Rabu, 11 April 2012

Cuti, sedikit perkongsian.

1. Hari ini, waktu hidup kita masih lagi berjalan. Banyak cerita, perkara, kenangan dan pengalaman hidup yang lepas, dan yang baru sahaja lepas masih diingati dalam fikiran kita. Sejarah baik atau buruk masih diingati. Samaada ia dari diri kita atau dari orang lain. Tika detik ini masih berputar. Kita sentiasa ada banyak perancangan yang ingin dilakukan. Ada yang sudah insaf, bertaubat. Menyedari hakikat dunia ini. Mengingati ajal yang pasti, dunia yang hanya tempat berhenti. Dan ada yang masih lena, terpedaya dengan permainan dunia.


2. Ruang hidup yang masih diberi, marilah sama-sama sentiasa semak segala akaun hidup kita. Menilai segala apa yang dirancangkan. Ingat silap kita pada Allah, ingat janji-janji kita dengan Allah, ingat hutang kita dengan Allah, ingat nikmat, rezeki kurniaan Allah. Jangan lagi diasyikkan dendam pada manusia, silap dari manusia dan menyebar aib manusia. Marilah taburkan kebaikan dan tidak membilangnya. Dan ingat, bilanglah kejahatan agar bertaubat, insafinya. Kita mengharap segala amal diterima Tuhan dan diampunkan segala kesalahan. Firman Allah swt:


“Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui apa yang akan didapatinya esok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali. (Luqman 34)”

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Hasyr 18)”




3. Setiap orang, ada perkara yang ingin dikongsikan dan diluahkan. Inilah hakikat hidup, akan saling ingin memerlukan, mengharapkan. Namun perhatilah tempat dan apa yang ingin dikongsi dan diluahkan itu. Islam telah mengariskan, menjelaskan segalanya. Tulisan ini, sekadar bercerita sedikit pengalaman dan keadaan yang berlaku dalam jangka masa setahun baru-baru ini. Tiada apa yang diinginkan, hanya mengharapkan supaya wujud kesedaran bersama ketika menjalani hidup ini dalam menunaikan hak, suruhan Allah swt.


4. Di Sana’a Yaman, tempat inilah yang telah memberi kesan pada diri penulis. Kita semua dapat mampu merasai sendiri perubahan pada diri, perangai kita, disebalik kita sentiasa mengharapnya dengan kerap berdoa pada Allah. Suasana disini telah merubah segalanya. Ia meruntuhkan sifat berlumba ego, sombong dengan dunia. Ruang-ruang dosa, maksiat sukar didapati, pakaian wanitanya terjaga, keluasan feqah itu terbina, kepentingan akhirat dan hakikat kehidupan dunia yang sering diperingatkan. Masaalah sosial masih terkawal. Terasa tenang, gembira melihat majoriti masyarakatnya faham dan beramal dengan Islam. Keberanian berkata tentang Islam. Kebaikan menenggelamkan kejahatan. Alunan zikir dan al-quran adalah rutin yang biasa terselit kedengaran. Solat jamaahnya dikejari. Inilah sebahagian kebaikan yang sempat dirasai. Ia wujud disebalik kemunduran, kemiskinan Negara ini.


5. Hinggalah berlaku pergolakan yang memaksa pulang. Malaysia, tak dinafikan lagi Negara yang maju, terlalu jauh dengan Yaman. Pelbagai kemudahan disediakan. Namun kemajuan ini banyak telah membutakan masyarakat hal Agama. Mengekang untuk ketelusan Agama. Andaikata semua pemimpin-pemimpin Negara, yang berkuasa mendengar nasihat, teguran-teguran Ulama’, memahami dan beramal dengan Islam yang dibangga, nescaya Negara ini amatlah hebat, kuat. Diibaratkan digabung Yaman dan Malaysia.


6. Suatu masa ketika kelas agama di kampung, “sedang mengajar tentang kepentingan solat, ancaman meninggalkan solat, lalu bergegas bangun beberapa orang murid berumur 10-12 tahun dengan lajunya, katanya lupa untuk solat zuhur, pergilah mereka dengan segera menunaikan solat, sambil tersuka yang lain”.


Pengajaran: 1. Manusia ini pelupa, lalai. Allah swt telah mengingatkan. Diturunkan al-Quran, diutuskan Rasul. Para sahabat dan ulama’-ulama. Kita semu perlu saling mengingatkan, kadang sebenarnya semua telah tahu jelas segalanya, namun malangnya malu, sukar untuk menegur, memperingatkan. Apatah lagi jika dalam keluarga, saudara-mara, teman rapat, amatlah dirasa malu lagi untuk tegur, mengingatkan. Kita perlu saling beranikan hal ini, dengan cara-cara yang tidak menimbul masaalah lain. 2. Perlunya kerap memberi peringatan, tegas dalam soal Agama. Cerita tentang azab dan nikmat. Agama untuk kejayaan hidup, dunia dan akhirat. 3. Lemahnya tanggungjawab ibubapa dalam mendidik anak-anak hal agama, mengingatkan pentingnya solat. Kita lebih kepada lulus exam, pandangan dunia. Kadang biasa ketika di kampung, keluar anak-anak untuk bermain, kita pula yang mengingatkannya. Marilah semua menitikberatkannya. Solat itu asas kejayaan Hidup.


7. Pengaruh tv, internet, suasana hidup kita dan pelbagai hiburan lain. Ingatlah dan ketahuilah, tiada guna jika anak-anak dihantar diajar walau sedalamnya tentang Agama, namun suasana dirumah kita masih dibiarkan dengan hiburan-hiburan harian tv, cerita, internet dan keadaan rutin hidup kita, dalam keluarga kita dengan unsur kelalaian. Tak ada guna jika sekadar hantar anak belajar mengaji, belajar solat, belajar agama di kelas-kelas, namun tiada penekanan, suasana itu dirumah. Kita perlu mensuasanakannya. Jangan kata dan rasa tak menjadi masaalah dengan drama-drama sosial dan berbagai lagi itu, jangan kata dan rasa perlu dibiarkan mereka bebas berinternet. Perkara ini padahal amatlah besar, berat kesannya, ia punya kesan yang hebat sebenarnya. Percayalah, ketahuilah! apatah lagi jika urusan agamanya lemah. Hadkanlah, marilah kita mengawasi segalanya. Berhiburlah dengan hiburan yang dibenar Islam. Kita mampu merubahnya sebenarnya. Manusia memang perlukan hiburan, banyak hiburan yang dibenar Islam, selagi ia tak dilarang Islam, biarkanlah. Usahalah untuk tidak kepada dosa. Contoh mudah, “andai jika main game, bola, basikal, memancing yang diminatinya, atau apa-apa lagi, maka galakkanlah dan biarkanlah seluasnya, selagi mana tak lalai, tak bawa pada dosa”. Jangan juga kita asyik melarang dan kita menutup pintu-pintu lain atau kita biar pintu dosa yang dibuka. Yang menghasil kepada dosa dilaluinya. Marilah semua mengambil berat, demi kebaikan, kejayaan dunia dan akhirat. Sabda Nabi saw:


“Tidaklah dilahirkan bayi itu, melainkan dalam keadaan fitrah, suci (Islam), maka ibubapanya yang membentuk Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Hr Muslim)”


8. Anak pasti terpengaruh dengan perangai ibubapa, rakyat pasti terjajah dengan cara pemerintah. Ramai menghantar anak ke pusat pengajian Agama, ia amatlah dipuji, mengharap penyumbang pahala untuk kita. Jadi pendakwah Agama. Mudahan meneyedarkan kita juga. Jika demikian, memang itu dipuji. Kita semua mengingininya. Namun dalam masa yang sama ibubapa haruslah membenarkan diri dahulu untuk terus belajar dan mengamalkannya. Berusaha membenarkan dalam keluarga, bersifat terbuka. Jika tidak, anak akan terkekang dengan suasana ibubapa, keluarganya sendiri yang bersalahan dengan apa yang dipelajari. Mereka segan, hilang tujuan. Hilanglah keyakinan, kebenaran dan kefahaman ilmu yang dipelajari itu.


9. Kita didik sesopannya anak-anak kita, namun bila mereka keluar, keadaan telah merubahnya. Peranan yang besar dari pihak berkuasa, dari pemerintah. Pinggirlah golongan yang jelas memberi sumbangan terhasilnya berbagai maksiat dalam Negara kita, dengan penipuan, rasuah. Imej, ucapannya, dapat dinilai jelas sebenarnya. Janganlah terhijab dengan habuan dunia. Marilah semua tundukan ego, untuk membenarkan Islam terlaksana.


“Kata Abdullah bin Mubarak dan yang lain dari kalangan salaf: Dua golongan dari manusia, bila mereka baik, nescaya baiklah manusia. Dan bila mereka rosak, nescaya rosaklah manusia. Iaitu para Pemerintah dan para Ulama’. (I’laamul Mauqi’iin, ibn Qayyim. Jilid 1/10)”




10. Faktor suasana amat penting. Cerita seorang pakcik akan hal saudaranya yang mengeluh kerana anaknya yang agak sukar belajar al-Quran, puas disuruh, dipujuk katanya. Bagi saya, perlu melihat suasana persekitarannya, perangai ibubapa dan rutin dalam rumah, keluarganya. Saya amat meyakini jika bacaan al-Quran, zikir yang sentiasa hidup. Kesedaran, kepentingan agama yang sentiasa diselitkan, pasti mampu mengatasi keluhan itu. Jika sebaliknya, maka munasabah dengan keadaan itu.


11. Ramai berkata, “masa muda enjoy lah sepuasnya, nanti tua barulah taubat, berubah”. Cerita dari seorang pakcik dikampung. Sembang dengannya kebetulan di kenduri kahwin. Dalam banyak yang dicerita, ada satu kisah yang dirasa sedih, tersentuh. Sembangnya, “pernah pakcik pergi ke sebuah institut, di sana ada kelas mengajar Al-Quran khas buat golongan tua, umur mereka sebaya dengan pakcik, 50 hingga 70. Pakcik lihat mereka belajar membaca Al-Quran dalam keadaan merangkak-rangkak sebutannya, dengan keadaan mengalir airmata, ceritanya dengan sedih”. Marilah mengambil pengajaran, fikirlah bagaimana hal zuriat, keturunan mereka. Macam mana jika kita tak sempat, dan malang lagi yang masih menangguh-nangguh.


12. Pelajar jurusan Agama, ramai juga yang dilihat mungkin masih tidak faham akan tujuan dipelajari ilmu ini. Ilmu ini amanah, tanggungjawab. Gelaran ustaz, ustazah bukanlah suka-suka. Janganlah lebih diperhatikan imbuhan yang kita dapat dalam berdakwah, lebihlah perhatikan akan tanggungjawab, amanah dalam menyampaikan dakwah itu. Jangan dirasakan ia sekadar sumber mencari kerja. Sebaliknya ia perlu dirasakan dan mengingatinya suatu tanggungjawab, amanah dari Allah. Jangan jika ada peluang mengajar, barulah akan menyampaikannya. Jika tiada, tidak akan disampaikannya.


Kita perlu selidik, kaji bahan yang disampaikan, menghindari cerita, hadis palsu kerana untuk mengaut untung dalam berdakwah. Kita tidak mampu untuk berkata yang benar, janganlah pula kata yang salah, sesat, mengelirukan. Dan juga yang kita sendiri tidak tahu sumber kesahihannya. Marilah saling titiberatkan. Berdakwah pula, bukan saingan sejurusan untuk kita perhati, cari, tapi kejahilan, kehanyutan masyarakat yang bertimbun ramainya itu yang perlu kita fikirkan, perhatikan dan sampaikan. Marilah kita hayati, renungi pesan Nabi saw ini:


“Sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya dalam Neraka. (Hr Bukhari)”


“Sesiapa yang mempelajari satu-satu ilmu yang boleh membawa kepada Allah, namun dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan keuntungan duniawi, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada Hari Kiamat. (Abu dawud, ibn Majah, ibn Hibban dalam sahihnya)”

“Sesiapa yang mempelajari ilmu untuk menyombongi sesama orang yang berilmu atau untuk mendustai orang-orang bodoh atau untuk menarik perhatian orang lain kepadanya, Allah akan mencampakkannya ke Neraka. (at-Tirmidzi, hassan)”


“Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka Nerakalah tempatnya. (ibn Hibban dalam sahihnya)”


Demikian, ingin saya mensarankan agar/untuk sama kita baca dan hadam sebaiknya dua Kitab ini: (Thaqoofatud Dhaa’iah - Yusuf al-Qardawi dan Usul Dakwah – Abdul Karim Zaidan, mula dari m/s 293)




13. Islam agama yang selamat, sempurna. Dilarang kerana kesan buruk, disuruh untuk semua jadi baik, selamat, sempurna. Perkahwinan, marilah mengikuti sunnah. Kenapa kita sangat memberatkan perlaksanaan pernikahan? Kenapa kita menampakkan pernikahan itu memerlukan peruntukan yang besar? Maharnya yang tinggi, persiapan, jamuan dan segala upacaranya. Janganlah sibuk menandingi pandangan dunia. Jauhilah pembaziran. Malang lagi upacara persandingan yang menjadi adat. Marilah ubah, tinggalkan adat yang merosak, membebankan. Biasakan majlis, duit tak perlu ambil. Banyak zina, bila ruang perkahwinan, ruang halal dilihat terlalu susah. Disebalik godaan nafsu yang sentiasa bergelegak. Apa salahnya kita berpakat bantu anak kita, agar terhindar dari masaalah sosial, lalu berzina, buang anak. Marilah memahaminya, mengikuti syariat. Semua akan selamat, hidup dapat rahmat.


14. Kembalilah pada Agama, titikberatkan dan pentingkanlah aspek Agama. Cerita seorang makcik dengan marah, kesalnya dan hingga menimbulkan persoalan untuk “cerai” bilamana baru diketahui menantunya jarang solat, selepas mengandung baru disedari. Marilah semua, mengambil pengajaran. Kita lihat, pandang, fikir dan rancang untuk akhirat. Dunia ini memang tempat hiburan, penuh permainan, kita perlu berhati-hati. Allah dan Rasul rujukan segalanya, ada panduannya. Agama asas, penawar segalanya, mungkin ia susah, sakit sedikit, namun memadai balasan Syurga Allah yang dikhabarkan. Sabda Nabi saw:


“Sesungguhnya yang besar berkat pernikahan, mudah perbelanjaannya. (Ahmad, al-Baihaqi dalam Sya’bul Iman)”


“Jika ada orang yang datang kepadamu lelaki yang telah engkau senangi Agama dan Akhlaknya maka nikahkanlah dia. (at-Tirmidzi, Hassan)


15. Segala yang dikongsikan ini hanyalah bertujuan agar dapat dimaklumi keadaan yang berlaku dan dirasa perlu untuk kita sama-sama mengambil perhatian, pengajaran. Saling memberi peringatan, dan sentiasa memperbetulkan diri.


16. Muhasabah Akhir, “marilah kita ingat waktu kita sakit, tak selera makan, minum, tak dapat tidur, berjalan. Masa itu kita macam seolah baru sedar, fikiran kita lain, banyak kata dilafaz, dijanji dengan Allah, dengan manusia. Kita merayu. Jika aku sihat, pulih, aku akan buat ini dan itu. Alhamdulillah, waktu berlalu. Allah telah menyihatkan kita. Kita kembali sedia kala. Dapat kembali keadaan biasa.


Waktu hidup terus pantas berlalu. Kelak nanti kita mati, kita akan baru sedar lagi semula. Banyak fikir, kata, janji dilafaz, dirayu. Kita baru ketahui, nampak hakikat dunia. Namun kali ini, tiada guna lagi. Kita tak akan kembali sedia kala lagi. Hasil amal didunia hari itu yang dapat, mampu merubah nasib kita. Demikian, sahabatku semua… marilah kita manfaat baki hidup ini. Mati, bukti segala-galanya. Sesiapapun kita. Kaya, hebat, cantik mana kita, kita tetap mati. Kita akan mati juga. Mati, ia membuktikan kewajipan perlunya ketaatan/kembali pada Allah, perlunya mengikuti, mentaati ajaran Allah (Islam). Membuktikan kebenaran, kekuasaan Allah.


Dunia memang tempat diuji, kerana kita akan pasti mati. Tiap rasa susah, perit, sakit, rasa tak tahan, tak mampu, tak sanggup dalam tika kita diuji, tiada lain, pertolongan dari Allah kita perlu pohonkan. Jangan sesekali berputus asa, taubat, doa selalu dipanjatkan. Kita ini hamba Allah, dari Allah. Allah mengetahui segalanya. Allah tidak pernah menzalimi, menyusahkan kita, kita yang menzalimi, menyusahkan diri kita sendiri. Islam, cara hidup segalanya. Ia lengkap. Marilah meyakini segala janji-janji Allah.




Pulang ketika pergolakan di Yaman, 21.3.2011-21.3.2012.19 Jamadilawal 1433 H bersamaan 11 April 2012 M
Rabu, 01.10 pm. Sana’a, Yaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan