Khamis, 18 Jun 2015

Ramadhan 1436 H.


Segala puji bagi Allah, Ramadhan datang lagi tahun ini dengan umur kita masih diberi kesempatan, syukur kerana punya peluang menambah kebaikan dan menyesali keburukan kerana kelak ada hamba menyesali kerana tidak menambah kebaikan dan menjauhi keburukan. Ada insan baru beberapa hari meninggal dunia, ada insan sakit, ada insan dilanda berbagai musibah saat ini. Alhamdulillah, kita diberi nikmat dengan nikmat-nikmat yang mampu untuk kita gunakan merebut peluang kebaikan Ramadhan ini.

Ramadhan itu Harapan Baru

Mari kita mulakan kembali hidup kita dengan fitrah yang asal bersih ini dengan proses Permulaan Ramadhan ini. Mari kita bentuk kembali untuk bangun berusaha lagi menjadi hamba yang benar-benar bertaqwa dengan Permulaan Ramadhan ini. Jadikan Ramadhan ini harapan baru. Suntikan untuk perubahan baru. Ramadhan menjadi peluang dan permulaan segalanya. Ramadhan peluang mendidik, memperbaharui dan memperbaiki iman, taubat, solat, sedekah, quran, zikir, qiam, menjaga mulut, mengawal pandangan, bersabar, bersyukur, ikhlas, mengawal segala cegahan dan larangan Allah dan meraih kembali tuntutan dan saranan dari Allah.

Harapan Puasa kita

Marilah, kita berpuasa dengan penuh Iman dan Pengharapan pada Allah agar diampun dosa kita. Marilah, kita menjaga mulut, pandangan, pendengaran dan tingkah laku agar tidak sia-sia puasa kita. Marilah, kita memohon ampun kepada Allah agar diampun dosa-dosa kita yang banyak. Marilah, kita menggandakan ibadat dan menghayatinya agar berjaya mengnatijahkan sifat Taqwa. Marilah, kita menjaga ketetapan hukum-hukum puasa dengan sunnah dari Nabi-Nya agar diterima amalan kita. Marilah, kita berusaha apa yang termampu bagi diri dan mengajak siapa yang dekat, hampir dan yang keseterusnya agar terlaksana tanggungjawab dakwah kita. Marilah, kita melatih diri dengan segala keharusan dan kewajipan Agama dalam Ramadhan ini agar ia berjaya diteruskan. Marilah, kita berdoa memohon sebanyak-banyak kebaikan agar diberkati dan mendapat kebaikan kehidupan dunia dan akhirat nanti.

Harapan Kesan Puasa kita

Kita mengharapkan agar segala kebaikan solat berjemaah, membaca al-quran, zikir, qiam dan sedekah dapat berjaya diteruskan dan ada kesannya selepas Ramadhan. Kita mengharapkan agar segala kebaikan menjaga mulut, pandangan, pendengaran dan tingkah laku dapat berjaya diteruskan dan ada kesannya selepas Ramadhan. Kita mengharapkan kebaikan sabar, syukur, bertolong-menolong dan pembersihan jiwa ini dapat berjaya dipelihara dan punyai kesan selepas Ramadhan nanti.

Dengan puasa, kita jadi lebih sabar, lebih syukur, lebih sihat, lebih taat dan lebih kebaikan diraih tanpa sedar dari hebatnya hikmah Puasa itu.

Selamat menjalani Ibadah Puasa. Mudahan sama-sama kita berusaha dan saling sentiasa mengingatkan. تقبل الله منا ومنك

18/6/15. Ipoh.