Khamis, 2 Ogos 2012

Ramadhan, Keampunan atau Kecelakaan?

Nabi saw bersabda: Ketika aku menaiki anak tangga (mimbar) yang pertama, Jibril as datang kepadaku lalu berkata: Celaka (malanglah) seorang hamba yang mendapat Ramadhan dan melepasinya dan dia tidak diampuni. Lalu aku pun menjawab 'Amin'. (Hr Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad) 

Amat menghinakan, bagi sesiapa yang sempat keatasnya Ramadhan dan melepasinya sebelum diampunkan dosanya (sedang dosanya masih tidak diampun). (Hr at-Tirmidzi, disahihkan oleh al-Albani)




1. Maksudnya, ada golongan yang puasa, yakni yang dibulan puasa, tapi tetap berlalu hidupnya hingga selesai ramadhan seperti biasa. Tidak ambil peluang banyakkan amal dan bertaubat, masih dengan dosa. Sedang ramadhan nak menghapuskan segala dosa. Iaitu, jika kita ikut syaratnya, habis ramadhan ini akan diampun dosa kita. Nabi saw bersetuju dengan ucapan Jibril as itu. Demikian jika solat, ada golongan yang celaka solatnya. Yang ingin menunjuk-nunjuk, meremehkan dan melewatkannya. Seperti disebut dalam (Surah Al-Maa´uun, Ayat 4-6) 


“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) mereka, orang-orang yang lalai dari solatnya. Mereka orang-orang yang berbuat riya” 

Imam al-Qurtubhi dalam tafsirnya menyebut: “Telah meriwayatkan adh-Dhahak dari ibn Abbas: Iaitu orang yang solat, jika dia solat, dia tidak harap pahala. Dan jika dia tinggal, dia tidak takut atasnya balasan”. Dan yang melewatkan solatnya. Lagi kata ibn Abbas: “Mereka adalah golongan munafik, yang tinggal solat secara senyap, dan zahir untuk iklankannya”. (Lihat ayat hal solat munafiq dalam surah An-Nisaa' 142.) [Tafsir al-Qurtubhi, Maktabah at-Taufiiqiyyah, al-Qaahirah: 19-20] 


2. Begitu juga puasa, digari syaitan dan dikunci pintu neraka. Syurga dibuka dan pintu keampunan dilebar seluasnya. Ganjaran ingin digandakan. Namun ada yang masih terus-menerus mengegokan dirinya. Ramadhan atau tidak, sama sahaja. Tawaran yang begitu berharga dari Allah tak dihiraukan. Dosa-dosa dijadikan syarat utama untuk terus hidup. Amatlah hina kedudukan ini. Mohon jauh dari demikian. 


3. Allah bagi kesempatan dengan ramadhan, tapi kita tidak guna kesempatan ini. Tidak mahu menebus segala dosa-dosa yang dibuat. Kita tak tahu selepas beberapa hari ramadhan ini dan ramadhan akan datang mungkin sudah sakit, sibuk atau sudah mati. Dan ruang yang Allah beri lagi ini, kita ingat semula yang ramadhan pada tahun lepas, kita telah merugikannya dengan bermacam dosa.




4. Bulan ini Allah suruh kita ganda ibadat, mohon ampun, tahan diri dari dosa. Nak latih dan bentuk semula kita. Bila kita sudah solat, ditambah pula solat tarawih dan dengan berpuasa. Maka ia mudah dan kuat berkesan untuk melatih dan membentuk kita agar taat perintah Allah, yang telah lama selalu diperingatkan sebelum ramadhan. “Tidak mengumpat, menghina, dedah aib, menipu, dedah aurat, pergaulan bebas, tinggal Quran, lupa masjid dan berbagai-bagai lagi perbuatan mungkar dan kelekaan lain”. Jika kita perhati semula, perkara-perkara yang membatalkan puasa itu, asalnya memang sudah halal. Dan perkara-perkara yang menghilangkan pahala puasa dan mencelakakan puasa itu sudah memang asal haram. Jika kita buat apa-apa yang diharam tika puasa ini sebelum puasa, maka ia juga tetap tegas diperingatkan dan besar ancaman buruknya. Demikian ibadat puasa ini suatu yang amat besar kerana digabungkan kedua-duanya. Menahan yang sudah halal dan tetap haram. Ia untuk mendidik kita semua. Allah nak asuh kita semua, kita tak tahu sebab kita ini ciptaan Allah. 


5. Maksudnya, bagi sesiapa yang memanfaatkan peluang ramadhan ini dengan menurut dan menjaga segala hukumnya. Maka terselamatlah dari kecelakaan ini. Allah swt tutup neraka dan buka pintu syurga. Tapi kita tidak menyahut seruan untuk ke syurga dan seruan agar jauhkan dari neraka. 


6. Kita melalui ramadhan, tapi kita masih buat hal-hal yang dilarang Allah. Kita tidak berusaha untuk melatih dan berubahkan diri kita. Semuanya untuk melihat kita sebenarnya, ikhlas atau tidak menahan lapar. Jika kita benar-benar ikhlas, nescaya kita akan berpuasa dengan penuh pengharapan dan keimanan kepada Allah. Iaitu dengan menjaga segala ketetapan-ketapan lain dari Allah. Marilah kita perhati amaran yang keras dari Sabda Nabi saw ini: 


Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan masih melakukannya, maka tiada pada Allah sebarang hajat terhadap dia meninggalkan makannya dan minumnya. (Hr Bukhari) 


7. Marilah kita perhati, adakah sebelum ramadhan hingga sekarang diramadhan ini? Sama sahaja kita dengan kelekaan. Atau ramadhan lebih baik, atau ramadhan lebih teruk? Biar terasa ada perubahan. Sebab kita mengharapkan keampunan, ganjaran dan matlamat ketaqwaan. Dan ingin selamat dari puasa yang sia-sia dan celaka hasilnya. 


8. Rebutlah kita dengan tarawih, baca Quran, qiamullail, sedekah dan kebajikan-kebajikan lain. Jika memang malas sangat nak tambah lebih lagi, tidurlah... Jangan buat perkara dosa, habis masa dengan hal tiada faedah dan yang melalaikan. Kata orang, “malas sangat buat ibadat, jangan buat maksiat”. Malang sangat lagi, tidak tarawih, baca quran, qiamullail dengan sebab tengok cerita, sembang kosong, mengumpat dan segala hal dosa yang benar membazirkan puasa. 


9. Allah nak suruh kita jadi hamba yang bertaqwa. Takutkan Allah, iaitu dengan taat Allah dan ikut Rasul. Lalu akan jadi manusia baik dan buat yang baik, disukai Allah, Rasul dan semua manusia. Dan tinggal yang salah, dibenci Allah, Rasul dan seluruh manusia. Adil dan amanah dengan segala anugerah dunia. InsyaAllah, lahir kehidupan yang baik yang dirahmati, diberkati Allah. 


10. Ramadhan hadir dalam kita masih sihat. Tapi malang, sihat kita kuat untuk digunakan kesana-kemari. Tapi jadi tidak sihat untuk ke masjid, qiamullail dan kesempatan beribadat. Sering wujud alasan yang banyak. 


11. Seseorang itu dapat merasa dan mengetahui sendiri dosanya diampun atau tidak. Kerana dengan halnya sendiri masih berterusan dengan buat dosa atau tidak? Masih tidak bertaubat, berubah dan berusaha merubahnya. Antara mungkin rasa tanda diampun Allah. Hati tawar untuk dosa, semangat untuk buat baik dan sering selalu rasa bersalah dengan Allah. 


12. Dalam Al-Quran dinyatakan (تتقون لعلكم). ‘Laalla’ dalam Al-Quran bermaksud janji dari Allah. Janji Allah untuk menjadikan kita orang yang bertaqwa dari hikmah puasa.




13. Solat sunat yang hanya disuruh secara berjemaah dimasjid, ialah solat sunat tarawih. Tidak untuk solat sunat lain. “Mungkin ada yang kata, tarawih itu sunat, tak buat pun tak apa. Malas sangat tarawih dimasjid, buat dirumah pun tak apa. Jemaah sunat, buat dirumah pun tak apa”. Kita sebenarnya telah memufliskan diri kita. Allah hadiah ramadhan ini, ganjaran hadiah yang begitu berharga dan banyak sedang menanti kita! Keampunan yang besar dari Allah!. Kita merasa seolah sudah ada tiket ke syurga. Sudah cukup amalan. “Sedang Nabi saw pecah kaki ketika solat malam, lalu kata Aisyah ra kenapa buat juga, bukankah telah diampun engkau apa yang terdahulu dan terkemudian. Lalu Nabi saw menjawab: “Bukankah, tidakkan aku ini hamba yang bersyukur. (bimbang dikira masih tidak syukur dengan Allah) [Hr Muslim]”. Marilah kita renungi Hadis kelebihan tarawih dan solat berjamaah ini: 


Sesiapa yang berdiri (bersolat terawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam). (Hr at-Tirmidzi, sahih) 

 Jika imam berkata: “Ghoiril magh-dhuubi ‘alaihim waladh dhoolliin”, maka katakanlah “aamiin”. Maka sesiapa perkataannya serentak perkataan aamin para Malaikat, maka diampunkan dosanya yang lalu. (Hr Bukhari) 

“Marilah kita usaha jaga solat berjamaah untuk selamanya dan tarawih hingga selesai ramadhan. Bukan dalam golongan yang tinggal apabila masuk sepuluh terakhir kerana sibuk raya”




Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadhan kerana imannya (kepada Allah) dan mengharapkan pahala dari-Nya, akan diampunkan untuknya segala dosanya yang lalu. (Hr Muslim) 

 Matlamat Puasa, Firman Allah swt: “Agar kamu bertaqwa, (menjadi orang-orang yang bertaqwa)”. (Al-Baqarah 183) 


14. Akhirnya, sama-sama kita berlumba dan rebut setamaknya dengan berbagai amal dan dengan segala kemampuan yang ada. Bagaimana nak jadi orang baik? Nak berubah jadi orang baik? Inilah dia, Ramadhan. Allah nak jadikan kita orang yang baik. Dengan syarat, hati ditunduk sepenuhnya dalam pengharapan ini. Benarlah jika ada yang merasa sedih bila berakhirnya ramadhan, perasaan ini tak dapat nak diterjemahkan, ia berhasil dari kesan didik ramadhan. 


15. Sama-sama bermuhasabah. Kita semua baru sedar, maka kita perlu ubah. Saling mendoakan. Tiada lain, peringatan ini terfikir untuk diri yang selalu alpa. Yang penting, jangan kita set awal-awal lagi yang kita ni, “aku ramadhan macam biasa juga, sama sahaja, habis ramadhan nanti buat semula”. Atas kita segala-galanya. Segalanya mudah bagi Allah. Malang lagi yang sanggup persoal pula, “kenapa aku perlu berubah?”. Jawabnya sebab kita akan mati dan ditanya kenapa kita tidak berubah? 


"Dan mohonlah ampun bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan. (Surah Muhammad 19) 

 Ya Tuhan kami, ampunlah aku dan ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari berlakunya hisab (hari kiamat). (Surah Ibrahim 41)" 


Mungkin boleh baca artikel ini: Maksiat atau Taat, hubungan dengan Allah. 




13 Ramadhan 1433 H bersamaan 02 Ogos 2012 M 
Khamis, 02.10 pm. Sana’a, Yaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan