Khamis, 19 Januari 2017

Soal Rezeki, Jom Baca.

1) Kisah Pertama (Runsing):

Dikisahkan, Ibrahim bin Adham menemui seorang lelaki yang kerunsingan. Beliau pun bertanya kepadanya: “Wahai saudara, aku mahu bertanya kamu tiga soalan, mohon kamu jawab dengan jujur.”

“Baiklah.” Jawab lelaki tersebut.

“Adakah pernah berlaku sesuatu di alam ini tanpa kehendak Allah?

“Tidak!”

“Adakah akan berlaku rezeki yang ditakdirkan berkurang walau sedikitpun.”

“Tidak.”

“Adakah akan berkurang walaupun sesaat ajalmu yang telah ditakdirkan?”

“Tidak!”

Nah, tentang apa lagi yang kamu hendak runsingkan?”

Pengajaran: Kita mungkin sibuk merunsingkan perkara yang belum pasti sehinggakan melupakan perkara yang pasti.

2) Kisah Kedua (Dua Harta):

Abu Hazim al-Zahid ditanya: “Apa hartamu?”

“Hartaku ada dua, dengannya aku tidak bimbang jatuh fakir;

1- Percaya dengan Allah
2- Dan putus asa untuk berharap dengan apa di tangan manusia.”

“Kamu tidak takutkah jatuh fakir?”

“Bagaimana mungkin aku takut fakir sedangkan tuanku si pemilik segala yang ada di langit dan bumi.”

[Jami‘ al-Ulum wa al-Hikam karya Ibn Rajab].

3) Kisah Ketiga (Rupa-Rupanya Ini Sahaja Harta Kita):

1. Apa-apa yang kita makan sampai habis.
2. Apa-apa yang kita guna sampai rosak.
3. Apa-apa yang kita dermakan.

Nabi shallallahua'laihi wasallam bersabda: “Anak Adam berkata: 'Hartaku, hartaku!' Sedangkan bukanlah hartamu melainkan apa-apa yang kamu makan sampai habis, apa-apa yang kamu pakai sampai lusuh, atau apa-apa yang kamu dermakan lalu biarkannya.” (Hadith Riwayat Muslim).

20 Januari 2017.
Jumaat, 1.15 am. Ipoh, Perak.


Rabu, 18 Januari 2017

Kalau orang mengumpat aku, aku yang dapat pahala.

Penting! Satu kisah yang baik untuk dijadikan panduan dan pengajaran. Kata kebiasaan kita: “Biarlah aku nak buat apapun, kalau orang mengumpat aku, aku yang dapat pahala.”

Mari kita baca kisah dibawah ini sekejap.

Kisah Ibrahim al-Nakha’ie Bersama Anak Muridnya:

• Diriwayatkan bahawa Ibrahim al-Nakha’ie adalah seorang yang buta dan anak muridnya, Sulaiman bin Mehran al-A’masy pula seorang yang rabun. Satu hari keduanya berjalan bersama-sama menuju ke masjid. Kata Ibrahim: “Sulaiman, apa kata kamu ikut jalan yang lain manakala aku pula ikut jalan yang lain kerana aku takut nanti orang ramai melihat kita lalu berkata si buta dipimpin si rabun lalu mereka mengumpat kita dan mendapat dosa”. Kata Sulaiman: “Wahai guruku, apa salahnya kita akan mendapat ganjaran pahala dan mereka (yang mengumpat) berdosa”. Jawab Ibrahim: “Tidak, kita selamat dan mereka juga selamat itu lebih baik dari kita diberi ganjaran pahala sedangkan mereka mendapat dosa”. [Lihat al-Muntazom fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam karya Ibn al-Jawzi, 7/22]

• Lihatlah akhlak yang telah ditonjolkan oleh Ibrahim al-Nakha’ie yang mana beliau bertanggungjawab ke atas perbuatannya. Boleh saja mereka berdua berjalan bersama untuk pergi ke masjid. Namun, apabila memikirkan mulut dan hati manusia lain yang tidak boleh di kawal dari mengumpat dan mencaci, maka mereka menggunakan jalan yang lain agar jauh dari manusia yang lain. Mungkin kita lebih suka untuk mendapat pahala hasil daripada umpatan orang lain sedangkan tanpa kita sedari perbuatan kita itu sendiri yang telah mengundang cacian dan umpatan. Ini tidak disukai oleh Ibrahim al-Nakha’ie dan baginya jika kedua-duanya terselamat adalah lebih baik.

• Begitulah realiti pada masa kini. Janganlah kita cuba untuk menempah fitnah dengan perbuatan kita yang pada asalnya tidak bermasalah namun, jika tidak kena cara dan tempatnya boleh mengundang fitnah. Mentaliti seseorang yang mengatakan, “Biarlah aku nak buat apapun. Kalau orang mengumpat aku, aku yang dapat pahala” sangat tidak selari dengan prinsip dan akhlak Islami yang mana suka akan ditutupnya pintu-pintu fitnah dari tersebar luas. - Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

19 Januari 2017.
Khamis, 7.30 am. Ipoh, Perak.