اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ، صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
“Ya Allah, yang mengarahkan hati, arahkanlah hati-hati kami untuk taat kepada-Mu”. (Hr Muslim)
اللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوبَنَا عَلَى دِينِكَ
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati kami pada agama-Mu”. (Hr at-Tirmidzi, Ahmad, ibn Abi ‘Asim - dinilai sahih)
1. Kehidupan diakhir zaman ini sungguh mencabar, fitnah kehidupan makin dasyat. Jalan kebenaran itu nyata dan jalan keterlanjuran itu juga nyata. Tahap iman penentu segalanya. Ada yang beriman waktu pagi dan malam dan kufur pada petang dan esoknya. Keadaan sekeliling yang sentiasa menggugat iman dan menghasut untuk melakukan dosa.
2. Umur kita tidak kekal dan tidak pula kembali menurun. Ia terus meningkat dan tiada yang dapat menghalangnya. Namun menurun tahap iman kita, kita mampu untuk menstabilkannya kembali. Iman para sahabat-sahabat Nabi saw dahulu tak dapat nak dibandingkan dengan kita. Kenapa tahap keimanan mereka begitu amat kuat dan tinggi? Harta yang banyak mudah dikorbankan, umur yang muda padat dengan kerja dakwah, amalan yang seolah tiada rasa letih dan pelbagai lagi. Ia kerana wujudnya perkara yang menyumbang kekuatan dan keyakinan itu. Antaranya, mereka hidup sezaman dengan Nabi saw. Sentiasa bersama mendampingi majlis Nabi saw. Al-Quran diturunkan dan dibacakan. Berlakunya mukjizat-mukjizat. Demikian bila hati penuh keyakinan, maka timbullah keberanian dan kekuatan itu. Namun ujian yang dilalui mereka amat-amatlah cukup mencabar.
3. Kini masa telahpun 1400 tahun berlalu. Wasiat Nabi saw pada kita agar berpegang dengan dua perkara ini. Iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Ia kitab mukjizat. Segala cerita, perjalanan dan permasalahan hidup dijelaskan. Kisah-kisah pengajaran dan panduan dibekalkan. Akal yang waras dikurniakan Allah swt kepada kita ini, inilah tujuannya. Agar berfikir, membaca dan memanfaatkan segala apa yang dilihat, didengar dan dianugerahkan. Untuk mencari kebenaran. Untuk menguatkan Iman. Supaya sentiasa sedar dari hakikat dunia ini, selamat dan mampu untuk bangkit dari ditipu dunia.
4. Apa yang kufikir. “Badan sakit dan sihat, katalah sepenuhnya kerana cara pemakanan tak dijaga, antibodi yang lemah. Thunami atau gempa bumi, katalah sepenuhnya kerana lumrah dan itu kejadian bencana alam, hakisan. Kebakaran atau kemalangan, katalah sepenuhnya kerana kecuaian dan kedegilan tidak mengikut peraturan. Semua ini andai benar ingin ditafsirkan demikian tanpa kaitan Allah. Ingin menafikan untuk taat perintah Allah. Maka cuba fikirlah bagaimana kita yang dari tiada kepada ada ini. Tentang kita dengan hidup dan lalu dimatikan!. Dari alam rahim, air mani, segumpal darah, dibentuk, dilahirkan, membesar, dari tidak mengetahui apa-apa hinggalah dewasa, belajar, sudah dapat membezakan, berkerja, berumahtangga, tua, letih, dan lalu dimatikan. Siapa yang menghidup dan mematikan? Tiada siapa yang dapat menghalang segala urusan dan kematian ini. Siapa yang mengatur segalanya ini? Sudah pasti ada yang menyusun dan mengurusnya?. Adanya tujuan kehidupan ini?. Perlunya untuk taat. Kita fikir tentang perjalanan muda dan tua kita, perjalanan matahari dan bulan, malam dan siang, panas dan dingin ini”.
Firman Allah swt: Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin. Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan? (Adz-Dzaariyaat 20,21)
5. Setelah aku lahir. Bulan, bintang, matahari, langit, bukit, laut, gunung-ganang, dan segala makhluk lain sudahpun kelihatan. Segala yang berlaku dan segala peristiwa dan perjalanan alam. Siapa yang menyusun dan menciptakan ini? Benarnya kekuasaan Allah. Benarnya janji-janji Allah. Benarlah Al-Quran. Benarlah Sabda Nabi saw. Benarnya Islam.
أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله
“Aku bersaksi sesungguhnya tiada Tuhan melainkan ALLAH dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad adalah RASULULLAH (pesuruh Allah)”
6. Betapa hebat atau cantik manapun kita. Punya pangkat setinggi manapun kita. Kaya atau kuat dan berkuasa manapun kita. Pasti akan sakit, tua, lemah, dan ke kubur juga. Sezalim, sebongkak dan sejahat mana seseorang itu, pasti berada diliang lahat juga.
7. Ketahuilah. Tingginya kemulian seseorang, kerana beramalnya dengan perintah Allah. Kerana kemulian itu dari Allah. Bukan harta, pangkat, rupa, kuasa, dan kedudukan yang meninggikan tahap seseorang itu, tapi dengan sentiasa berpegang dan sentiasa menyaksikan sama ketetapan arahan Allah swt. “Ada manusia yang sentiasa peka akan perintah Allah dan dia juga seorang pemimpin atau punya kuasa, kedudukan, pangkat atau rupa, harta dan selainnya lagi. Atau segalanya dimiliki. Namun segala yang pernah dimilikinya itu sudah tiada, kerana uzur atau sudah tidak terdaya lagi atau sudah dihilangkan. Namun dia tetap dihormati, disegani, disanjung, disukai orang. Seolah seperti dahulu”.
Manusia yang sentiasa sanggup pelihara perintah Allah, Allah swt akan mencukupkan dirinya. Hidupnya walau serba kurang, namun dianugerahkan rasa cukup dengan dunia ini, rasa sudah merasai segalanya.
Sabda Nabi saw: Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaannya dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kefakirannya antara kedua matanya. Allah cerai-beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan hina). (Hr at-Tirmidzi, dinilai hasan oleh al-Albani)
Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Surah Ali-'Imran 26)
8. Islam datang memuliakan. Wanita diangkat martabatnya. Tiada lagi pemerkosaan dan ditanam hidup-hidup. Keadilan didaulatkan. Tiada lagi penipuan dan penindasan. Membuang perbezaan nilaian rupa, bangsa, harta, dan warna kulit. Sifat berpuak dan taasub. Semuanya sama sahaja, hanya ketaqwaan yang membezakannya.
9. Cita-cita kita ialah untuk meraih kejayaan Dunia dan Akhirat. Kejayaan dan kegembiraan Dunia yang menghasilkan kejayaan dan kegembiraan Akhirat. Kerana kita pasti mati, kelak akan ke Akhirat dan kekal di Akhirat. Hidup kita ini ada hasil di Akhirat. Kejayaan Akhirat tiada kira walau seisi Dunia kita dapat. Masa muda dan hidup kita kekal.
Sabda Nabi saw: Pada hari kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! demi Allah, wahai Tuhanku!”. Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudia dia ditanya: “Wahai anak adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan”. (Hr Muslim)
Firman Allah swt: Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan saleh, kelak akan Kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah telah membuat suatu janji yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya dari pada Allah? (An-Nisaa' 122)
10. Allah swt. Para malaikat. Saksi-saksi kita. Manusia lain dan diri kita sendiri yang menjadi saksi. Benar atau salah kita. Tiada apa lagi yang ingin dinafikan. Jika kita dijalan yang benar, cukup kita meyakini hal ini. Jika kita dijalan yang salah, ingatlah diri kita juga yang menjadi saksi.
Firman Allah swt:
Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. (An-Nuur 24)
Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan. (Yaasiin 65)
11. Segala kenangan, ia memang kenangan. Memang sukar dilupakan. Namun dunia ini hanyalah tempat persinggahan kita. Akhirat itu tujuannya. Perkara yang baik, jadikan untuk menerbitkan kekuatan dan membina ketaqwaan. Perkara yang salah, lalai, jadikan sebagai pengajaran, saling memaafi dan usahlah lagi ingatkan dan persoalkan.
Akhirnya, marilah kita renungi Firman Allah swt ini: Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah. (Al-Hajj 73)
Adakah mereka tidak pernah berjalan di muka bumi (mengambil pengajaran dari apa yang telah berlaku kepada umat-umat terdahulu), maka bagi mereka hati-hati yang berfikir, atau telinga-telinga yang mendengar? Sesungguhnya bukanlah mata-mata itu buta, tetapi hati-hati yang berada dalam dada-dada itulah yang buta. (Al-Hajj 46)
Segala peringatan untuk diri dan semua. Kerana ini sudah sememangnya tugas kita semua.
15 Rejab 1433 H bersamaan 05 Jun 2012 M
Selasa, 03.15 pm. Sana’a, Yaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan