Rabu, 12 Oktober 2011

Meraih pandangan, nilaian Allah.

“Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan Ketakwaan” (Hr Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani)

“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling Bertaqwa di antara kamu” (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq)




Marilah cari, raih pandangan Allah. Allah itu yang sentiasa sedang memandang, memerhati kita. Dan kelak kita pasti dipanggil pulang mengadap Allah swt.


Teman...
Allah swt tak pandang dan nilai pada rupa, pada harta, kedudukan, pangkat, keturunan, gelaran, kelebihan dan apa-apapun lagi penilaian yang dinilai oleh manusia. Perbezaan ini hanya pada pandangan manusia.


Sebaliknya Allah pandang dan nilai pada tahap iman, taqwa, amal, ikhlas dan sabar seseorang. Justeru itu tak perlulah untuk kita cari nilaian dari manusia, berebut dan sentiasa sibuk berlumba meraihnya. Tak perlu rasa ada beza bila melihat yang kaya, cantik, punya pangkat, gelaran, kelebihan. Sebab hakikatnya kita semua sama sahaja disisi Allah, hanya iman, taqwa, amal yang beza sebenarnya. Dan itulah yang mampu menjamin kebahagian hidup dimasa akhirat nanti. Dan ingatlah segalanya adalah ujian yang Allah aturkan. Dan ingatlah hari dibangkitkan kelak, nilaian-nilaian itu tiada lagi faedahnya. Beruntunglah orang yang memahami dan sentiasa mengingati hakikat ini. Firman Allah swt dan Sabda Nabi saw:


Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali. (Al-Hujuraat 13)

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada zahir kamu, dan tidak pada rupa kamu, akan tetapi melihat hati, dalaman, keikhlasan kamu. (Hr Muslim)




Teman...
kita adalah umat yang terakhir. Telah berlalu sebelum kita umat-umat yang lain. Semenjak dari Nabi Adam as hinggalah sekarang, mereka semua telah pun dimatikan. Di dalam al-Quran, Hadis, Kitab-Kitab telah diceritakan bagaimana kisah-kisah hidup, penghuni-penghuni dunia dahulu. Ada yang taat dan laksana perintah Rasul mereka dan ada yang derhaka, sombong, lawan Rasul mereka. Mereka meminda peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan mereka sekat, halang dari tersebarnya seruan Allah, Islam dari Rasul dikalangan mereka.


Diceritakan tentang golongan yang derhaka, telah ditimpakan bala. Kemusnahan, kecelakaan dimasa hidup dan diceritakan pula tentang penyesalan mereka tatkala melihat dasyatnya azab neraka. Diceritakan pula tentang golongan yang taat, yang walau penuh ujian yang dasyat dilalui. Dikurniakan kekuatan, kesabaran. Nikmat, ketenangan dimasa hidup dan berita gembira yang besar tentang ganjaran syurga.




Kita yang masih hidup, marilah mengambil pengajaran. Segalanya sudah cukup menjadi dan memberi kesedaran, peringatan pada kita. Lihat perangai-perangai manusia yang ingkar dan berdosa dahulu, apa hasilnya. Firman Allah swt:


Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin". (As-Sajdah 12)

Katakanlah (wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu. (An-Naml 69)


Kaum Nabi Nuh as telah tenggelam di bawah air banjir yang mengerikan. Kaum Nabi Lut as telah dihapuskan dari muka bumi dengan gempa bumi. Firaun dan tenteranya telah dibinasakan di laut. Kaum Ad telah ditimbus oleh ribut pasir yang begitu dasyat dan terdapat banyak lagi kisah pengajaran umat terdahulu.




Teman...
Rahmat Allah amat terlalu besar. Pintu taubat seluasnya dibuka. Dibaca kisah-kisah dahulu, ada manusia yang derhaka, banyak dan amat besar dosanya, tapi bila mereka sedar, mereka bertaubat, berubah. Allah swt telah ampun dosa-dosanya. Syurga telah dijanjikannya. Islam membuka dan memberi ruang seluas-luasnya untuk kembali Insaf, bertaubat dan dilarang dari berputus asa. Taubat yang disusuri pula syarat-syaratnya. Janganlah ada dikalangan kita yang tahu dia buat dosa, tahu dia buat banyak dan besar dosa, tapi tak nak insaf. Bahkan sombong, rasa suka dengan perbuatannya itu, menyebar-nyebarkannya pula. Tidak ingin berusaha meninggalkannya. Merasa sudah selamat dan dapat juga hidup, merasa bebas dari balasan Allah swt.


Kadang memang sebenarnya peringatan itu telah jelas diketahui olehnya. Hikmah larangan telah jelas kebaikannya. Tapi dia tetap degil, tak nak juga balik pada cara Islam. Sifat ego, sombong telah menyeliputi dirinya. Inilah yang disebutkan acap dalam al-Quran, iaitu mereka yang menzalimi diri sendiri, sebab sudah diketahui segalanya, dia tahu benar hari Akhirat, Azab, Nikmat kelak, dia tahu akan balasan, tapi dibuat juga. Masih tak nak berubah, meninggalkannya. Sabda Nabi saw dalam Hadis Qudsi dan Firman Allah swt:


Tuhan kita yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, akan Aku perkenankan untuknya, Sesiapa yang meminta kepada-Ku, akan Aku berikannya. Sesiapa yang memohon keampunan kepada-Ku, akan Aku ampunkannya. (Hr Bukhari)

Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului murka-Ku. (Hr Muslim)

Setiap umatku diberikan Keampunan kecuali orang-orang yang menzahirkan (dosanya). (Hr al-Bukhari dan Muslim)

Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman dan beramal saleh, kemudian tetap di jalan yang benar. (Taha 82)

Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah swt berfirman: Hambaku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya -. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hambaku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya -. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hambaku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hambaku ini, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. (Hr Bukhari dan Muslim)


“Dari hadis di atas menggambarkan, selagi seseorang hamba Allah menyesal dan insaf, sekalipun telah berulang dosa, Allah Yang Maha Pengampun tetap mengampuninya. Namun, hendaklah kita berhati-hati kerana waktu kematian tidak pasti. Orang yang bertaubat dan berjaya mengawal dirinya tentulah lebih baik dari yang gagal mengawal diri. Tidak mustahil ketika dia gagal mengawal diri itu, kematian menjemputnya pergi - Drmaza”


“Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)! Tetapkan kami atas agama-Mu. Akhirkanlah hidup kami dalam keadaan yang baik, mentaati-Mu. Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan didunia dan kebaikan diakhirat dan peliharalah kami dari azab neraka”


14 Zulkaedah 1432 H bersamaan 12 Oktober 2011 M
Rabu, 2.45 pm. Terengganu, Malaysia.


Diedit semula
16 Jamadilakhir 1433 H bersamaan 08 Mei 2012 M
Selasa, 04.50 pm. Sana’a, Yaman.

Sabtu, 8 Oktober 2011

Urusan Agama, benarkan pada Sumber yang Sahih.

Sesuatu urusan Agama, yang nak dibicara, ditulis, disyerkannya, amatlah perlu diteliti sebaiknya. Hadis-Hadis yang diletak, dilihat sumber keSahihannya. Apa-apa Ulasan, Status-Status Fb, Twitter, letaklah sumbernya dari mana.. dari Ustaz mana? dari Buku mana?


Soal-Soal Agama, bukan semudahnya, sewenangnya boleh diperkatakan. Ia bukan untuk dijadikan bahan perhatian, tarikan & sebagainya, kerana bila kita menyampaikan, bercakap soal Agama, bermakna kita mewakili Allah & Rasul kita untuk menyampaikan.




Demikian itu, marilah Kita menitik beratkannya. (Dosa, Pahala, Halal, Wajib, Haram, Azab, Celaka, Bahagia, Selamat, Syurga, Neraka) dan apa-apa lagi yang lain tentang urusan Agama yang nak dibicara, disyerkan, lihatlah atau carilah Sumber keSahihannya terlebih dahulu. Jangan kita semudahnya menyandarkan pada Agama, kita kata Agama mengajar ini dan itu tanpa kita Mengetahuinya.


Andaikan jika semua diberi Lesen berkongsi tanpa dibaca, diteliti, diihat dahulu Sumber-Sumbernya, Dalil-Dalilnya. Maka perkara Agama dilihat cukup mengaibkan dan bimbang, pasti akan banyak lagi keCelaruannya pada manusia lain, dan bimbang lagi termasuk dalam golongan yang berbuat Dusta atas Allah swt, Nabi saw. Agama ini dibina atas Dalil. Kata Abdullah ibn Mas’ud ra:


يا أيها الناس من سئل عن علم يعلمه فليقل به ومن لم يكن عنده علم فليقل الله أعلم فإن من العلم أن يقول لما لا يعلم الله أعلم

Wahai Manusia, sesiapa yang mengetahui Sesuatu hendaklah dia Mengatakannya, dan sesiapa yang tidak Mengetahui hendaklah dia Mengatakan, “ Allahu A’ lam (Allah lebih Mengetahui)”. Kerana termasuk sebahagian dari Ilmu adalah Mengatakan “ Allahu A’ lam” bagi Sesuatu yang tidak diKetahuinya. (Hr Bukhari)


Firman Allah swt:


فَاسْأَلوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ

Maka bertanyalah kepada Orang yang mempunyai Pengetahuan, jika kamu tidak Mengetahui. (An-Nahl 43)

وَلا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لا يُفْلِحُون

Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara Dusta " ini Halal dan ini Haram ", untuk mengada-ngadakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya Orang-Orang yang mengada-ngadakan kebohongan terhadap Allah tiadalah Beruntung. (An-Nahl 116)

(9.10.2011, Ahad. 7.45 am)