Sabtu, 22 Januari 2011

Takut kepada Allah.

Sifat takut merupakan benteng bagi orang-orang yang beriman dan menghampirkan lagi seseorang hamba itu kepada Tuhannya. Apabila lahirnya sifat takut dalam hati seseorang hamba itu, ianya akan menjadi benteng dari terpukau dengan segala tipu daya Dunia dan berbagai bentuk kemungkaran yang datang.

Manusia yang punyai sifat takut didalam hatinya berbeza dengan mereka yang tidak merasainya. Perasaan takut inilah menjadi penyelamat bagi orang-orang yang beriman daripada hanyut melakukan maksiat. Kerana mereka meyakini akan benarnya janji Allah swt tentang terdapatnya Hari Perhintungan, pembalasan Syurga atau Neraka. Mereka tahu akan tiap perbuatan, tutur bicara dan semuanya sentiasa dicatit sama oleh para Malaikat dikiri kanan.

Perlunya sentiasa rasa takut pada Allah swt. Bukan pada manusia, bomoh, syaitan2 dan segala perkara yang mensyirikkan ini. Telah dijelaskan di dalam Kitab (Al-Mustakhlos fi Tazkiyatul Anfus) Karangan “ as-Syeikh Said Hawa ”. Takut ini dibahagikan pada 2 Maqam.

1. Firman Allah swt : Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali. (A-li 'Imraan 28)

Yang pertama :
Takut yang semua orang merasainya. Ianya terhasil dari Keimanan, Kepercayaan akan pastinya tentang Azab Kubur, Hari pembalasan, Syurga dan Neraka. Tiap manusia bila dipersoalkan, digambarkan tentang dasyatnya azab Neraka kelak sudah pasti hadirnya rasa takut, bimbang memikirkannya. Namun dikala datang ujian nafsu keduniaan, takut tersebut tidak mampu menyelamatkannya. Kelalaian, Kelemahan Iman melupakan tentang peritnya Azab Neraka kelak. Kelalaian, Kelemahan Iman melupakan akan besarnya Nikmat Syurga tersebut.

2. Firman Allah swt : Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. (Faatir 28)

Yang kedua : Takut yang sebahagian kita sahaja merasainya. Ianya terhasil jua dari Keimanan, Kepercayaan akan pastinya tentang Azab kubur, Hari pembalasan, Syurga dan Neraka. Namun bukan kerana hanya memikirkan tentang benarnya janji tersebut, tapi kerana hatinya yang sudah terpaut dengan kecintaan yang mendalam pada Allah dan Rasulnya. Hidupnya sentiasa sibuk dikorbankan dengan mendalami Ilmu Allah swt. Sentiasa sibuk mengajak manusia supaya hidup disaksikan sama kehendak Allah dan Rasulnya. Diserahkan, digantungkan seluruh Hidupnya pada Allah swt. Kecintaan pada Allah dan Rasulnya sudah cukup merasa nikmat akan hidup ini.

“ Selalunya tiap Suruhan, Perintah Allah swt sukar dilaksanakan, tetapi apabila dilaksanakan terasa bahagia, selamat, sempurna beramal dengan tiap perintah tersebut. Begitu jua tiap Cegahan, Larangan Allah swt mudah diamalkan, tapi apabila diamalkan, terasa jiwa kacau, serabut, tidak tenang hasil dari kemurkaaNnya ”

Kita diciptakan dariNya, Dia Maha Mengetahui apa keperluan makhluk ciptaanNya. Yakinlah padaNya. Tiap larangannya punyai Hikmah yang cukup Jelas. Janganlah membelakanginya.

Hari ini kita semua Hidup dizaman yang penuh dengan hiburan maksiat keduniaan yang dasyat, yang sukar untuk dielak. Ianya melalaikan kita semua dari tujuan sebenar dihidupkan, lupa untuk memenuhkan bekalan (Iman & Amal) yang perlu dipenuhi untuk ke Akhirat nanti.

Untuk lahirnya rasa Takut yang hakiki, yang mampu menjadi benteng penyelamat diri dari terjebak dengan perkara2 maksiat :

1. Sudah pasti Segalanya tidak dapat tidak perlu kepada kefahaman yang jelas akan apa erti Islam yang dianuti ini, apa Hakikat Iman yang sebenar. Ianya Perlu kepada mendalami ilmu2 Agama. Sepertimana disebut di dalam satu madah :

“ Marilah kita menjadi orang yang Berilmu, supaya kenal Tuhan, cinta kepadaNya, takut terhadapNya dan tunduk kepadaNya ”

Jika kita memahami sebaiknya apa erti Sebenar Islam ini, kita akan dapat fahami tiap Perintah dan Hikmah sebenar laranganNya. Seterusnya Kecintaan padaNya akan lahir kerana kesempurnaan, kebaikan yang dirasai apabila beramal dengan cara Islam. Dilihat akan Kehebatan, kekuasaan Allah mengatasi segala yang lain. Akhirnya diyakini akan benarnya janji2 Allah swt. Dan hadir rasa takut dan ingin patuh pada tiap PerintahNya.

2. Seterusnya perlu untuk sentiasa tidak merasa jemu beribadah padaNya. Sentiasa berusaha mencari redhaNya. Sentiasa berusaha seboleh yang mungkin menjauhi perkara yang dimurkaiNya. Sentiasa berdoa memohon ketetapan Hati dariNya. Sentiasa disibukkan dengan perkara2 yang tidak bertentangan dengan perintah Allah & Rasulnya.

“ Bangunkanlah dunia sehebat mana yang kita mahu dengan ilmu dunia, tapi ingat, membangunkan diri mestilah dengan ILMU AGAMA ”

Disini saya mengajak pada diri serta teman2 sekalian. Tidak dapat tidak perlunya untuk kita sentiasa berusaha memahami, mendalami ilmu2 Agama. Apa erti sebenar Islam yang dianuti ini. Jika sememangnya bukan cita2 kita untuk menjadi seorang Ustaz atau sebagainya. Ianya tetap jua perlu dipelajari, untuk keselamatan, panduan diri diDunia dan Akhirat. Ilmu2 lain tak salah untuk diceburi, dipelajari, bahkan amat diperlukan. Namun ilmu2 yang berkaitan tentang mana Perintah dan Larangannya amatlah lagi perlu untuk difahami, diketahui sejelasnya kerana ia berhajat untuk ke Alam Akhirat kelak.

* Namun Sebenarnya jika kita memperhatikan, memikirkan tentang Kekuasaan, penciptaan segala kejadian makhluk, tumbuh-tumbuhan dan segala isi dunia ini. Ianya dapat menguatkan, menambahkan lagi Keyakinan, Keimanan kita.

Firman Allah swt : Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi matair-matair di bumi; kemudian Ia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu berupa kuning; kemudian Ia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna. (Az-Zumar 21)

Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-'Ankabuut 20)


* Begitu jua jika kita mengkaji, membaca akan sejarah Umat2 dahulu yang membelakangkan, mengejek, menghina Seruan Allah dan Rasulnya. Telah ditimpa keatas mereka Bala, kemusnahan Hidup dari Allah swt.

Firman Allah swt : Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah. (Ghaffir 21)

Dan tiadalah Kami mengutus Rasul - sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya? (Yusuf 109)


* Begitu jua, jika dilihat berbagai Bencana Alam yang melanda Dunia hari ini. Gempa bumi, banjir, ribut taufan dan lain2 lagi. Segalanya menunjukkan Kehebatan, Kekuasaan Allah swt berkuasa atas segalanya.

* Dan akhirnya jika difikirkan tentang Alam Akhirat yang telah dijanjikan dengan Nikmat dan Siksaan. Wujudnya Hari Pembalasan, amal timbangan, titian sirat, Syurga dan Neraka. Disebut pula padanya bagaimana keadaan penghuni Neraka, sudah cukup rasanya bagi kita semua untuk perlu merasa takut pada Allah swt.

Saudaraku Sekalian…

* Adakah kita merasa takut bila memikirkan tentang segala kejadian ciptaan Allah swt ?
* Adakah kita merasa takut bila memikirkan tentang dosa-dosa yang lepas dan yang akan datang ?
* Adakah kita menahan diri dari melakukan maksiat keranan takut akan balasan Allah dan siksaanya ?
* Adakah kita takut mati dalam keadaan bukan Islam ?
* Adakah kita merasa takut bila memikirkan tentang kematian, azab kubur dan Hari dihimpunkan kelak ?
* Adakah ketakutan yang dirasai itu menghalangi kita daripada melakukan perkara yang haram, walaupun dalam keadaan berhajat ?


Jika semua persoalan di atas di jawab dengan YA, insya' Allah kita semua akan memperolehi hasil yang baik dan kejayaan mendapat syurga Allah swt dengan izinnya.

Akhirnya, jika sifat Takut itu sentiasa didiami, dirasai dalam Hidup kita, Insya’ Allah segala Suruhan dan LaranganNya tiada lagi alasannya.

Sama-sama kita renungi Sabda Nabi saw yang bermaksud :

Azab yang paling ringan di neraka pada hari kiamat ialah dua butir bara api di kedua telapak kakinya yang dapat merebus otak. (HR. Tirmidzi)

Sabtu, 15 Januari 2011

Jauhi sifat Riya'

Sememangnya Kehidupan Dunia akan berakhir jua. Kita semua akan dihidupkan buat kali kedua di Akhirat kelak. Disana nanti dibentang kembali tiap2 perbuatan yang dilakukan di masa Dunia. Ditimbang, dibicara dengan seadil-adilnya di Mahkamah Allah swt. Seterusnya Syurga atau Neraka menjadi natijahnya.

Demikian itu, sudah semestinya kita semua menghendaki Syurga adalah natijahnya. Tapi syurga yang diidamkan bukanlah Percuma, ianya perlu kepada ketaatan, keyakinan, keikhlasan yang mutlaq pada tiap2 Perintah & LaranganNya.

Sabda Nabi saw : Sesungguhnya hal yang paling aku takuti menimpamu ialah syirik kecil: yaitu riya. (HR Ahmad dgn sanad hasan)

Dunia ini medan Ujian, Setiap orang diuji dengan kadar Imannya. (Contoh, sesiapa yang masih belum menyempurnakan Aurat, ianya menjadi Ujian pada dirinya untuk berusaha menyempurnakannya, ia perlu sabar menahan, menyempurnakan auratnya dari didedahkan. Perlu melawan rasa malas, panas, malu, kritikan dan berbagai ejekan lagi.

Namun jika ia sudah menyempurnakannya. Akan diuji pula tahap keikhlasannya menyempurnakan Aurat tersebut. Adakah kerana dahulu jahil, dan hinggalah sekarang baru memahami apa itu aurat, kerana takut akan balasan Neraka kelak atau menutupnya kerana menunjuk2, untuk dilihat, dipuji2 manusia, sekadar fesyen, bukan kerana menyahut Perintah Allah swt.

Begitulah jua tiap2 amalan lainnya. Syaitan itu sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan, merosakkan amalan kita semua. Sama2 kita laksanakannya kerana Allah.

“Jika jahil perlu dipelajarinya, difahaminya. Jika sudah difahami dan sudah dilaksanakannya, perlu diikhlaskannya pula. Jika sudah diikhlaskannya, perlunya untuk dipohon agar ditetapkan Hati dalam melaksanakan suruhanNya”

Begitulah fitrah Hidup orang yang beriman. Hidupnya sentiasa diuji, namun janganlah kita berputus asa, janganlah dirasakan cara Islam itu menyusahkan. Jika kita memahami, menghayati betul2 tiap Perintah dan hikmah LaranganNya. Insya' Allah dihadiri hidup ini rasa Rahmat, BerkatNya. Terasa nikmat, selamat, sempurna beramal dengan cara hidup Islam.

Kita yakini, pelihara perintah Allah swt sebaiknya, insya’ Allah, Dia pelihara kita. Kita tolong, bantu agama Allah swt, insya’ Allah, Allah swt akan tolong kita. Yakinlah akan benarnya Sabda Nabi saw & firman Allah swt :

Peliharalah titah perintah Allah nescaya ia akan memelihara engkau (sepanjang masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati ia selalu dihadapanmu. (Hr Tarmizi)

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Muhamad 7)

Justeru itu, perlunya tiap2 amalan yang ingin dilaksanakan. Diikhlaskan, diniatkan semutlaqnya kerana ALLAH swt. Agar beroleh manfaat pada diri dan orang lain jua.

Berkata ibnu Qayyim : Taqwa pada hakikatnya ialah mentaati, melaksanakan perintah Allah swt dengan penuh keimanan, pengharapan dan keikhlasan yang benar dalam melaksanakannya. Melakukan apa yang telah ditetapkan itu dengan penuh keyakinan dan mempercayai akan benarnya janji Allah swt pada hamba-hambanya. Dan meninggalkan apa yang dilarang itu dengan penuh kepercayaan hikmahnya, dan merasa bimbang akan balasan Allah swt kelak.

Namun jika tiap2 suruhan & larangan yang dijelaskan Allah swt & Rasulnya ditunaikan selain dari kehendakNya (Allah). Nescaya rugilah dunia dan akhiratnya. Sama2 kita jauhi diri dari sifat suka menkagumi diri sendiri, menunjuk2 dan segala sifat yang mensia2kan ini. Bukan percakapan, pujian orang yang perlu difikirkan, tetapi penerimaan amalan tersebut perlu difikirkan, dititik beratkan. Adakah sudah disempurnakan, diniatkan dengan sebaiknya. Kerana ia punyai kaitan natijah Syurga atau Neraka kelak.

Diantara Kata-kata ulama’ di dalam mencela sifat-sifat keji.

Abu Darda’ ra telah berkata: Tanda-tanda kejahilan itu tiga : menkagumi diri sendiri, banyak bercakap yang tiada erti, melarang sesuatu tetapi mendekati.

Berkata Malik bin Dinar: Barang siapa yang mempelajari ilmu, nescaya dia akan dibentuk dengan ilmu tersebut dan dia akan tawadhuk, sebaliknya barang siapa yang mempelajari ilmu tanpa amalan dan tindakan, dia telah menambahkan sifat bangga dan takabbur dalam dirinya.

Riya’ hasilnya hanya mensia2kan tiap amalan yang dikerjakan, tiada habuan diDunia mahupun Akhirat. Bahkan kecelakaan disana. Demikian itu, Carilah redhaNya, bukan pandangan, pujian manusia yang diharapkan. Darinya kita datang dan padaNya kita akan pulang.

Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)! Tetapkanlah hati-hati kami di jalan agamaMu dan dalam mentaatiMu.

اللهم طَهِّرْ قُلُوبَنَا مِنَ النِّفَاق وأعمَالَنَا مِنَ الرِّياَء

Ya Allah, bersihkanlah hati kami dari kemunafikan & amal kami dari riya.

Khamis, 13 Januari 2011

Aurat, Masih JAHIL atau SUDAH TAHU, atau ADA YANG MENGANGGAP IANYA TIDAK WAJIB!

Firman Allah swt: Hai Manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu; sesungguhnya Kegoncangan hari Kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (Dahsyat). (Al Hajj 1)

Wahai umat Manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu Diperdayakan oleh kemewahan hidup di Dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar Penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu Lalai dan Menderhaka). (Faathir 5)



Pelbagai bentuk Peringatan,Teguran dan Nasihat telah banyak dijelaskan. Namun masih ramai lagi yang tidak Menyempurnakan Aurat mereka. Dan masih ramai Jua yang masih sibuk mengiklankan Gambar-Gambarnya di Internet.

Saudaraku sekalian. Bumi dan segala isinya Ini adalah ciptaan Allah swt. Berbagai jenis Makhluk ada didalamnya. Jadi perlunya ada Peraturan, Undang2 yang mesti dipatuhi oleh makhluk2 diBumi ini. Peraturannya ialah Islam. Cara hidup yang memberi keselamatan, kebahagian diDunia & Akhirat.

Menutup Aurat adalah salah satu cara Hidup yang diajar oleh Islam. Ia memperlihatkan akan Cantik & Sempurnanya Islam. Lahirnya kemormatan dari Masyarakat sekeliling, tiada gangguan dan ianya menjadi benteng kpd Perbuatan Maksiat yang lain. Kita diciptakan olehNya. Sudah pasti Dia menegetahui apa keperluan makhluk ciptaanNya.

Rasanya kita Semua sudah mengetahui bahagian mana Aurat seorang Wanita MUSLIM yg mesti disempurnakan. Kita juga sudah mengetahui akan Hukumnya. Dan Balasan siksaan bagi yang Mendedahkannya. Namun masih ada pelbagai bentuk Alasan seringkali keluar dari Mereka yang masih tidak ingin menyempurnakan Aurat Mereka.

PERTAMA: MUNGKIN SEBAHAGIAN BESAR MASYARAKAT KITA ADA LAGI YANG MASIH JAHIL, TAK TAHU LAGI AKAN KEWAJIPAN AURAT TERSEBUT ? ATAUPUN KERANA KEADAAN DIDIKAN SEMENJAK KECIL LAGI SUDAH TIDAK DIENDAHKANNYA ? ATAUPUN BARU MEMELUK ISLAM & PELBAGAI KEMUNGKINAN LAGI.

Perlu diketahui bahawa Menutup Aurat adalah Perintah dari Allah swt. Ia ditujukan kepada Isteri-Isteri Nabi, Anak-Anak Perempuan serta Perempuan-Perempuan yang Beriman. Ia tidak terkecuali Seorangpun. Ianya Wajib dilaksanakan. Sebagaimana yang telah jelas dijelaskan dalam firmanNya, lihat Surah Al-Ahzaab ayat ke 59.

Seterusnya Kita sendiri perlu Berusaha mendalami ilmu Agama. Tanyalah Ustaz2, Hadirkan diri ke Majlis2 Ilmu, cari & bacalah Buku2 Panduan Aurat bagi Seorang Wanita MUSLIM. Rasanya sudah Terlalu banyak Buku, Risalah, Artikel2 merata dijual, diinternet & Sebagainya. Menjadi kewajipan setiap Individu Muslim mengetahui mana Halal dan Haram dalam kehidupannya. Tak dinafikan sibuk dengan kerja harian, namun kewajipan sebagai hamba Allah amat perlu dilaksana.

Ibu Bapa sudah tentu perlu memainkan peranan yang Tinggi. Jika menginginkan Anak2 Gadis mereka menyempurnakan Aurat dengan sebaiknya, sudah tentu Ibu sendiri perlu menunjukkan cara pakaian yang mengikut cara Islam seluruhnya. Memberi penekanan yang penting akan soal Agama. Tahu akan keperluan Agama yang wajib diketahui oleh setiap Individu Muslim. Namun malangnya kehidupan sebahagian masyarakat Islam hari ini, Anak2 mereka sudah dididik supaya Mempamerkan Aurat, Dididik tidak mengenal arti Halal Haram dalam hidup mereka. Dididik sudah biasa dengan mendedahkan Aurat. Dan Jika berpakaian menutup Segalanya dirasakan Ketinggalan Zaman dan berbagai Macam anggapan lagi. Jadi tidak dapat tidak, perlu JUA untuk Anda meninggalkan Adat, Kebiasaan yang diasuh semenjak kecil dengan kehidupan yang bukan cara Islam kepada cara Hidup Islam yang sebenar.

Jika baru memeluk Islam, sudah tentu keperluan utama perlu dijelaskan adalah Aqidah. Memahami sedalamnya akan pengertian Islam dan Iman, seterusnya menerapkan segala aspek kehidupan berpandukan Al-Quran dan Sunnahnya. Yang penting usaha dalam melaksanakan tuntutan hamba pada Tuhannya sentiasa dipelajari.

KEDUA: RAMAI YANG SEBENARNYA SUDAH JELAS TAHU HUKUMNYA, TAHU AKAN AZAB NERAKA YANG BAKAL MENIMPA KELAK, TAPI ALASANNYA MALAS, PANAS, MALU, EJEKAN TEMAN, & BERMACAM LAGI ALASAN.

Saudaraku Sekalian. Ketahuilah Segala Alasan2 tersebut hanya merugikan diri Anda sendiri. Anda telah tahu Hukumnya, tahu janji Allah itu Benar. tahu datangnya Ajal itu dalam keadaan yang tidak disangka. Ingatlah Nikmat mendedahkan Aurat itu hanya sebentar, Ingatlah peritnya Siksa Neraka kelak.

Rasa malas, panas, malu, ejekan dan pelbagai bentuk alasan lagi perlu kepada kesabaran yang tinggi untuk Melawannya. Biarlah rasa panas, malu, perit, susah yang hanya Sementara dan hanya Sedikit ini dari merasa sakit, susah yang amat Dasyat lagi di Akhirat kelak. Panasnya tak tergambar, kelak kita semua Pasti dihimpun beramai-ramai dalam keadaan bertelanjang. Sehalus-halus perkara hingga sebesar-besarnya akan dibentang & dipersoal di mahkamah Allah swt.

Masuk Syurga itu bukan percuma, perlu kepada pengorbanan, kesabaran menghadapi UjianNya. Setiap orang diuji dengan kadar Imannya. Bagi kita yang masih sukar menyempurnakan Aurat, ianya menjadi Ujian pada diri kita, jika ia sudah disempurnakannya, Akan bertambah lagi Ujian lain. Demikianlah fitrah Hidup orang yang beriman. Ujian yang nak dilalui itu perlu kepada kefahaman Islam yang mendalam, kekuatan Amal, Iman & Taqwa. Maka perlunya mendalami Ilmu Agama. Ianya wajib atas tiap2 Muslim. Jika anda memahami, meyakini betul2 Perintah dan hikmah LaranganNya dan seterusnya melaksanakanya. Insya' Allah akan hadir rasa nikmat beramal dengan Islam. Hadir Rahmat dan Berkat dariNya.

Saudaraku sekalian. Kenapa kita Perlu merasa susah bila Hidup berpandukan Islam, kenapa kita tidak pernah berfikir, meyakini hikmah tiap2 larangan Allah swt itu. Para Nabi, sahabat & umat2 terdahulu telah mengorbankan Harta, Pangkat, Keluarga mereka untuk Islam.

Hari ini kita belum lagi disuruh mengorbankan Harta, Pangkat, Keluarga dan segalanya. Tapi baru sekadar permulaan baru, hanya disuruh menahan Diri dari Mendedahkan, Mengiklankan Aurat. Menahan dari melanggar perintah Allah dan Rasulnya. Segalanya untuk kebaikan kita jua. Ianya akan dapat menyelesaikan banyak masaalah2 Sosial, menutup pintu2 Fitnah dan akhirnya menyelamatkan Diri dari disambar Neraka kelak.

Diciptakan Syurga dan Neraka, ianya tempat yang kita akan tempuhi selepas berakhirnya Dunia nanti. Orang2 yang sabar dari menurut kehendak Nafsu, akan dibalas dengan Nikmat Syurga kelak. Begitu jua orang2 yang sentiasa menuruti Nafsunya, tak mengambil endah ketetapan Perintah Allah dan Rasulnya akan dibalas dengan Azab Neraka kelak.

KETIGA: SEMUA SUDAH MENGETAHUI SEJELASNYA AKAN KEWAJIPAN AURAT. AMAT MALANGLAH JIKA ADA YANG MENGANGGAP IANYA TIDAK WAJIB DILAKSANAKAN, IANYA TIDAK SESUAI UNTUK DISEMPURNKAN. MEREKA TELAH MENGHALALKAN APA YANG DIHARAMKAN ALLAH SWT. MEREKA TELAH MENGHALALKAN DIRI MEREKA UNTUK MERASAI NERAKA ALLAH. Nauzubillah minzaalik.

Mungkin Ramai yang berfikir, tak mengapa Didedahkannya, Amal2 yang lain pun sudah disempurnakan. Solat, Zakat, Puasa, Haji. Mereka melaksanakan Islam mengikut kehendak Nafsu. Padahal Tidakkah Kita mendengar seruan Allah swt: Hai orang-orang yang Beriman, Masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah Syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (Al Baqarah 208)

Solat itu jika dilaksanakan dengan penuh Kesempurnaan, Kekusyukan akan memberikan Kekuatan pada diri, akan menjadi Benteng diri dari mengerjakan Larangan Allah. Keinginan pada perkara2 Maksiat akan kurang. Itulah besarnya hikmah Solat. Jika kita dapati solat sudah didirikan, namun maksiat2 lain tetap dikerjakan. Menunjukkan lemahnya Solat.

Saudaraku sekalian, kenapa kita perlu beramal dengan Sebahagian yang lain, dan kita tinggal Sebahagian yang lain. Marilah sama2 kita cuba melengkapkan diri dengan cara Islam sepenuhnya. Saidina Umar ra pernah berkata: Kita semua adalah Umat yang dimuliakan Allah dengan Islam, barangsiapa yang mencari Kemulian (cara hidup) yang lain dari Islam maka kemurkaan Allah akan menimpanya.

Perbandingan Sebuah Motosikal yang tiada tayarnya, namun tetap juga dipanggil Motosikal. Tapi ianya cacat, tidak sempurna, tidak dapat dimanfaatkan bahkan tidak laku untuk dijual. Begitulah Aurat dalam Islam, menutupnya adalah salah satu Kewajipan, Kesempurnaan seseorang Islamnya.

Perumpamaan Islam seseorang itu, jika sudah lengkap yang lainnya, namun Auratnya masih Didedahkan. Islamnya nampak Aibanya, nampak ketidak Sempurnaan Islam tersebut. Ia menjerumuskan diri ke pintu2 Maksiat lain, Membuka lagi ruang2 Fitnah & berbagai Kemungkaran lagi. Padahal Islam itu datang menyempurnakan, menyelamatkan Manusia.

Jika kita dapati masa2 hidup kita terdapat banyak musibah berlaku, Ujian dan Kecelakaan. Perlunya dilihat akan bagaimana hubungan kita dengan Allah swt. Adakah cara hidup telah disaksikan sama tentang Halal Haramnya. Sama2 kita dalami, fahami Sabda Nabi saw yang bermaksud : Peliharalah titah perintah Allah nescaya ia akan memelihara engkau (sepanjang masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati ia selalu dihadapanmu. Apabila kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila engkau memohon hendaklah engkau memohon pertolongan dari Allah. Ketahuilah, seandainya umat manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat untukmu, mereka tidak dapat memberinya melainkan mengikut apa yang telah Allah tetapkan untukmu, dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan engkau dengan sesuatu keburukan tidaklah mereka dapat melakukannya melainkan dengan sesuatu yang Allah telah tentukan keatas dirimu, kerana telah terangkat pena dan telah kering kertas (telah ditentukan semuanya). (Hr Tarmizi)

Mengapa akal kita perlu Melabelkan, Memblokkan mereka ini golongan yang Alim dan Kami pula golongan yang Jahil. Tahukah Anda akan Saudara2 kita yang menutup Aurat mereka, dahulu asal mereka pun Jahil, tak tahu akan kewajipannya, Namun mereka diajar, dididik. Dan mereka cuba memahami dan melaksanakannya. Mengapa kita suka duduk dalam keadaan Jahil, mengapa Sukar untuk kita mengubahnya. Segalanya untuk Allah, untuk keselamatan Diri Di Masa Dunia dan Akhirat kelak.

Akhirnya janganlah sampai ada dikalangan Kita mengeluarkan alasan yang mengatakan Aurat ini tidak Wajib dilaksanakan. Ianya tidak Sesuai dilaksanakan Zaman Sekarang dan macam2 lagi alasan yg dianggap Biasa, namun Hukumnya sudah dikira kufur dari Islam, kerana jelas2 menghalalkan Larangan Allah dan Rasulnya.

Rasanya segala perkara sudah Dijelaskan. Saat ini malaikat Izrail belum Datang mencabut Nyawa lagi, saat ini Akal masih Waras lagi. Sama2 kita berubah & sentiasa cuba untuk Berubah menyempurnakan Aurat dengan seSempurnanya.

" Orang yang ingin mempelajari Al-Quran, dalam masa yang sama banyak kesilapan sebutannya, tetapi tetap jua bersungguh Mempelajari bacaan dengan sebaiknya, akan diambil kira jua pahalanya kerana kesungguhannya ingin jua mempelajari "

Segala Kekurangan atau Kemungkinan masih banyak Masalah2 yang lain lagi amatlah dialukan untuk dikongsi. Saya sekadar memberi penjelasan berdasarkan bacaan Buku, suasana yang Berlaku & Cerita yang dikongsi. Segalanya untuk Manfaat Semua. Laksanakannya kerana Allah, bukan paksaan atau ingin Menunjuk dan Sebagainya.

Sama2 kita Cuba berusaha melaksanakan perintahNya. Aurat dan segala segala cara hidup yang lain berpandukan Al-Quran & Sunnahnya. Kelak kita semua akan mengadapnya. Takutlah padaNya.

Selasa, 4 Januari 2011

Mengumpat, PERINGATAN Bersama.

Perkara yang sudah dibiasakan, apabila Bersembang, atau dalam banyak2 Pertemuan lainnya. Hidangannya adalah Mengumpat. Padahal ianya adalah suatu perkara yang salah di sisi Islam, ianya merosakkan lagi hubungan Persaudaraan sesama Muslim, berlakunya Fitnah, Mencaci sesama lain dan pelbagai keburukan lagi akan lahir dari sifat suka Mengumpat.

Sabda Nabi saw: Seorang Mukmin bukanlah Pengumpat, Pengutuk, Berkata Keji atau Berkata Busuk. (Hr Bukhari)

Islam itu amat Sempurna, Cantik jika dipraktikkan akan segala perkara yang meyempurnakannya. Larangannya punyai hikmah yang cukup Besar. Sama2 kita cuba untuk menjauhi sifat Mengumpat diantara satu sama lain. Allah swt telah menjelaskan dalam Al-Quran dengan gambaran yang amat Jijik bagi yang suka mengumpat. Firman Allah swt:

Janganlah kamu mengumpat diantara satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan Daging saudaranya yang sudah Mati ? Maka tentulah kamu merasa Jijik kepadanya. (Al-Hujuraat 12)

Nabi saw menerangkan makna Mengumpat dalam Sabdanya:

Tahukah kamu apa Ghibah itu? Para sahabat menjawab, "Allah dan rasulNya lebih mengetahui" Beliau bersabda: Menyebut-nyebut sesuatu tentang Saudaramu hal-hal yang dia tidak Sukai.

Ditanyakan: bagaimana halnya jika apa yang Aku katakan itu memang terdapat pada Saudaraku ? Beliau menjawab: " jika apa yang Kamu katakan terdapat pada Saudaramu, maka engkau telah Mengumpatnya dan jika ia tidak terdapat padanya maka Engkau telah Berdusta atasnya. (Hr Muslim)


Jadi, mengumpat adalah menyebutkan sesuatu yang Terdapat pada diri seorang Muslim, sedang ia tidak suka (jika hal itu disebutkan). Baik dalam soal keadaan jasmaninya, rohaninya, akhlaknya, hartanya dan Sebagainya. Caranya pun bermacam-macam. Di antaranya dengan menceritakan Aib, menirukan tingkah Laku atau Gerak tertentu dari orang yang diumpatkan dengan maksud mengolok-olok.

Jika kita semua dapati perkara yang dijelaskan diatas, ianya telah menjadi rutin Kebiasaan kita, sama2 kita Hijrah untuk Tinggalkanya. Kerana buruk hasilnya diAkhirat nanti.

Sabda Nabi saw: Orang yang muflis dalam kalangan Umatku ialah seseorang yang dibangkitkan di Akhirat kelak bersama-sama dengan Pahala Solat, Puasa dan Zakat yang pernah dilakukan semasa di Dunia. Namun pada masa yang sama, dia juga membawa Dosa Memaki Hamun Orang lain, Memfitnah, Memakan harta orang, Menumpahkan Darah dan Memukul orang. Waktu perbicaraan, diambil Pahalanya (si Muflis) dan dibayar kepada Mangsa-Mangsa tersebut. Dan sekiranya telah habis Pahalanya, diambil pula Dosa-Dosa Mangsanya, lalu dibebankan kepada si Muflis. Kemudian dia dihumbankan ke Neraka. (Hr Muslim)

Seterusnya menjadi kewajipan bagi Orang yang hadir dalam majlis atau apa2 Pertemuan yang sedang Mengumpat orang lain, untuk mencegah Kemungkaran dan Membela Saudaranya.

Nabi saw amat menganjurkan hal demikian, sebagaimana dalam sabdanya:

Barangsiapa menolak Ghibah atas kehormatan Saudaranya, niscaya pada hari kiamat Allah akan menghindarkan api Neraka dari Mukanya. (Hr Ahmad)

Dijelaskan pula oleh para Ulama’ akan beberapa keadaan yang dibolehkan untuk kita bercakap (Mengumpat) mengenai saudara kita:

1. Jika seseorang itu dizalimi, dianiyai. (dibolehkan menceritakan siapa yang menzaliminya)

2. Untuk meminta pertolongan orang lain supaya menegur, mencegah saudaranya yang sedang melakukan kemungkaran. (tidak mengapa diceritakan keadaan saudaranya itu)

3. Untuk meminta, bertanyakan persoalan berkaitan hukum2 Agama. (contoh: seorang Hamba bertanyakan sesuatu mengenai hukum, lalu diceritakannya jika si A atau si B ini melakukan perkara demikian apa hukumnya)

4. Untuk memberi peringatan pada kaum Muslimin tentang kejahatannya. (contoh: jangan berjalan, berkawan dengannya, kerana dia seorang penipu, pencuri, penjenayah dan sebagainya)

5. Untuk menerangkan keadaan seseorang yang ingin dinikahinya. (kesempurnaan anggotanya, pekerjaannya dan segala perkara yang menjadi kewajipan diketahui kedua pihak)

6. Jika seseorang yang amat jelas, terang2 dengan sifat kefasikannya.

Akhirnya mudah-mudahan kita semua terselamat dari segala bentuk perkara yang dilarang oleh Allah swt dan berusaha mencegahnya, mahupun pada diri kita dan sahabat-sahabat kita.