Ahad, 27 Ogos 2017

Malu Berbuat Dosa Kerana Anak.

1) Rezeki anak itu boleh jadi hikmahnya agar ibubapa malu dari berbuat dosa serta maksiat, dan lalu meninggalkannya.

2) Dan juga takut serta bimbang apabila berbuat dosa dan maksiat, maka nanti akan diikuti sama oleh anak-anak.

3) Namun hari ini kita melihat ibubapa tiada malu mempertontonkan perkara dosa dihadapan anak-anak, bahkan mengajar dan mengajak sama anak-anak melakukannya.

4) Contoh baru-baru ini saya melihat seorang ibu dan anak yang tidak memakai tudung, dan ada yang memakai tudung serta berpakaian tabarruj, sedang saling bergilir mengambil gambar posing dikhalayak ramai. Ini antara contoh yang kecil, renungilah disemua sudut cara hidup kita. Allah ingin mendidik hambanya dengan memberikan rezeki anak agar menjadi manusia yang lebih bertaqwa apabila telah mempunyai tanggungjawab yang perlu digalas dan merasa malu untuk mendurhakai lagi perintah Allah.

Jumaat, 25 Ogos 2017

Didik Pendengar Dengan Akhlak Yang Baik.

1) Jangan didik pendengar dengan kuliah yang asyik mengata dan membilang kesalahan orang lain, (hanya kerap ditujukan kepada orang lain). Lalu jiwa pendengar mula merasa sombong, merasa diri paling baik dan betul, merendahkan orang lain, melabel, mengata, dan memblok orang lain, membina kelompok sendiri dan bermacam lagi terbentuk akhlak yang tidak baik.

2) Ini bersalahan dengan maksud dakwah dan tujuan ilmu-ilmu tersebut. Ruang kuliah sepatutnya tempat untuk memuhasabah diri pengkuliah dan jemaah yang hadir agar sama-sama mendapat ilmu serta manfaat untuk diubah pada diri sendiri.

3) Lebih malang lagi apabila pendengar hanya ingin menunggu-nunggu waktu penceramah mula bercakap mengenai hal orang lain sahaja, namun apabila tiada dan berkaitan diri sendiri, maka pendengar rasa kebosanan dan tidak minat akan penceramah tersebut.