Khamis, 16 Januari 2014

Pesan-memesan Hidup (6)


Jangan menghina orang lain atas kesalahan mereka.

Kita mungkin terlepas pandang, dengan membiarkan nafsu kita mencela seseorang muslim yang lain kerana dosa yang dilakukan olehnya. 

Sedang agama melarang hal yang demikian. Diriwayatkan bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;


لا تُظهر الشماتة لأخيك؛ فيرحمه الله ويبتليك
Janganlah kamu mencela saudaramu (atas kesalahannya) boleh jadi dia dirahmati Allah (diampunkan kesalahannya) lalu Allah menguji kamu pula (melakukan kesalahan yang sama). [Riwayat al-Tirmidzi]

Imam Al-Tirmidzi juga ada mengeluarkan hadith lain yang sama maksudnya yang menyebut bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

من عير أخاه بذنب لم يمت حتى يعمله 
Barangsiapa yang menghina saudaranya kerana dosa yang dilakukan maka dia tidaklah akan mati sehingga dia melakukannya pula.

# Hadith yang disebutkan di atas adalah didhaifkan oleh sebahagian ulama hadith. Namun pelajaran dan maksud hadithnya adalah disepakati sebagai sahih disisi agama. 

# Ada orang berbuat dosa bukanlah kerana mereka jahat, ada orang tidak membuat dosa pula bukanlah kerana mereka baik. Allah yang berhak mengadili bukan kita. - Ustaz Emran Ahmad


14 Rabiulawal 1435 H bersamaan 16 Januari 2014 M 
Khamis, 10.00 pm. Ipoh, Perak.

Isnin, 30 Disember 2013

Hormati juga Ibubapa.

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan pujian dan bersyukur kepada Allah atas nikmat dan peluang masih hidup ini, kerana peluang ini kita masih sempat berubah menjadi hamba yang baik. 

Hari ini ingin saya kongsikan sedikit kisah yang sangat menyentuh hati dan memberikan kesedaran kembali tentang kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa walau mereka ada melakukan silap. Kisahnya dikongsi dari Fb https://www.facebook.com/drazman.ibrahim.

[Tersentuh dengan doa yang dibaca seorang ustaz dalam radio sebentar tadi.

"Ya Allah.. rahmatilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka mengasihani kami sewaktu kecil dahulu. Sekiranya terdapat sebarang kekurangan mereka dalam mendidik kami dahulu, Ya Allah.. janganlah engkau hisab segala kekurangan ini dihari akhirat kelak." 

Saya teringat seorang anak yang membawa ayahnya yang telah tua ke klinik saya suatu masa. Layanan beliau terhadap ayahnya nampak sangat sambil lewa. Bila saya minta dia bawa ayahnya datang sekali lagi ke klinik untuk rawatan susulan, dengan nada marah dia menjawab. 

 "Payohlah lagu ni Dr! Kena bawak dia gi mari! Kawe banyok kerja ni!" 

Ambo tegur dengan perlahan, "walaupun banyok kerja, ayah kito kan tuu..."

"Ayah pun, dia bukan jaga ambo masa kecik dulu..."

Ada nada dendam pada tutur katanya. Silap besar perlakuan anak ini. Kalaupun benar mungkin dia telah diabaikan oleh ayahnya sewaktu kecil dulu, semua itu telah berlalu. Kalau ayahnya menangis air mata darah sekalipun menyesali apa yang telah lepas, kehidupan tak akan dapat diputarkan kembali. 

Sekarang apa yang diperolehi oleh anak ini dengan menyimpan dendam terhadap orang tuanya sendiri? Bijak pandai ada berkata, mangsa pertama kepada sifat dendam adalah diri pendendam itu sendiri. 

Amat rugi bagi sesiapa yang masih mempunyai ayah dan ibu yang telah tua, tetapi tidak mampu menjadi penyebab untuk dia mendapat syurga Allah dengan berlaku baik kepada kedua ibu-bapanya. 

Walaupun ada terkurang di sana-sini asuhan dan didikan mereka terhadap kita sebelum ini, tampunglah ia dengan sepenuh kasih sayang kita terhadap mereka disaat mereka melalui hari-hari tua] 

Moga sama-sama kita mengambil pengajaran dan saling memanjangkan lagi nasihat ini. 


27 Safar 1435 H bersamaan 31 Disember 2013 M 
Selasa, 08.45 am. Marang, Terengganu.