Selasa, 19 Mac 2013

Akukah yang Nifaq itu...

 

Tiap waktu yang masih diberi ini adalah untuk kita muhasabah. Marilah sama-sama kita bermuhasabah. Adakah kita kelompok munafiq di bawah? 


Tsauban radiallahu 'anhu meriwayatkan Nabi sallallahu 'alaihi wassalam bersabda:


Sekelompok manusia daripada umatku akan dikenali kerana mereka datang pada hari Kiamat dengan kebaikan yang umpama gunung Tihamah. Lalu Allah menjadikan (kebaikan mereka itu) debu-debu yang berterbangan. Tsauban berkata: Wahai Rasulullah, ceritakan ciri-ciri mereka kepada kami agar kami tidak termasuk dalam kalangan mereka tanpa kami sedari. Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam menjawab: Mereka itu adalah saudara kamu, daripada jenis kamu. Mereka mengambil mengambil waktu malam (sebagai waktu beribadah) sebagaimana kamu mengambil waktu malam (untuk beribadah padanya). Tetapi, mereka adalah kelompok manusia yang bersunyi-sunyi dengan perkara yang Allah haramkan lalu mereka pun melakukan perkara yang haram itu. [Sunan Ibn Majah, Kitab az-Zuhud, hadis no: 4243. Disahihkan al-Albani] 

Mereka itu termasuklah orang-orang yang ketika bersendirian mereka menonton filem-filem yang haram. Mereka melawat laman-lama pornografi di internet. Mereka menggunakan identiti yang lain ketika ber'chatting' dengan bukan mahram. Kemudian, kalian melihat mereka pada zahirnya sangat istiqamah dalam kebaikan sama ada dalam sudut berpakaian, solat dan puasa. 

Hadis ini merupakan amaran kepada mereka ditakuti perlakuan mereka itu sebenarnya perlakuan orang munafiq. Dan juga amaran kerana ditakuti mereka itu musuh kepada iblis secara zahir, tetapi rakan kepada iblis secara rahsia.


  

Akukah yang nifaq itu... 

Nifaq.. 
batas kepungan di dasar penuh nista, 
lidah bercabang, talam bermuka, 
bicara penuh helah perdaya, 
amanat yang terjungkir sia-sia, 
janji dipijak tanpa percaya, 
pemiliknya dijanjikan sebagai kerak api neraka. 

Silap diri yang malas mencari ruang, 
lalu percaya tanpa diulang, 
keterbatasan yang tidak pernah dikuak, 
tidak mungkin aku di kalangan manusia yang nifaq. 

Berdosanya diri tatkala menelah diri sebagai suci, 
atau terasa bebas dari dosa yang dipandang keji, 
itulah kelam indah yang dikabur syaitan, 
sering meremeh silap pada insan, 
bukan pada diri sendiri, 
yang terus dianggap penuh suci. 

Ya Tuhan, akukah yang nifaq itu? 
merasa diri mulia tanpa dosa, 
terus memuja hati yang 'diapung' rasa mulia, 
menghukum pula insan lain penuh noda dan hina. 

Pada niat, lisan dan amalan, 
satu demi satu... singkapan yang terus diuji, 
doaku pada Tuhan Ar-Rahman, 
kuredah baki kekuatan pada tadabbur quran dan sunnah teladan, 
tunjukkan bagiku taufik dan jalan, 
jangan diriku merupakan munafik yang tidak akan dipandang.


Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka. (An-Nisa' 145)


Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa. (An-Najm 32) 



Puisi dicopy dari: http://tintapendita.blogspot.com/2013/01/sajak-akukah-yang-nifaq-itu.html 


07 Jamadilawal 1434 H bersamaan 19 Mac 2013 M 
Selasa, 11.45 pm. Perak, Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan