Jumaat, 28 Februari 2014

Pahit manis kehidupan.


Alhamdulillah, kesempatan masih ada ini ingin saya coretkan sedikit pahit manis kehidupan untuk sama-sama diambil pengajaran dan panduan dalam terus melayari hakikat kehidupan dunia ini. Pahit macam mana pun sesuatu perkara, ia perlu ditelan juga. Moga kita terus tabah dan saling berlumba mencontohi pengorbanan dari akhlak Baginda Nabi saw yang lebih berat menghadapi ujian dalam kehidupannya. Ianya berkait tentang pahit manis tindakan dalam pergaulan sesama sahabat kita. 

1. Dalam hidup ini sudah pasti semua orang akan diuji dengan berbagai masalah yang berbeza-beza. Dan semua akan melalui saat-saat tertentu dengan keperitan dan kekecewaan dari masalah-masalah yang berbeza. Semua ini sudah tentu ada pengajaran dan hikmahnya dari Allah swt. Jalan penyelesaiannya, kembali kepada Allah atas apa yang telah terjadi untuk dibuat perubahan dengan betul-betul muhasabah. Kadang andaikata kita diuji dengan masalah yang sangat perit, sedih dan berat untuk menerimanya, maka cuba kita renung dan fikir semula sebenarnya ramai lagi orang lain yang lebih teramat berat musibah yang menimpa mereka. Ada orang yang lebih dasyat lagi, pantas pula tanpa sedar kita dengan mudah menyalahkan orang dan atas keadaan yang terjadi. Cuba fikirkan dengan positif. Jika kita rasa kita paling susah, ada orang lebih susah lagi dari kita. Demikian agar kita terus bangkit hadapi perubahan dengan kemampuan untuk bersabar, menerima dan memilih jalan yang terus membawa kebaikan yang lebih banyak lagi. Pokoknya sabar adalah perkara yang paling penting. Sabar dari tindakan yang salah dan sabar dari ungkapan yang buruk. Semua itu dinilai dan ada hasil buat kita. Banyakkan berdoa, mengadu dan berserah kepada Allah, muhasabah diri semula. Cuba tundukkan seboleh mungkin ego kita. Pasti ada hikmahnya. Pasti diganti dengan yang lebih indah. Ia pasti!. Kita lihat orang yang melakukan perkara jahat mendapat balasannya, sudah pasti yang baik berhak mendapat balasan yang lebih baik. 

2. Nak lihat dan tengok keadaan kita sebenar, lihat waktu kita sedang sangat marah. Apa yang kita buat, jalan mana yang kita pilih. Sama-sama kita lihat dan muhasabah sendiri, kita menilai diri kita yang betul, sedang apa dilihat dan diketahui orang dengan tidak tersengaja itulah hakikat realiti keadaan kita. Maka, tidak boleh salahkan sesiapa, jika kita benar, kita insaf dan serlahkan kembali apa cara yang baik sebenarnya. Itulah mungkin sebagai tarbiyyah dan peringatan dari Allah bagi kita, yang penting moga kita sedar ia sebagai untuk menyedarkan kita. Bukan untuk terus membongkakkan lagi kita daripada menerima yang benar. Kadang kita rasa malu untuk tunduk semula membenarkan yang benar itu, kita rasa hina jatuh maruah kita. Sedang ia tidak, bahkan makin tinggi diangkat kemuliaan oleh Allah. Ingat kemuliaan dan kehinaan itu milik Allah. Mudah bagi Allah. 

Sabda Nabi SAW: 




3. Keadaan untuk sabar, menerima dan menginsafi setiap kesilapan kita bukan mudah. Ia dari hasil-hasil muhasabah dan kesedaran yang berterusan yang sentiasa telah dihidupkan dalam jiwa seorang hamba yang berusaha kearahnya. Dengan ilmu, amalan dan kebimbangan dari kelalaian-kelalaian yang mengeraskan hati. 

4. Pandangan nafsu membutakan mata kita sebenarnya. Pandangan nafsu adalah pandangan yang tidak adil. Jangan kita menurutinya juga. Kelak kita memang tersalah jalan yang disangka betul sebenarnya. 

5. Sebolehnya kita usaha abaikan perkara yang lepas, terima dan redha. Usaha cuba cari yang positif sahaja. Serah pada Allah dan Allah sebaik-baik pelindung. Bercakap yang benar, mengakui yang silap dan jauhi sangka buruk. Suatu hal yang sangat sukar, namun perlu kita berusaha mendidik diri kita kearah tersebut.

6. Cari jalan yang sebaiknya dalam menasihati orang. Rendahkan ego kita, cuba buat sesuatu yang walau janggal tapi ia benar dan sangat baik. Ramai orang tidak mahu melakukan yang terbukti benar kerana egonya. Sedang maruahnya tidak jatuh pun, tapi kerana egonya yang besar menyebabkan seseorang itu merasa egonya jatuh. Dan juga malu kerana dipandang pelik oleh orang sekeliling. Andaikata kita telah mengetahui seseorang itu tidak suka dan sangat pantang ditegur dengan cara-cara tertentu, usahlah pula kita suka mengambil peluang dan menggunakan cara tersebut. Keikhlasan niat menegur sudah dapat dinilai. Manusia boleh berubah dan cepat tersentuh dengan watak akhlak yang mulia. Cubalah. Biar apa dikata orang janji baik disisi Allah. 

7. Jadilah kita, orang suka dan berani untuk menegur kesilapan kita, kadang memang ramai orang segan nak tegur kita dengan sebab perangai kita, rugilah kita. Lalu menyebabkan kita tidak boleh dipersalahkan. Kita nak menyalahkan orang. Justeru itu mari kita bermuhasabah tentang keadaan diri kita ini. Mungkin cara perwatakan dan percakapan yang penuh dengan keegoaan. Atau dalam tindakan kita sering payah mengalah. Atau selalu meninggikan suara bila bercakap dan berbagai-bagai lagi. Begitu juga ada orang sangat menjaga bahasa bila bercakap dengan kita, agar kita dapat memahami sendiri dan sedar dari kelekaan dengan perasaan yang baik. Perkara-perkara ini kita perlu sentiasa muhasabah, barulah kita akan sedar sendiri. Cari apa anjuran akhlak Agama mengenainya. Mohon bimbingan dari Allah. Bincang secara elok dengan kawan-kawan. Kemukakan dalil-dalil Agama. 

8. Bahayanya perasaan marah yang tak terkawal ini hinggalah kita marah orang lain sebab kesilapan kita. Ini lambang keegoan kita. Kita nak menasihat dan memberitahu perkara yang benar dengan penuh emosi suara dan watak yang marah, ini lambang keegoan kita. Kita merasa maruah kita jatuh, padahal tiada apa sebenarnya. Dan kita bertindak tanpa masih jelas sesuatu perkara, ini juga lambang keegoan kita. 

9. Yang terakhirnya ingatlah. Jika kita perhati betul-betul setiap apa yang berlaku pada diri kita adalah kerana kita memang pernah melakukannya kepada orang lain tanpa disedari dengan keegoan kita diwaktu tersebut. Begitulah apa yang berlaku pada orang sekeliling kita, jika kita melihat sejarahnya kerana dia seorang yang pernah melakukan yang sama kepada orang lain. Itu sunnah kehidupan, tiada siapa dapat menghalang melainkan Allah. Moga kita redha apa yang terjadi dan insaf berubah. Segala perkara mudah bagi Allah untuk kita dapat menerimanya dengan hati tenang dan gembira. Allah Maha Berkuasa atas segalanya. Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani kepada semua makhluknya.


Jom, sama-sama kita usaha praktikkan akhlak diatas.
  

27 Rabiulakhir 1435 H bersamaan 28 Februari 2014 M 
Jumaat, 10.00 pm. Ipoh, Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan