Sabda Nabi saw: Ada dua nikmat yang sering dilupakan olehnya kebanyakan dari manusia iaitu sihat dan waktu lapang. (Hr Bukhari)
Hari hidup yang terus dilalui ini. Kita semua pasti akan diuji. Susah, senang, sakit, sihat, marah dan gembira. Semuanya itu silih berganti hadir menjelma dalam hidup kita. Tiada seorang yang dapat jamin dia akan senang seumur hidupnya. Akan sentiasa selalu sihat dan gembira hari hidupnya. Itu hanyalah bagi penghuni syurga yang Allah janji kelak. Demikianlah bila kita sering memikirkan betapa sungguh sebenarnya amat lemah keadaan kita ini, maka lahir sentiasa rasa berwaspada dari kelekaan dan bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah. Kelak bagaimana kita semua tak ketahui. Ingat lemahnya kita semasa dilahirkan, dan kelak begitu juga setelah tua. Ketika sakit dan susah. Bagaimana boleh dirasa ego dan lawan perintah Allah yang telah memberi pinjam hanya sekejap sahaja nikmat kekuatan dan kesihatan kepada kita ini. Tiada siapa yang ingin sakit dan susah, tiada siapa ingin menerima pilihan untuk sakit dan susah andai diberi pilihan.
Paling nikmat adalah waktu ketika muda, dan kelak akhirat dalam syurga, usia nikmat muda itu kekal. Sebagaimana dinyatakan dalam Sabda Nabi saw: “...umur dalam linkungan 30 atau 33” (Hr at-Tirmidzi, dinilah sahih oleh al-Albani dalam Sahih Al-Jaami'). Atau dalam riwayat yang lain disebut: “...tidak luput usia mudanya” (Hr at-Tirmidzi, dinilah sahih oleh al-Albani). Dan berbagai-bagai lagi anugerah nikmat lain yang tak terkata lagi dijelaskan Nabi saw.
Bermacam ujian berlainan dilalui oleh kita. Tiada lain, penawar yang paling sangat sentiasa diperlukan ialah sabar. Disebalik telah sentiasa diusaha sedaya mungkin, tanpa diselitkan sifat sabar. Maka kita lihat betapa ramai yang kecundang saat menghadapi perit dan pedihnya zahir dari ujian itu. Memutuskan tali pergantungan dengan Allah. Terhasil hal-hal khurafat, sihir, bomoh dan berbagai amalan syirik kepada Allah. Lahir juga bermacam hal dosa, kerana merasa sangat marah dengan apa yang terjadi pada dirinya. Segalanya dari permulaan ini. Ungkapan sabar ini mudah, tapi untuk menerimanya amatlah sukar. Ia benar-benar berkait dalam bagaimana hubungan amalan kita dengan Allah. Bagaimana usaha, doa, tawakkal dan sangka baik kita dengan Allah? Bagaimana kita tatkala di waktu sedang senang dan sihat? Semua kita pernah melaluinya, kita mesti yakin apa yang terjadi itu tiadalah sia-sia. Bukan untuk membinasakan kita. Bukan untuk menzalimi kita. Telah pasti ada hikmah dari Allah, kita semua ini hamba Allah. Dari kesusahan yang panjang itu, bila dengan hanya sedikit sahaja kegembiraan, ia sudah dapat melupakan penderitaan sebelum itu. Begitulah dari kegembiraan yang panjang, bila hanya dengan sedikit sahaja kesusahan, ia telah melupakan dan memusnahkan detik keindahan itu. Justeru itu, teruslah kita sama-sama terus bersabar. Usaha, panjatkan doa dan tidak berputus asa dari rahmat Allah. Jangan dibiarkan putus tali pergantungan kita dengan Allah. Segalanya, amat tinggi ganjarannya disisi Allah. Hasilnya sudah pasti begitu manis kelak.
Berbagai karenah, ujian dan masalah. Sampai bila kita perlu bersabar? Teruslah bersabar, kesabaran-kesabaran yang terus dan sedang dilalui itu tidak akan sia-sia. Pahala bersama kita dan kelak hasil yang manis sudah pasti sedang menunggu. Disebalik kita sentiasa melihat apakah punca yang menyebabkan selalu hadir masalah. Hal yang diharamkan, pasti membawa musibah.
Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. (Ath-Thalaaq 2) Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya. (Ath-Thalaaq 4). Marilah kita baca dan renung kembali kisah doa, usaha dan pengorbanan Nabi Ibrahim as, Siti Hajar dan Nabi Ismail as.
Sedikit perkongsian dari Kuliah Jumaat Tghh, 30.11.12 dengan sedikit tambahan: “Yang halal, dibenar itu mesti baik. Yang haram, dilarang itu pasti mendatangkan mudharat. Tiada yang haram itu baik. Allah swt Maha Mengetahui segalanya. Kita tak tahu”.
Kita sentiasa fikir bagaimana orang lain yang lebih teruk dan susah dari kita. Ketika kita sakit, kita pergi ke klinik untuk berubat agar sembuh dan mencari ubat penawarnya. Lalu penyakit kita makin sedikit demi sedikit berunsur pulih, demikian dirasa amat lega dari semalam. Kita merasa amat gembira dengan kesan perubahan dari berubat semalam. Waktu hidup kita sangat berbeza dibanding dengan sebelumnya. Hari-hari hidup menjadi ceria. Dalam keadaan ini, marilah kita fikir sejenak mereka yang tak berkemampuan untuk membeli ubat dan masih merasa sakit, mereka masih bersabar dalam menahan kesakitan. Sungguh betapa besarnya nikmat yang Allah bagi kepada kita ini. Kita ada rezeki. Marilah kita sentiasa mengingat-ingatkan dan menzahir-zahirkannya nikmat Allah ini. Allah swt suka akan hambanya yang membangkit-bangkitkan nikmat-Nya. Begitulah dilihat ada yang mengalir airmatanya, mari rasa timbul kesedaran dalam ketika kegembiraan, kerana memikir betapa terlalu besar dan mahalnya nikmat, anugerah dan segala pemberian Allah ini.
Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu siarkan. (Adh-Dhuhaa 11) “Dari huraian tafsir maksud ayat ini, ia berkaitan juga ertinya adalah menzahirkan nikmat dari harta pemberian Allah. Dan telah juga dijsebutkan dalam hadis-hadis yang sahih agar disiarkan. Memanfatkaanya, memakai pakaian yang bersih dan cantik. Namun tidak untuk berniat riak dan sombong”.
Sabda Nabi saw: Tidaklah seorang muslim tertimpa kesakitan kerana tusukan duri, atau yang lebih sakit darinya, kecuali Allah akan menghapus dosa-dosa dengannya, sebagaimana pohon menggugurkan daun-daunnya. (Hr Bukhari)
Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk Dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli Neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!”. Lalu dibawa seorang penduduk Dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli Syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan”. (Hr Muslim)
Dimasa yang sihat, muda, senang, lapang dan saat hidup inilah peluang sebanyak dan semampunya untuk buat pahala dan kebajikan. Bila sakit, tua, susah, sibuk dan sudah mati memang sudah payah, letih, tak larat, dan tiada guna lagi (mati).
Akhirnya, semua ini adalah muhasabah dan peringatan bersama dari yang dirasa, yang saya rasa perlu kita ingat. Kita sentiasa usaha buat yang disuruh dan jauhi yang dilarang. Tidak pertahan, ego, ingkar, cenderung, sokong dan tidak yang suka, rela, redha dan biar. Tidak diremehkan segala larangan dan suruhan Allah. Suatu kebaikan yang dilakukan, mungkin itulah menjadi sebab kita dapat meraih syurga kelak. Suatu keburukan juga yang dilakukan, mungkin itulah menjadi sebab tergolong ahli neraka kelak. Kita tunaikan dengan ikhlas dan turuti Sunnah dari Baginda saw. Mudahan diterima amalan kita. Dengan kebaikan-kebaikan itu, insyaAllah menenggelamkan kejahatan-kejahatan kita. Menghapuskan dosa-dosa semalam. Memberatkan neraca timbangan dan dapat meraih pengakhiran dalam 'Husnul Khaatimah'. Aamiin.
25 Muharram 1434 H bersamaan 09 Disember 2012 M
Ahad, 12.45 pm. Terengganu, Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan