Khamis, 25 Oktober 2012

Korban kerana ia diperintah Allah.

1. Alhamdulillah, hari ini kita masih diberi kesempatan meraikan Hari Raya (Eidul Adha). Bila kita menyambut perayaan ini. Ia sudah pasti mengingatkan kita tentang kisah pengorbanan yang begitu berat yang telah disanggupkan oleh Nabi Allah Ibrahim as, anaknya Nabi Ismail dan isterinya Siti Hajar. Jika benar-benar dihayati kisah ini, sungguh terasa semangat keimanan yang baru dalam menghadapi ujian dunia dan dalam hal pergantungan dan keyakinan kepada Allah untuk mencari redha Allah. Mereka semua sangat-sangat patuh kepada ketetapan Allah.



2. Nabi Ibrahim as. Diperintahkan supaya meninggalkan anak dan isterinya yang tercinta berduaan di Mekah, tempat yang kering kontang dan panas terik. Dengan anak yang masih kecil menyusu dan tiada teman dan saudara mara disana. Tapi kerana itu adalah perintah dari Allah, hatta hingga diikut dan ditanya Siti Hajar sebanyak tiga kali: "Kamu hendak pergi kemana?". Namun tidak diendah oleh Nabi Ibrahim, lalu sampailah ditanya Siti Hajar: "Adakah ini adalah perintah dari Allah?". Demikian Nabi Ibrahim menjawab, ya. Sungguh, betapa hebatnya pengorbanan dan pergantungan ini. 

3. Siti Hajar. Bila Nabi Ibrahim hendak meninggalkannya, Siti Hajar tidak berkata apa-apa melainkan hingga hanya bertanya: "Adakah ini adalah perintah dari Allah?". Adakah Allah yang suruh tinggal kami dalam keadaan sebegini? Lalu bilamana dijawab ya oleh Nabi Ibrahim, Siti Hajar pun berkata: "Pergilah, jika begitu, Allah tidak akan persiakan kehidupan kami disini". Hanya berserah kepada Allah. Sejurus selepas itu, Hajar pulang kepada anaknya dengan menjamu sedikit bekalan makanan yang ditinggal Nabi Ibrahim, lalu bila telah terputus kehabisan bekalan, Hajar pergi mencarinya dengan naik ke bukit safar dan marwah berulang alik. Selapas tiada apa yang boleh membantu, Hajar berserah memohon kepada Allah atas segalanya. Demikian diriwayatkan datang Malaikat menghentakkan kaki ditelaga zam-zam dan menyebabkan terpancut banyak air keluar. Begitulah betapa hebatnya hasil dari pengorbanan, pergantungan dan keyakinan ini. Dan pengorbanan yang telah ditunjukkan Siti Hajar  

4. Nabi Ismail as. Setelah selepas pulang dari beberapa waktu yang lama, Nabi Ibrahim melihat anaknya sudahpun besar, dan Nabi Ibrahim berkata kepada anaknya: "Aku melihat dalam mimpi, aku menyembelih kamu". "Cuba bagi respon tentang hal ini". Lalu jawab Nabi Ismail, "Tunaikan apa yang diperintahkan kepadamu wahai ayahku, ayah akan dapati saya seorang yang sabar dalam menanggung penderitaan ini". (Nabi Ismail telah mengenali ayahnya adalah seorang Nabi). Terus Nabi Ibrahim berjalan ingin menunaikan hasyrat itu, dan syaitan mengganggu agar tidak melakukan hal tersebut. Bilamana telah sampai juga Nabi Ibrahim ke tempat untuk disembelih. Anaknya tertidur menunggu masanya dan tepat sampai waktunya. Allah swt menyatakan: "Ya Ibrahim, memang mimpi kamu itu benar, demikianlah kami balas orang yang berbuat baik, dan ini adalah bala yang cukup besar (kerana mana mungkin boleh nak disembelih anak sendiri)". Kemudian Allah menggantikan anaknya dengan seekor kambing, lalu disembelih kambing itu. Demikianlah betapa hebatnya pengorbanan, pergantungan dan keyakinan ini. Ada hikmah yang besar dari tiap pengorbanan. Melihat tahap kesanggupan dan keyakinan hambanya. 

5. Dari kisah ini, marilah kita sama-sama menilai tahap diri kita pula. Kita sebenarnya telah dan akan sanggup berkorban atau kita telah terkorban dengan kelekaan dunia. Kita bicara tentang apa dan siapapun yang telah berkorban, adalah untuk mejadikan diri kita yang turut sama sanggup berkorban. Mengorbankan segala kehendak hasutan syaitan dalam diri kita. Memanfaatkan masa muda, sihat, lapang, senang dan hidup ini untuk menyahut perintah Allah. Adakah kita telah sanggup korbankan hal dunia untuk solat berjemaah dimasjid, memelihara aurat, menjaga dari berbagai jenis hiburan memanjang dan melalaikan, mengorbankan harta, tenaga dan diri untuk Agama. Korban segala nikmat dosa kerana ia perintah Allah. Korban segala keletihan dan kesukaran kerana ia perintah Allah. Kita berusaha dan mohon kesabaran untuk dapat menikmati balasan syurga kelak.



6. Akhirnya, mudahan dari kisah diatas dapat terus menguatkan lagi keimanan kita semua dalam mengorbankan berbagai-bagai keinginan nafsu kearah maksiat kepada taat akan segala suruhan Allah dan Rasul kita. 


“Selamat menyambut Hari Raya (Eidul Adha) dari saya Ahmad Firdaus bin Azis. Buat seluruh muslimin dan muslimat dan khas kepada pengunjung Blog ini. Terima kasih kerana sudi melawat. Marilah sama-sama terus berjuang dan berqorban dengan apa yang sebenarnya kita mampu untuk melakukannya. Tidak berputus asa dengan rahmat dan pertolongan Allah yang pasti akan hadir itu. AllahuAkbar, AllahuAkbar, AllahuAkbar” 


“Firman Allah swtBarangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. (Ath-Thalaaq 2,3) 

- Kisah diatas diedit dari Khutbah Jumaat oleh Dr Abdul Basit Abdul Rahman. 
- Kisah-kisah diatas adalah yang telah diceritakan oleh Al-Quran dan Hadis. 


09 Zulhijjah 1433 H bersamaan 25 Oktober 2012 M 
Khamis, 12.00 am. Sana’a, Yaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan