Ahad, 4 Jun 2017

Gembira walaupun Susah.

Seorang pemuda ini menceritakan kisah beliau bersama dengan rakannya yang sangat susah kehidupannya, namun pemuda ini melihat pada setiap hari dan rutin kehidupan rakannya itu tetap dalam keadaan tenang, ceria, gembira dan seolah serba cukup segala-galanya. Lalu ditanyakan kepada rakannya kenapa kamu tidak nampak seperti seseorang yang sedang berat diuji?

Lalu dijawab rakannya, “Kerana aku melihat ramai lagi insan lain yang lebih susah dan lebih hebat ujian dihadapi mereka, dan terdapat juga ujian berat yang sedang dilalui mereka yang aku tidak ketahui pastinya ada”. Justeru dengan memikirkan hal berikut menyebabkan aku merasa sangat bersyukur dan merasa perlu menggandakan lagi kesyukuran ini dengan apa sahaja ujian dari Tuhan. Itulah jawapan dalam rutin harian kehidupan ku yang sentiasa terdetik.

Ya, benar lah. Mari kita meyakini Sabda Nabi SAW dan Firman Allah SWT ini:
“Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.” [HR. Bukhari dan Muslim]

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu.” [Al Hujurat: 13]

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk, rupa dan harta benda kalian, tetapi Allah memperhatikan hati dan amal-amal kalian”. [HR. Muslim]

Itulah hakikat sebuah kehidupan, semoga kita beroleh pelajaran.

Sabtu, 3 Jun 2017

Belajarlah Bahasa Arab Dahulu.

⚫ Bagi saya sesiapa yang ingin mempelajari bahasa lain selepas bahasa melayu, maka jawapannya adalah mempelajari bahasa arab.

⚫ Jika sudah boleh memahami bahasa arab, barulah diharuskan untuk belajar bahasa apapun selepas itu.

⚫ Nampak memang tak kena jika bahasa inggeris, china, korea atau selainnya lagi kita sanggup belajar kerana minat atau atas faktor keuntungan dunia, namun bahasa arab kita abaikan dan tidak memaksa diri untuk mempelajarinya.

⚫ Sebabnya ialah bahasa arab sangat berkait rapat dengan kefahaman Agama kita. Kita solat, kita berdoa, kita membaca al Quran, kita mendengar bacaan al Quran, dan banyak lagi.

⚫ Justeru ia lebih perlu diutamakan dalam pengorbanan usaha bagi sesiapa yang ingin menambah bahasa ini. Nasihat ini untuk peringatan diri saya juga, saya sendiri juga masih lemah dalam bahasa arab. Jika buta bahasa inggeris kita mungkin kurang celik tentang IT, tetapi dengan memahami bahasa arab, ia akan lebih dekat membawa kita dalam mengenal serta menghayati Keindahan Islam ini.