Khamis, 18 Jun 2015

Ramadhan 1436 H.


Segala puji bagi Allah, Ramadhan datang lagi tahun ini dengan umur kita masih diberi kesempatan, syukur kerana punya peluang menambah kebaikan dan menyesali keburukan kerana kelak ada hamba menyesali kerana tidak menambah kebaikan dan menjauhi keburukan. Ada insan baru beberapa hari meninggal dunia, ada insan sakit, ada insan dilanda berbagai musibah saat ini. Alhamdulillah, kita diberi nikmat dengan nikmat-nikmat yang mampu untuk kita gunakan merebut peluang kebaikan Ramadhan ini.

Ramadhan itu Harapan Baru

Mari kita mulakan kembali hidup kita dengan fitrah yang asal bersih ini dengan proses Permulaan Ramadhan ini. Mari kita bentuk kembali untuk bangun berusaha lagi menjadi hamba yang benar-benar bertaqwa dengan Permulaan Ramadhan ini. Jadikan Ramadhan ini harapan baru. Suntikan untuk perubahan baru. Ramadhan menjadi peluang dan permulaan segalanya. Ramadhan peluang mendidik, memperbaharui dan memperbaiki iman, taubat, solat, sedekah, quran, zikir, qiam, menjaga mulut, mengawal pandangan, bersabar, bersyukur, ikhlas, mengawal segala cegahan dan larangan Allah dan meraih kembali tuntutan dan saranan dari Allah.

Harapan Puasa kita

Marilah, kita berpuasa dengan penuh Iman dan Pengharapan pada Allah agar diampun dosa kita. Marilah, kita menjaga mulut, pandangan, pendengaran dan tingkah laku agar tidak sia-sia puasa kita. Marilah, kita memohon ampun kepada Allah agar diampun dosa-dosa kita yang banyak. Marilah, kita menggandakan ibadat dan menghayatinya agar berjaya mengnatijahkan sifat Taqwa. Marilah, kita menjaga ketetapan hukum-hukum puasa dengan sunnah dari Nabi-Nya agar diterima amalan kita. Marilah, kita berusaha apa yang termampu bagi diri dan mengajak siapa yang dekat, hampir dan yang keseterusnya agar terlaksana tanggungjawab dakwah kita. Marilah, kita melatih diri dengan segala keharusan dan kewajipan Agama dalam Ramadhan ini agar ia berjaya diteruskan. Marilah, kita berdoa memohon sebanyak-banyak kebaikan agar diberkati dan mendapat kebaikan kehidupan dunia dan akhirat nanti.

Harapan Kesan Puasa kita

Kita mengharapkan agar segala kebaikan solat berjemaah, membaca al-quran, zikir, qiam dan sedekah dapat berjaya diteruskan dan ada kesannya selepas Ramadhan. Kita mengharapkan agar segala kebaikan menjaga mulut, pandangan, pendengaran dan tingkah laku dapat berjaya diteruskan dan ada kesannya selepas Ramadhan. Kita mengharapkan kebaikan sabar, syukur, bertolong-menolong dan pembersihan jiwa ini dapat berjaya dipelihara dan punyai kesan selepas Ramadhan nanti.

Dengan puasa, kita jadi lebih sabar, lebih syukur, lebih sihat, lebih taat dan lebih kebaikan diraih tanpa sedar dari hebatnya hikmah Puasa itu.

Selamat menjalani Ibadah Puasa. Mudahan sama-sama kita berusaha dan saling sentiasa mengingatkan. تقبل الله منا ومنك

18/6/15. Ipoh.

Isnin, 2 Mac 2015

Mengutamakan Yang Wajib.

* Bermula dengan fokus semula yang wajib dahulu mengatasi yang lain. Pasti selesai dan diberi kemudahan urusan yang lain. 

* Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh, dia berkata Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ قَالَ: مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لأُعِيذَنَّهُ وَمَا تَرَدَّدْتُ عَنْ شَيْءٍ أَنَا فَاعِلُهُ تَرَدُّدِي عَنْ نَفْسِ الْمُؤْمِنِ يَكْرَهُ الْمَوْتَ وَأَنَا أَكْرَهُ مَسَاءَتَهُ 

* Maksudnya: Sesungguhnya Allah Ta’aala berfirman: Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, sungguh Aku telah mengizinkan agar dia diperangi. Tidak ada amal yang paling Aku senangi yang dipergunakan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain ibadah yang telah Aku fardukan kepadanya. Hamba-Ku yang senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah sunat (nawafil), pasti Aku mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar; Aku menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat; Aku menjadi tangannya yang dengannya dia membuat (sesuatu); Aku menjadi kakinya yang dengannya dia berjalan; jika dia memohon kepada-Ku pasti akan Ku beri; jika dia memohon perlindungan daripada Ku pasti akan Ku lindungi dia. Aku tidak pernah bimbang dalam melakukan sesuatu sebagaimana kebimbangan Ku ketika hendak mencabut nyawa seorang mukmin yang tidak menyukai sakitnya sakratul maut, sementara Aku pun tidak ingin menyakitinya. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Riqaaq, no:6502)


* Ingin saya kaitkan, begitu juga dengan soal dalam sesuatu amanah dan tanggungjwab yang 
diberikan kepada kita. Bermula segala masalah adalah perlu bagi kita untuk menyemak dan memuhasabah tuntutan yang telah diwajibkan sebenarnya kepada kita dahulu dan janganlah berlumba meraih dan mengejar kepentingan keinginan lain yang walau ia baik dan lalu kita terpedaya dengan tipudaya iblis menyangka apa salahnya yang baik, maka timbullah segala bermacam masalah yang kita sendiri terfikir dimana silapnya lagi dan bagaimana ia boleh timbul. Sedang puncanya adalah kerana kewajipan yang utama kita tiada kejujuran dengan Allah dan hak manusia. 

* Hakikatnya hidup kita ini sebenarnya senang untuk memilih jalan yang tenang dengan sekadar keperluan dan demi keperluan seterusnya lagi, namun bukan keinginan nafsu yang diraikan dan terus diraikan. Dan ketenanganlah yang menjadi dambaan kita juga akhirnya. Maka marilah kita bermuhasabah sebaiknya dalam tiap tindakan kita. 

* Justeru, sebenarnya kita boleh berjaya dengan sabar, tidak gopoh dek kerana ingin meraih banyak keuntungan yang pasti menyeronokkan disisi manusia. Hendaklah kita sama-sama berusaha merancang jalan kejayaan dengan berpandukan contoh yang telah dinyatakan Allah SWT melalui Rasulnya. Kita merancang dan Allah sebaik-baik Perancang dan petunjuk-Nya adalah sebaik-baik plan rancangan. Kerugian dan keuntungan adalah dari-Nya yang diberikan dengan Sifat Adilnya dari tindakan kita. Demikian itu adalah yang betul dan segala pemberian cepat atau lambat adalah dari Allah hatta walau akal kita memang masih tidak mampu meyakininya, yang penting berusaha yakin dalam mengutamakan yang wajib dahulu dari segala hasrat dan harapan yang lain. Pastikan yang wajib ditunaikan sebaiknya walau memerlukan masa dan pengorbanan yang panjang dan besar kerana dari situlah ia bermula dan ditanya juga kelak adalah yang wajib dan kemudian yang sunat. Coretan untuk kesedaran dan muhasabah bersama. لا اله الا انت سبحانك اني كنت من الظالمين


11 Jamadilawal 1436 H bersamaan 2 Mac 2015 M
Isnin, 11.30 pm. Taman Sri Tambun, Ipoh Perak.