Rabu, 26 Februari 2014

Sudah lama tidak Menulis.

 

Alhamdulillah3x, segala lafaz pujian kepada Allah kita ulang-ulangkan bagi menggambarkan rasa syukur kita dengan segala bentuk pemberian Allah yang sentiasa tidak terhitung ini. 

Sudah sangat lama sudah tidak menulis rasanya. Masa terus berlalu pantas, moga ia terus sama-sama kita gunakan mencari bekalan kebaikan diakhirat sana. Tiada apa penting ingin dicoretkan disini, cuma ingin mengimbau kembali saat niat bermulanya penulisan diblog ini dengan beberapa perkongsian. 

Alhamdulillah, secara kesimpulan asas yang utamanya. Tujuan setiap saya menulis artikel diblog ini ialah sebagai teguran, peringatan, kesedaran dan motivasi untuk diri saya sendiri. Tiap saat perkara yang terjadi, saya ulaskan seolah bercakap dengan diri sendiri tentang kesilapan-kesilapan yang telah terjadi. Dengan mengaitkan panduan dari Al-Quran dan Hadis. Apa yang Allah swt dan Rasul-Nya perintahkan. Alhamdulillah, setakat ini perkongsian-perkongsian ini turut ramai mengambil manfaat dan mengongsikannya. 

Dengan azam permulaan artikel-artikel yang dituliskan disini ialah apabila saya rasa saya sangat susah dan payah untuk membiasakan diri pergi bercakap dihadapan orang ramai. Perkara yang sangat berat dan paling besar rintangan dalam hidup saya untuk memberanikan diri. Demikian blog ini dibuat dan diisi dengan tazkirah-tazkirah yang saya ibarat digantikan dengan cara penulisan. Setiap kali menulis, saya ibaratkan orang dan masyarakat yang saya ingin sampaikan tazkirah ini berada dihadapan saya. 

Saya bukanlah orang yang banyak bergaul dan dikenali ramai, disaat saya mula menulis dan terus menulis diblog ini. Apa yang saya harap-harapkan biarlah walau seorang sudah cukup bagi saya untuk merasa hasil kejayaan tiap tulisan yang dicoretkan ini. Hanya dengan ini saya mampu buat. Biarlah walau seorang membuka dan mebacanya, mudahan dengan dari seorang ini, dia yang menjadikan beribu-ribu lagi orang lain membaca darinya. Nabi sebut dalam hadis yang sahih tentang besar pahala orang tengah yang menyampaikan kebaikan, Nabi sebut lagi dalam hadis yang lain tiap orang yang mengikut, kita akan turut dapat pahalanya. 

Apa yang terjadi pada diri, saya akan coretkan untuk semua agar dapat mengambil pengajaran dan terutama buat diri sendiri. Apa yang mengembirakan bilamana ada kenalan-kenalan yang menghantar mesej mengucapkan terima kasih atas artikel dan sebagainya lagi. Kehidupan ini sebenarnya sudah cukup ada seseorang yang memberi kata semangat dan pujian. 

Hari ini masa saya tidak seperti dulu lagi, dulu saya menyibukkan diri untuk menulis walau tak pandai menulis. Hari ini andai ada dijual masa, ingin rasa untuk membelinya. Keadaan perubahan yang tak dijangka dan pernah terlintas, namun ia pernah dilafazkan dengan kekerapan doa dan niat dalam hati. Alhamdulillah, syukur pada Allah atas segala-galanya ini. Banyak perkongsian-perkogsian pendek boleh dibaca di fb saya. Terima kasih kerana sudi membaca dan menyebarkannya lagi. Dialukan bertanya apa-apa dan menegur segala kesilapan didalam blog ini. 


25 Rabiulakhir 1435 H bersamaan 26 Februari 2014 M 
Rabu, 11.30 pm. Ipoh, Perak.

Khamis, 16 Januari 2014

Pesan-memesan Hidup (6)


Jangan menghina orang lain atas kesalahan mereka.

Kita mungkin terlepas pandang, dengan membiarkan nafsu kita mencela seseorang muslim yang lain kerana dosa yang dilakukan olehnya. 

Sedang agama melarang hal yang demikian. Diriwayatkan bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;


لا تُظهر الشماتة لأخيك؛ فيرحمه الله ويبتليك
Janganlah kamu mencela saudaramu (atas kesalahannya) boleh jadi dia dirahmati Allah (diampunkan kesalahannya) lalu Allah menguji kamu pula (melakukan kesalahan yang sama). [Riwayat al-Tirmidzi]

Imam Al-Tirmidzi juga ada mengeluarkan hadith lain yang sama maksudnya yang menyebut bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

من عير أخاه بذنب لم يمت حتى يعمله 
Barangsiapa yang menghina saudaranya kerana dosa yang dilakukan maka dia tidaklah akan mati sehingga dia melakukannya pula.

# Hadith yang disebutkan di atas adalah didhaifkan oleh sebahagian ulama hadith. Namun pelajaran dan maksud hadithnya adalah disepakati sebagai sahih disisi agama. 

# Ada orang berbuat dosa bukanlah kerana mereka jahat, ada orang tidak membuat dosa pula bukanlah kerana mereka baik. Allah yang berhak mengadili bukan kita. - Ustaz Emran Ahmad


14 Rabiulawal 1435 H bersamaan 16 Januari 2014 M 
Khamis, 10.00 pm. Ipoh, Perak.