Rabu, 23 Disember 2015

Pesan-memesan Hidup (10)

Beza ilmu, persediaan yang dibuat dan kesanggupan untuk berkorban. 

Setiap perjalanan waktu hidup kita semua pasti sama berlalu tempoh demi tempohnya, cuma hanya ada yang awal laluinya dan ada yang lewat laluinya. Ada yang awal memasuki alam perkahwinan dan ada yang lewat, ada yang cepat punya anak dan ada yang kemudian, ada yang senang mendapat kerja dan ada yang susah, begitulah hal lain lagi dalam semua urusan perjalanan kehidupan kita. Namun apa perbezaan kebaikan dan keuntungan untuk kebaikan dunia dan akhirat kita ialah apabila seseorang itu mempunyai ilmu, membuat persediaan awal dan sanggup berkorban hadapi ujian dan cabaran. Contoh terdidiknya anak seseorang itu lain dengan cara kita apabila kita punya ilmu, persediaan sebaiknya dan sanggup berkorban hadapi ujian hasil pengetahuan yang kita ambil tahu dahulu dan usaha untuk kearah yang lebih baik dan cemerlang dalam meraih kebaikan dunia dan akhirat. Justeru untuk hasil yang lebih baik, tambah ilmu dengan pembelajaran, pembacaan, pengajaran hidup sekeliling, buang ego dan buat persediaan sebaiknya untuk kita menunjukkan contoh yang paling terbaik dan untuk kita membuktikan yang baik itu sebenarnya mampu dilaksanakan. Dan barulah kita punya bukti, pengaruh dan tauladan yang tepat yang sebenarnya untuk insan lain. Dan yang sudah kedepan melaluinya hendaklah dibuang ego dan kita saling merebut untuk perbaiki mencari yang terbaik lagi kearah menyahut perintah Allah swt. 

Dakwah tanpa celaan, yang buruk tetap dibalas buruk. 

Hari ini ramai sebahagian besar termasuk para pelajar agama suka menggunakan uslub dakwah dengan celaan, apatah lagi yang jahil, katanya islam juga mengajar kita tegas dan keras, namun kita lupa keras dan tegas islam padahal bukan seperti kita. Ada yang mengganggap kerana benarnya manhaj atau kumpulan mereka, maka apa sahaja sebarang celaan adalah baik dan beroleh pahala. Katanya juga islam bukan sekadar berlemah lembut namun juga tegas, namun kita lupa hingga kita sukar berlemah lembut. Kita juga kadang hingga membenci batang tubuh dan tidakkah keburukan yang patut dibenci, tiada suka dan benci kerana Allah. Kita juga katanya dalam nada lain mesej yang berbentuk kekerasan itu tujuannya adalah agar supaya sedar dan insaf, namun kerap mesej kita apabila diuji seolah jauh perbezaan dari maksud yang diajak agar insaf tersebut. Dakwah kita dakwah atau dendam dan dengki. Jika musuh sakit kerana kita melakukan kebaikan dan kepada Allah, maka kita hanya sakit adalah apabila yang dikatakan musuh itu berkait dengan melakukan keburukan dan ajak kepada dosa dengan tanpa kita melakukan dosa juga. Elakkan mengambil masa dan melayan dengan sindirian dan labelan yang sama kita seperti mereka. Andai sekiranya pilihan celaan kita mahukan, sebenarnya jauh untuk menarik orang untuk berubah, bahkan menguji diri kita juga suatu hari nanti dengan sebab bentuk celaan dan sindiran yang kita katakan pada orang lain walau untuk berdakwah, kerana agama tidak mengajar caranya sebegitu dan juga memberi ancaman. Cara kita yang salah tetap dibalas. Kita kata nak dakwah tapi cara buruk tetap dibalas buruk. Akhirnya jangan lupa doa dan balas keburukan dengan kebaikan, ingat cari keikhlasan dan kumpul bekalan untuk kematian. 

Lalui dengan ilmu dan tindakan. 

Setiap kita melalui satu tahap demi tahap dalam lumrah kehidupan, dalam sesuatu perkara yang ingin dilalui sudah pasti kita mencari panduan, peringatan, dan bermacam bantuan. Maka semua perkara hendaklah berusaha dengan pengetahuan dahulu, apatah lagi dizaman yang serba senang dan lengkap untuk dicari, hanya sekadar berkorban masa dan memaksa diri membaca. Contoh seperti seorang yang ingin berkahwin, buatlah persediaan dengan bersungguh mencari buku panduan agama akan apa yang patut dan perlu dibuat bermula dari a sehingga z, atau bertanya dan menghadiri kuliah dan seminar khas, lalu barulah kita lalui dengan penuh ilmu dan keyakinan, bukan sekadar hanyut, khayal dan gopoh dengan keseronokan perkahwinan sahaja. Begitu juga contoh waktu tiba menunggu cahaya mata pertama, buatlah persediaan seperti perkahwinan juga, dan juga segala sudut hal dalam hidup kita. Agama telah mengajar dan menjelaskan segalanya. Untuk kebaikan dunia dan akhirat. Usah hanya soal persediaan dunia kita ambil tahu, dalam masa yang sama apa tuntutan dan sunnah agama kita lupa dan tidak tahu.


23 Disember 2015.
Rabu, 5.00 pm. Ipoh, Perak.

Sabtu, 3 Oktober 2015

Kempen 3S.

 

Pernahkah dengar kempen 3S (Senyum, Sapa, Salam)? 

Dalam Hadis Nabi Shallallahu‘alaihi Wasallam telah lama mengingatkan dan menjelaskan kepada kita; 

• Menebarkan Salam | “Tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan sesuatu yang jika dilakukan akan membuat kalian saling mencintai? Sebarkan salam diantara kalian”. (HR Muslim no54) 

 Bersalaman Ketika Bertemu | “Jika seorang mukmin bertemu dengan mukmin yang lain, ia memberi salam padanya, lalu meraih tangannya untuk bersalaman, maka berguguranlah dosa-dosanya sebagaimana gugurnya daun dari pohon”. (HR Ath-Thabrani dalam Al-Ausath, dishahihkan Al-Albani dalam Silsilah Ash-Shahihah 2/59) 

 Memperbanyak Senyum | “Senyummu terhadap wajah saudaramu adalah sedekah”. (HR Tirmidzi, ia berkata: “Hasan gharib”. Dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahih At-Targhib) 

Indah dan Lengkapnya Islam. 

3/10/15, Ipoh.

Jumaat, 17 Julai 2015

Aidilfitri 1436 H.

Segala puji bagi Allah. Setinggi-tinggi syukur dan keseluruhannya marilah kita lafaz dan zahirkan pada Pemilik yang memberi segala nikmat ini, dengannya dihari ini kita dapat sama-sama meraikan hari kemenangan Aidilfitri. 

Ramadhan baru sahaja berlalu. 

Ramadhan baru sahaja berlalu, mari kita muhasabah seperti para salaf terdahulu berdoa mengharap apabila berakhir ramadhan agar amalan mereka diterima Allah, agar dosa mereka diampun Allah. Dan mereka sangat bimbang takut-takut amal mereka tidak diterima dan ramadhan tidak memberi kebaikan buat mereka. Justeru itu yang pertama perlu sentiasa disedari dan dimuhasabah oleh kita semua. 

Raya dan ucapan. 

Menjadi sunnah apabila dihari raya ini kita saling mengucapkan “تقبل الله منا ومنكم Taqabbalallahu minna waminkum” (Moga Allah menerima amal kami dan kamu). Justeru ia menunjukkan betapa Aidilfitri ini sangat bermakna dirai dengan kaitan hubungannya Ramadhan yang baru sahaja berlalu. Ia dirai dengan dituntut berdoa dan mengingati moga amal kita di ramadhan semalam mudahan sama-sama diterima Allah. Keseronokan aidilfitri itu terasa dengan kemanisan mengharap amal diterima. Itulah perkara utama dan seterusnya kegembiraan lain kita raikan dengan adat dan budaya yang dianjurkan dan diharuskan Agama. 

Bermaafan dan hari untuk gembira. 

Kita bermaafan, namun usah menunggu hari raya baru perlu bermaafan sedang saling memohon maaf dan memaafi sentiasa dituntut sepanjang masa. Dan juga menghubung silaturrahim, menziarahi kubur dan pulang berjumpa ibubapa. Hari ini hari untuk gembira, raikan kegembiraan ini dengan berpakaian baru bagi yang mampu, membesarkan Allah, bersyukur dengan menzahirkan nikmat yang diberi. Gembirakan diri kita dengan anugerah aidilfitri ini. 

Dosa pergaulan, pakaian, hiburan dan fitnah wanita. 

Dalam keseronokan jangan sampai terdedah aurat, bebas bersentuhan, bebas pergaulan dan semuanya yang jelas kita ketahui haram, dan hendaklah kita sedari dan muhasabah apa sebenar arti Raya kita jika kita masih tidak berusaha merubah dalam menterjemah syukur kita kepada Allah dengan Nikmat-Nya. 

Selfie dan tabarruj. 

Zaman yang berbeza sekarang bukan lagi dengan menghantar surat dan sms, namun dengan bergambar dan hanya klik post terus ke ruangan media yang sekejap meluas, bebas dan senang. Justeru pertimbangan nasihat Agama jangan sesekali kita abaikan. Wanita seboleh-bolehnya sifarkan kerana ingin menyelamatkan fitnah dirinya dan umat ini, hatta jika nak diletakkan juga cukup gambar yang sopan bersama keluarga tanpa sebarang sedikitpun unsur tabarruj dan mengundang fitnah dengan bermacam gaya dan aurat yang tidak sempurna ditutup, atau juga dengan mengedit mengkaburkan sedikit gambar tersebut. 

Syukur dengan nikmat. 

Syukur dengan apa yang ada untuk tetap bergembira dengan Aidilfitri ini, lihat yang susah dan sakit agar lebih rasa syukur dengan nikmat ini. Syukur dengan nikmat yang dihalal kembali untuk makan dan minum dengan tidak melampaui batas menjamu selera mengikut nafsu. 

Balik kampung dan memandu. 

Dalam kepulangan kita ke kampung, pastikan kediaman tempat tinggal kita selamat dan perjalanan kita selamat dengan membaca doa yang disarankan Nabi SAW apabila keluar rumah iaitu: بسم الله توكلت على الله لا حول ولا قوة إلا بالله" “Bismillahi tawakkaltu ‘alallah la haula wala quwwata illa billahil” (Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah). 

Dan pastikan pemanduan kita patuh pada etika disiplin jalan raya kerana ia juga berkait dengan hasil taqwa ramadhan kita. Jadilah pemandu yang berakhlak dan tidak menyusahkan dan menyakiti saudara kita yang lain dan bahkan menzalimi diri kita sendiri akhirnya nanti. 

Puasa 6 dan kesan ramadhan. 

Seterusnya jangan lupa untuk merebut kelebihan seterusnya di Syawal ini dengan berpuasa enam hari bagi meraih keistimewaan siapa yang berpuasa, maka ia seperti setahun. Dan juga menyuburkan kesan berterusan tarbiyyah ramadhan dan kehidupan kita ini agar berjaya hingga sampai akhir riwayat hidup ini, inshaAllah. 

Dan mudahan ramadhan terus meninggalkan kesan kepada kita dengan segala macam kebaikan yang terisi tempoh hari dan digalakkan sewaktu di ramadhan itu. InshaAllah, sama-sama kita berusaha dan berdoa. 


Akhirnya saya Ahamd Firdaus Bin Azis mengucapkan Selamat Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat. Moga Allah menerima amalan kita semua. Moga ditetapkan hati kita atas hidayah-Nya dan diberi taufiq oleh-Nya. Selamat bergembira. Selamat meraikan hari kemenangan. 


18/7/15, Ipoh.

Hari Hidup kena sentiasa ada Semangat.


* Hari-hari Hidup ini kena sentiasa ada semangat, ada sesuatu yang ingin dicari, ada sesuatu yang ingin difikirkan, ada sesuatu yang ingin diusahakan, ada sesuatu yang ingin dirancangkan, ada sesuatu yang ingin dihasyratkan. 

* Ada sesuatu yang perlu segera diusaha bangkit dan berubah, ada sesuatu yang perlu segera dipaksa berkorban. 

* Dari tiada apa-apa yang kita tahu dan mampu, kita mula meminta dengan doa, berusaha dan mengharap, dan sentiasa dengan rutin ini hinggalah nanti pasti ada jalan, perubahan dan peningkatan demi peningkatan. 

* Bukan rutin yang terus berlalu merugikan masa kita, bukan rutin yang sama tanpa sebarang keinginan untuk berubah, bukan rutin yang sama tanpa cuba diusaha untuk berubah, bukan rutin yang tidak memberi semangat dan kebaikan untuk hari seterusnya, dan bukan juga sekadar menunggu sebab untuk mengubah kita. 

* Jangan biarkan hidup kita seolah suram dan sempit tanpa apapun reaksi untuk mencari dan menambah berjuta-juta kebaikan hidup ini yang sudah pastinya kebaikan untuk akhirat dari hasil semua itu. 

* Dan semua ini hendak sentiasa dimuhasabah agarnya kerana Allah, kerana tidakkah kita membaca kaitan arti Rugi itu yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran: "Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh, dan berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran." (Al-Asr 1-3)


15/7/15, Ipoh.

Isnin, 13 Julai 2015

Kearah mana Usaha Kita.


Tiada arah lain kebahagiaan dan kegembiraan yang sebenar diingini kita melainkan berusaha juga dalam mematuhi apa yang ditetapkan Allah dan Rasul dan memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah, berusaha mengingatkannya juga, berusaha bercakap mengenainya juga, dan kerana jua memikirkan tiada apa selain itu lagi apabila tiba detik kematian yang tidak disedari maka kita terpisahlah dari segala keindahan hakikat dunia yang lalai dari matlamat akhirat yang pasti. 


13/7/15. Ipoh.

Khamis, 18 Jun 2015

Ramadhan 1436 H.


Segala puji bagi Allah, Ramadhan datang lagi tahun ini dengan umur kita masih diberi kesempatan, syukur kerana punya peluang menambah kebaikan dan menyesali keburukan kerana kelak ada hamba menyesali kerana tidak menambah kebaikan dan menjauhi keburukan. Ada insan baru beberapa hari meninggal dunia, ada insan sakit, ada insan dilanda berbagai musibah saat ini. Alhamdulillah, kita diberi nikmat dengan nikmat-nikmat yang mampu untuk kita gunakan merebut peluang kebaikan Ramadhan ini.

Ramadhan itu Harapan Baru

Mari kita mulakan kembali hidup kita dengan fitrah yang asal bersih ini dengan proses Permulaan Ramadhan ini. Mari kita bentuk kembali untuk bangun berusaha lagi menjadi hamba yang benar-benar bertaqwa dengan Permulaan Ramadhan ini. Jadikan Ramadhan ini harapan baru. Suntikan untuk perubahan baru. Ramadhan menjadi peluang dan permulaan segalanya. Ramadhan peluang mendidik, memperbaharui dan memperbaiki iman, taubat, solat, sedekah, quran, zikir, qiam, menjaga mulut, mengawal pandangan, bersabar, bersyukur, ikhlas, mengawal segala cegahan dan larangan Allah dan meraih kembali tuntutan dan saranan dari Allah.

Harapan Puasa kita

Marilah, kita berpuasa dengan penuh Iman dan Pengharapan pada Allah agar diampun dosa kita. Marilah, kita menjaga mulut, pandangan, pendengaran dan tingkah laku agar tidak sia-sia puasa kita. Marilah, kita memohon ampun kepada Allah agar diampun dosa-dosa kita yang banyak. Marilah, kita menggandakan ibadat dan menghayatinya agar berjaya mengnatijahkan sifat Taqwa. Marilah, kita menjaga ketetapan hukum-hukum puasa dengan sunnah dari Nabi-Nya agar diterima amalan kita. Marilah, kita berusaha apa yang termampu bagi diri dan mengajak siapa yang dekat, hampir dan yang keseterusnya agar terlaksana tanggungjawab dakwah kita. Marilah, kita melatih diri dengan segala keharusan dan kewajipan Agama dalam Ramadhan ini agar ia berjaya diteruskan. Marilah, kita berdoa memohon sebanyak-banyak kebaikan agar diberkati dan mendapat kebaikan kehidupan dunia dan akhirat nanti.

Harapan Kesan Puasa kita

Kita mengharapkan agar segala kebaikan solat berjemaah, membaca al-quran, zikir, qiam dan sedekah dapat berjaya diteruskan dan ada kesannya selepas Ramadhan. Kita mengharapkan agar segala kebaikan menjaga mulut, pandangan, pendengaran dan tingkah laku dapat berjaya diteruskan dan ada kesannya selepas Ramadhan. Kita mengharapkan kebaikan sabar, syukur, bertolong-menolong dan pembersihan jiwa ini dapat berjaya dipelihara dan punyai kesan selepas Ramadhan nanti.

Dengan puasa, kita jadi lebih sabar, lebih syukur, lebih sihat, lebih taat dan lebih kebaikan diraih tanpa sedar dari hebatnya hikmah Puasa itu.

Selamat menjalani Ibadah Puasa. Mudahan sama-sama kita berusaha dan saling sentiasa mengingatkan. تقبل الله منا ومنك

18/6/15. Ipoh.

Isnin, 2 Mac 2015

Mengutamakan Yang Wajib.

* Bermula dengan fokus semula yang wajib dahulu mengatasi yang lain. Pasti selesai dan diberi kemudahan urusan yang lain. 

* Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh, dia berkata Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ قَالَ: مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لأُعِيذَنَّهُ وَمَا تَرَدَّدْتُ عَنْ شَيْءٍ أَنَا فَاعِلُهُ تَرَدُّدِي عَنْ نَفْسِ الْمُؤْمِنِ يَكْرَهُ الْمَوْتَ وَأَنَا أَكْرَهُ مَسَاءَتَهُ 

* Maksudnya: Sesungguhnya Allah Ta’aala berfirman: Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, sungguh Aku telah mengizinkan agar dia diperangi. Tidak ada amal yang paling Aku senangi yang dipergunakan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain ibadah yang telah Aku fardukan kepadanya. Hamba-Ku yang senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah sunat (nawafil), pasti Aku mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar; Aku menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat; Aku menjadi tangannya yang dengannya dia membuat (sesuatu); Aku menjadi kakinya yang dengannya dia berjalan; jika dia memohon kepada-Ku pasti akan Ku beri; jika dia memohon perlindungan daripada Ku pasti akan Ku lindungi dia. Aku tidak pernah bimbang dalam melakukan sesuatu sebagaimana kebimbangan Ku ketika hendak mencabut nyawa seorang mukmin yang tidak menyukai sakitnya sakratul maut, sementara Aku pun tidak ingin menyakitinya. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Riqaaq, no:6502)


* Ingin saya kaitkan, begitu juga dengan soal dalam sesuatu amanah dan tanggungjwab yang 
diberikan kepada kita. Bermula segala masalah adalah perlu bagi kita untuk menyemak dan memuhasabah tuntutan yang telah diwajibkan sebenarnya kepada kita dahulu dan janganlah berlumba meraih dan mengejar kepentingan keinginan lain yang walau ia baik dan lalu kita terpedaya dengan tipudaya iblis menyangka apa salahnya yang baik, maka timbullah segala bermacam masalah yang kita sendiri terfikir dimana silapnya lagi dan bagaimana ia boleh timbul. Sedang puncanya adalah kerana kewajipan yang utama kita tiada kejujuran dengan Allah dan hak manusia. 

* Hakikatnya hidup kita ini sebenarnya senang untuk memilih jalan yang tenang dengan sekadar keperluan dan demi keperluan seterusnya lagi, namun bukan keinginan nafsu yang diraikan dan terus diraikan. Dan ketenanganlah yang menjadi dambaan kita juga akhirnya. Maka marilah kita bermuhasabah sebaiknya dalam tiap tindakan kita. 

* Justeru, sebenarnya kita boleh berjaya dengan sabar, tidak gopoh dek kerana ingin meraih banyak keuntungan yang pasti menyeronokkan disisi manusia. Hendaklah kita sama-sama berusaha merancang jalan kejayaan dengan berpandukan contoh yang telah dinyatakan Allah SWT melalui Rasulnya. Kita merancang dan Allah sebaik-baik Perancang dan petunjuk-Nya adalah sebaik-baik plan rancangan. Kerugian dan keuntungan adalah dari-Nya yang diberikan dengan Sifat Adilnya dari tindakan kita. Demikian itu adalah yang betul dan segala pemberian cepat atau lambat adalah dari Allah hatta walau akal kita memang masih tidak mampu meyakininya, yang penting berusaha yakin dalam mengutamakan yang wajib dahulu dari segala hasrat dan harapan yang lain. Pastikan yang wajib ditunaikan sebaiknya walau memerlukan masa dan pengorbanan yang panjang dan besar kerana dari situlah ia bermula dan ditanya juga kelak adalah yang wajib dan kemudian yang sunat. Coretan untuk kesedaran dan muhasabah bersama. لا اله الا انت سبحانك اني كنت من الظالمين


11 Jamadilawal 1436 H bersamaan 2 Mac 2015 M
Isnin, 11.30 pm. Taman Sri Tambun, Ipoh Perak.

Sabtu, 17 Januari 2015

Point tazkirah Mukmin Professional.

- Apa Maksud Mukmin? 
- Apa Maksud Professional? 
- Setiap manusia mestilah menjadi hamba yang beriman. 
- Professional itu telah termasuk dalam erti keimanan kita. 
- Keimanan kepada Allah dan Rasul, dan contoh dari para rasul pilihan Allah dalam menguruskan kehidupan mereka dengan penuh professional hingga mereka semua berjaya didunia dan akhirat seperti yang ditulis dalam sejarah kehidupan mereka. Berjaya mencari redha Allah.
- Kita bukanlah professional seperti barat, namun kita sebagai seorang mukmin sudah pasti berkait dengan akhirat dan itulah kejayaan erti professional bagi kita yang sebenar-benarnya. 
- Melihat professional yang ada hubungan dengan akhirat. 
- Kita menguruskan kehidupan dunia ini dengan penuh tanggungjawab dalam menuai peluang-peluang kebaikan dan mencari amalan untuk hari balasan dan hasilnya di akhirat nanti. 
- Allah Berfirman di dalam Surah al-Mulk ayat yang ke 2 
 الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ 
- (Yang menjadikan mati dan hidup, untuk Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun) 
- Nabi saw pernah bersabda dalam suatu hadis:
 إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه 
 - (Sesungguhnya Allah suka jika seseorang daripada kamu apabila melakukan kerja maka dia bekerja dengan tekun/bersungguh). (Riwayat Baihaqi, Dhaif)
- Lagi Sabda Nabi saw dalam satu hadis:
 اَلْـمُؤْمِنُ الْقَـوِيُّ خَـيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَـى اللهِ مِنَ الْـمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ، وَفِـيْ كُـلٍّ خَـيْـرٌ ، اِحْـرِصْ عَـلَـى مَا يَـنْـفَـعُـكَ وَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَلَا تَـعْجَـزْ ، وَإِنْ أَصَابَكَ شَـيْءٌ فَـلَا تَقُلْ: لَوْ أَنِـّيْ فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَـذَا ، وَلَـكِنْ قُلْ: قَـدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَـفْـتَـحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ 
- Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah; dan pada keduanya ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada Allah (dalam segala urusanmu) serta janganlah sekali-kali engkau merasa lemah. Apabila engkau tertimpa musibah, janganlah engkau berkata, seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini dan begitu, tetapi katakanlah, Ini telah ditakdirkan Allah, dan Allah berbuat apa saja yang Dia kehendaki, karena ucapan seandainya akan membuka (pintu) perbuatan syaitan. (Riwayat Muslim) 



Mukmin professional bukan bermaksud mengetepikan akhirat, namun bermaksud kita memastikan pengurusan kehidupan dunia yang telah pastinya sekarang sedang kita singgahi ini dimanfaatkan sebaiknya untuk dunia dan akhirat. Bagaimana mungkin juga kita hanya ingin kejar akhirat semata sedang hakikatnya kita berada didunia sekarang. Bagaimana lagi mungkin kita hanya bersungguh di dunia sahaja sedang kita pasti meninggalkannya. Jadi akhirat yang dikejar adalah dengan pengurusan kehidupan yang professional menjadi target dan fokus yang penting juga kerana sudah pastinya dari dunia inilah kita mencari bekalan untuk kejayaan akhirat nanti. 

Kita dipilih Allah menjadi khalifah didunia ini untuk menjaga dan mentadbir dunia ini dengan perintah dan larangan-Nya berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Namun demikian ujian dan cabarannya sudah pasti teramat berat dan besar kerana tujuan dan matlamat kita bukan sekadar professional seperti barat yang faham dan dilihat mereka erti professional ini dari sudut material dunia sahaja, namun kita adalah menjadi mukmin yang professional dengan erti termasuk sekali dalam kepala fikiran kita kaitan hubungan kehidupan akhirat yang kekal dan pasti kelak. 

Apabila kita lemah, malas dan sering dukacita. Maka syaitan akan mudah masuk dan seterusnya menewaskan kita. Kita gagal untuk menguruskan kehidupan di dunia ini dengan malas untuk belajar dan bekerja, maka dengan demikian kita akan merosakkan diri kita sendiri dengan melakukan perkara-perkara jenayah dosa didunia ini. Begitu juga apabila kita lemah soal agama kita, maka kita buta dan tersilap arah sehingga lupa memikirkan jalan ke akhirat yang pasti kita pergi nanti selama-lamanya. 

Doa yang diajar Nabi saw ini mengajar kita betapa penting professional, kaitan dunia dan akhirat. 

اللهم إني أعوذ بك من الهم والحزن، وأعوذ بك من العجز والكسل، وأعوذ بك من الجبن والبخل، وأعوذ بك من غلبة الدين وقهر الرجال

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat takut dan kedekut dan aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.” (Riwayat Bukhari) 

- Professional sudut ilmu contohnya seperti etika, adab dan kaedah mencari ilmu. Disipilin dalam aturan peringkat tahap ilmu. Sumber dan bahan yang diambil dan disebar. 

- Professional sudut belajar contohnya seperti disiplin waktu, persekitaran dan persediaan. 

- Professional sudut ibadah contohnya adalah kita mesti melihat sumber ibadat syariat kita menepati panduan Agama dari al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Tidak melampau, berlebih-lebih, memandai-mandai, mengikut nafsu dan sesiapa sahaja. Mesti mengkaji dan mengupgredkan setiap bulan dan tahun kearaah yang sesempurnya. Jika perkara lain kita selalu tidak lupa untuk update dan perbaharui, maka begitu juga hal ibadat kita yang sudah pastinya sangat banyak kekurangan, kelemahan dan kesilapan. 

- Professional sudut sukan contohnya seperti masa bersukan, tempat, persediaan, tujuan dan matlamat. 

- Professional sudut akhirat contohnya beramal dan memikirkan tentang akhirat bukan dengan sumber yang salah dan rekaan melampau semata. Namun dengan ilmu dan fakta yang jelas dari para Ulama’ dan persediaan yang betul dan tepat. 

- Professional sudut kerja contohnya seperti waktu pengurusan kerja, tempat, pakaian, gembira, menyenangkan urusan orang lain, sedekah, amanah, menepati janji, menjaga kesihatan, kebersihan dan segala keteraturan yang membawa keuntungan dunia dan akhirat. 

- Professional sudut masa contohnya adalah masa solat dan segala rutin harian kita dengan hak Allah, diri, keluarga dan semua saudara kita yang lain. 

- Professional sudut keluarga contohnya seperti nafkah, tanggungjawab, adil, jujur, maruah, perasaan dan hak-hak yang wajib dan sepatutnya diutamakan dengan keluarga. 

- Professional sudut harta contohnya soal pengurusan simpanan harta, tempat, pembahagian dan perbelanjaan. Adil dan jujur. 

- Professional sudut rutin harian kita dari bangun tidur hingga tidur semula dengan memastikan hak-hak Allah dan Rasul ditunaikan, dijadikan panduan, dicari-cari, diusaha amal dan itu yang utama. Dan seterusnya hak dengan nikmat dunia dengan bersungguh-sungguh juga meraihnya dan dalam masa yang sama meletakkan niat dan tujuan mencari kebaikan akhirat dalam apa jua kerja halal yang disukai dan diminati. 

Akhir sekali mari kita merenungi sepotong hadis ini. Ia berkait soal betapa perlu professionalnya kita kaitan antara dunia dan akhirat, antara hamba dengan Tuhannya.

ثم ذكر الرجل يطيل السفر أشعث أغبر يمد يده إلى السماء: يا رب! يا رب! ومطعمه حرام ومشربه حرام وملبسه حرام وغذي بالحرام فأنى يستجاب له 

“Dikisahkan seorang lelaki yang jauh perjalanannya, berada dalam keadaan kusut rambutnya lagi berdebu mukanya, menghulurkan dua tangan menadah ke langit sambil berdoa: ‘Wahai Tuhan..! Wahai Tuhan..! Padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaianya pula haram, dan setiap kali ia mengenyangkan perutnya dengan benda-benada yang haram, bagaimana doanya diperkenankan?’ (Hr Muslim).” 

Mohon baca penerangan erti maksud ayat dari al-Quran (Jangan Lupakan Nasib Kalian di Dunia) di link ini: http://rumaysho.com/tafsir-al-quran/jangan-lupakan-nasib-kalian-di-dunia-3335

26 Rabiulawal 1436 H bersamaan 17 Januari 2015 M 
Sabtu, 10.10 pm. Ipoh, Perak.