Jumaat, 30 Disember 2016

Nikmat Anak.


Alhamdulillah cukup setahun anakandaku semalam Ahmad Fauzan ketika adiknya Nur Haura' baru berusia 25 hari. Cukup Ayah mendoakan kebaikan buatmu setiap masa dan mencurahkan kasih sayang semampu mungkin sehingga waktu ini. Semoga membesar dalam keadaan sihat serta menjadi hamba/khalifah Allah yang berjaya dan mampu menjadi pemimpin serta ikutan dalam ketaatan kepada Agama.

Hingga hari ini sebenarnya masih belum percaya telah dikurniakan anak dan bergelar sebagai ayah. Begitu juga sebagai suami. Dengan keadaan persediaan ilmu, kewangan dan soal tanggungjawab, pengalaman dan pengurusan diri masih lemah. Demikian kesimpulan ringkasnya hidup ini selepas melalui tempoh-tempoh ini jawapannya adalah perlu berani hadapi dan tempuhinya. Perlu berani menerjah dan melanggar tembok-tembok kurang keyakinan dan kebimbangan dalam bermacam perkara, disamping sentiasa berusaha kadar yang termampu, berdoa dan berserah kepada Allah, dan yang penting niat serta tujuan kerana Allah.

Sekaligus menunaikan tanggungjawab yang besar dalam Agama, dan terutama memelihara diri dari maksiat.

Mengenang kembali saat dikurniakan anak sehingga proses demi proses penjagaannya, ia bukanlah hanya keseronokan dan kegembiraan paling besar seolahnya, namun disebaliknya mesti ada ilmu yang membawa kepada dorongan agar kuat untuk berkorban dalam memastikan amanah kurniaan anak ini dijaga sebaiknya. Iaitu cabaran hidup berkeluarga, mencari sumber rezeki, dan menitikberatkan didikan Agama.

Ia hadir sebagai ujian dan juga nikmat. Kadang menjadi tekanan, kadang menjadi penyejuk hati. Apa yang kita harapkan semua, semoga menjadi penyejuk hati ibubapa dan menjadi sumber pahala ibubapa ketika tiada kelak. Namun semuanya itu perlu kembali kepada peringatan serta nasihat Allah dan Rasul agar benar kurniaan anak ini bukan sekadar menjadi pelengkap kebahagian hidup didunia, tapi juga sebagai penyumbang manfaat manusia lain didunia ini dan yang lebih besar buat ibubapa selepas mati kelak.

Cara orang beriman mendidik anak mestilah berbeza dengan cara mereka yang lalai.

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
Ya Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak dari kalangan orang-orang yang soleh
(Ash Shaffat: 100)

رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ
Ya Tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan 
(Al Imran: 38)

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa
 (Al Furqan: 74)


30 Disember 2016.
Jumaat, 04.00 pm. Ipoh, Perak.