Sabtu, 27 Julai 2013

Pesan-memesan Hidup (3)

Bukti hidup ini hanyalah sekejap. 




Betapa ramai yang telah mati dari keturunan keluarga kita sendiri, saudara-mara, teman dan setiap manusia di bumi ini. Yang telah lama pergi meninggalkan kita, sudah berapa puluh dan ratus tahun mereka tinggal dialam kubur sana. Masa mereka telah lama jauh pergi mendahului kita. Mereka dahulu hidup seperti kita. Kita didunia ini ada yang masih kecil, remaja dan tua pun paling lama lima puluh hingga lapan puluh tahun. Mati dengan sakit dan berbagai kejadian. Begitulah kita juga pasti kesana. Hidup kita bukan lama sangat dan selamanya didunia ini. Marilah sama-sama kita selalu menyedari hakikat ini. Kehidupan dunia hanyalah sekejap sahaja sebenarnya. Banyakkan bekalan, dan berusaha menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah didunia ini. 

Ujian hidup ibarat semak di hutan.

 

Kehidupan yang dilalui semua orang pasti ada ujian-ujian yang sentiasa hadir. Ujian itu umpama semak dihutan, jika kita berusaha untuk menebasnya, pasti selepas itu kawasan tersebut amat indah dan sedap mata memandang. Selesa dan baru nampak apa yang ada dihadapannya sebenarnya. Dan berbagai keuntungan baru dapat dirasai. Andai semak itu dibiarkan, lama-kelamaan ia makin panjang tumbuh, berserabut dan menyebabkan makin berat dan banyak kerja (ujian) yang perlu diredahi. Dan ujian itu sentiasa tumbuh juga walau semak yang telah acap kali kita tebas dan potong itu. Dan ia akan kembali tumbuh juga walau dibiarkan. Begitulah perumpamaan (ujian) masaalah hidup dalam kehidupan ini hingga mati. Ujian yang pasti akan terjadi. Tidak boleh dibiarkan, mesti sentiasa terus kuat berusaha menghadapinya. Ditebas yang lama, tumbuh yang baru pula. Dan berbagai kerenah dan perbezaan itu menjadikan kita semakin matang menerima dan bersabar dalam hakikat yang sementara ini untuk hasil yang indah sentiasa diiringinya dan yang pasti diakhirat kelak. Aamiin. 

Hasil mengikut kerajinan semasa belajar.


 

Kita buat yang baik dan terbaik, pasti kita akan dapat yang baik dan tebaik. Begitulah jika kita semasa belajar berusaha dengan tekun dan bersungguh. Pasti hasilnya kelak menguntungkan. Sebagai guru, contoh andai saya sendiri ketika belajar benar-benar fokus dan rajin. Pasti saya dapat menyampaikan ilmu tersebut untuk tahap orang-orang yang lebih tinggi. Andai sekadar bersahaja dan banyak bermain ketika belajar, maka tidak dapat untuk menyampaikan ilmu itu kepada tahap yang lebih tinggi. Mungkin ia sesuai kepada peringkat taska, sekolah rendah dan menengah. Ini bukan bemaksud tidak bagus dan merendahkan nilai kerja. Tapi ini sebagai kata semangat yang saya ingin ajukan kepada adik-adik diluar sana dan kepada murid saya sendiri disekolah. Namun masa yang terus berputar ini, jika kita tetap terus usaha bersungguh mengikut syarat untuk berjaya, pasti mendapat hasil yang sama. Semuanya kerana untuk kebaikan dunia, mencari dan menikmati apa yang halal dikurniakan Allah dan menunaikan kebajikan kerja untuk akhirat yang pasti ada hasil balasannya kepada kita semua walau kecil. Mencari kejayaan dunia untuk kejayaan akhirat. Kejayaan akhirat yang selalu menjadi pengawasan kejayaan hidup kita ini. Kerana kejayaan kita didunia ini tidak kekal selamanya dan akan menghadapi exam sekali lagi diakhirat nanti. Ada hasil yang sangat lagi indah dan membimbangkan disana. 

Kenapa ramai ibu bapa menyusahkan soal perkahwinan?


 

Kahwin satu fitrah dan sunnah yang sangat dituntut. Kenapa ramai ibu bapa memahalkan anak perempuan untuk dikahwini. Ianya menyalahi saranan agama dan berbagai alasan lain yang dikemukan sangat perlu ditolak kerana melihat keadaan keruntuhan akhlak yang tidak dapat dikawal sekarang ini. Islam agama yang selamat dan sempurna. Marilah mengikuti sunnah. Kenapa kita sangat memberatkan perlaksanaan pernikahan? Kenapa kita menampakkan pernikahan itu memerlukan peruntukan yang besar? Maharnya yang tinggi, persiapan, jamuan dan segala upacaranya. Janganlah sibuk menandingi pandangan dunia. Jauhilah pembaziran. Malang lagi upacara persandingan yang menjadi adat. Marilah ubah dan tinggalkan adat yang merosak dan membebankan. Biasakan majlis, duit tak wajib diambil. Banyak zina, bila ruang perkahwinan, ruang halal dilihat terlalu susah. Disebalik godaan nafsu yang sentiasa bergelegak. Kelemahan iman. Apa salahnya kita berpakat bantu anak, saudara, teman dan masyarakat kita untuk mereka cepat berkahwin. Banyak tanggungjawab untuk Islam yang perlu sama-sama kita tegakkan ini. Agar merek terselamat dari masaalah sosial, lalu berzina dan buang anak. Marilah memahaminya. Mengikuti syariat. Semua akan selamat. Hidup dirahmati. Aamiin. 

Ingatkan tentang mati sesama keluarga dan kawan.


 

Soal mati bukanlah perkara yang melemahkan semangat dan menyebabkan jadi tertumpu untuk beribadat semata. Namun mengingati ia sebagai perkara yang menyebabkan kita semakin kuat semangat untuk berusaha dan tidak berputus dalam menghadapi liku-liku kehidupan dunia ini. Kerana memikirkan yang kita sudah tiada masa didunia ini, akan buat yang terbaik untuk hasil balasan yang indah disana nanti. Ingati mati juga sangat sukar dan tidak selesa untuk kita ungkapkan bersama keluarga dan teman apabila berada dalam majlis-majlis dan bila duduk bersembang. Padahal ia suatu yang amat perlu diingatkan sentiasa. Ia pasti terjadi. Tidakkah Nabi s.a.w bersabda: “Orang yang cerdik ialah yang paling banyak mengingati mati.” Kerana ia memikirkan agar dunia tidak menipunya, dan membuat persediaan sebelum kesana. Demikianlah marilah sama-sama kita cuba biasakan untuk saling memperingati sesama kita semua tentang kepastian ini. Wujudnya kebangkitan dan kehidupan yang kekal disana kelak. Ia akan terjadi bila-bila masa. Dan inilah peringatan dan pesanan yang paling penting dan perlu dititikberatkan kita semua. Kita inginkan diri kita dan keluarga, saudara-mara, teman dan masyarakat kita selamat semuanya. 


19 Ramadhan 1434 H bersamaan 28 Julai 2013 M 
Ahad, 09.15 am. Perak, Malaysia.

Malu untuk menyampaikan Ucapan.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana masih memberi kesihatan yang baik dan rezeki yang cukup. Nikmat ini adalah sangat penting untuk sentiasa disyukuri kerana ia akan ditanya kembali apa yang telah kita lakukan dengan nikmat tersebut semasa hidup ini. Hari ini ingin saya berkongsi sedikit pengalaman berkaitan membuang sifat terlalu malu dalam hidup, hingga sampai tahap merasa terlalu rendah diri dan merasa seolah pasti tidak boleh atas keinginan yang dihasyratkan itu. “Merasa malu setelah usaha lebih baik dari malu dan melepaskan diri dari terus cuba berusaha”. 

1. Tiap manusia Allah jadikan berbagai kelebihan dan kekurangan. Tiada manusia yang semua kelebihan dapat diraihnya. Pastinya terdapat beberapa perkara yang tidak mampu dilaksanakan juga. Namun seorang mukmin disuruh sentiasa berusaha kearah yang baik dan terbaik dalam hidupnya. Berupaya dan hebat dalam pelbagai-bagai bidang untuk membawa dan menaikkan imej Islam ini. Tidaklah berada dalam keadaan lemah dan sentiasa hanya mengharap bantuan dari orang lain. Dalam Al-Quran dan Hadis sudah pasti menekankannya. Kita juga mengetahui sejarah kegemilangan, ketamadunan dan kecanggihan ilmu dahulu milik dan berasal dari orang-orang Islam.


  

2. Pengalaman hidup saya semenjak kecil dikenali dengan seorang terlalu sangat pemalu. Lalu ke taska, sekolah rendah, menengah dan hinggalah ke universiti. Perasaan malu yang selalu menjadi keruagian besar dalam hidup. Kadang selalu terlintas dalam fikiran, ‘andai perasaan malu ini dapat dibuang, pasti segala perkara aku akan buat dan tunjuk’. Ketika sekolah menengah aku sering memikirkan bagaimana aku mungkin dapat memberanikan diri kelak, aku merasa hal itu seolah ajaib dan sangat mustahil untuk berlaku. Kadang aku selalu berdoa, dan mengharap keajaiban dalam hidup ini dari Allah. Begitulah hari terus berlalu dengan aku sentiasa cuba meloloskan diri dari awal-awal lagi bila berhadapan dengan arahan supaya menyampaikan ucapan apa-apa majlis dihadapan. Perkara yang sangat melegakan hidup aku adalah apabila selamat dari pergi berucap memegang microfon. Segala macam kutukan, kritikan dan pandangan pelik selalu menjadi ujian besar buat diri. Dari kawan dan keluarga sendiri. Malang lagi tiada seorangpun yang pernah memberi kata semangat dari pengalaman untuk memberanikan diri. Kadang lagi aku fikir untuk mencari kerja yang kurang bergaul dengan orang, aku juga sangat kurang bergaul. Kadan lagi fikir kenapa Allah jadikan aku demikian, adakah aku memang dijadikan sebegini. Mungkin ini ada hikmah dari Allah. Banyak peluang sentiasa dilepaskan. 

3. Hinggalah kesaat ini, Alhamdulillah akhirnya dapat juga untuk paksa memberanikan diri bercakap dihadapan orang ramai. Walau terlalu banyak kesilapan, tapi aku merasa gembira kerana dapat usaha pergi bercakap. Apa yang memberi semangat untuk berubah ini ialah: (1) Aku memikirkan yang Allah tak beban apa yang aku tak mampu. Demkian bebanan dan amanah yang diberikan itu sebenarnya aku mampu untuk buat. Dan (2) Apabila kita merasa malu setelah usaha itu lebih baik dari rasa malu dan gembira melepaskan diri dari terus cuba berusaha. Kerana kita tahu mana silap kita dan dapat berusaha merubah mana yang silap, sementara terus melepaskan diri, kita sentiasa dalam keaadaan silap dan tidak berusaha merubah yang silap itu. Bila kita sering ungkapkan, ‘biarlah, nantilah aku cuba beranikan diri, itu lebih kesan buruknya dari orang yang terus cuba usaha beranikan diri walau banyak silap’.

 

4. Ada orang malu kerana tidak tahu, ada orang malu kerana merasa muda, dan ada orang malu kerana takut salah. Biarlah kita malu kerana tidak tahu dan tidak malu kerana perkara sebenar. Dan jauhilah sampai terlampau malu dan tiada lagi sifat malu dengan bebas membuat apa yang diingini, hingga juga sampai nampak keegoan dan kejahilan diri. Sekarang saya sedang berusaha tidak malu untuk perkara baik, saling doakan walau tidak mengenali. Mungkin perkongsian ini bermanfaat buat yang seperti saya.

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَال 

 Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari keluh kesah dan kesedihan, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat bakhil dan penakut, dari lilitan hutang dan penindasan. (Hr al-Bukhari)


18 Ramadhan 1434 H bersamaan 27 Julai 2013 M 
Sabtu, 11.45 pm. Perak, Malaysia.