Sabtu, 14 Januari 2017

Klinik Hukum pula, Mufti Yang Hebat.

1) Hebatnya beliau, sejak sebelum menjadi Mufti lagi beliau sudah memang terkenal dengan kefaqihan ilmu dan sifat tawadhuk serta kesederhanaanya dalam dakwah. Namun setelah dilantik menjadi Mufti Wilayah pada 23 Jun 2014 kita boleh melihat sendiri betapa cepat dan banyaknya tumbuh bermacam program, pembinaan dan penambahbaikan dalam ruang dakwah dan kebaikan pada Agama ini.

2) Ini menunjukkan dalam masa yang sama pentingnya kuasa dan jawatan dalam menyebarkan seluasnya lagi dakwah ini terutama di zaman yang canggih dan masyarakat yang fokus terhadap dunia internet.

3) Beliau telah memanfaatkan semaksima dan sebaik mungkin akan jawatan, kuasa, kemudahan dan peruntukan Mufti itu untuk Islam ini. Beliau juga banyak mencetuskan idea yang baru, dan kelainan dalam tarikan agar masyarakat lebih dekat dan senang dengan seorang yang bergelar Mufti.

4) Sangat penting kepada siapa diserahkan jawatan mufti, anggota pekerja di jabatan agama, zakat dan sebagainya lagi yang berkait dengan institusi Agama ini, kerana jika tersilap dan sewenangnya dipilih maka Agama menjadi mangsa dan menjadi lemah. Banyak perkara sepatutnya dibuat tidak dibuat, banyak terbantut dan terhalang kerana kuasa berada ditangannya, seolah Agama juga ditangannya. Hal ini tidak pelik jika kita melihat sendiri institusi Agama yang suram dan gagal menghidupkannya dalam membantu dan menyelesaikan masalah umat. Contoh kita melihat teks khutbah, maka kita akan mengetahui ditahap mana kesungguhan dan kemampuan mereka yang memegang jawatan dalam menguruskannya. Juga kita melihat pekerja-pekerja di Institusi Agama sendiri gagal memahami sebaiknya Agama dan menunjukkan sikap Beragama yang benar dan tinggi seiring pekerjaannya yang merupakan imej Agama.

5) Beliau juga aktif dengan media semasa dan isu semasa. Dengan kepakaran yang dimiliki, beliau berjaya memberi respon yang pantas disertai pula penjelasan yang jelas dan penuh sikap berlapang dada.

6) Contoh ini boleh ditiru sebenarnya oleh kita, di pihak parti-parti, ngo-ngo, dan sebagainya. Peringkat kampung, dun dan parlimen, ketika bermacam atucara program dijalankan kita, boleh dibukakan Klinik Fatwa dan Hukum seperti ini.

7) Jika mereka yang sakit demam dan sebagainya perlukan ubat dan mencari ubat di klinik dan farmasi, maka begitulah sebarang penyakit kemusykilan agama ini lagilah memerlukan ubat dan lebih berhajat dicarinya. Penyakit hati, dalaman, dan segala masaalah hidup. Tahniah buat Mufti Wilayah Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri atas idea Klinik Hukum ini dengan percuma sahaja. Semoga Allah memberkati Dr dan mereka yang terlibat menjayakannya. Segala Pujian Bagi Allah. Tahniah!

15 Januari 2017.
Ahad, 2.30 am. Ipoh, Perak.



Jumaat, 30 Disember 2016

Nikmat Anak.


Alhamdulillah cukup setahun anakandaku semalam Ahmad Fauzan ketika adiknya Nur Haura' baru berusia 25 hari. Cukup Ayah mendoakan kebaikan buatmu setiap masa dan mencurahkan kasih sayang semampu mungkin sehingga waktu ini. Semoga membesar dalam keadaan sihat serta menjadi hamba/khalifah Allah yang berjaya dan mampu menjadi pemimpin serta ikutan dalam ketaatan kepada Agama.

Hingga hari ini sebenarnya masih belum percaya telah dikurniakan anak dan bergelar sebagai ayah. Begitu juga sebagai suami. Dengan keadaan persediaan ilmu, kewangan dan soal tanggungjawab, pengalaman dan pengurusan diri masih lemah. Demikian kesimpulan ringkasnya hidup ini selepas melalui tempoh-tempoh ini jawapannya adalah perlu berani hadapi dan tempuhinya. Perlu berani menerjah dan melanggar tembok-tembok kurang keyakinan dan kebimbangan dalam bermacam perkara, disamping sentiasa berusaha kadar yang termampu, berdoa dan berserah kepada Allah, dan yang penting niat serta tujuan kerana Allah.

Sekaligus menunaikan tanggungjawab yang besar dalam Agama, dan terutama memelihara diri dari maksiat.

Mengenang kembali saat dikurniakan anak sehingga proses demi proses penjagaannya, ia bukanlah hanya keseronokan dan kegembiraan paling besar seolahnya, namun disebaliknya mesti ada ilmu yang membawa kepada dorongan agar kuat untuk berkorban dalam memastikan amanah kurniaan anak ini dijaga sebaiknya. Iaitu cabaran hidup berkeluarga, mencari sumber rezeki, dan menitikberatkan didikan Agama.

Ia hadir sebagai ujian dan juga nikmat. Kadang menjadi tekanan, kadang menjadi penyejuk hati. Apa yang kita harapkan semua, semoga menjadi penyejuk hati ibubapa dan menjadi sumber pahala ibubapa ketika tiada kelak. Namun semuanya itu perlu kembali kepada peringatan serta nasihat Allah dan Rasul agar benar kurniaan anak ini bukan sekadar menjadi pelengkap kebahagian hidup didunia, tapi juga sebagai penyumbang manfaat manusia lain didunia ini dan yang lebih besar buat ibubapa selepas mati kelak.

Cara orang beriman mendidik anak mestilah berbeza dengan cara mereka yang lalai.

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
Ya Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak dari kalangan orang-orang yang soleh
(Ash Shaffat: 100)

رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ
Ya Tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan 
(Al Imran: 38)

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa
 (Al Furqan: 74)


30 Disember 2016.
Jumaat, 04.00 pm. Ipoh, Perak.