“ Kalau setiap orang berasa dirinya sentiasa diawasi dan diperhati oleh Allah, tentulah akan damai dunia ini dari kejahatan dan kemungkaran ”

Jika setiap manusia sentiasa merasai akan dirinya selalu diawasi, dan dicatit segala perbuatan, pertuturannya, dan dibentang, diadili semula selepas berakhirnya alam Dunia ini. Nescaya selamat, amanlah kehidupan Dunia hari ini dari berbagai bentuk kemungkaran, kemaksiatan pada pemilik Alam ini (Allah).
Hari ini pelbagai perkara mungkar berleluasa. Kejahilan makin bertambah. Kadang-kadang hingga perkara Hukum, halal haram dipermainkan juga, ia telah menjadi bahan gelak ketawa apabila disembangkan. Nauzubillah min zaalik. Kenapa hingga sedemikian rupa.
Saudaraku sekalian. Jika anda masih jahil, pelajari dan fahamilah. Saya pun jahil juga dahulu. Hindarilah diri dari sifat suka mempermain-mainkan Perintah, Suruhan Allah swt. Janganlah membiarkan mulut kita sewenang-wenangnya bersembang, bergelak ketawa, memperlekeh, mengejek dalam mencari alasan dari melaksanakan Perintah Allah swt. Apabila sesuatu perkara itu adalah sebuah hukum, maka adalah tidak harus sama sekali kita mempermainkan apa jua berkaitan dengannya. Renunglah sabda Nabi saw :
ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب
Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat" (Hr Bukhari).
* Tiap amalan dari sehalus-halus perkara hinggalah sebesar-besarnya akan diperlihat kembali kelak :
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Az-Zalzalah 7,8)
* Wujudnya Malaikat dikiri kanan kita bukanlah suatu khayalan. Allah swt telah menceritakan didalam Al-Quran :
Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Qaaf 17,18)
Dan berkatalah malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya: "Inilah (Kitab catitan iman dan amal) orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia (untuk dibicarakan)". (Qaaf 23)
lagi firmanNya : Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): "Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan! * "Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)!" (Al-Jaathiyah 28,29)
* Demikianlah bagi mereka yang amalannya baik. Syurgalah tempatnya. Kesenangan, kenikmatan yang ditunggu-tunggu. Begitulah jua bagi mereka yang buruk amalannya. Kecelakaan, kedasyatan Neraka menantinnya :
Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmatNya; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar * Adapun orang-orang yang kafir, (maka mereka akan ditempelak dengan dikatakan kepada mereka): "Bukankah ayat-ayatku telah disampaikan dan dibacakan kepada kamu, lalu kamu berlaku sombong takbur (mengingkarinya), serta menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan? (Al-Jaathiyah 30,31)
* Hari ini mungkin segala nikmat Harta, pangkat, kedudukan, keturunan masih mampu melepaskan diri kita dari dihukum, diadili seadilnya. Namun Akhhirat kelak tiada lagi segalanya. Anggota-anggota badan yang lain sendiri akan menjadi saksi atas kelakuan kita didunia dahulu. Firman Allah swt :
Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Yaa Siin 65)
Alhamdulillah, hingga saat ini masih diberi kesempatan untuk memperbetul segalanya. Jika kita sentiasa merasai, meyakini akan hakikat bahawa benarnya terdapat para Malaikat yang sentiasa mencatit dan melaporkannya. Sentiasa memikirkan akan benarnya keperitan Azab dan kebahagiaan Nikmat disana, nescaya ianya mampu menyekat Hati kita dari berkeinginan pada perkara yang dilarang, dimurkai Allah swt.
“ Segala Nikmat adalah pinjaman dariNya, kelak akan dipersoal kembali. Mudahan nikmat tersebut tidak melalaikankan kita dari tujuan hidup di muka Buminya ”
(02.20 pm. 26.2.2011)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan