunia akan ke akhirat, dunia untuk akhirat, dan keselamatan akhirat memerlukan ketaatan di dunia. Ketaatan itu ialah termasuk kejayaan dunia. Demikian akhirat yang diperlukan lebih. Ketaatan didunia untuk kejayaan dunia dan juga akhirat”. 

“Rutin dengan masih diabai, selalu ganti dan lewat solat. Mulut biasa dengan umpat, fitnah, cerita dan dedah aib, mengadu domba, banyak gelak ketawa dan sembang karut. Mata dan telinga sentiasa padat dengan cerita dan lagu, masa habis dengan hiburan dan bermacam permainan bukanlah hal masih perlu biasa untuk dirutinkan teman. Dan berbagai lagi masalah sosial (zina, gay, lesbian, pelacur, dadah, arak, buang anak, curi, bunuh, derhaka ibu bapa, dedah aurat dan sebagainya lagi). Memang bukan senang nak berubah sekelip mata, marilah sentiasa menilai sudah dimana tahap kita, dan terus berusaha mencari jalannya dan meneruskan perjalanan untuk berubah itu”.


14. Akhirnya, Islam suatu Agama yang cukup sempurna. Tidak melampau dengan menyeksa diri, menjumudkan agama, mengkafirkan orang, dan bukan juga meremehkan dari tiap kebaikan dan keburukan. Agama yang telah menjadi seruan dari para rasul dan nabi-nabi terdahulu hinggalah sekarang. Yang punya bukti sejarahnya. Yang diakui kebenarannya. Segala hal terkandung didalamnya. Didikan dan peraturan yang diaturkan untuk membentuk dan membantu manusia itu. Disuruh manusia berusaha dalam menunaikan hidup dengan sentiasa sama berserah dan selalu ingat kepada Allah, pemilik yang mengetahui hakikat segalanya. Iaitu pada Al-Quran dan As-Sunnah. Ciri wasatiyyah dan syarat-syarat berjaya dunia dan akhirat telah terdapat pada cara Rasulullah saw. Marilah sama-sama terus berusaha mencontohinya. 


Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H): “Sesungguhnya agama Allah adalah pertengahan antara yang melampau mengenainya dan yang meninggalkannya. Allah Ta`ala tidak memerintahkan hamba-hambaNya sesuatu perintah melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya. Iaitu samada secara ifrat (melampaui batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrit (cuai terhadap agama)”. (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa 2/236. Riyad: Maktab al-`Abikan) 

 “Selagi tak bertentangan dengan Agama, tidak dilarang Agama, maka ia diharuskan” 

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, (merasa takut, gerun dan menjurusnya taat suruhan dan tinggal larangan Allah) dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), (kerana benarnya) dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal (bergantung, menyerahkan segalanya). (Al-Anfaal 2) – Tafsir ibn Kathir. 


07 Zulhijjah 1433 H bersamaan 23 Oktober 2012 M 
Selasa, 12.30 pm. Sana’a, Yaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan